Idealis Mahasiswa
 
 

Kebangkitan Islam Di Kalangan Pelajar Universiti Malaya: 19691975


Hit = [ ]

oleh Zainah Anwar

(Berikut merupakan pandangan Zainah Anwar dalam bukunya, "Kebangkitan Islam Di Kalangan Pelajar", IBS Buku Sdn. Bhd, Petaling Jaya, Selangor,1990,hlm. 30-53. Menurut Profesor John L.Esposito, "satu kajian mutakhir dan terbaik tentang pergerakan Islam kotemporari.Berteraskan penelitian tersendiri, Zainah Anwar memadamkan huraian dan analisis dengan temubual yang melahirkan satu ulasan yang menarik lagi terserlah". Diharap para pembaca boleh membuat kesimpulan sendiri mengenai naskah ini.Ulasan bebas, penasakti2002@yahoo.com)

Di Universiti Malayalah, universiti ulung di negara ini, bermulanya kebangkitan semula Islam, yang muncul setelah tamatnya rusuhan kaum antara orang Melayu dan Cina pada 13 Mei, 1969.3 Krisis dan perasaan kecewa inilah, yang mendorong orang berpaling ke arah Islam. Setelah 12 tahun merdeka orang Melayu semakin sedar bahawa mereka masih lagi mundur, ketinggalan dalam proses pembangunan negara. Mereka melihat pertumbuhan ekonomi dikuasai oleh orang Cina yang tinggal di bandar dan bergiat dalam bidang perniagaan. Mereka dipimpin oleh kerajaan yang berasaskan Melayu, tetapi kerajaan itu pada pendapat mereka dimanipulasi oleh orang Cina. Rusuhan yang berlaku itu merupakan:

...kemuncak polarisasi kaum yang kian meningkat antara orang Melayu dan bukan Melayu dalam 1960-an - terutama sekali disebabkan oleh penyertaan Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura dalam arena politik negara pada tahun l963-65 (apabila Singapura dimasukkan sebagai satu komponen negara Malaysia yang diperluaskan itu), konflik tentang isu bahasa, serta kesedaran orang Melayu betapa mereka ketinggalan begitu jauh dalam proses pemodenan - dan kempen pilihanraya yang terlalu berbau perkauman pada 10 Mei.

Dalam masa beberapa bulan berikutnya, apabila pihak kerajaan berusaha memulihkan keamanan, Kumpulan Muda dalam UMNO sendiri mencabar kepimpinan Tunku Abdul Rahman, dengan menuduh beliau mengabaikan kepentingan orang Melayu dan terlalu mengalah pada tuntutan orang Cina. Mereka menuntut supaya orang Melayu diberi kuasa sepenuhnya dalam kerajaan dan orang Cina tidak dimasukkan dalam Kabinet. Di Universiti Malaya, pelajar-pelajar Melayu memainkan peranan penting berdemonstrasi menentang Perdana Menteri dan meminta beliau meletak jawatan.

Di asrama-asrama dan Sudut Pidato di hadapan perpustakaan, desakan supaya Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan menjadi semakin hebat. Pada pertengahan bulan Ogos, Barisan Tindakan Pelajar-pelajar Malaysia mengedarkan surat kenyataan: bahawa Per-dana Menteri bertanggungjawab terhadap keganasan yang berlaku pada bulan Mei; bahawa beliau tidak melaksanakan Perlembagaan dari sudut tafsiran kaum Melayu.

Di tengah-tengah suasana krisis demikian serta gerakan pelajar terhadap isu hidup mati orang Melayu, kemiskinan di kalangan orang Melayu, bahasa kebangsaan, dan sistem pendidikan baru yang berasaskan bahasa Melayu, orang mula berpaling ke arah Islam. Seorang pemimpin belia Islam yang berada di barisan hadapan kebangkitan semula Islam di Universiti Malaya pada masa itu mengenang kembali:

Keadaan sungguh meruncing pada masa itu. Terdapat banyak isu... kemiskinan orang Melayu, bahasa, rasuah. Dan selepas peristiwa 13 Mei, mudah sahaja seseorang terlibat serta-merta dalam hal-hal ini. Ini semua persoalan hidup matinya umah, yakni bangsa Melayu. Sebelum ini kita memikirkan segala masalah ini di luar konteks Islam, walhal kita boleh menyelesaikannya dengan cara Islam.

Sekiranya ada orang yang boleh dianggap sebagai pengasas gerakan kebangkitan semula Islam di Malaysia, dia ialah Anwar Ibrahim, sekarang Menteri Pendidikan dalam pentadbiran Mahathir. Beliau seorang pemimpin berkarisma yang muncul pada masa genting dengan seruan yang bertenaga untuk menyelamatkan keadaan sosial dan rohani bangsa. Pada tahun 1969, beliau seorang pelajar tahun dua di Jabatan Pengajian Melayu, Presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) yang aktivis, juga Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM), dua persatuan pelajar Melayu yang paling berpengaruh, yang memimpin kempen anti-Tunku di kampus. Dengan menerajui oganisasi-organisasi ini, Anwarlah yang mula "merasionalkan tema perjuangan kami untuk keadilan sosioekonomi dengan nilai-nilai Islam," kata Kamaruddin Muhammad Nor, rakan karib Anwar di universiti serta pengasas bersama ABIM. Anwar seorang pemidato yang bersemangat dan berkarisma yang membangkitkan semangat para pendengarnya dengan gaya yang berapi-api, dengan kepetahannya serta keyakinannya. Beliau telah menggunakan semua ini untuk menggembleng dan mempengaruhi pelajar-pelajar supaya menyokongnya dalam kempen anti-Tunku. Kini sekali lagi karismanya menarik minat mereka yang berada di sekelilingnya ke jalan baru menuju Islam.

"Kami berasa meluat dengan kepura-puraan yang ada dalam masyarakat. Kami hampa dengan kepimpinan yang ada," Anwar Ibrahim berkata ketika memperihalkan gerakan pelajar-pelajar Melayu ketika itu. Katanya:

Para pemimpin mengutuk rasuah, tetapi mereka sendiri memperkayakan diri. Mereka bercakap tentang semangat kebangsaan Melayu tetapi mereka terasing daripada masyarakat Melayu. Mereka mendewa-dewakan Barat. Mereka terlalu mengalah pada sentimen-sentimen bukan Melayu. Mereka terlalu lambat melaksanakan dasar-dasar negara bagi pelajaran dan bahasa. Mereka kurang sabar dan marah terhadap kemiskinan orang Melayu, pendidikan mereka, pembangunan luar bandar, serta kesihatan luar bandar. Di sini ada Hospital Universiti yang besar, tetapi tiada klinik di kawasan-kawasan luar bandar. Ada sekolah yang tidak ada makmal, tidak ada perpustakaan dan tidak ada guru yang berkelayakan. Kami terasa amat marah, meluat dan mengecam kerajaan. Nampaknya tidak ada asas akhlak atau bimbingan rohani untuk diikuti. Kami berpaling pada Islam untuk mengisi kekosongan ini, dan untuk mencari penyelesaian

Di bawah pimpinan Anwar, pemimpin-pemimpin pelajar Melayu pun mula mengkaji Islam dengan bersungguh-sungguh. Mereka memperoleh buku-buku karya Sayyid Qutb, Hassan al-Banna, Abdul A'la Al-Maududi serta ahli-ahli fikir kebangkitan semula Islam lain yang terkemuka. Mereka menterjemahkan buku-buku ini yang ditulis dalam bahasa Inggeris atau Arab ke bahasa Melayu, menyalin dengan siklostil serta mengedar karya-karya ini ke seluruh kampus. Di tanahair, Profesor Syed Naguib Al-Attas, Dekan Fakulti Sastera ketika itu, merupakan satu lagi sumber buah fikiran yang penting pada peringkat terawal gerakan Islam ini. Menurut Kamaruddin Muhammad Nor, Syed Naguib menyokong penuh kumpulan Islam ini serta matlamat perjuangannya. Selepas kuliah, pelajar-pelajar ini tidak ke perpustakaan, sebaliknya mereka kerap pergi ke pejabat atau rumahnya, berbincang panjang lebar dengan beliau tentang Islam sebagai daya pengubah semua lapangan dan Islam sebagai sumber modenisme serta pemodenan. Dengan kesedaran baru ini, datang pula faharnan tentang lengkapnya Islam sebagai ad-din (cara hidup), tarikan kuat yang membangkitkan semangat pelajar-pelajar tersebut. "Pada masa itu kami hendak mengubah dunia," kata Anwar Ibrahim:

Wujud semangat persaudaraan, keinsafan tentang perlunya perjuangan menentang rasuah, eksploitasi dan penindasan yang kuat. Kami masih lagi mengambil berat tentang isu-isu bangsa Melayu, tetapi kini kami juga mempunyai tanggungjawab yang sama berat terhadap Islam

Pelajar-pelajar tersebut mula membentuk kumpulan-kumpulan kajian kecil yang meng-adakan perbincangan mengenai ajaran para pemimpin kebangkitan semula Islam, dan mereka mula merencanakan satu rancangan kerja untuk mempraktikkan kepercayaan mereka yang baru itu.

Salah satu matlamat mereka hendak menguasai Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), yang pada masa itu dikuasai oleh ahli-ahli Kelab Sosialis. Seperti banyak lagi kumpulan berhaluan kiri, Kelab Sosialis dipandang sebagai pejuang golongan miskin dan tertindas. Anwar dan kumpulannya yang telah pun terh'bat dengan perjuangan menuntut keadilan sosio-ekonomi bagi orang Melayu yang miskin dari luar bandar kini mahu perjuangan ini diteruskan di bawah bendera Islam. Menurut Kamaruddin, kumpulan sosialis mempunyai kelemahan kerana ada penentang semula jadi, khususnya kumpulan antikomunis dan pro-kerajaan di kampus.

Apabila kami menyampaikan Islam sebagai perjuangan kami, kumpulan prokerajaan sukar menentangnya. Dengan itu, kami mempunyai asas yang lebih luas dan lebih kukuh untuk memperoleh sokongan

Pendekatan mereka terhadap Islam juga amat menarik. "Apabila kami bercakap tentang Islam, ia jugamerangkumi bidang kehidupan seperti ekonomi, politik, dan pelajaran," kata Kamaruddin:

Isu-isu semasa, seperti tanah dan kemiskinan, merupakan sebahagian daripada kepentingan Islam bagi kami dan penyelesaian bagi masalah-masalah ini harus dirujuk kepada sumber-sumber Islam. Kami berusaha merayu kepada rakyat dan kerajaan agar cuba memandang Islam sebagai penawar segala penyakit yang mencengkam masyarakat.

Melalui PBMUM dan PMIUM (Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya) - dua buah pertubuhan pelajar yang dikuasai Anwar, Kamaruddin serta kumpulan Islam mereka - satu haluan baru kegiatan-kegiatan pelajar menurut jalan Islam pun dibentuk. Isu pertama yang menjadi sasaran mereka ialah akhlak. Mereka berkempen menentang apa yang mereka anggap sebagai kegiatan-kegiatan untuk berseronok seperti ragging yang dilakukan terhadap siswa-siswa baru semasa orientasi, parti halloween serta majlis tari-menari. "Kami rasa para intelek patut beristirahat dengan cara yang berlainan," kata Kamaruddin. "Mereka harus lebih serius menggunakan masa mereka dan tidak menghabiskan wang di disko."

Sebahagian besar sokongan yang diterima pada tahun-tahun awal itu datang daripada pelajar-pelajar tahun pertama. PBMUM dan PMIUM mengadakan rancangan orientasi mereka sendiri dan menerusinyalah mereka mendapati golongan pelajar Melayu yang masih mentah, senang dipengaruh serta takut-takut sebagai sasaran unggul seruan baru tentang Islam yang sedang mereka bawa itu. Ceramah-ceramah dan forum-forum tentang Islam diadakan untuk pelajar-pelajar tahun pertama ini. Isu kemiskinan, rasuah serta salah tadbir kerajaan, yang peraah diambil berat oleh Kelab Sosialis, kini berada pula di bawah bendera Islam. Menjelang waktu Kamaruddin tamat pengajian pada tahun 1972, kegiatan ragging, majlis tari-menari serta majlis halloween semuanya dilarang dengan rasmi (namun majlis tanpa kebenaran masih diteruskan). Pihak berkuasa universiti ditentang hebat oleh kumpulan Islam yang mengadakan kempen tandatangan untuk menyokong tuntutan-tuntutan mereka. Dengan sokongan pelajar-pelajar tahun pertama ini, kumpulan Islam tersebut mendapat ramai penyokong. Mereka mudah mendapat sokongan untuk mengharamkan ragging kerana pelajar-pelajar tahun pertama inilah yang menjadi mangsa orientasi ke alam kehidupan universiti yang kerapkali kejam dan mengaibkan.

Tetapi pada tahun 1974 barulah kumpulan Islam ini, yang kini berada di bawah pengaruh ABIM yang baru ditubuhkan itu, berjaya mengambil alih PMUM itu. Apabila ini berlaku, orientasi untuk pelajar-pelajar Melayu mula bermakna bangun sebelum Subuh untuk bersiap sedia menunaikan sembahyang Subuh secara berjemaah, mendengar ceramah-ceramah agama dan menutup kepala dengan kain tudung yang diikat dengan bergaya di tengkuk, sepanjang tempoh seminggu itu.

Menjelang waktu itu, kumpulan 'Islam' ini mula digelar orang dakwah. Sungguhpun perkataan dakwah itu sendiri sebenarnya 'memanggil' atau 'menjemput' seperti dalam kerja-kerja mubaligh agama, namun dalam konteks Malaysia serta banyak negara Islam yang lain hari ini, perkataan dakwah diperluaskan pengertiannya meliputi tugas menjadikan orang Islam lebih bertakwa. Pada masa itu, orang dakwah tersebut telah pun menetapkan suatu aliran keislaman yang nyata dalam kegiatan-kegiatan pelajar di kampus Universiti Malaya. Melalui pelbagai seminar, syarahan, forum serta projek masyarakat, pelajar-pelajar tersebut diingatkan supaya lebih mengambil berat akan hasrat rakyat, tetapi kali ini semuanya atas nama Islam.

Perjuangan untuk menegakkan hak-hak orang Melayu khususnya telah diwarnai Islam. Menjelang pertengahan 1960-an, PBMUM dan PKPIM sudah pun aktif membantah kegagalan kerajaan mengatasi masalah kemunduran orang Melayu dalam lapangan seperti kesihatan, pendidikan dan ekonomi, serta dalam melaksanakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; kini mereka mula menekankan Islam dalam kegiatan-kegiatan mereka itu. Pada tahun 1968, dengan diketuai oleh Anwar Ibrahim, kedua-dua organisasi tersebut melancarkan Gerakan Kempen Kesedaran (GKK), yang bertujuan mewujudkan hubungan rapat di antara pelajar dan masyarakat. Semasa cuti universiti, beratus-ratus pelajar pergi ke kampung-kampung di luar bandar selama 12 hari hingga dua bulan, tinggal bersama-sama dengan orang Melayu yang miskin untuk mengetahui masalah-masalah sosio-ekonomi mereka dan memulakan projek-projek masyarakat. Melalui pendedahan ini, diharapkan pelajar-pelajar tersebut akan peka terhadap golongan yang kurang bernasib baik dan memahami mengapa orang Melayu ketinggalan dalam proses pembangunan. Diharapkan mereka dapat menjadi agen perubahan, membimbing serta membantu penduduk-penduduk kampung mengatasi masalah. Di sini wujud semangat setiakawan tetapi bercorak kemelayuan. Matlamat utamanya masih untuk membangkitkan semangat pelajar supaya berjuang untuk bangsa Melayu. Tetapi menjelang sesi akademik 1972/73, konsep GKK berubah haluan dari mpningkatkan kesedaran orang Melayu dan hak-hak Melayu dalam pembangunan negara menjadi alat untuk berdakwah. Kecenderungan keislamannya jelas terbayang dalam laporan GKK PKPIM tahun tersebut. Matlamat GKK telah disenaraikan sebagai "Mewujudkan keadilan, kejujuran, kebenaran dan kesefahaman di kalangan penduduk luar bandar bagi menjamin perkembangan sosial, ekonomi, politik serta pelajaran mereka dikaitkan dengan Islam."

Dengan itu, banyak kegiatan berunsur Islam mula diadakan. Sesudah bersembahyang Maghrib, pelajar-pelajar tersebut akan menjemput penduduk-penduduk kampung duduk sebentar membincangkan Islam sebagai satu cara hidup yang tidak memisahkan di antara agama dengan kehidupan harian. Menjelang tahun 1973, kegiatan utama PKPIM merupakan program latihan untuk pemimpin-pemimpin dakwah. Aktivitinya tidak lagi menekankan soal hidup mati orang Melayu, yang mundur dalam semua lapangan termasuk memahami agama Islam. Kini penekanan diberikan pada Islam semata-mata. Matlamatnya untuk mengasaskan sebuah badan pelajar yang sedar serta insaf akan tanggungjawabnya sebagai sebuah badan Islam; mewujudkan suatu kumpulan pemimpin di kalangan pelajar Islam; memupuk semangat berjuang untuk Islam di kalangan pelajar Islam; memahami peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalam negara dan di peringkat antarabangsa; memperkuat serta menyusun semula gerakan-gerakan Islamiah dengan cara perkumpulan; meningkatkan pemahaman tentang Islam dan agama; membangkitkan semangat jihad; menggalakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran di kalangan pelajar.

la suatu evolusi yang mengubah hala persatuan utama pelajar-pelajar Melayu-Islam di universiti daripada kegiatan serta penekanan terhadap soal hidup mati bangsa Melayu kepada usaha menyebar serta menegakkan Islam sebagai suatu cara hidup.

Perkembangan serta pertumbuhan gerakan dakwah di kalangan pelajar, terutamanya dalam tahun 1970-an, banyak terhutang kepada pembentukan ABIM yang memberi sokongan yang tidak berbelah bagi dari segi kepimpinan, bimbingan, tenaga kerja, pengelolaan aktiviti-aktiviti dan pembekalan buku-buku, risalah-risalah serta penceramah-penceramah tentang Islam. Sejak pertengahan tahun 1969 lagi, Anwar dan rakan-rakan seperjuangannya yang sedang muncul, mula berusaha mencari suatu dasar untuk meneruskan perjuangan Islam setelah tamat pengajian. Dalam suatu mesyuarat PKPIM pada bulan Ogos tahun itu, lahirlah idea mem-bentuk ABIM. Pada tahun 1971, ABIM dilancarkan untuk memberi landasan bagi siswazah-siswazah muda Islam memainkan peranan yang wajar dalam perjuangan baru mereka. Matlamat mereka untuk membina sebuah masyarakat berlandaskan prinsip-prinsip Islam. Ini merupakan suatu peristiwa yang amat penting bagi kebangkitan semula Islam di Malaysia.

Serentak dengan pelancaran ABIM, Anwar dan Kamaruddin juga melancarkan Yayasan Anda, sebuah sekolah menengah swasta yang memberi pendidikan lanjutan kepada pelajar-pelajar yang tercicir dari sistem pendidikan kerajaan, terutamanya orang Melayu. Setelah melibatkan diri sepenuhnya dalam cara hidup Islam, tiada siapa pun dalam kumpulan Anwar yang mahu bekerja dengan kerajaan atau sektor swasta setelah tamat pengajian. Mereka mahukan masa yang lapang serta kebebasan untuk meneruskan lagi tanggapan-tanggapan yang mereka anggap sempurna dan untuk memberi sumbangan kepada masyarakat dalam cara yang mereka fikir patut. Anwar menjadi pengetua Yayasan Anda yang pertama dan rakan-rakan universitinya menjadi guru yang pertama, kesemua mereka mendapat gaji lebih kurang $300 - $400 sebulan, iaitu sepertiga atau separuh daripada apa yang akan mereka terima sekiranya mereka bekerja dalam perkhidmatan awam atau sektor swasta. Sekolah tersebut yang masih berjalan hingga ke hari ini dengan lebih kurang 1,200 orang pelajar sepenuh masa dan 800 orang pelajar sebelah malam, mengikuti sukatan pelajaran sekolah kerajaan untuk membolehkan pelajar-pelajarnya mengambil peperiksaan-peperiksaan peringkat kebangsaan. Tetapi di samping pendidikan sekular, para pelajar juga mengambil satu kursus wajib prinsip Islam yang di antara lain, mengajar mereka tentang Islam sebagai suatu cara hidup, gerakan-gerakan Islamiah, perbezaan di antara Islam dengan agama-agama lain, dan perbezaan di antara sistem ekonomi dan politik hari ini dengan apa yang digalakkan oleh Islam. Cara berpakaian dan berkelakuan menurut Islam dikuatkuasakan. Bilik darjah pula dibahagi dua; sebelah untuk pelajar-pelajar lelaki, sebelah lagi pelajar-pelajar perempuan. Semua pelajar perempuan menutup kepala dengan mini telekung (tudung kepala yang labuh hingga ke paras dada) untuk menonjolkan kesopanan mereka menurut ajaran Islam. Lulusan Yayasan Anda yang pertama pada tahun 1974 antara wanita-wanita pertama di Universiti Malaya kelihatan memakai mini telekung ini. Mereka kemudian mula dikenali sebagai 'orang dakwah'.

Satu lagi pendorong penting kebangkitan semula Islam di Malaysia ialah hubungan gerakan tersebut dengan pejuang-pejuang kebangkitan semula Islam di Indonesia. Suatu ketika dahulu, ahli-ahli politik, pejuang-pejuang kebangsaan serta tokoh-tokoh kesusasteraan Melayu sering merujuk kepada Indonesia untuk memperoleh bimbingan serta dorongan, dan ini termasuklah bidang agama. Buku-buku Indonesia tentang Islam dipandang tinggi sebagai sumber idea serta tafsiran, Tetapi jauh lebih penting dalam kebangkitan semula ini ialah hubungan ABIM dan PKPIM dengan Himpunan Mahasiswa Islam (HMI) yang membantu ABIM dan PKPIM mengelolakan beberapa lawatan latihan dakwah ke Jakarta dan Bandung, pusat kebangkitan semula Islam di kalangan pelajar Indonesia. Menurut Kamamddin, semangat se-Melayu yang sentiasa wujud kini berkembang menjadi semangat se-Islam di antara pemuda-pemuda pejuang kebangkitan semula Islam Malaysia dan Indonesia.

Pada peringkat awal ini, pemimpin-pemimpin ABIM ghairah belajar dari HMI yang lebih berpengalaman itu. Semasa di Jakarta dan Bandung, pucuk pimpinan HMI membantu rakan-rakan sejawat mereka dalam ABIM untuk merumuskan idea-idea serta hujah-hujah intelektual bagi menyokong seruan mereka agar Islam dijadikan cara hidup dan untuk berhujah menentang puak-puak nasionalis dan sosialis yang terpaksa mereka hadapi di universiti serta pihak kerajaan. Mereka juga mempelajari cara mengelola gerakan yan baru ditubuhkan itu serta cara menjalankan kegiatan-kegiatan seperti khemah latihan dan perkhidmatan kemasyarakatan untuk membangkitkan kesedaran dan membina penumpuan khidmat terhadap matlamat Islam.

Di antara pejuang-pejuang kebangkitan semula Islam di Indonesia, ada seorang yang memainkan peranan penting mempengaruhi pelajar-pelajar universiti ke arah mengamalkan Islam seluruhnya. Pada awal 1970-an, Imaduddin Abdul Rahim, pensyarah kejuru-teraan rakyat Indonesia dari Institut Teknologj Bandung yang terkenal, yang merupakan pusat kegiatan politik dan Islamiah pelajar di Indonesia, mengajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Kuala Lumpur. Pada tahun 1971, Imaduddin mula mengadakan ceramah-ceramah agama untuk kumpulan-kumpulan pelajar yang pada pandangannya, memiliki ciri-ciri kepimpinan di kampus-kampus di Kuala Lumpur. Dia mengajar cara hidup Islam sepenuhnya, dan betapa perlunya kembali semula kepada ajaran Al-Quran untuk menyelamatkan masyarakat Islam yang dianggapnya sudah sesat. Mereka yang mendengarnya berceramah masih ingat hari ini bahawa Imaduddin seorang pemidato yang bersemangat serta meyakinkan, yang dapat mengusik hati pendengar-pendengarnya sehingga menangis mengenangkan kesilapan mereka. Shukran Jamel Zaini, semasa itu pemimpin dakwah di Universiti Pertanian Malaysia, berkata:

Dia menyedarkan kami betapa salahnya kami bersembahyang lima kali sehari, memberi salam apabila berjumpa pelajar-pelajar lain dan mengajar Islam sebagai suatu cara hidup namun masih menghadiri majlis tari-menari pada hari Ahad serta menjemput penyanyi-penyanyi ke konsert-konsert anjuran kami.

Dia menginsafkan kami betapa beratnya kesalahan kami dan kami tidak boleh menjalani kehidupan yang terbahagi dua apabila kami percaya bahawa Islam itu suatu cara hidup yang lengkap.

Imaduddin membentuk sebuah kumpulan teras yang terdiri daripada lebih kurang 100 orang pengikut di UTM. Ramai daripada mereka pergi ke Britain kemudiannya untuk melanjutkan pendidikan dan meneruskan kegiatan dakwah di sana. Apabila pulang ke tanahair, mereka mengajar di pelbagai institusi pengajian tinggi dalam keadaan yang jauh lebih bertak-wa.

Tetapi tidak lama kemudian berlaku persengketaan di antara ABIM dengan Imaduddin serta pengjkut-pengikutnya. Sekiranya ABIM mengharapkan pengaruhnya akan diperkuat lagi oleh kepopularan Imaduddin di kalangan pelajar, ia kecewa sama sekali. Akhirnya mereka berpisah jalan kerana perbezaan pendapat tentang beberapa isu. Menurut Kamaruddin Muhammad Nor dan beberapa orang lain, Imaduddin bersikap militan dalam pendekatannya terhadap Islam. Kamaruddin berkata:

Dia menuntut supaya kami menerima Islam seluruhnya. Dari segj prinsip, ia memang betu. Tetapi Islam juga mengakui kelemahan manusia dan tahap tanggungjawab mereka yang berbeza-beza. Ada orang sanggup mati untuk Islam, ada pula yang tidak sanggup dan ini tidaklah menjadikan mereka murtad. Tetapi bagi Imaduddin, jika seseorang itu tidak sanggup mengorbankan nyawanya, maka dia terkeluar dari Islam. Kami tidak setuju dengan tafsiran perjuangan untuk Islam yang begitu ketat.

Satu lagi persoalan yang dipertikaikan ialah keengganan Imaduddin bekerja dalam bidang organisasi gerakan dakwah yang wujud. Imaduddin dan pengikut-pengikutnya di UTM enggan bekerja dalam rangkaian PKPIM atau ABIM. Oleh itu, PKPIM sukar hendak menubuhkan persatuan pelajar Islam di UTM dan akibatnya ia kalah dalam pilihanraya pelajar pada tahun 1972. Perbezaan pendekatan, tahap semangat ideologi serta persaingan untuk mendapat pengaruh seperti inilah yang memulakan perpecahan dalam gerakan dakwah serta persaingan untuk mendapatkan sokongan pelajar di kalangan pelbagai kumpulan dakwah hari ini

Sekiranya peristiwa 13 Mei 1969 dianggap sebagai keadaan genting yang menjadi pendorong awal bagi peralihan ke arah Islam, maka pelbagai dasar yang amalkan oleh kerajaan hanya menyemarakkan lagj kebangkitan semula Islam. Setelah berlaku rusuhan itu, kerajaan telah memulakan usaha memperbanyakkan lagi peluang untuk orang Melayu melanjutkan pen-didikan mereka sebagai sebahagian daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan meningkatkan kedudukan sosioekonomi golongan miskin yang sebahagian besarnya terdiri daripada orang Melayu. Kerajaan mula menghantar beribu-ribu orang Melayu belajar terutamanya dalam kursus sains dan teknologi, di universiti-universiti tempatan dan juga luar negara. Pada tahun 1971, kuota minimum ditetapkan untuk pelajar-pelajar Melayu dalam kursus-kursus tertentu seperti perubatan, sains dan kejuruteraan yang dahulunya dikuasai oleh pelajar-pelajar bukan Melayu. Kerajaan juga mula menghantar pelajar-pelajar Melayu terbaik untuk melanjutkan pendidikan di Britain.

Gerakan baru mengambil lebih ramai orang Melayu untuk mengikuti pengajian tinggi menyebabkan bertambahnya bilangan pelajar Melayu di universiti-universiti tempatan dan luar negara. Ramai pelajar ini datang dari pekan-pekan kecil dan kampung-kampung. Ramai juga daripada mereka tidak layak memasuki universiti jika bukan kerana dasar tindakan baru ini. Dengan mendapat pendidikan dalam bahasa Malaysia dan kelayakan akademik yang kurang baik, pelajar-pelajar ini terasa kalah kepada pelajar-pelajar bukan Melayu yang datang dari bandar serta jauh lebih berkelayakan dan dapat bertutur bahasa Inggeris dengan fasih. Walaupun kerajaan telah memperkenalkan Dasar Pendidikan Baru pada tahun 1971 dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, namun bahasa Inggeris masih menjadi bahasa utama di kampus-kampus sehingga lewat tahun 1970-an. Pensyarah-pensyarah yang berpendidikan Inggeris terpaksa bersusah payah mengajar dalam bahasa Melayu manakala pelajar-pelajar yang berpendidikan Melayu pula terpaksa bersusah payah belajar menggunakan buku-buku teks yang masih ditulis bahasa Inggeris.

Seperti kata Judith Nagata, ia mewujudkan semacam krisis linguistik yang baru:

Pelajar-pelajar tersebut masih terpaksa meng-hadapi masalah kurang fasih berbahasa Inggeris, di samping kurang memiUki standard akademik umum yang diperlukan pada peringkat ini. Dengan hebatnya rasa cemas, kecewa serta kemungkinan gagal, maka ke-tegangan jiwa menyelubungi suasana hidup pelajar-pelajar di kampus, menyebabkan mereka mencari saluran-saluran bicara dan ideologi yang lain.

Pelajar-pelajar ini menjadi sumber ahli baru PKPIM dan ABIM di kampus-kampus universiti. Oleh sebab mereka lebih terdedah dan terpengaruh oleh agama dalam kehidupan di luar bandar, maka mereka mudah diresapi pengaruh dan idea daripada warisan yang sudah pun mereka kenali itu.

Satu lagi akibat rusuhan 13 Mei ialah pelaksanaan Akta Universiti dan Kolej Universiti, 1971. la mengenakan beberapa sekatan ke atas kegiatan pelajar. la melarang pelajar-pelajar Universiti atau sebarang organisasi mereka melibatkan diri atau menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan kepada sebarang parti politik atau kesatuan sekerja. Sesiapa yang menyalahi peraturan ini boleh dikenakan denda maksimum sebanyak $1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali. Akta tersebut juga memberi kuasa kepada Majlis-majlis Universiti untuk menggantung atau membubarkan sebarang organisasi pelajar yang bertindak dalam cara yang dianggap menggugat atau memudaratkan nama baik Universiti.

Disebabkan sekatan-sekatan yang dikenakan terhadap kegiatan pelajar, projek-projek GKK dikurangkan dengan banyaknya, lalu mendorong PKPIM terlibat dengan lebih mendalam lagi menganjurkan kegiatan-kegiatan dakwah di kalangan pelajar. Dengan sekatan terhadap penglibatan dalam hal-hal politik, maka dengan mudah Islam menjadi satu-satunya jalan yang selamat untuk pelajar-pelajar menyuarakan keluhan mereka, menggembleng tenaga, memenuhi tuntutan untuk berkhidmat kepada masyarakat dan mencari kelegaan dari tekanan-tekanan yang berpunca daripada kehidupan universiti serta cara hidup di bandar. Tetapi

pada tahun 1974, Akta yang menyekat itu tidak dapat menghalang pelajar-pelajar berdemonstrasi menentang kelaparan serta kemiskinan petani-petani. Lebih kurang 1,169 orang yang kebanyakannya Melayu ditahan, termasuk pemimpin ABIM, Anwar Ibrahim sendiri. Seterusnya ramai daripada pelajar-pelajar itu yang merupakan pemegang biasiswa kerajaan telah diminta mengemukakan alasan mengapa biasiswa mereka tidak harus ditarik balik. Menjelang awal bulan April 1975, semua pemegang biasiswa diberitahu bahawa pada masa hadapan mereka akan diminta menandatangani 'perjanjian tambahan' dengan berikrar tidak akan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti politik.

Tidak lama kemudian, kerajaan mengetatkan lagi jerutannya terhadap penglibatan pelajar dalam politik dan kegiatan-kegiatan lain dengan meminda Akta Universiti tahun 1971 itu. Akta Universiti dan Kolej Universiti, 1975 yang lebih menyekat itu melarang pelajar-pelajar menyimpan atau mengumpul wang untuk kegiatan pelajar. Kini, semua wang untuk perbelanjaan dikeluarkan oleh pihak berkuasa universitL Segala aktiviti termasuk hak untuk mengadakan forum-forum dan menjemput penceramah dari luar serta sebarang perbelanjaan yang timbul perlu disahkan secara bertulis terlebih dahulu oleh Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar. Perhimpunan yang melebihi lima orang serta penerbitan sebarang dokumen tanpa kebenaran terlebih dahulu juga dilarang.

Sekatan-sekatan demikian hanya membantu memperhebatkan lagi perjuangan ke arah Islam. Gerakan dakwah masih tidak begitu dikenali pada masa itu, dan kerajaan pula yang sibuk dengan kekacauan yang ditimbulkan oleh pelajar-pelajar tentang isu sosioekonomi, tidak menganggap Islam sebagai suatu ancaman bagi kawalannya terhadap kegiatan pelajar atau cabaran kepada kuasanya.

Kesimpulan

Kebangkitan semula Islam yang timbul daripada suasana genting ketika rusuhan 13 Mei dan diketuai oleh Anwar Ibrahim serta ABIM mengambil jalan sederhana. Pada masa itu tidak ada seruan untuk menubuhkan sebuah negara Islam atau melaksanakan undang-undang syariah. Sebenarnya, menurut Anwar Ibrahim, dia serta rakan-rakannya tidak percaya dengan proses politik dan tidak benninat memenangi kuasa politik. Mereka lebih terlibat dengan 'penyedaran', yakni mengembangkan cara pemikiran kritis serta kesedaran kritis pada diri sendiri dan juga dunia luar selaras dengan pandangan progresif tentang isu-isu dan masalah-masalah yang melingkungi masyarakat. Mereka mengelak dari menggunakan perkataan 'dakwah' bagi diri mereka kerana ia membawa makna konservatif. "Kami bersikap toleran dan liberal," katanya dengan bangga. Islam yang ABIM sebarkan mengaku dan menerima kelemahan diri manusia serta perbezaan tahap penumpuan khidmat mereka terhadap agama.

Saya suka menyifatkan fasa penguasaan ABIM ini sebagai gelombang pertama dalam arus gerakan kebangkitan semula Islam di Malaysia. Tarikannya progresif. la tidak memandang Islam begitu keras seperti yang dilakukan oleh penyokong-penyokong dakwah kemudiannya. Sungguhpun ia mengkritik kerajaan dan dasar-dasarnya yang ia anggap tidak adil atau menindas, ia tidak pernah menyeru dengan lantang agar ditubuhkan negara Islam. la percaya pengislaman umah mestilah terlebih dahulu dilaksanakan secara beransur-ansur, sederhana serta progresif. Hingga hari ini, Anwar Ibrahim masih berkata bahawa dia tidak percaya pada langkah menyuruh atau memaksa orang lain ke arah Islam. "Tidak masuk akal langsung. Kita mesti memberi peluang kepada orang lain untuk memahaminya. Tidak ada gunanya terlalu ghairah mengecap dan menggesa."

Gelombang kedua gerakan dakwah bermula pada pertengahan hingga lewat tahun 1970-an dengan pulangnya dari England beratus-ratus orang pelajar Malaysia yang telah dipengaruhi Islam yang lebih asas anjuran Ikhwan Muslimin Mesir serta Jamaati-i-Islam Pakistan. Seperti yang akan diterangkan dalam bahagian berikut nanti, gerakan di Malaysia mula menjadi lebih radikal. Perjuangan untuk menubuhkan negara Islam dengan Quran dan Sunah sebagai perlem-bagaan mula menguasai gerakan dakwah

Zainah Anwar adalah seorang penyelidik di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa(ISIS), membuat penyelidikan tentang kerajaan,politik dan dasar luar negara. Sebelum ini dia pernah menjadi wartawan di The New Straits Times mengkhusus dalam laporan politik dan diplomatik. Beliau mendapat pendidikan dari Institut Teknologi Mara, University Boston dan Fletcher School of Law and Diplomacy, University Tufts.





Copyright © 2002 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved