IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | InfoSiswa| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Monday, April 8, 2002 7:55 AM

Peraturan pensyarah pilih menjadi bisu dan beku


Oleh: MARZITA ABDULLAH,

Utusan Malaysia 14 Januari 2002


Pensyarah-pensyarah di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dikatakan dirantai dengan peraturan yang menyekat mereka untuk melahirkan pandangan. Ini suatu isu yang sejak dahulu telah membelenggu para pensyarah.

Mungkin kerana kebosanan untuk melayan peraturan itu wujud suatu sikap di kalangan mereka iaitu lebih baik menjadi bisu dan beku.

Apatah lagi pihak pentadbiran dikatakan akur sahaja dengan apa juga peraturan yang dibuat tanpa berbincang dengan ahli-ahli akademik sedangkan peraturan itu bukan arahan tetapi hanya suatu cadangan.

Menurut Prof. Ir. Dr. Wan Ramli Wan Daud dari Jabatan Kejuruteraan Kimia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), arahan membisu memang telah termaktub dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Para pensyarah dilarang melibatkan diri dalam kegiatan politik, mereka perlu membisu dalam perkara-perkara politik, katanya.

Justeru itu persoalan sekarang apa yang terjadi kepada para pensyarah dan ilmuwan dalam bidang-bidang tertentu seperti sains politik?

Adakah hanya perlu mengajar sahaja? Di mana kebebasan dan kewibawaan mereka sebagai seorang ahli akademik?.

Persoalan ini dibentangkan dalam forum kebebasan dan kewibawaan akademik anjuran Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (PKAUKM) baru-baru ini.

Dilema pensyarah-pensyarah kita kini ialah setiap gerak-geri mereka saling berkait, untuk mematuhi kerenah birokrasi, terpaksa pula mengetepikan suara hati dalam memberi pandangan tentang sepak terajang dalam bidang mereka terutama sains politik sekali gus mengetepikan ilmu yang digali sekian lama yang menyuburkan minda mereka.

Namun persoalan lain, apa pula yang akan terjadi pada penyelidikan-penyelidikan yang dilakukan. Adakah perlu ditinggal sahaja di atas meja kerana bimbang ia bertentangan dengan pandangan sesetengah pihak.

Mengimbau kembali nasib yang menimpa Socrates pada zaman Greek, beliau maut kerana diracun berikutan sering melahirkan pandangan dan menimbulkan persoalan yang bertentangan dengan pemerintah Athens pada masa itu.

Mungkin kisah ini memberi pengajaran atau menghantui pemikiran pensyarah-pensyarah kita, walaupun tidak sehingga diracuni, tetapi jika menjejaskan mereka, lebih baik mengambil sikap berdiam diri.

Yang pasti menurut Dr. Wan Ramli, kebebasan akademik di Malaysia disekat dengan kewujudan AUKU yang sering mengalami pindaan sejak 1971.

Kewujudan peraturan itu menunjukkan seolah-olah ahli-ahli akademik sangat berbahaya dan perlu disekat kegiatan mereka.

Sekali gus katanya, sekatan itu juga menghalang kecemerlangan akademik kerana pensyarah tidak mahu melahirkan pandangan kerana bimbang dibuang kerja atau tidak dinaikkan pangkat.

Jelas bekas Dekan Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof. Dr. Mohd Yusof Hussin yang pernah terlibat dalam birokrasi, kebebasan perlu datang dengan peraturan.

Kecemerlangan boleh dijana dengan peraturan itu dan tidak perlu mewujudkan alasan untuk melepasi batasan-batasan berkenaan.

Katanya, jika ahli-ahli akademik memahami tugas masing-masing, fokus kecemerlangan dapat dijana.

``Tidak ada dalam dunia ini suatu kebebasan yang mutlak,'' katanya.

Dalam bidang sains, jika timbul sekatan dalam peruntukan penyelidikan, ia seharusnya menjadikan para akademik seorang yang berfikiran kreatif.

Prof. Datuk Dr. Ibrahim Bajunid dari Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) berkata, sebarang keputusan mengenai kebebasan tersebut bukannya datang dari satu pihak.

``Bukan ahli politik sahaja, kerana peraturan yang dibuat berdasarkan keputusan yang berpusat termasuk daripada birokrasi,'' jelas beliau.

Seperti Dr. Mohd Yusuf, Dr. Ibrahim juga bersetuju bahawa tidak ada kebebasan yang mutlak.

Jika ahli akademik meminta kebebasan maka para pelajar juga akan menuntut perkara yang sama.

Justeru itu jika pelajar meminta kebebasan untuk menubuhkan persatuan homoseksual dan lesbian bolehkah kita memenuhinya? Jika tidak, apakah kita menyekat kebebasan mereka?

Walaupun Malaysia adalah negara Islam namun kemasukan nilai-nilai negatif itu tidak boleh dinafikan sungguhpun telah ada peraturan dan kita sendiri tidak tahu mungkin sudah wujud persatuan sedemikian.

Bekas Timbalan Dekan Fakulti Pendidikan UKM, Prof. Madya Dr. Tajul Ariffin Nordin berkata, pensyarah-pensyarah sekarang sudah lari dari budaya ilmu sebaliknya memandang kepada kebendaan kerana wujud sekatan.

Pensyarah itu mengejar gelaran Profesor kerana hendakkan gaji dan pangkat, bukannya ilmu.

``Sekarang seseorang profesor tidak digeruni walaupun jumlahnya banyak. Ia timbul kerana sikap mereka sendiri yang lebih banyak mengikut serta mengejar kebendaan,'' katanya.

Pentadbir sendiri tidak telus dalam mewujudkan satu-satu peraturan. Tiada perbincangan dengan ahli-ahli akademik sehingga suatu cadangan dari kerajaan terusk dijadikan arahan dan peraturan.

``Contohnya, Program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) kementerian kata tidak pernah arah untuk ditutup tetapi kerana pentadbiran kata PJJ bukan urusan universiti, langsung ia ditutup sedangkan ia menguntungkan dari segi ilmu,'' tegasnya.

Menurut Dr. Wan Ramli pula, kebebasan menjadikan seseorang itu berani, bersikap matang dan mengetepikan sesuatu isu yang disifatkan sensitif.

Apa yang berlaku di luar universiti seharusnya dibenarkan untuk dibincang dalam perdebatan yang sihat kerana banyak pensyarah yang jujur dan matang.

Namun sejauh manakah kita dapat mengukur kejujuran dan kematangan seseorang pensyarah dalam melahirkan pandangan yang tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

 


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved