IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | InfoSiswa | Arkib | Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Thursday, April 11, 2002 7:55 AM

PENGALAMAN DAN CABARAN MAHASISWA PEKAK DI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI AWAM


0leh : Amir Hamidi Bin Abdul Manan
Mahasiswa Tahun Akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer,
Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor.

Forum Hari Orang Pekak Antarabangsa
Anjuran Persatuan Orang Pekak Kuala Lumpur (KLSD)
30 September 2000
Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kebangsaan Malaysia,
No 17, Jalan 1/48A, Bandar Baru Sentul, 51000 Kuala Lumpur.

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Sempena dengan Hari Orang Pekak Antarabangsa, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur forum yang telah mengundang saya menyampaikan ceramah yang hari ini bertajuk, "Pengalaman dan Cabaran Mahasiswa Pekak di Institusi Pengajian Tinggi Awam".

Terlebih dahulu izinkanlah saya memperkenalkan diri saya secara ringkas. Saya Amir Hamidi Abdul Manan, anak jati Perak yang berasal dari Kampong Gajah, Perak Darul Ridzuan. Kampong Gajah merupakan pekan yang terletak di pinggir Sungai Perak dan berhampiran dengan Pasir Salak, iaitu tempat bersejarah yang lebih dikenali dengan peristiwa pembunuhan Residen British yang pertama di Perak, JWW Birch. Lagipun saya mempunyai pertalian dengan keturunan Dato' Sagor, salah seorang pahlawan Melayu Perak yang berganding bahu dengan Dato' Maharaja Lela dalam perjuangan menentang penjajahan British. Saya menjadi pekak sejak dilahirkan dan merupakan anak sulung daripada lima orang adik-beradik. Ayah saya seorang pembantu perubatan kanan yang bertugas di Teluk Intan dan ibu saya seorang guru di Sekolah Kebangsaan Dato' Sagor, Kampong Gajah.

Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan sekalian, pada masa ini saya sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer sebagai mahasiswa tahun keempat (tahun akhir) di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor. Saya mendapat pendidikan awal di SRK (P) Methodist, Teluk Intan, Perak. Kemudian saya menyambung pelajaran menengah di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Persekutuan, Pulau Pinang. Selepas PMR, saya bertukar ke sekolah menengah biasa, iaitu SMK Dato' Seri MaharajaLela, Kampong Gajah bagi mengikuti kelas aliran sains tulen.

Selepas menamatkan SPM pada tahun 1996 dengan kelulusan pangkat 1 dan agregat 15, saya pernah bercadang untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi di luar negara yang dikhususkan untuk penuntut bermasalah pendengaran seperti Gallaudet University dan National Technical Institute for the Deaf (NTID) di Amerika Syarikat. Namun hasrat ini tidak kesampaian dan di atas nasihat ibu bapa, saya memilih Universiti Teknologi Malaysia memandangkan sebab-sebab yang berikut:

i. Keadaan ekonomi negara yang tidak mengizinkan pada ketika itu berikutan kejatuhan mata wang di negara-negara Asia. Ekoran daripada itu, saya menghadapi masalah memperoleh tajaan dan bantuan kewangan untuk melanjutkan ke luar negeri.
ii. Dasar-dasar kerajaan mengurangkan penghantaran pelajar-pelajar lepasan SPM yang cemerlang ke luar negara berikutan kegawatan ekonomi negera.

iii. Kualiti pendidikan di IPTA memuaskan dan setaraf dengan unversiti luar negara dari segi kemudahan pembelajaran dan tenaga pensyarah yang kebanyakan berkelulusan luar negara.

iv. Kos pengajian adalah lebih rendah berbanding dengan luar negara. Ini kerana kerajaan menanggung pembiayaan kursus-kursus pengajian di IPTA.

v. UTM dikenali sebagai Universiti Penemuan (Discovery University). Pelbagai projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan di UTM telah menghasilkan penemuan dan inovasi yang menyumbang kepada pembangunan negara kita.

vi. Mengikuti jejak graduan pekak yang berjaya menamatkan pengajian di IPTA seperti En. Teh Kean Hoe (USM) dan Cik Lim Chin Han (USM) dan seterusnya ingin menjadi 'role model' kepada golongan bermasalah pendengaran di negara ini.


Daripada sebab-sebab yang telah saya nyatakan, saya berpendapat bahawa lebih baik meneruskan pengajian di UTM dengan harapan saya agar saya mampu menangani cabaran-cabaran yang timbul dalam pengajian dan membuktikan dunia kesepian bukanlah penghalang pelajar pekak mengejar ilmu sampai peringkat tinggi seperti yang pernah disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, "Menuntut ilmu sampai ke negara China".

Saya tidak fikir masalah pendengaran akan menbantutkan proses pembelajaran mahasiswa pekak malahan ia perlu dianggap sebagai satu cabaran, dan bukannya satu masalah. Berdasarkan pengalaman saya sebagai mahasiswa UTM selama tiga setengah tahun, saya akan bincangkan lima cabaran yang penting.


Cabaran yang pertama : Kemudahan Pembelajaran

Seperti yang kita ketahui, pada masa ini IPTA tidak menyediakan kemudahan yang khas untuk pelajar bermasalah pendengaran. Tiada pensyarah yang mahir berbahasa isyarat dan jurubahasa isyarat. Saya pernah memohon kepada pihak atasan UTM melalui Unit Hal Ehwal Pelajar (HEP) untuk mendapatkan khidmat jurubahasa isyarat. Menurut pihak ini, mereka tidak mempunyai peruntukan kewangan untuk khidmat jurubahasa isyarat tersebut. Di samping itu, negara kita menghadapi kekurangan tenaga jurubahasa isyarat. Oleh hal yang sedemikian, saya tidak mempunyai pilihan lain kecuali terpaksa menerimanya sebagai cabaran yang paling getir dalam hidup saya.


Cabaran yang kedua : Proses Pembelajaran

Untuk pengetahuan tuan-tuan dan puan-puan, saya pernah mengikuti kelas aliran sains bersama-sama pelajar normal di sekolah menengah biasa. Apabila saya diterima masuk UTM, saya mendapati sistem pembelajaran dan pengajaran di UTM adalah lebih jauh berbeza daripada pengalaman saya di sekolah tersebut.

Secara umum, sistem pengajaran di UTM melibatkan tiga bahagian utama, iaitu kuliah, tutorial dan tugasan. Masalah utama yang saya hadapi ialah kebanyakan kuliah dijalankan secara lisan. Dalam kuliah ini, selalunya saya hanya memerhatikan pensyarah bersyarah dan menyalin nota kuliah daripada beliau melalui projektor, bantuan komputer serta bantuan rakan-rakan sekuliah.

Ada di antara pensyarah-pensyarah yang memahami masalah tersebut sudi membantu saya dengan membekalkan nota-nota kuliah kepada saya melalui email dan kadangkala meminjamkan bahan-bahan rujukan. Semasa dan selepas waktu kuliah, saya akan bertanya kepada rakan-rakan sekuliah tentang apa yang telah disampaikan oleh pensyarah. Ini tidak mengganggu tumpuan mereka kerana pada pandangan mereka, ini bukan sahaja akan membantu saya tidak ketinggalan mengumpul nota-nota penting malahan juga secara tidak langsung membantu mereka menguatkan kebolehan ingatan mereka tentang apa yang telah dipelajari. Oleh itu, saya dan rakan-rakan seperjuangan bersama-sama menuntut ilmu sebagai satu unit seperti aur dengan tebing walaupun kami tidak senasib.


Cabaran yang ketiga : Interaksi dengan Pensyarah dan Mahasiswa

Dalam kuliah, biasanya 50 hingga 150 orang pelajar mengikuti satu kuliah. Ini menyebabkan interaksi pelajar dengan pensyarah adalah terhad. Ini berbeza daripada di sekolah biasa tempat guru mempunyai hubungan yang rapat dengan pelajar serta selalu membimbing saya setiap kali selepas kelas. Di kuliah tidak semua pelajar dapat berpeluang mengemukakan soalan yang berkaitan kepada pensyarah disebabkan oleh masa pengajaran yang terhad.

Ini menyebabkan saya memilih alternatif lain untuk berjumpa dengan pensyarah melalui temujanji dan berbincang dengan beliau melalui Internet dan email. Di UTM setiap mahasiswa mempunyai seorang Penasihat Akademik (Academic Advisor) yang bertanggungjawab menyediakan khidmat nasihat dan menyelesaikan masalah pelajaran. Penasihat Akademik ini terdiri daripada pensyarah, Profesor Madya dan Profesor.

Memandangkan saya tidak mempunyai kebolehan bertutur ataupun membaca gerakan bibir orang lain, saya terpaksa menggunakan pen dan kertas sebagai alat berkomunikasi secara tulisan dengan rakan-rakan dan mahasiswa yang lain. Memandangkan saya satu-satunya mahasiswa pekak di UTM, ada antara rakan-rakan saya yang menyatakan minat mereka untuk belajar bahasa isyarat. Setakat ini saya mempunyai beberapa orang rakan yang separuh mahir berbahasa isyarat dan sentiasa membantu saya sepanjang waktu kuliah.


Cabaran yang keempat : Aktiviti-aktiviti Sosial

Di kampus UTM, terdapat pelbagai aktiviti yang merangkumi budaya, agama, sosial, reakreasi, sukan dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti ini dianjurkan oleh persatuan-persatuan dan kelab-kelab yang ditadbirkan oleh golongan mahasiswa-mahasiswi dengan objektif tertentu, iaitu mengeratkan hubungan di antara warga universiti dan warga luar kampus serta memupuk integrasi nasional.

Setakat ini saya tidak menjadi ahli bagi mana-mana persatuan di kampus. Ini kerana saya memperuntukkan masa yang lebih untuk mentelaah pelajaran selepas waktu kuliah. Ini tidak bererti bahawa saya telah memencilkan diri daripada warga kampus. Dalam kegiatan ko-kurikulum, saya pernah menyertai Kelab Seni Grafik dan Kelab Pertolongan Kecemasan.

Tambahan pula, saya menyertai pelbagai program dan pertandingan untuk menimba pengalaman serta menunjukkan bakat yang ada. Contoh kejayaan yang pernah saya peroleh termasuklah menjadi pemenang saguhati dalam Pertandingan Melukis Potret Pengetua dan Bekas Pengetua Kolej Tun Fatimah Peringkat Universiti.

Dalam konteks ini, mahasiswa pekak tidak seharusnya menjadikan masalah komunikasi sebagai halangan untuk memajukan diri melalui penglibatan dalam aktiviti-aktiviti sosial. Ini amat penting kerana apabila graduan pekak melangkah ke alam pekerjaan, mereka akan berdepan dengan pelbagai cabaran di sekeliling mereka serta perlu membuktikan kepada masyarakat bahawa mereka mampu berdikari dalam menghadapi dan mengatasinya dengan kebolehan masing-masing.


Cabaran yang kelima : Tugasan dan Peperiksaan

Tugasan dan projek merupakan cabaran yang menguji kemahiran menyelesaikan sesuatu masalah, kebolehan mengemukakan idea bernas, semangat kerjasama dan komitmen yang ditunjukkan oleh para mahasiswa. Dalam kurikulum kursus saya, tugasan dan projek dilakukan secara individual dan berkumpulan mengikut matapelajaran yang tertentu.

Kebanyakan tugasan dan projek ini menekankan kemahiran penulisan aturcara komputer dan pembangunan sistem komputer. Ini merupakan cara pembelajaran yang paling saya gemari kerana ia kurang memerlukan komunikasi dan dilakukan secara amali. Namun ia bukan mudah untuk dilaksanakan. Apabila diberikan tugasan dan projek, saya bukan sahaja perlu selalu ke Perpustakaan Sultanah Zanariah, UTM untuk mengumpul maklumat melalui sistem berkomputer dan melayari laman-laman web dalam Internet malahan juga meluangkan masa yang begitu panjang untuk menulis aturcara dengan pelbagai bahasa pengaturcaraan seperti Pascal, C, C++ dan Java.

Pembentangan merupakan masalah yang saya hadapi selepas menyiapkan tugasan dan projek. Sekiranya diberikan tugasan secara individual, saya terpaksa menggunakan projektor dan perisian Mircosoft PowerPoint untuk membentangkannya di depan pensyarah dan mahasiswa. Bagi tugasan secara berkumpulan, saya kadangkala tidak perlu membentangkannya mengikut kehendak pensyarah.

Kuiz, ujian dan peperiksaan merupakan satu lagi cabaran yang banyak menuntut kesungguhan, ketabahan, pengorbanan dan disiplin. Saya sentiasa melakukan persediaan yang teliti untuk jangka masa panjang, yakni seluruh semester yang saya ambil. Saya memperuntukkan sekurang-kurangnya lima jam sehari selepas kuliah untuk mengulangkaji serta berbincang dengan rakan-rakan. Pendek kata, sepanjang tahun pengajian dan setiap semester, saya perlu mempersiapkan diri semaksima yang mungkin untuk memperoleh keputusan yang konsisten pada setiap semester dan bukannya menunggu saat-saat akhir kuiz, ujian dan peperiksaan sebelum memulakan ulangkaji.


Penutup

Demikianlah kelima-lima cabaran yang telah dan sedang saya harungi dengan penuh keyakinan diri, kewajaan semangat dan ketabahan hati. Cabaran-cabaran ini diharapkan menjadikan saya sebagai mahasiswa yang berjaya dalam bidang sains komputer seperti mahasiswa normal walaupun mengikuti pengajian dalam serba kekurangan ini. Pensyarah-pensyarah dan rakan-rakan menyatakan bahawa mereka amat kagum dengan kebolehan saya dalam menjalankan tanggungjawab dan kewajipan sebagai mahasiswa. Hampir semua daripada mereka mengemukakan soalan yang serupa, iaitu "Bagaimana anda boleh belajar di sini (UTM) sedangkan anda tidak boleh dengar ?".

Walaupun di luar negara banyak peluang dan kemudahan pendidikan tinggi yang disediakan untuk golongan pelajar pekak, saya mengambil keputusan untuk belajar di dalam negara seperti kata pepatah yang berbunyi, "Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik juga di negeri sendiri". Berpegang kepada satu lagi kata peribahasa, "Di mana ada kemahuan di situ ada jalan", saya tetap berusaha bersungguh-sungguh sepanjang pengajian dengan sokongan rakan-rakan seperjuangan meksipun tidak ada kemudahan khas yang disediakan.

Sungguhpun masyarakat pekak merupakan golongan minoriti di negara ini, para pelajar pekak seharusnya dapat menyahut cabaran "Malaysia Boleh" dalam mengisi dada dengan ilmu dan kemahiran. Kecacatan tidak seharusnya dijadikan batu penghalang. Dan tidaklah salah jikalau kita meneriakkan slogan "Orang Pekak Boleh".

Sebagaimana yang kita maklum, pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia dalam mempertingkatkan kualiti sistem pendidikan negara kita. Sistem pendidikan khas turut memdapat perhatian apabila Jabatan Pendidikan Khas membuka peluang kepada pelajar bermasalah pendengaran dengan mengadakan program pengajian khas di politeknik-politeknik dan maktab perguruan. Hal ini merupakan perkembangan yang baik ke arah memartabatkan sistem pendidikan khas. Namun demikian, saya berharap Jabatan Pendidikan Khas perlu mengatur langkah-langkah yang wajar seperti menyediakan lebih ramai guru khas dan jurubahasa isyarat. Dengan ini, para pelajar pekak dapat menikmati pendidikan yang lebih baik dan sempurna dari peringkat sekolah sehingga peringkat pendidikan tinggi.

Walaupun terpaksa melalui berbagai-bagai kesulitan dan cabaran, saya tetap berbangga dan bersyukur kerana berjaya menjadi salah seorang mahasiswa UTM. Harapan saya, segala kemahiran dan pengalaman yang diperoleh di UTM akan saya manfaatkan sebaik yang mungkin untuk menyumbang ke arah menjayakan Koridor Raya Multimedia (MSC) dan seterusnya merealisasikan Wawasan 2020.

Bagi menghadapi cabaran-cabaran yang tersebut, mahasiswa pekak seharusnya mempunyai semangat yang waja dan teguh dalam diri masing-masing dan memiliki aspek kekuatan dari segi fizikal, mental, rohani dan psikologi. Usaha mereka tidak akan membawa makna sekiranya mereka gagal mengatasi cabaran yang ada dan cabaran yang akan datang tanpa keyakinan diri dan ketabahan hati. Diharapkan pengalaman saya menuntut ilmu di UTM dijadikan sebagai pedoman, model dorongan dan pembakar semangat kepada para pelajar pekak di seluruh negara ini untuk berjaya dalam segala bidang yang diceburi.

Demikianlah sahaja dan saya sudahi dengan wassalammualaikum dan terima kasih.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved