Idealis Mahasiswa
 
 

Sempadan Antara Akademik Dan Politik


Hit = [ ]

terjemahan: Suntzi Jr (suntzi-junior@care2.com)

Anggota masyarakat tidak begitu faham mengenai kegiatan akademik dalam kampus, tapi mereka masak benar dengan penglibatan mahasiswa dalam aktiviti politik, terutama sekali apabila mereka mendengar berita mengenai penahanan beberapa orang mahasiswa oleh pihak berkuasa. Keadaan ini memberi satu tanda tanya kepada mereka mengenai scenario sebenar menara gading. Mereka barangkali ingin mengenalpasti sama ada benarkah dalam kampus itu politik lebih diutamakan daripada akademik, dan dalam menara gading terdapat lebih ramai ahli politik daripada mahasiswa.

Insiden demi insiden berlaku bermula dengan tragedi kebarakan Dewan Tunku University Malaya, ura-ura bahawa flyers telah diedarkan kepada pelajar mengenai usaha untuk menyekat peluang mahasiswa berdialog dengan pemimpin kerajaan dan kenyataan Ketua Pemuda Umno Dato' Hishammuddin mengenai bukti penglibatan segelintir mahasiswa dalam aktiviti anti-kerajaan.

Selepas itu timbullah pelbagai bentuk kenyataan daripada pemimpin UMNO dan Pemuda UMNO, sehinggalah kepada insiden penahanan mahasiswa kerana disyaki terlibat dalam aktiviti anti-kerajaan. Isu penglibatan golongan mahasiswa dalam politik mula menjadi buah mulut pelbagai lapisan masyarakat.

Dalam suasana ketegangan politik sedemikian, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir telah bercuti ke Langkawi selepas mempengerusikan satu majlis anjuran Barisan Nasional. Apabila beliau tiba di Lapangan Terbang Padang Matsirat, beliau mendapati ramai mahasiswa daripada IPTA dan IPTS telah berkumpul menyambut ketibaan beliau beserta teriakan slogan bersemangat. Pada keesokan hari, Dr Mahathir, selepas melawat beberapa tapak projek di pulau tersebut, telah menegur golongan mahasiswa yang menjadikan kampus sebagai medan pertempuran politik, dan beliau menegaskan bahawa mereka yang didapati lebih cenderung kepada kegiatan politik dan kurang minat dengan akademik akan dipecat daripada universiti.

Siri peristiwa tersebut telah menjadikan isu mahasiswa satu isu yang mendapat perhatian meluas.

Pada suatu ketika kampus pernah diselubungi kontroversi pelajar Tiong Hua yang berkelulusan cemerlang dalam SPM gagal memasuki menara gading, kini timbul pula isu penglibatan mahasiswa dalam kegiatan politik dan kemasukan pengaruh politik luar ke dalam kampus. Akibatnya, kini semakin ramai yang muskil dengan fungsi sebenar universiti.

Pada hakikatnya, setiap isu boleh diterjemahkan melalui perspektif yang berbeza, persoalan sama ada golongan mahasiswa harus melibatkan diri dalam politik juga tidak mempunyai jawapan yang mukhtahir. Namun jika dibandingkan dengan nilai sebuah kehidupan yang aman dan damai dengan keadaan porak peranda dan senario masyarakat yang teruk terjejas dengan aktiviti demonstrasi mahasiswa seperti yang berlaku di negara lain, harus kita tepuk dada tanya selera: Adakah aktiviti mengkucar-kacirkan sistem masyarakat itu bertunjangkan kepada objektif pembangunan sosial, atau semata-mata untuk meruntuhkan negara ?

Walaupun ada kalanya asas sesuatu tuduhan itu tampak berat sebelah, kerana pada dasarnya universiti itu tempat untuk melatih dan mengasuh bakat, tetapi apakah intipati latihan tersebut ? Untuk menanam satu persepsi supaya menyokong ideologi kerajaan atau menyuntik sentimen anti-kerajaan ? Adakah pelajar-pelajar Tiong Hua yang berkelulusan cemerlang masing-masing berusaha gigih untuk memasuki menara gading semata-mata kerana mereka ingin dilatih menjadi golongan yang menyokong atau anti kerajaan ?

Sudah tentu tidak !

Era globalisasi membawa kepada arus persaingan di mana ekonomi berasaskan pengetahuan (K-Economy) adalah kunci kepada satu kejayaan, dan untuk tujuan itu negara memerlukan tenaga manusia yang berkemahiran tinggi. Menara gading seharusnya mampu melahirkan tenaga pakar yang berilmu dan berkemahiran tinggi bagi menampung kehendak pembangunan negara. Setidak-tidaknya dilahirkan golongan pengkritik politik yang bersikap sederhana ataupun ahli politik yang berwawasan. Jika kriteria itu adalah 'berwawasan' maka tidak perlulah golongan mahasiswa bergelojoh berpolitik dalam kampus sekarang.

Dr Mahathir pernah bertanya, "Kenapa pelajar kaum lain begitu komitet dengan pelajaran apabila mereka masuk ke universiti, pelajar Melayu pula hanya ghairah dengan aktiviti politik ?"

Ironinya, pelajar Tiong Hua yang berkelulusan cemerlang dan benar-benar minat dengan akademik semuanya menemui jalan buntu dalam usaha memasuki menara gading; sebaliknya yang berjaya memasuki universiti ialah pelajar-pelajar Melayu yang digelar aktivis politik kampus yang bersifat destructive dan tidak begitu minat dengan akademik.

Yang penting adalah jangan kita biarkan anasir-anasir politik menceroboh kampus kita. Medan untuk akademik dan politik harus ada sempadan yang jelas.


*Artikel ini adalah terjemahan daripada artikel yang diterbitkan dalam Sin Chew Jit Poh pada 11 Julai 2001. Sila rujuk artikel sebenar jika terdapat sebarang kemuskilan.





Copyright © 2002 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved