IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Tuesday, April 2, 2002 10:41 PM

PTPTN sediakan RM1b biayai 155,000 pelajar


Utusan Malaysia, 29 Mac 2002

KUALA TERENGGANU 28 Mac - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan lebih RM1 billion bagi membiayai 155,000 orang pelajar yang bakal memasuki pusat-pusat pengajian tinggi di seluruh negara, tahun ini.

Pengerusi PTPTN, Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata, pembiayaan dalam bentuk pinjaman itu melibatkan para pelajar yang akan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan juga institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Menurut beliau, daripada jumlah itu sebanyak 125,000 pelajar merupakan lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terpilih bagi kemasukan pada bulan Mei dan Jun ini.

``Manakala pembiayaan bagi 30,000 orang pelajar lagi akan disediakan kepada mereka yang terpilih ke pusat-pusat pengajian tinggi bagi kemasukan akhir tahun,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan taklimat PTPTN kepada para pelajar yang tidak lagi mendapat pinjaman Yayasan Terengganu (YT), di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman II, di sini hari ini.

Program anjuran Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu itu mendapat sambutan baik apabila lebih 500 orang pelajar yang hadir telah mengisi borang permohonan pada majlis tersebut.

Mereka adalah sebahagian daripada kira-kira 4,000 pelajar anak negeri yang menghadapi masalah pembiayaan setelah YT menghadapi masalah kewangan untuk terus membiayai mereka.

Menurut Ahmad Husni, sehingga bulan Disember tahun lalu, PTPTN telah membiayai 300,000 pelajar ke IPTA dan IPTS di seluruh negara termasuk 1,389 orang yang mengikuti program matrikulasi di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak 20,000 orang pelajar yang mendapat pembiayaan itu adalah terdiri daripada rakyat Terengganu, melibatkan RM130 juta.

``Sehingga ini kita telah membiayai sebanyak 18,000 orang pelajar dari negeri ini bagi mengikuti pembelajaran di IPTA dan 2,000 orang pula ke IPTS.

``Pembiayaan ini tidak termasuk 1,484 orang pelajar yang mendapat bantuan melanjutkan pelajaran di bawah program pembiayaan wang ihsan,'' ujar beliau.

Ahmad Husni berkata, matlamat PTPTN bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk memasuki pusat pengajian tinggi, tetapi ia turut membantu bagi melahirkan golongan pelajar cemerlang sehingga mampu memperoleh kelas pertama.

Menurut beliau, langkah ini adalah ke arah meningkatkan peratus kecemerlangan pelajar Melayu yang sebelum ini hanya satu peratus sahaja mendapat kelas pertama, berbanding 4,000 pelajar daripada kaum lain.

Malah katanya, kecemerlangan pelajar Melayu akan dapat mengurangkan kadar pengangguran di kalangan siswazah di mana tahun lalu, terdapat 39,000 lulusan universiti masih gagal mendapat pekerjaan.

``Saya berharap, kewujudan PTPTN akan dapat membantu masalah ini bagi membolehkan mereka menumpukan kepada pelajaran sepenuhnya dan berusaha melaksanakan pembangunan diri secara profesional,'' ujar beliau.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved