IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    disiarkan pada Sabtu, Januari 12, 2002

Keganasan Israel - Pelajar IPT serah memorandum bantahan


Oleh Marzita Abdullah, Utusan Malaysia, 6 April 2002

Barisan kepimpinan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menyokong penuh usaha Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad agar sebuah pasukan pengaman antarabangsa dihantar ke Palestin bagi mengelak konflik Asia Barat berterusan.

Mereka menggesa Dr. Mahathir supaya dapat menggunakan pengaruhnya yang telah terbukti diterima dunia luar bagi merealisasikan usaha itu.

Barisan kepimpinan itu juga akan bertindak menyerahkan memorandum bantahan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kedutaan Amerika Syarikat (AS) di negara ini supaya bertegas dan tidak mengamalkan diskriminasi dalam menangani isu keganasan dunia.

Exco Perhubungan Luar Universiti Malaya (UM) Rosli Abd. Ghani berkata, usaha menangani keganasan di Palestin akan dapat diselesaikan jika AS tidak mengamalkan diskriminasi terhadap umat Islam.

``Kita lihat AS mempunyai maksud tersirat dalam usaha menangani keganasan di Afghanistan, tetapi dalam masa yang sama membutakan mata terhadap keganasan yang dilakukan oleh rejim Yahudi kepada umat Islam di Palestin,'' katanya.

Dalam hal ini Majlis Keselamatan PBB perlu bertegas terhadap AS dan sekutunya, Israel tanpa mengira pengaruh kedua-dua negara terhadap dunia.

``Kita tahu AS dan Israel seolah-olah tidak menghormati keputusan PBB terhadap usaha perdamaian di Palestin tetapi kali ini PBB perlu bertegas dengan menggunakan kekuatan tentera pengamannya,'' katanya.

Selain itu negara-negara Arab juga perlu bertindak tegas dan berani terhadap isu tersebut tanpa dibayangi ketakutan sekatan ekonomi terhadap negara masing-masing.

Rosli berkata, memorandum bantahan akan diserahkan kepada PBB dan kedutaan AS secepat mungkin bagi melahirkan rasa tidak puas hati terhadap usaha menangani keganasan di Palestin.

Naib Yang Dipertua Perhubungan Luar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Rusdi Mamat berkata, selain menyerahkan memorandum bantahan itu, beliau mahu AS membuka mata terhadap erti keganasan yang berlaku di dunia ini.

``Isu yang utama adalah untuk mempengaruhi AS kerana ia berlagak sebagai kuasa yang membenci keganasan sebaliknya mereka juga adalah pendorong keganasan dengan mengamalkan diskriminasi terhadap umat Islam,'' katanya.

Selain menyokong penuh usaha Dr. Mahathir, beliau menggesa semua umat Islam supaya bersatu dalam isu keganasan di Palestin.

``Apa yang berlaku sekarang ialah keretakan hubungan antara negara-negara Islam terutama dunia Arab menyebabkan Israel semakin berani,'' katanya.

Dalam pada itu katanya, walaupun golongan pelajar turut merasakan kesengsaraan umat Islam Palestin mereka hanya dapat menyuarakan sokongan dari jauh.

``Nabi sendiri pernah bersabda bahawa menuntut ilmu itu adalah jihad yang lebih penting daripada menyertai peperangan,'' tegasnya.

Perkara itu turut dipersetujui oleh Exco Perhubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Shaiful Hezan Kamaluddin yang juga akan menyerahkan memorandum bantahan kepada kedua-dua pihak.

Beliau berkata, usaha menangani isu itu tidak boleh diharapkan kepada AS kerana dalam kempen Presidennya, George W. Bush sebelum ini secara terang-terangan memberi sokongan padu kepada rejim Yahudi untuk meluaskan jajahannya di Palestin.

Katanya, usaha Dr. Mahathir amat baik tetapi semua pihak perlu tegas dalam usaha ini tanpa mengambil kira kepentingan AS di mana-mana negara.

``Yang penting sekarang ialah umat Islam terutama di dunia Arab perlu bersatu dan PBB perlu tegas terhadap AS dan rejim Yahudi,'' katanya.

Exco Perhubungan Awam dan Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Kamaruddin Abdullah berkata, Malaysia boleh mengambil kesempatan pada Sesi Khas Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Persidangan Islam (ICMF) Mengenai Keganasan untuk menyuarakan pandangan.

``Sebagai mahasiswa kami memberi sokongan padu dan kepercayaan penuh kepada kepimpinan negara yang sememangnya sudah terbukti diterima oleh dunia luar,'' katanya.

Beliau berkata, penyelesaian yang sebenarnya adalah melalui perundingan antara kedua-dua pihak yang bertelagah dan muafakat masyarakat antarabangsa melalui PBB.

Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Juhazreen Junaidi berkata, penghantaran tentera pengaman adalah lebih baik dalam usaha menangani keganasan rejim Yahudi dan AS.

``Ini kerana AS dalam usaha menangani keganasan sebaliknya bertindak berat sebelah dalam isu di Palestin,'' katanya.

Tegas beliau, umat Islam perlu bangun menuntut hak mereka justeru mereka perlu bersatu dan tidak boleh mengharapkan kepada negara lain untuk membantu mereka.

``Kita tidak boleh harap pada negara AS kerana mereka mengamalkan diskriminasi sebaliknya umat Islam perlu bersatu,'' katanya.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved