Idealis Mahasiswa
 
 

Wajar Mahasiswa Berkahwin Ketika Di Varsiti ?


Hit = [ ]

Berita Minggu Singapura, 4 Februari 2002

PERKAHWINAN di kampus: Adakah ia satu realiti? Inilah persoalan yang diutarakan dalam satu seminar dalam bahasa Inggeris bertajuk seperti di atas, anjuran Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Masjid Tentera pada Sabtu lalu.

Sama ada ia satu realiti atau tidak, sebenarnya bukan menjadi isu, sebab sejak dahulu lagi, malah mungkin sejak universiti terwujud, sudah ada mahasiswa yang bernikah sedang mereka masih belajar lagi di kampus.

Cuma yang menimbulkan sedikit kontroversi ialah apakah ia harus digalakkan secara meluas di kalangan mahasiswa Islam ?

Sebab ramai pelajar yang berpendapat perkahwinan harus difikirkan hanya selepas mereka tamat pengajian. Ramai ibu bapa juga berfikiran begitu.

Namun untuk tidak terkeluar daripada apa yang menjadi tekanan utama PMI, usul sebenarnya ialah menggalakkan mahasiswa Islam di pusat-pusat pengajian tinggi agar memikirkan perkahwinan pada usia awal.

Dan apabila sudah mempunyai teman istimewa di dalam atauluar kampus, bersikap serius dengan menjadikan perkahwinan matlamat perhubungan mereka dan bukan sekadar 'suka-suka' sahaja tanpa haluan tertentu.

Namun, dalam pada itu, Masjid Tentera Di-Raja mengesyorkan perkahwinan di kampus adalah sesuatu yang sangat baik, biarpun pelajar mungkin belum bersedia dari segi kewangan kerana "Allah akan memberi rezeki dari mana-mana sudut yang tidak diketahui, bagi mereka yang bertawakkal".

"Kami bukan mahu mengusulkan bahawa perkahwinan di kampus wajar untuk semua pelajar Islam sebab bukan semua pelajar yang terdaya berbuat demikian.

"Yang ingin kami tekankan ialah apabila mereka memasuki pusat pengajian tinggi, belajar bukan segala-galanya," ujar Muhd Syed Ad'ha Aljunied, 25 tahun, salah seorang ahli panel seminar tersebut.

"Mereka juga boleh memikirkan untuk mendirikan rumahtangga sewaktu di kampus.

"Jangan lihat perkahwinan sebagai masalah, tetapi cabaran. Sebab terdapat trend tak sihat di kalangan mahasiswa sekarang yang tiada rancangan untuk kahwin, nak bina kerjaya dulu dan sebagainya. Perkahwinan ialah jawapannya dan bagi mahasiswa Islam ia adalah satu pengorbanan demi kebaikan ummah," tambah beliau yang sepanjang seminar menekankan kebaikan perkahwinan dari sudut Islam.

Menurut Syed Ad'ha, yang juga bernikah semasa masih menuntut, sewaktu beliau ingin mendirikan rumahtangga dulu, ia menjadi isu dalam keluarganya juga.

"Tapi saya berjaya meyakinkan mereka sambil membuktikan saya boleh berjaya dalam pelajaran. "Saya tahu saya telah mengambil risiko, tetapi ia diambil setelah memikirkan buruk baiknya," katanya, pemegang ijazah Sarjana Muda (Sejarah dan Sains Politik) NUS.

Syed Ad'ha telah menekankan awal dari ini bahawa seminar mereka juga dianjurkan dalam konteks usaha pemerintah menggalakkan perkahwinan di kalangan golongan karyawan dan langkahnya menimbulkan suasana itu dengan membina hostel yang mendekatkan mahasiswa lelaki dan perempuan.

"Tapi, itu satu cara sekular. Bagi kita orang Islam, kita harus mengambil langkah setapak lagi dengan menunjukkan kita sedia berkorban dengan memasuki terus ke alam perkahwinan dengan tanggungjawab tambahannya," katanya.

Seorang lagi ahli panel ialah Ustaz Hamzah Jummat, lulusan Sarjana Muda (Syariah) dari Universiti Islam Madinah, yang menekankan sekiranya mahasiswa sudah mampu, mereka harus segera bernikah.

Kepada persoalan ini, Syed Ad'ha menambah: "Dalam Islam kita disuruh berpuasa kalau belum boleh bernikah, sedangkan kita ada keinginan. Tetapi sampai bila kita boleh berpuasa ? Kita perlu mengambil tindakan untuk melindungi diri kita."

Ustaz Hamzah juga menarik perhatian bahawa perkahwinan dapat menyelesaikan banyak masalah seperti mengelakkan maksiat. Soal kewangan tidak harus dibimbangkan kerana rezeki boleh bertambah, insya-Allah, kalau seseorang itu beriman, tegasnya.

Pengerusi seminar ialah Ahmad Salik Ahmad Ishak, 21 tahun. Kira-kira 100 pelajar termasuk dari politeknik menghadiri seminar di kampus NUS itu.





Copyright © 2002 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved