IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | InfoSiswa | Arkib | Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Sunday, April 7, 2002 0:58 AM

Kerajaan digesa tubuh universiti pelancongan


Utusan Malaysia, 29 Mac 2002

KUALA LUMPUR 28 Mac - Kerajaan digesa menubuhkan sebuah universiti pelancongan di negara ini bagi melahirkan pakar dan tenaga kerja yang terlatih dalam bidang tersebut.

Robert Lau Hoi Chew (BN-Sibu) berkata, sekiranya langkah tersebut sukar untuk dilakukan, kerajaan perlu menggalakkan universiti tempatan mewujudkan sekurang-kurangnya sebuah fakulti khusus mengenai pelancongan.

``Masanya sudah sampai untuk kita mempunyai sebuah universiti khusus mengenai pelancongan,'' katanya ketika membahas Rang Undang-Undang Industri Pelancongan 1992 (Pindaan 2002) di Dewan Rakyat hari ini.

Amihamzah Ahmad (BN-Lipis) pula berkata, penubuhan universiti berkenaan adalah wajar kerana bidang pelancongan menjadi penyumbang kedua terbesar kepada pendapatan negara.

``Kita perlu memikirkan untuk menubuhkan sebuah universiti sebab kita memperoleh pendapatan yang besar daripada industri berkenaan,'' katanya.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar (BN-Batang Lupar) berkata, industri pelancongan sudah meningkat mendadak sehingga menjadi industri kedua terbesar selepas industri perkilangan.

Justeru beliau berkata, sebuah akademi bagi melatih pekerja dan golongan yang berkaitan industri pelancong perlu ditubuhkan.

Katanya, ini penting bagi memastikan industri tersebut terus memiliki golongan pekerja yang berkebolehan dan berpengetahuan semasa.

``Latihan bukan sahaja diberikan kepada pemandu pelancong tetapi turut merangkumi semua pihak meskipun penglibatannya dalam industri tersebut tidak secara langsung,'' katanya.

Sementara itu, Fong Kui Lum (DAP-Bukit Bintang) mencadangkan supaya kementerian memberi insentif seperti pelepasan cukai kepada institusi dan sekolah pelancongan.

Ini katanya, akan dapat menggalakkan pemilik sekolah dan institusi untuk menarik lebih ramai pelajar mengambil jurusan tersebut.

Terdahulu, ketika membentangkan rang undang-undang tersebut, Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Ng Yen Yen berkata, pindaan tersebut bertujuan menjadikan pendaftaran dan klasifikasi premis penginapan pelancong dapat dibuat dengan lebih teratur dan berkesan.

Katanya, ini akan dapat membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan serta kemudahan yang disediakan oleh premis penginapan pelancong di seluruh negara.

``Di samping itu pindaan ini juga akan dapat menyokong pembangunan industri pelancongan di Malaysia yang sedang berkembang dengan sihat dan terarah mengikut aspirasi nasional,'' katanya.

Antara pindaan tersebut ialah memasukkan satu bahagian baru yang memberikan kuasa kepada Pesuruhjaya Pelancongan untuk membuat pendaftaran dan klasifikasi premis penginapan pelancong.

Selain itu, pindaan juga dilakukan pada tiga seksyen iaitu Seksyen 2, Seksyen 3 dan Seksyen 5.

Seksyen 2 melibatkan pindaan kepada tafsiran beberapa istilah manakala Seksyen 3 melibatkan pindaan untuk menggugurkan kuasa Menteri menamakan melalui warta premis penginapan pelancong dan restoran pelancong.

Di bawah akta ini menteri akan menamakan institusi latihan pelancongan sahaja.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved