IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Wednesday, January 16, 2002 9:27 PM

Lahirnya generasi muda tonggak aspirasi umat



Oleh: KAMAL ABU 'AMMAR


SEBUT sahaja mahasiswa ia begitu mendapat tempat di hati masyarakat. Mahasiswa merupakan satu subsistem penting dalam sistem masyarakat pada keseluruhannya. Mahasiswa menjadi kebanggaan masyarakat, akan selalu dicatat dalam sejarah dengan tinta emas. Sebagaimana fakta membuktikannya, baik dimasa lampau, kini mahupun esok, mahasiswa adalah pembawa aspirasi umat dan sekaligus pemecah masalah kehidupan yang dianggap rawan samada di dalam mahu pun di luar kampus. Tingkat peranannya dan kualiti jiwanya bergantung kepada sistem nilai anutannya dan perkembangan ilmu serta teknologi.

Kebelakangan ini peranan aktif generasi mahasiswa sering dipersoalkan oleh segelintir bekas aktivis mahasiswa yag asyik bernostalgia dengan perjuangan lampau. Golongan ini menceritakan tentang kehebatannya yang begitu agresif dan responsif meskipun harus dibayar dengan kesengsaraan dalam tirai besi. Ironisnya, beberapa peristiwa rusuhan kontroversi terbaru di bandaraya sering mereka sabitkan sebagai aksi angkara generasi mahasiswa kini, yang kononnya tidak memahami dan mensyukuri nikmat demokrasi.

Mereka malah menilai mahasiswa sekarang tidak memahami situasi yang sebenarnya, terlalu muda untuk memikirkan soal kemasyarakatan dan negara, mereka juga mendakwa para mahasiswa telah ditunggangi parti pembangkang, NGO atau kuasa asing. Setiap gerakan mahasiswa yang diatur mengikut jejak langkah para alumni senior mereka yang memihak kerajaan disanjung 'perjuangan'. Dan apapun gerakan yang tidak disukai mereka atau bahkan menggugat kerajaan boleh dilabelkan sebagai 'penentangan'. Benarkah begitu eksitensi mahasiswa sekarang?

Mahasiswa kini bijak menilai segala isu dan permasalahan masyarakat dan sejagat tetapi kesemuanya itu akan lebih membawa erti jika mahasiswa pun bijak bertindak bagi membuktikan bahawa pandangan sedemikian adalah tidak tepat. Mereka yang masih mengaku bekas aktivis mahasiswa sememangnya membenci gerakan mahasiswa yang boleh menggugat kerajaan yang sedia ada, ini kerana boleh membawa implikasi kepada kedudukan mereka dalam politik dan perniagaan.

Golongan ini kononnya mewakili suara para peniaga kecil yang merasa terjejas perniagaan mereka kerana demonstrasi di jalan-jalan. Bagi mereka kebebasan bersuara dan berkumpul untuk menyuarakan pendapat, tuntutan dan desakan ke atas segelintir pemimpin yang sudah jelas kurang disukai rakyat adalah tidak perlu dipadukan dalam demonstrasi secara aman, cukup diluahkan dalam pilihan raya sahaja. Mereka menafikan proses-proses lain yang harus dipenuhi sebelum pilihan raya dijalankan.

Sepanjang sejarah di mana, mahasiswa menghadapi pelbagai masalah yang wujud sebagai satu gejala, atau sebagai satu akibat, atau sebagai satu yang diciptakan di dalam satu peristiwa, mereka masih dalam satu perjalanan garis lurus menuju kebebasan humanistik yang harmonis dan melepaskan belenggu ketidakadilan. Mahasiswa itu adalah bagaikan besi yang berpijar yang memerlukan bimbingan, naungan dan sentuhan-sentuhan kasih dari seorang 'ibu' yang lembut yang disebut kampus.

Pada amnya para mahasiswa berada dalam lingkungan umur 18 - 25 tahun, kelompok umur ini kebiasaannya menjadi kampus sebagai the first home yang penuh kelembutan dan bukan kekerasan atau dalam cengkaman akta yang menggugat kedinamikan kampus. Para mahasiswa sentiasa merasakan diri mereka itu sebagai anak dan sebagai teman kepada para pensyarah yang mengerti dan menyelami kejiwaan mereka sebagaimana ibu bapa. Antara pensyarah dan mahasiswa, bukan sahaja perhubungan mereka itu terjalin kerana pemindahan ilmu dan penerimaannya, akan tetapi mesti jauh daripada itu, bimbingan akan mencapai ketaqwaan, berbudi luhur, cerdas dan terampil. Mereka perlu ditanamkan sifat bertanggungjawab dan kesedaran terhadap agama dan umat.

Kesedaran dan tanggungjawab inilah yang akan memberikan nilai sebenar keperibadian mahasiswa itu apabila tiba masanya untuk diterjunkan ke dalam komuniti masyarakat. Oleh kerananya mereka menginginkan agar masyarakat bersedia dijadikan sebagai second home atau sebagai the school of life.

Pelbagai program pendedahan kemasyarakatan lebih menjalin hubungan mesra dengan masyarakat dan lebih memahami segala permasalahan sosial, ekonomi, politik dan keadilan dalam masyarakat. Segala usaha yang membatasi penyertaan mahasiswa di dalam mencari penyelesaian atau membincangkan dan menghadapi pelbagai permasalahan tersebut samalah ertinya menyekat pengembangan minda dan watak dinamis dan berani.

Watak dinamis dan berani ini adalah pencerminan period mahasiswa yang selalunya ditandai dengan sifat daya rempuh dan terjang, adakalanya kurang memikirkan daripada tekanan emosi. Perwatakan mahasiswa ini secara psikologi harus dikesan dan dikendalikan dengan persepsi yang baik daripada pihak kampus dan tidak mengambil sikap bermusuhan dengan mereka.

Pengendalian masa pancaroba ini, begitu penting manfaatnya bagi kelangsungan dimanisasi kehidupan kampus yang membawa implikasi besar pada bangsa dan negara. Wujudnya keharmonian keluarga kampus bagaikan sebuah pulau hijau yang rendang penuh dengan ketenangan yang membawa suasana yang membantu untuk berdedikasi kepada kebenaran, keadilan dan kemanusiaan sejagat.

Hasil produk kampus yang baik akan melahirkan generasi muda berkeperibadian membangun, berakhlak, berwawasan dan bersikap positif bagi perkembangan daya tindak dan tumbuh suburnya iman, ilmu dan amal. Mereka akan beradaptasi dengan masyarakat, membawa aspirasi umat mengharungi gelora kehidupan sosial, politik dan ekonomi yang serba mencabar, dengan prinsip kemaslahatan untuk umat.

Mereka yang gagal kerana tenggelam oleh hasutan kesenangan hidup yang artifisial, menggadai prinsip dengan pangkat, memenjarakan kemerdekaan jiwa dalam sangkar kaca yang bersalut emas. Adakalanya mereka lantang bicara hanya sahaja sebagai para pengampu, dulu pejuang kebenaran, kini perancang konspirasi untuk kekuasaan. Kasihan mereka hidup dalam alam fikiran yang terjajah di tanah air merdeka, menjadi hamba penguasa yang dibenci rakyat, mereka cuma boleh bernostalgia sebagai aktivis mahasiswa di zamannya.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved