IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Tuesday, April 2, 2002 10:44 PM

MPP baru jauhkan amalan politik kepartian


Utusan Malaysia, 3 Disember 2001

MUKADIMAH
BUAT pertama kalinya tahun ini, pilihan raya kampus kampus institusi pengajian tinggi awam (IPTA) diadakan secara serentak.

Pilihan raya kali ini mendapat perhatian banyak pihak.

Banyak isu-isu berbangkit yang disuarakan oleh pelajar dan juga masyarakat luar berhubung pilihan raya kali ini.

Apakah hebatnya pilihan raya kampus kali ini.

Wartawan Pendidikan, ROHANA MAN menemubual Bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) tahun 1980, Datuk Mohamad Rais Zainuddin bagi mengulas perjalanan pilihan raya kampus sesi 2001/2002 yang baru berlalu.

Soalan: Hampir 21 tahun berlalu, difahamkan Datuk masih mengikuti perjalanan pilihan raya MPP di IPTA seluruh negara. Apa yang menariknya pilihan raya itu?

JAWAPAN: Banyak perkara menarik boleh diperkatakan berhubung pilihan raya kampus. Sungguhpun ia tidak sehebat pilihan raya umum, ia tetap mempunyai pengikut sendiri yang setiap tahun meneliti perjalanannya.

Selaku bekas presiden PMUKM, tentu sekali saya sentiasa mengikuti setiap perjalanan pilihan raya itu kerana ia mengundang nostalgia kepada saya terhadap suasana, kempen dan hari pembuangan undi di kampus.

Perkara paling menarik yang pasti menjadi tumpuan pelajar ialah apakah isu atau manifesto pelajar sepanjang berkempen.

Kepetahan dan kebijaksanaan para calon mengungkap isu yang diperjuangkan mampu menarik khalayak ramai untuk berkumpul melihat `persembahan' calon ketika berkempen.

Begitu juga, poster pilihan raya yang digantung di seluruh kawasan kampus menjadikannya seperti satu perayaan besar yang penuh meriah.

Sungguhpun kini perjalanan pilihan raya kampus terikat dengan beberapa peraturan, ia tidak menjejaskan suasana pilihan raya yang dijelaskan tadi.

SOALAN: Datuk ada menyebut dengan peraturan pilihan raya di IPTA hari ini. Apakah komen Datuk terhadap peraturan itu?

JAWAPAN: Saya ada mendengar rungutan pelajar yang mengatakan peraturan itu tidak adil kepada mereka. Bagi saya, peraturan itu lebih memberi manfaat kepada pelajar. Misalnya, peraturan baru di Universiti Utara Malaysia (UUM) mewajibkan pelajarnya membuang undi dan akan memotong merit sebanyak 10 markah terhadap mana-mana pelajar yang tidak membuang undi. Sungguhpun ada suara kesal mengatakan paksaan itu menunjukkan tidak ada demokrasi dalam pilihan raya, langkah itu sebenarnya mempunyai hikmah kerana ia membantu meningkatkan peratusan pelajar membuang undi.

Ini penting kerana kita mahu perwakilan yang dipilih itu benar-benar mewakili majoriti suara pelajar di kampus.

Perubahan pusat pembuangan undi daripada fakulti ke kolej kediaman juga memberi faedah kepada pelajar terutama mereka yang malas untuk bersiap ke fakulti jika tidak mempunyai kuliah pada hari berkenaan.

Namun perubahan paling penting yang dilihat berlaku ekoran penguatkuasaan peraturan itu ialah pihak luar gagal campur tangan dalam kempen pilihan raya.

Lebih tepat gangguan daripada pihak tertentu yang sebelum ini begitu ketara dan terbuka di sesetengah IPTA pada pilihan raya tahun lalu berjaya disekat.

Mulai tahun ini, jika calon didapati bersalah mengedarkan atau membawa risalah kempen yang dikeluarkan oleh pihak luar maka pencalonannya akan terbatal dengan sendiri.

Mahu tidak mahu calon terpaksa menggunakan poster dan manifesto yang dikeluarkan oleh bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP).

Langkah ini menyebabkan pihak luar langsung tidak dapat menyelit.

Sungguhpun begitu, masalah sekelompok pelajar dikuasai pemikirannya oleh pihak luar masih wujud di IPTA.

Masalah itu berlaku kerana kebanyakan calon terlibat telahpun memiliki semangat kepartian sejak tahun pertama pengajian.

SOALAN: Peratusan pelajar membuang undi yang dicatatkan hampir di semua IPTA meningkat. Apakah komen Datuk terhadap peningkatan itu.

JAWAPAN: Peningkatan jumlah pelajar membuang undi pada tahun ini amat memberangsangkan tetapi ia masih belum boleh mencerminkan bahawa calon yang memenangi kawasan masing-masing mewakili suara majoriti pelajar.

Ini kerana jika diteliti peratusan pelajar yang membuang undi di kebanyakan IPTA masih dalam lingkungan 50 hingga 60 peratus kecuali UKM yang mencatatkan 68.3 peratus dan UUM, 90.83 peratus dan Universiti Malaysia Sabah (UMS), 84.31 peratus.

Jika lebih 80 peratus pelajar membuang undi di semua IPTA maka keputusan pilihan raya itu mencerminkan perwakilan sebenar pelajar.

SOALAN: Kebelakangan ini banyak isu timbul berhubung kononnya kelompok pelajar yang propembangkang menguasai pilihan raya kampus. Apakah benar memang wujud kelompok itu di IPTA?

JAWAPAN: Apa yang saya perhatikan ialah kelompok itu memang wujud tetapi ia cuma segelintir sahaja. Majoriti pelajar IPTA kini ialah mereka yang bersikap berkecuali atau tidak mahu ambil peduli langsung terhadap apa yang berlaku di kampus.

Jadi tidaklah perlu kita berasa bimbang jika kononnya IPTA kini dikuasai oleh kelompok pelajar yang cenderung kepada pembangkang.

SOALAN: Tentu ada punca terhadap kehadiran kelompok pelajar propembangkang di kampus IPTA. Bak kata pepatah kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang. Datuk ada apa-apa penjelasan berhubung perkara ini?

JAWAPAN: Saya ingin jelaskan bahawa peranan pensyarah yang cenderung kepada pembangkang banyak membantu melahirkan pelajar yang seperti itu. Malah saya difahamkan, ia turut dilakukan oleh pensyarah program matrikulasi termasuk di Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya (UM). Ini bermakna pelajar mulai didedahkan dengan semangat propembangkang sejak sebelum masuk ke universiti.

Pelajar lepasan sekolah biasanya masih mentah dan tidak tahu apa-apa, justeru apabila setiap hari mereka terdedah dengan `ceramah politik' selama di antara 10 hingga 15 minit yang disampaikan oleh pensyarah di dewan kuliah maka lama kelamaan daripada tidak percaya, akhirnya pelajar itu akan percaya dengan fitnah yang disampaikan oleh pensyarah itu.

Apabila kebencian itu sudah ada dalam diri mereka maka ia akan terus berada di dalam dirinya yang selepas itu akan memasuki tahun pertama, kedua dan ketiga pengajian di IPTA.

Kelompok inilah yang sukar untuk kita pulihkan dan memerlukan tempoh masa yang agak panjang untuk menyedarkan mereka bahawa tugas utama mereka di kampus adalah untuk mencapai kecemerlangan akademik yang berkualiti tinggi, bukannya terjebak dalam politik kepartian.

SOALAN: Jadi, apakah langkah perlu yang boleh diambil untuk mengatasi masalah ini?

JAWAPAN: Perkara pertama yang IPTA perlu lakukan ialah `membersihkan' kampus daripada pensyarah yang bolehlah kita kategorikan sebagai golongan yang tidak tahu berterimakasih dan bersyukur dengan nikmat yang mereka kecapi hasil pembangunan negara.

Selain itu, kerajaan negeri perlu mendekati pelajar menerusi persatuan anak negeri masing-masing.

Banyak program boleh disusun termasuk pada minggu orientasi pelajar baru.

Kaedah itu lebih baik kerana pelajar akan berasa diri mereka diperlukan oleh negeri masing-masing sekali gus memberi gambaran bahawa kerajaan negeri sentiasa prihatin dalam menjaga kebajikan mereka di rantau orang.

SOALAN: Apakah nasihat Datuk terhadap barisan kepimpinan MPP IPTA sesi 2001/2002 yang akan menjalankan tugas masing-masing dalam masa terdekat ini?

JAWAPAN: Barisan kepimpinan MPP sesi itu perlu menjauhkan diri daripada amalan politik kepartian kerana ia hanya merosakkan imej mereka sebagai pelajar universiti.

Ikutlah nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad bahawa tugas mereka di kampus adalah untuk belajar, bukan untuk berpolitik.

Justeru, saya amat berharap mereka dapat menggerakkan pelajar ke arah kecemerlangan akademik yang berkualiti tinggi.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved