IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Sunday, April 7, 2002 1:06 AM

PTPTN batal pinjaman pelajar terbabit antikerajaan


Berita Harian, 5 April 2002

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memberi amaran untuk menarik balik pinjaman yang diberikan kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) yang disahkan terbabit dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang dan antikerajaan.

Ahli Lembaga Pengarah Pengurusan PTPTN, Mariany Mohammad Yit, berkata tindakan itu boleh diambil selepas pihaknya menerima perakuan daripada pentadbiran universiti masing-masing.

“Kita tidak teragak-agak membatalkan dan menarik balik pinjaman yang dikeluarkan kepada pelajar jika disahkan terbabit dalam kegiatan berkenaan oleh pengurusan universiti.

“Bagaimanapun, sehingga kini PTPTN tidak menerima sebarang laporan salah laku membabitkan penerima pinjaman dan belum menarik balik sebarang pinjaman yang diberikan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan cek bantuan pinjaman PTPTN kepada pelajar Kolej Uniti Sdn Bhd (Kolej Uniti) kepada Menteri Besar, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang juga Presiden Kolej Uniti di Hotel Hilton Seremban.

Katanya, pelajar perlu mematuhi semua syarat berkaitan dengan pinjaman yang ditawarkan dan ditandatangani mereka dengan PTPTN, termasuk membayar balik pinjaman selepas enam bulan menamatkan pengajian.

Beliau turut menasihatkan pelajar terbabit menggunakan dengan bijak bantuan yang diperoleh tanpa membazirkannya untuk membeli keperluan yang tidak penting.

Mariany berkata, PTPTN tidak pernah membezakan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dari segi pemberian pinjaman yang disediakan.

Beliau berkata, ini dibuktikan apabila sehingga ini seramai 43,361 pelajar IPTS sudah menerima faedah daripada tabung itu sejak ia dilancarkan empat tahun lalu.

Katanya, setakat ini PTPTN sudah memperuntukkan sebanyak RM2.02 bilion untuk pinjaman membabitkan seramai 301,000 pelajar, manakala tahun ini saja dianggarkan seramai 125,000 pelajar baru mendapat faedah daripada kemudahan itu.

“Ini bermakna jumlah keseluruhan pelajar IPT yang sudah dan akan mendapat kemudahan itu dijangka melebihi 400,000 orang,” katanya.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Uniti Sdn Bhd, Dr Kamal Nasharuddin Mustapha, berkata bagi sesi kemasukan Mei ini, kolej berkenaan melalui Yayasan Uniti akan menawarkan pakej biasiswa kepada 250 pelajar Program Prasains.

Beliau berkata, pakej biasiswa itu membabitkan pembiayaan yuran pengajian berjumlah RM475,000, yakni peruntukan RM1,900 untuk setiap pelajar berkenaan.

“Antara syarat kelayakan ditetapkan ialah pelajar mestilah warganegara Malaysia dan Bumiputera dengan pendapatan ibu bapa kurang daripada RM1,500 sebulan.

“Selain itu, calon juga mesti mempunyai rekod akademik yang baik serta mempunyai sikap bersungguh-sungguh terhadap pelajaran dan belum menerima sebarang tajaan daripada institusi lain,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Maklumat lanjut, mereka yang berminat boleh menghubungi Bahagian Kemasukan dan Rekod Pelajar di alamat Kolej Uniti, Kompleks Uniti, 71250 Pasir Panjang, Port Dickson, atau talian 06-6619211, faks: 06-6619022, e-mel: email.info@uniti.com.my atau laman web: www.uniti.com.my.


Halaman Utama

 

Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved