IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Monday, April 8, 2002 10:51 PM

GABUNGAN MAHASISWA ISLAM HANTAR MEMORANDUM KE KEDUTAAN INDIA


Pada 1 April 2002 (Isnin)seramai hampir 70 orang mahasiswa Islam yang mewakili Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya(PMIUM),Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM),Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia(PMIUPM),Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya(PMAPIUM) dan Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia(ISIUKM) telah menghantar satu memorandum kepada Kedutaan India sebagai gesaan kepada Kerajaan India untuk bertanggungjawab dalam menjamin keselamatan umat Islam yang merupakan kaum minoriti dan dibunuh dengan kejam di dalam konflik agama yang tercetus di Gujerat dan Ahmedabad.

Seramai 3 orang wakil mahasiswa Islam iaitu Mohd.Izwan Yusof(PMIUM),Khairul Ariffin(PKPIM) dan Fitri Shukri(PMIUPM) telah berjumpa dengan Setiausaha Kedutaan India iaitu Mr.Mahalinggam untuk menyerahkan memorandum tersebut.Secara umumnya,mahasiswa Islam menegaskan kepada Kerajaan India supaya melindungi umat Islam di India daripada terus dibunuh dengan kejam dan sewenang-wenangnya.Namun,Mr.Mahalinggam menyatakan bahawasanya apa yang berlaku di Gujerat dan Ahmedabad adalah perkara biasa yang tercetus akibat pergaduhan orang Hindu dan orang Islam.

Persoalannya mengapakah kematian yang melibatkan umat Islam yang menjangkau 700 orang tidak diberikan perhatian yang serius oleh Kerajaan India?Beliau juga memberikan jaminan akan membawa perkara ini kepada pentadbiran Kerajaan India di New Delhi dan menyatakan supaya tidak bimbang di atas apa yang berlaku ke atas umat Islam di India.Satu perkara yang juga menjadi kehairanan kepada kita mengapakah tidak ada sebarang komen daripada pimpinan negara atau pihak lain tentang apa yang berlaku ke atas umat Islam di India.Justeru,saya menyeru kepada seluruh mahasiswa Islam khususnya dan masyarakat Malaysia amnya untuk terus istiqamah dan konsisten dalam melakukan solat hajat dan berdoa demi keselamatan umat Islam sedunia khususnya di India , Palestin dan Kashmir.

Berikut adalah lampiran memorandum yang diserahkan kepada Kedutaan India.

Tuan Yang Teramat Mulia
Duta Besar Kerajaan India,
Kedutaan India,Jalan Duta,
Kuala Lumpur.

Tuan,

Mahasiswa Islam Menggesa Kerajaan India Untuk Bertanggungjawab Dalam Menjamin Keselamatan Umat Islam Selaku Kaum Minoriti Di India.

Berikut adalah di antara faktor-faktor mengapa bantahan ini dilakukan.

PERKARA 1

PENCABULAN,PEMBUNUHAN DAN KEMUSNAHAN YANG DILAKUKAN KE ATAS UMAT ISLAM TANPA PERLINDUNGAN YANG SEWAJARNYA.

Konflik agama di India telah menyebabkan kemusnahan masjid-masjid dan gerai serta rumah umat Islam,penganiayaan ke atas wanita dan kanak-kanak serta membunuh umat Islam yang melakukan ibadat di dalam masjid.Pembunuhan dilakukan secara besar-besaran dan pencabulan dilakukan ke atas wanita dan lebih 700 orang kebanyakannya orang Islam terbunuh di mana mereka dibakar hidup-hidup dan dibunuh di Gujerat.

PERKARA 2

RANG UNDANG-UNDANG PENCEGAHAN JENAYAH INDIA (POTO) 2002

Dewan Tertinggi Parlimen Rajya Sabha telah menolak akta tindas Islam yang telah bersidang pada 22 Mac 2002.Ketiadaan akta untuk melindungi umat Islam telah membuka ruang yang seluas-luasnya kepada golongan yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan penganiayaan yang sewenang-wenangnya ke atas umat Islam.

PERKARA 3

PERLANGGARAN ARAHAN MAHKAMAH AGUNG

Golongan yang tidak bertanggungjawab ini telah melanggar arahan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Agung untuk tidak meneruskan rancangan untuk membina kuil di atas tapak masjid yang telah diruntuhkan oleh mereka pada tahun 1992.Tetapi golongan ini tetap akan meneruskan rancangan mereka itu dengan mendapat sokongan padu daripada Kerajaan Gujerat yang melindungi mereka daripada dikenakan tindakan mahkamah walaupun nama mereka telah disenaraikan oleh polis kerana terbabit secara langsung mengetuai rusuhan,membunuh penduduk Islam dan menghasut supaya melakukan keganasan.

PERKARA 4

SIKAP PREJUDIS TERHADAP UMAT ISLAM

Berita Harian telah melaporkan bahawa terdapat risalah jahat yang bertujuan untuk menindas umat Islam di India secara amnya seperti yang dilaporkan pada 14 Mac 2002.Selain itu,umat Islam berada dalam keadaan yang tertekan kerana tidak mampu untuk meneruskan ibadat seharian dan jugaa ibadat-ibadat yang lain seperti berkorban(menyembelih lembu) kerana tindakan mengganas daripada golongan tidak bertanggungjawab ini.Tindakan ini adalah melampaui hak asasi manusia untuk hidup dalam keadaan aman dan damai.

PERKARA 5

KETIDAKADILAN DALAM MELAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB

Penduduk Islam telah mendakwa polis Gujerat terbabit di dalam membunuh serta mendera penduduk Islam ketika golongan yang tidak bertanggungjawab ini menyerang,membunuh dan memusnahkan harta benda umat Islam.Gabenor Gujerat juga didakwa cuba melengah-lengahkan masa untuk mengatasi keganasan yang berlaku.Umat Islam yang tidak bersalah terus disembelih tanpa ada campurtangan yang bersungguh daripada pihak polis untuk meleraikan keganasan yang berlaku.

Oleh yang demikian,kami sebagai mahasiswa/i Islam berasa begitu tercabar bilamana begitu ramai umat Islam dibunuh secara kejam di India tanpa ada sebarang tindakan yang diambil.Di sini kami mendesak Kerajaan India agar segera menghentikan segala bentuk pembunuhan yang berlaku di sana terutamanya ke atas umat Islam di dalam melakukan ibadat seharian mahupun ibadat khusus dapat diteruskan seperti biasa.Justeru,kami mahasiswa/i Islam dan persatuan-persatuan Islam di Malaysia menyeru Kerajaan India untuk bertanggungjawab dalam menjamin keselamatan umat Islam khususnya sebagai kaum minoriti di India.Di sini, kami ingin mengemukakan tuntutan agar agama Islam dapat terus dipelihara di sana.

TUNTUTAN 1

MENANGKAP DAN MENGHUKUM PIHAK YANG TERBABIT DI DALAM TRAGEDI INI

Kami mendesak Kerajaan India supaya menangkap dan menghukum merka yang terbabit di dalam pembunuhan yang melibatkan umat Islam.

TUNTUTAN 2

MEWUJUDKAN PROGRAM KESELAMATAN KHUSUS UNTUK UMAT ISLAM

Kami mendesak Kerajaan India menggubal semula akta yang dapat memberi jaminan keselamatan nyawa dan harta benda ke atas kaum minoriti khususnya umat Islam.

TUNTUTAN 3

MEMECAT GABENOR GUJERAT KERANA GAGAL DALAM MELAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB

Kami mendesak Gabenor India untuk memecat Gabenor Gujerat, Sundar Singh Bhandari daripada terus memegang jawatan kerana gagal untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di bawah kawasan pentadbirannya. Ternyata tindakan Gabenor Gujerat itu cuba melengah-lengahkan waktu untuk membuka ruang kepada kekecohan ini berlaku secara berterusan.

TUNTUTAN 4

MEWUJUDKAN BADAN PENYIASAT

Kami mendesak untuk menubuhkan satu suruhanjaya penyiasatan bagi menyiasat tragedi yang berlaku dan suruhanjaya ini mestilah bebas daripada mana-mana fahaman politik serta tidak didalangi oleh mana-mana pihak dan hasil laporan yang diperoleh hendaklah diumumkan kepada orang awam.

TUNTUTAN 5

MENCARI JALAN PENYELESAIAN YANG MELIBATKAN PIHAK KERAJAAN DAN UMAT ISLAM

Kami menggesa kerajaan India supaya mencari jalan penyelesaian dengan kadar segera yang melibatkan pihak kerajaan, pertubuhan politik dan organisasi-organisasi Islam dalam meja rundingan bagi mengelakkan isu seperti ini mempengaruhi kestabilan dan keharmonian masyarakat di India dan negara-negara serantau.

TUNTUTAN 6

MENGIKTIRAF DAN MELIHAT BAHAWA ISLAM MERUPAKAN AGAMA YANG KOMPREHENSIF DENGAN AJARAN DAN AMALANNYA

Kami menggesa kerajaan India untuk mengiktiraf serta melihat bahawa Islam merupakan agama yang komprehensif dengan ajaran dan amalannya yang sentiasa mengutamakan kedamaian dan keamanan sejagat sebagaimana Islam menghormati dan mengiktiraf agama lain. Sehubungan itu, ia tidak sepatutnya dilihat sebagai suatu yang boleh menggugat keharmonian kaum dan suasana harmoni di India.

TUNTUTAN 7

MENCONTOHI DAN MENGAMBIL KIRA PENDEKATAN NEGARA-NEGARA SERANTAU TERUTAMANYA MALAYSIA

Kami mendesak kerajaan India untuk mencontohi dan mengambil kira pendekatan negar-negara serantau terutamanya Malaysia yang memberikan hak kepada rakyat untuk bebas mengamalkan kepercayaan agama masing-masing sesuai dengan peruntukan perlembagaan dalam suasana yang harmoni dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

Disediakan oleh:

Mohd.Izwan Bin Hj Md.Yusof
Presiden,
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya(PMIUM)

Mohd.Zaidi Bin Abdul Aziz
Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM)

Mohd.Armi Bin Yusop
Presiden,
Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia(ISIUKM)

Mohd.Rushdan Bin Rosli
Presiden,
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia(PMIUPM)

Mohd.Amir Bin Ariffin
Presiden,
Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya(PMAPIUM)

 


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved