IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Sunday, April 7, 2002 1:00 AM

Perkauman : Meninjau Kebijaksanaan Silam


Oleh : AbeNgah

Saya tertarik dengan tulisan Sdra. Can Chee Faat bertajuk ‘Pemuda sebagai penawar keracunan perkauman’ yang disiarkan oleh laman web DEMA.

Beliau menulis, setiap bangsa atau agama mempunyai ciri-ciri tersendiri mengikut latar belakangnya, fakta ini tidak dapat dinafikan. Perbezaan antara entiti yang berlainan bukannya punca ketegangan atau persengketaan. Ketidaksenangan itu sering dibangkitkan melalui 2P iaitu propaganda dan provokasi. 2P berkesan kerana kekurangan pengetahuan dan aliran informasi, lalu menyebabkan perselisihan faham dan kefahaman satu arah atau generalisasi. Beliau memberikan contoh :

menganggap Orang Asli sebagai Sakai, orang liar atau pun bodoh.

menganggap orang Cina sebagai kaya, licik. Orang Melayu sebagai malas, Orang India sebagai kotor dan samseng.

- merumuskan Islam Melayu, Buddha – Cina, Barat jahat dll.

Beliau tampaknya merumuskan bahawa rasa mahu menjaga kepentingan kaum itu adalah tabii dan secara semulajadi tidak kan mewujudkan pertentangan sesama kaum di dalam sebuah negara majmuk (rujuk Dema Menghapuskan Perkauman : Kenapa Mahasiswa & Bagaimana) Sebaliknya, propaganda dan provokasi yang bersungguh mempersetentangkan perbezaan antara kaumlah yang menjana isu-isu perkauman seterusnya mengancam keharmonian kehidupan sesebuah masyarakat majmuk.

Beliau berkeyakinan propaganda dan provokasi ini tidak mungkin akan berhasil sekiranya pengetahuan dan aliran informasi antara kaum itu dapat ditingkatkan supaya perbezaan antara mereka akan dapat dihormati.

Jika kita setuju dengan pandangan beliau ini, maka beberapa persoalan timbul untuk kita fikirkan bersama iaitu ;

Apakah amalan politik perkauman atau ringkasnya politik parti kaum yang diamalkan selama ini di Malaysia bukan pilihan terbaik dalam mewujudkan keharmonian mutlak ?
Apakah idea yang diutakan oleh Sdra Chan ini selari dengan idea Malaysia Malaysia yang menolak ketuanan Melayu ?
Pandangan saya dalam beberapa hal – saya setuju dengan Sdra Chan namun dalam beberapa hal lain saya amat tidak bersetuju.

Pada fikiran saya, landasan perjuangan politik berasaskan kaum pada idealnya sememangnya bukanlah pilihan yang terbaik bagi menjamin keharmonian antara kaum apatah lagi jika kita setuju bahawa manusia yang berusaha seharusnya mendapat lebih dari yang tidak berusaha (meritokrasi).

Namun begitu jika kita melihat pula sejarah tanah air kita sehingga wujudnya Malaysia seperti yang dapat kita huni hari ini maka saya fikir mahu tidak mahu kita terpaksa setuju bahawa kewujudan asal landasan politik mengikut kaum di negara ini suatu ketika dulu tidak dapat dielakkan. Parti Negara yang diasaskan oleh YM Tunku selepas keluar dari UMNO yang membuka keahliannya kepada semua bangsa tidak mendapat sambutan. Usaha beliau walaupun secara idealnya amat disanjung namun penerimaan masyarakat yang jelas menolaknya menyatakan masyarakat pada waktu itu lebih selesa berjuang demi kaum masing-masing. Apakah hari ini wujud senario yang berbeza ?

Maaf jika pandangan saya seterusnya sensitif – saya merasakan hari ini rasa curiga antara kaum itu terutamanya terhadap faktor keselamatan, layanan sama rata, hak terhadap tanah air ini dan yang paling penting agihan kebajikan dan nikmat kemajuan negara masih lagi menguasai fikiran kita.

Jika kaum Cina yang memerintah misalnya apakah kebajikan Melayu dan Islam serta kaum-kaum lain akan terbela dan mereka sesungguhnya – bukan retorik semata-mata – mendapat layanan dan agihan yang adil ?

Sebelum mendapat kuasa, dalam mana-mana pilihanraya semua pihak – baik parti yang sedia memegang kerajaan mahupun pembangkang – menjanjikan seribu satu macam kemajuan, pembaharuan dan sebagainya yang mana bila mereka memegang kuasa perlaksanaan janji itu sepenuhnya hingga hari ini masih lagi boleh dipersoalkan. Bukan semua janji Barisan Nasional ditunaikan. Bukan semua janji PAS atau BA khususnya di Kelantan dan Terengganu ditunaikan. Demikian juga DAP di Pulau Pinang. Masing-masing berselindung dengan faktor masa, kewangan, birokrasi dan prioriti.

Namun begitu jika kita anggap kajian perbandingan boleh membantu kita dalam meyakini arah manakah pentadbiran yang dibawa oleh kumpulan penguasa Cina misalnya maka saya fikir kajian terhadap Pulau Pinang, Singapura, Indonesia dan Thailand sudah cukup untuk dijadikan bukti dan asas keyakinan Melayu hari ini bahawa Cina – jika mendapat kuasa memerintah maka nasib seluruh kaum lain hanya akan menjadi melukut di tepi gantang. Maksudnya, keadilan dan layanan sama rata yang diperjuangkan oleh kaum Cina hari ini misalnya hanya akan menguntungkan mereka di kemudian hari.

Kebajikan kaum lain menjadi satu persoalan maha berat kerana kita dapati sikap mengongsikan kejayaan dan kekayaan dan kek ekonomi di kalangan orang Cina seluruh dunia dengan kaum-kaum lain bukanlah menjadi amalan yang membanggakan di kalangan mereka.

Ini yang dapat kita simpulkan berdasarkan tinjauan ringkas terhadap apa yang berlaku dii seluruh dunia. Apkah ianya juga akan berlaku di Malaysia ini jika kabinet Malaysia misalnya dikuasai oleh kaum Cina ? Itu saya tidak pasti. Namun generalisasi tindakan antara semua negara yang di sebut tadi agak jelas. Modus operandinya agak sama. Inilah yang amat-amat dicurigai.

Kaum Cina pula merasakan selama ini walaupun mereka menjadi warganegara namun hak mereka sebagai rakyat seringkali dinafikan khususnya kononnya oleh hak istimewa orang Melayu. Merasakan kaum mereka lebih trampil dalam bab teknologi dan ekonomi, maka mereka melihat hak istimewa yang dipraktikkan oleh kerajaan hari ini sebagaimana yang tertakluk dalam perlembagaan adalah sebagai tidak adil. Maka bergemalah suara-suara yang mohon kerajaan menganugerahkan kontrak, kemasukan ke IPTA dan sebagainya berdasarkan merit yang mana sebenarnya jika dilakukan akan hanya menguntungkan kaum mereka sahaja.

Saya fikir, sebelum kita pergi jauh, kita kena selidiki kebijaksanaan disebalik persetujuan para moyang kita dahulu semasa menyetujui kontrak sosial ini dimasukkan dalam perlembagaan negara.

Apakah negara ini akan terbina jika kontrak sosial tersebut tidak dipersetujui ? Saya jemput Sdra pembaca untuk membuka kembali lembaran sejarah – membaca laporan-laporan pesuruhjaya dan analisa-analisa berkenaan sehingga tertubuhnya perlembagaan persekutuan yang majoritinya bukan juga Melayu, bukan juga Cina, bukan juga India.

Selain daripada itu, apakah wajar hak bangsa Melayu sebagai pribumi yang asalnya memiliki wilayah ini melalui kerajaan-kerajaan Melayu mereka dinafikan hak istimewa mereka ? Kontrakan di India atau di China, saya fikir mana-mana pribumi pun tidak akan mengalah. Lihat saja pertelingkahan di Tebing Barat antara Palentin dengan Israel dan di Bosnia.

Anda boleh sahaja mengatakan itu dahulu. Sekarang ini keadaan sudah jauh berbeza – tetapi Tuan-Tuan – perlembagaan kita masih sama dan ianya wujud dengan mengambilkira sentimen dan sejarah.

Saya melihat semua kaum berkorban pada waktu itu demi menubuhkan sebuah negara pelbagai kaum – Persekutuan Tanah Melayu. Melayu berkorban miliknya – tanah ini dan seluruh yang wujud di wilayah ini – sumbernya dan sebagainya termasuk kuasa manakala kaum-kaum lain pula turut berkorban sebahagian dari sentimen dan kepentingan mereka asalkan pada waktu itu tampak ketiga-tiga kaum terbesar ini mampu hidup harmoni dalam sebuah negara.

Jika UMNO memperjuangkan sebuah negara Islam hari itu sepertimana Pakistan yang keluar dari India, maka apakah hari ini akan wujud Malaysia ?

Lihat sahaja bagaimana Allah `memberkati’ negara Islam Pakistan hingga hari ini sering sahaja berlaku perebutan kuasa dan kemakmuran negara tersebut amatlah menyedihkan. Pemerintah diguling kerana didakwa tidak cukup Islam dalam menjalankan tugasnya. Akibatnya ? Pakistan tidak makmur.


Demikian juga apakah jika kita mencontohi perjuangan berdarah rakyat Indonesia dalam menuntut kemerdekaan, maka hari ini akan muncul Malaysia ?

Begitu juga India, dan lain-lain negara termasuk di Timur Tengah yang mendapat kemerdekaan jauh lebih dulu dari Malaysia. Mengapa para pejuang bangsa kita (jika kita masih mendakwa mereka berjuang mengikut kepentingan kaum waktu itu) memilih untuk berkomproni hingga lahirnya Malaysia dan tidak mengikut jejak langkah negara –negara terdahulu ?

Apakah keputusan para pejuang kita itu bijak ? Kitalah yang menentukan. Jika kita buat perbandingan maka saya fikir jelaslah pada saya pilihan pejuang kita dahulu amat bijak walaupun dianggap bacul dan pengecut asalnya. Kita aman. Kita maju. Kita makmur jauh lebih baik dari semua negara yang mengata kita bacul satu ketika dahulu dan antara yang terbaik secara keseluruhan dari semua negara di rantau Asia.

Saya berkeyakinan UMNO boleh saja berkeras suatu ketika dahulu menuntut para imigran Cina dan India di hantar pulang ke negara asal. Namun itu bukan pilihan mereka.

Tegasnya, walaupun parti yang ditubuhkan bagi menyahut cabaran tertubuhnya sebuah negara dahulu adalah berdasarkan kaum tetapi keputusan untuk berkomproni terhasil kerana masing-masing sedia untuk mengorbankan sebahagian kepentingan kaumnya sendiri sebaliknya sedia pula bersatu padu menggembleng tenaga membentuk sebuah negara. Semangat ini adalah lebih besar dari perkauman.

Jika kita boleh menginsafi perkara ini maka kegelisahan kaum yang ditimbulkan oleh golongan tertentu yang saya fikir buta sejarah tidak timbul. Jika MCA dan DAP (PAP) tidak bersetuju dengan penubuhan dan konsep Malaysia , maka suatu ketika dahulu mereka telah pun berbondong-bondong berhijrah ke Singapura yang dikuasai oleh PAP (Lee Kuan Yew).

Hari ini saya fikir jika mereka tidak setuju dengan konsep yang sedia tertera dalam perlembagaan persekutuan maka mereka saya fikir boleh saja ke Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina atau Hong Kong malah – ke Tanah Besar, China yang pembangunannya juga ajaib.

Pihak-pihak yang menimbulkan kegelisahan antara kaum ini dan menolak usaha-usaha perpaduan dan intergrasi harus memikirkan kebijaksanaan silam ini dengan lebih mendalam dan melihat apakah hari ini dan untuk masa depan Malaysia – ianya masih relevan ?

Agenda besarnya ialah mengapa hari ini kita perlu bersusah payah mencetuskan pergelutan antara kaum sedangkan dulu kita telah sanggup kompromi?


Halaman Utama

 

Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved