IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Sunday, April 7, 2002 0:57 AM

UPSI - Tidak wujud dua kelompok pelajar


Utusan Malaysia, 10 Disember 2001

UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menafikan laporan media tempatan mengenai wujudnya dua kelompok pelajar bertanding pada pilihan raya Majlis Perwakilan pelajar (MPP) sesi 2001/2002, baru-baru ini.

Dekan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UPSI, Prof. Madya Dr. Baseri Huddin Hussain berkata, laporan media berhubung perkara itu tidak tepat kerana semua pelajar yang bertanding di Kawasan Umum dan Kawasan Fakulti pada pilihan raya itu merupakan calon individu.

``Saya tidak tahu dari mana media memperoleh statistik yang menyatakan sebanyak sembilan calon prokerajaan dan lapan calon propembangkang menang pada pilihan raya lalu,'' katanya kepada pemberita di Tanjung Malim, Perak, baru-baru ini.

Sebanyak 18 kerusi dipertandingkan pada pilihan raya kampus serentak yang diadakan pada 26 November lalu.

Menurut sumber, keputusan pilihan raya sesi ini menunjukkan sebanyak enam institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dikuasai oleh calon propembangkang manakala tujuh IPTA lain dimenangi oleh calon prokerajaan.

UPSI merupakan salah sebuah IPTA yang mana calon prokerajaan dikatakan menguasai pilihan raya itu.

IPTA lain yang dikatakan dikuasai oleh calon prokerajaan ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO), Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) dan Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (Kustem).

Dr. Baseri berkata, fakta yang dilaporkan oleh media tempatan berhubung keputusan pilihan raya itu yang melibatkan UPSI adalah mengelirukan.

``UPSI menyangkal laporan media yang mengatakan calon prokerajaan menguasai pilihan raya MPP UPSI sesi ini dan beranggapan laporan yang disiarkan itu sebagai tidak bertanggungjawab,'' katanya.

Beliau menegaskan UPSI menerusi Bahagian HEP telah mengambil langkah-langkah sewajarnya selaras dengan panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan bagi memastikan tidak wujud pemilihan secara partisan dalam pilihan raya berkenaan.

``Semua calon iaitu sebanyak 18 pelajar telah bertanding atas kebolehan kepimpinan individu dengan manifesto berasaskan kebajikan pelajar,'' katanya.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved