Idealis Mahasiswa
 
 

Doktrin Pendidikan Alaf Baru: Do or Die ?


Hit = [ ]

oleh: A. Firdaus

Terjemahan Sdr Suntzi Jr yang bertajuk Faktor yang membawa kepada sikap rajin pelajar Tiong Hua yang berasal dari sebuah artikel yang diterbitkan oleh Sin Chew Jit Poh pada 1 Mac 2002, membuka minda saya kepada fahaman bahawa kerajinan itu boleh dipupuk melalui indoktrinisasi.

Rumusan tulisan berkenaan menyatakan bahawa:

Kesimpulannya, keperihatinan ibubapa kaum Tiong Hua terhadap pelajaran anak mereka dan kerajinan pelajar Tiong Hua mengejar kecermelangan akademik hanya didorong satu objektif - Masuk universiti. Mereka sedar peluang untuk menyambung pelajaran ke menara gading adalah terhad, maka mereka terpaksa memerah kudrat dan berkerja keras. Peluang melanjutkan pelajaran ke menara gading yang terhad telah menanam satu persepsi Do or Die dalam minda pelajar Tiong Hua.

SMK dan SMKC adalah di bawah kategori sekolah yang sama. Tenaga pengajar SMK adalah dilatih oleh Kementerian Pendidikan, buku teks yang digunakan sama dengan SMKC dan SMK menerima subsidi penuh kerajaan. Ternyata jelas, SMK adalah jauh lebih baik berbanding SMKC dari pelbagai segi.

Kalau hendak diungkit kelemahan yang ada pada SMK, hanya boleh dikatakan bahawa pelajar SMK lebih terpengaruh dengan persepsi Comfort Zone di mana mereka sedar bahawa peluang untuk masuk menara gading sudah tersedia tanpa perlu bertungkus lumus dalam pelajaran. Apa yang perlu dikhuatiri jika tempat masuk universiti itu sudah terjamin?

Kalaulah nisbah peluang pelajar SMK masuk universiti adalah sama dengan pelajar di SMKC, sudah tentu budaya persaingan akademik di SMK akan setanding, kalau bukan lebih baik, daripada SMKC.

Ada beberapa perkara yang menarik untuk kita fikirkan bersama di sini:

Apakah pelajar kita (Melayu) tidak bersungguh untuk masuk ke universiti ?

Benarkah pelajar SMK (Sekolah Menengah kebangsaan) berada dalam ruang selesa (comfort zone) yang beranggapan dengan penuh yakin bahawa tempat masuk ke universiti itu sudah terjamin?

Marilah kita renung sejenak apakahsewaktu kita berhadapan dengan SRP/PMR dan SPM matlamat besar kita adalah ke universiti dan kita bersungguh-sungguh berusaha memastikan kelulusan kita itu mencukupi atau layak untuk kita melanjutkan pelajaran ke universiti atau ianya tidak lebih dari sekadar usaha bermusim….dan bergantung kononnya kepada mood kita pada waktu itu ?

Kesungguhan di sini bermaksud kita dalam keadaan apa sekalipun kita tidak akan bertolak ansur dengan sebarang unsur atau peristiwa jua perkara yang mampu menggugat pencapaian ademik .

Berapa ramai pelajar Melayu yang komited belajar dan akur dengan jadual pembelajarannya dan setia pula dalam memanfaatkan jadual dan waktu belajar itu – untuk belajar semata ?

Rakan sedarjah/pengajian kita – yang kita kenal berdisiplin dan nekad begitu berapa ramai ? Kita tergolong dalam golongan yang mana ?

Ringkasnya, disiplin pelajar Melayu dalam usaha memastikan dirinya mencapai kecemerlangan masih menjadi satu dongengan semata-mata. Peratus yang menjayakannya amat kecil – itupun kalau tidak kerana sokongan persekitaran yang terdiri dari ibu bapa dan rakan-rakan yang sealiran dan saling mengukuhkan – nescaya hancur juga.

Apakah pelajar Melayu tidak suka cemerlang ? Apakah benar Melayu malas ?

Apa pun jawapannya – yang penting kita mendapat peringatan. Yang sudah itu sudahlah. Yang penting, ada iktibar yang dapat kita insafi. Maka untuk maju ke depan dengan lebih yakin, apakah misalnya dalam usaha memastikan anak-anak Melayu itu lebih cemerlang, produktif dan efisien khususnya dalam pembelajaran, maka proses indoktrinisasi ideologi yang bersesuaian itu saya lihat sebagai alternatif yang sungguh menggoda.

Konsep Do or Die ini walaupun sekali baca tampak seolah kita menghalakan muncung pistol ke anak-anak kita/para pelajar namun bila mana ianya berjaya dijiwai muncul satu tenaga automatik yang upaya pula mendisiplinkan diri pelajar berkenaan dengan lebih terpimpin dan berkesan.

Daripada indoktrinisasi fahaman yang akibatnya gaduh seperti orang PAS indoktrinkan fahaman bahawa hanya PAS-lah yang membela dan memperjuangkan Islam di Malaysia ini, orang UMNO indoktrinisasi hanya UMNO yang boleh memerintah dan PAS menyeleweng agama untuk perut dan kerusi, KeADILan pula indoktrin Anwar tidak bersalah, kononnya merekalah yang memperjuangkan keadilan untuk semua rakyat Malaysia dan kerajaan hari ini korup sekorup-korupnya; maka bukankah lebih baik – jika boleh kita selitkan kepada anak-anak /para pelajar kita doktrin Do or Die ini agar mereka tidak lalai dan hanyut dalam godaan comfort zone.

Tanggapan bahawa pelajar Melayu dijamin masuk universiti saya fikir tidak tepat. Faktanya bukan semua pelajar Melayu dapat masuk universiti walaupun keputusan mereka cemerlang dan kuota pengambilan anak Melayu lebih tinggi.

Jumlah pengambilan, kelulusan berdasarkan subjek, ketrampilan semasa di sekolah dan akhlak turut di ambil kira. Jangan ingat mentang-mentang semua subjek kita A1 maka comfirm kita masuk U. Kalau tempat di U cuma ada 100 dan kita adalah orang yang ke 101 – kita tetap tak masuk.

Sebab itu, saya fikir orang Melayu ini juga harus merasakan tempat di u itu tidak terjamin – kena pastikan bahawa hanya mereka – dan merekalah yang layak dari segi penampilan diri, akademik, kelulusan per subjek , akhlak dan sosial dan sebagainya. Pendek kata kita wajib berusaha menjadikan diri kita tersenarai dalam golongan yang disenarai pendek.

Kuota tidak menjamin Melayu cemerlang. Sebaliknya peribadi yang mampu menggerak individu untuk terus berusaha. Di sinilah saya lihat indoktrinisasi memainkan peranannya dan telah pun dibuktikan dalam kebudayaan orang Cina Malaysia hari ini.

Bunyinya mungkin sangat negatif, tetapi saya fikir indoktrinisasi Do or Die ini mudah – kosnya rendah dan saya fikir tidak menggugat mana-mana sistem yang sedia ada. Paling penting – hasilnya dijamin.

Kesimpulannya ? Marilah kita sama-sama mengindoktrinisasi diri kita, anak-anak kita dan seluruh waris kita bahawa demi agama, demi negara dan bangsa – demi masa depan yang lebih aman dan gemilang serta diredhai Allah maka hari ini dalam bab pendidikan Do or Die !!!





Copyright © 2002 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved