IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Tuesday, April 9, 2002 8:05 AM

OIC PERLU MAINKAN PERANANNYA DALAM MENANGANI ISU PALESTIN.


Mohd.Izwan Bin Haji Md.Yusof,PMIUM

PMIUM menyambut baik Deklarasi Kuala Lumpur Mengenai Keganasan Antarabangsa sempena Sesi Khas Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Persidangan Islam(ICFM) pada 3 April 2002.Deklarasi tersebut yang mengandungi 17 perkara dan 9 pelan tindakan , secara umumnya mengutuk keganasan yang dilakukan oleh Israel ke atas umat Islam di Palestin.

PMIUM ingin menyatakan bahawasanya segala resolusi yang telah dicapai perlu dilaksanakan sesegera mungkin untuk memastikan OIC terus menjadi suara rasmi umat Islam dalam menangani isu keganasan di Palestin.Sejajar dengan mandat yang diberikan ke atas Malaysia untuk mengetuai jawatankuasa peringkat menteri Pertubuhan Persidangan Islam(OIC) mengenai keganasan,ternyata ia merupakan satu penghormatan kepada negara kita.PMIUM yang mewakili mahasiswa Islam Universiti Malaya dan mahasiswa Islam keseluruhannya, mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan dan keganasan yang dilakukan oleh Israel ke atas umat Islam di Palestin yang semakin tertekan.Kepimpinan Israel di bawah Perdana Menteri Ariel Sharon jelas bertujuan menghina kepimpinan dan umat Islam Palestin di mata dunia.

PMIUM ingin menegaskan Allah sudah menyatakan kepada kita tentang sikap orang Yahudi dan Nasrani sebagaimana firmanNya yang bermaksud "Dan tidak akan sekali-kali redha orang Yahudi Dan Nasrani kepada kamu sehingga kamu mengikuti agama mereka".(Surah Al-Baqarah:120).Profesor Dr.Hamka di dalam Tafsir Al-Azhar menjelaskan setelah Nabi Muhammad SAW diutuskan kepada bangsa Arab,orang Yahudi dan Nasrani berasa dengki dengan seruan dakwah Nabi yang menunjukkan kecacatan yang terdapat di dalam agama mereka.Orang Yahudi menghendaki Nabi Muhammad SAW menjadi Yahudi,dan Nasrani menghendakinya menjadi Nasrani.Ternyata Israel tidak pernah berkompromi dengan umat Islam Palestin meskipun telah banyak perjanjian damai yang dimeterai.

PMIUM juga berharap agar Kerajaan Malaysia terus konsisten dalam menyuarakan kepentingan umat Islam sedunia.Selaku anggota OIC yang dihormati pendirian kita ,PMIUM yakin Kerajaan Malaysia akan mampu menggesa Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu(PBB) mengambil tindakan ketenteraan ke atas Israel yang semakin melampaui batas.Sesungguhnya umat Islam Palestin kini amat memerlukan pembelaan yang sewajarnya oleh negara-negara Islam yang menganggotai OIC.Kami mahasiswa Islam di Malaysia cukup tersentuh dan prihatin di atas penderitaan yang menimpa umat Islam Palestin.

Justeru, PMIUM menyeru kepada seluruh umat Islam di Malaysia supaya terus-menerus dalam mendoakan kesejahteraan umat Islam sedunia khususnya di Palestin dan melakukan solat hajat supaya Allah memberikan kekuatan kepada umat Islam untuk kembali menjadi ummah terbaik sebagaimana firman Allah "Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf,dan mencegah dari yang munkar dan beriman kepada Allah"(Surah Ali ‘Imran:110).

Mohd.Izwan Bin Haji Md.Yusof
Presiden,
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya(PMIUM)
Aras 2,Blok F,Kompleks Perdana Siswa,
Universiti Malaya,Kuala Lumpur.


Halaman Utama

 

Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved