Idealis Mahasiswa
 
 

GPMS Sudah Hilang Kewibawaan ?


Hit = [ ]

Utusan Malaysia, 30 Disember 1998

SETELAH kira-kira 50 tahun ditubuhkan, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) kini berpandangan bahawa gerakan itu perlu menentukan semula arah tujuannya dalam menghadapi cabaran alaf baru pada abad ke-21.

Ini kerana kegemilangan gerakan tersebut sudah lama 'menyepikan diri' dan seolah-olah kewibawaannya telah hilang ditelan zaman. Selama inipun kegiatan GPMS diakui sepi disebabkan berlaku beberapa kelemahan di sana sini sehingga ia tidak diketahui ramai termasuk generasi muda.

Jika suatu ketika dulu ketika kegemilangannya memuncak, GPMS telah berjaya melahirkan pemimpin negara yang ada sekarang dan silih berganti, tetapi kini semua itu hanya tinggal kebanggaan dan sebutan. Apa tidaknya, perjuangan GPMS ketika itu sangat disanjung dan dihormati dalam melahirkan kepimpinan pelajar Melayu terutama memastikan masyarakat Melayu tidak ketinggalan dalam bidang pendidikan.

Pada masa itu juga, perjuangan GPMS dianggap sealiran dengan pergerakan lain yang mengutamakan pendidikan sebagai usaha untuk mengubah nasib dan masa depan masyarakat Melayu. Tidak hairanlah apabila GPMS melalui usaha awalnya itu berjaya melahirkan kepimpinan golongan pelajar Melayu dan ada antara mereka itu kini masih terus menjadi pemimpin negara.

Bagaimanapun, perkembangan masa kini berbeza dengan silih bergantinya kepimpinan. Tahun demi tahun, GPMS seolah-olah sudah luput daripada ingatan masyarakat Melayu. Jika ditanya peranan GPMS pada pelajar Melayu dan generasi muda hari ini, mungkin ramai yang hanya mengetahui namanya sahaja atau tidak tahu langsung.

Tetapi dari segi sejarah, kejayaan, matlamat dan kewibawaan GPMS itu sendiri, mungkin tidak ramai yang berminat mengetahuinya kerana ia telah lama dilupakan. Oleh itu, usaha perlu dimulakan untuk menyemarakkan kembali semangat waja yang terdapat dalam GPMS. Mungkin pada sebutan bibir perkara ini mudah, tetapi pada hakikatnya ia adalah satu usaha yang sukar.

Menurut Presiden GPMS, Datuk Suhaimi Ibrahim yang baru mengambil alih tampuk kepimpinan sejak Ogos tahun lalu, pihaknya sedang menggorak langkah untuk menjadikan GPMS sebuah pergerakan yang dinamik.

Bagi Suhaimi, tugas mencabar ini sesuatu yang sukar dilakukan dan sehubungan itu ia memerlukan gabungan serta penyatuan semua ahli-ahli GPMS terutama golongan veteran.

Sebaik sahaja mengambilalih kepimpinan GPMS, perkara pertama yang dilakukan oleh Suhaimi ialah melakukan beberapa pindaan dalam perlembagaan GPMS.

Ini dilakukan kerana cabaran GPMS pada masa akan datang lebih mencabar lebih-lebih dengan konsep langit terbuka tanpa sempadan, isu-isu semasa seperti kegawatan, cabaran pendidikan itu sendiri dan banyak lagi. Oleh itu, sebanyak 80 peratus dari kandungan perlembagaan GPMS yang ada telah dipinda dan ia telah diluluskan baru-baru ini.

"Itulah langkah pertama yang terpaksa dilakukan jika kita mahu GPMS mengorak langkah dalam usaha melahirkan generasi pemimpin berwibawa. Usaha ini bukan sesuatu yang mudah dan mungkin memerlukan kesinambungan kepimpinan seterusnya," katanya ketika ditemui di Setiu baru-baru ini.

Pindaan perlembagaan GPMS itu bagi membolehkan ahli-ahlinya sebanyak 200,000 orang dan masyarakat Melayu mendapat faedah terutama dari segi pendidikan.

Bidang pendidikan diberi penekanan kerana melaluinya masyarakat dapat dicorakkan ke arah yang lebih bermakna serta seiring dengan kemajuan serta tamadun sejagat.

Ekoran itu tumpuan diberi dalam bidang kemahiran komputer dan ini dilakukan melalui kerjasama pelbagai pusat pendidikan sama ada awam atau swasta.

Menurut Suhaimi, GPMS sedang mengorak langkah bagi merealisasikan matlamat baru gerakan tersebut sejajar dengan cabaran serta perkembangan semasa.

Pada masa ini, sebanyak 200 fasilitator sedang dilatih secara berperingkat-peringkat serta mengikut jadual dalam bidang komputer. Latihan tersebut dijalankan di pusat-pusat pendidikan tempatan dan mereka ini kelak akan bertanggungjawab melatih golongan pelajar di setiap daerah seluruh negara.

Sehubungan itu, GPMS lebih cenderung dengan cadangan untuk membuka pusat-pusat tuisyen di semua daerah yang bukan sahaja membabitkan mata pelajaran komputer, malah bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Bagi memantapkan lagi hala tuju GPMS ini, langkah juga sedang diatur juga mengumpul seberapa ramai pesara guru yang mempunyai kemahiran luas dalam bidang-bidang pengetahuan berkenaan. Harapan GPMS ialah para pesara guru ini tidak dipersia-siakan kebolehan mereka dan dapat menjadi penyumbang ke arah melahirkan insan yang dinamik serta berwibawa.

"Sebelum ini GPMS memang menghadapi masalah kerana beberapa kelemahannya. Akibatnya GPMS telah menerima notis bahawa gerakan itu akan dibatalkan pendaftarannya.

"Sehubungan itu, kita perlu segera bergerak meminda perlembagaan dan merancang strategi bagi mengembalikan cabaran GPMS terutama pada abad ke 21 nanti," kata Suhaimi.

"Salah satu daripada usaha yang dilihat dapat membantu dalam perkara ini ialah sumbangan ahli-ahli veteran GPMS itu sendiri kerana merekalah selama ini yang telah membantu dan menghidupkan GPMS sejak penubuhannya," ujar Suhaimi.

Ketika mengatur langkah ini Suhaimi juga sudah melihat beberapa perkara yang akan dihadapi GPMS sebelum usaha-usaha yang dirancang berjaya dilaksanakan. Antaranya ialah untuk mendapatkan bangunan bagi menempatkan pusat-pusat tuisyen berkenaan. Perkara ini sebenarnya memerlukan kerjasama dan bantuan dari pihak-pihak seperti kerajaan negeri serta agensi-agensi berkenaan. Tanpa kerjasama sedemikian, hasrat GPMS itu mungkin boleh dilaksanakan tetapi dalam keadaan yang 'kritikal' dan daif.

Bagaimanapun, semua cabaran ini tidak akan melunturkan semangat kepimpinan GPMS yang ada pada masa kini. Apa yang diminta oleh GPMS ialah bangunan-bangunan terbiar atau kosong milik kerajaan serta agensi-agensinya itu boleh dimanfaatkan kepada GPMS untuk dijadikan pusat tuisyen.

Mungkin dari segi wang ringgit, keuntungan yang diperolehi tidak seberapa tetapi 'aset kekal' yang bakal dilahirkan nanti adalah untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.





Copyright © 2002 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved