Idealis Mahasiswa
 
 

Sindrom 'Hero Islam Terakhir'


Hit = [ ]

AMAN RAIS, Tanahair Aku, Malaysiakini
1:08pm Sun Mar 10th, 2002

Seperkara yang amat menarik dapat dicungkil semasa menghadiri satu majlis ilmu yang diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dua minggu lalu — iaitu kesangsian seorang bukan Melayu dan bukan Islam terhadap agama Islam akibat daripada perbuatan Umno dan PAS mempolitikkan agama.

Dalam majlis dialog ‘Peradaban dan Keganasan’ yang dihadiri oleh para cendiakiawan, pegawai kanan kerajaan, para profesional dan pengarang-pengarang kanan media itu, seorang peserta bukan Islam secara terus terang mengakui bahawa agama Islam tidak perlu ditakuti oleh sesiapapun.

"Saya tidak takut pada Islam termasuk aspek perundangannya. Saya telah mendalami Islam dan memahaminya. Kalau Islam yang sebenarnya dipraktikkan di negara ini saya sedikitpun tidak gentar dan semua orang bukan Islam lain juga tidak akan takut.

"Tetapi kalau Islam cara Umno dan PAS hendak dilaksanakan di negara ini, saya dan semua bukan Islam lain memang wajar berasa bimbang. Sebenarnya tidak ada apa yang salah dengan Islam tetapi cara media kita melaporkan pergeseran antara Umno dan PAS mengenai negara Islam menimbulkan ketakutan di kalangan penganut agama lain," jelas peserta berkenaan.

Beliau menegaskan, sebaik-baik jalan untuk menghilangkan kekeliruan orang bukan Islam terhadap agama Islam ialah dengan Umno dan PAS berhenti bercakap mengenai Islam.

Kata-kata peserta dialog itu sepatutnya menjadi satu tamparan hebat kepada semua umat Islam di negara ini tidak kira sama ada mereka ahli Umno atau PAS. Jelas sekali bahawa segala kekeliruan, ketakutan atau pandangan serong terhadap Islam itu berpunca dari kita sendiri.

Caci-mencaci

Umat Melayu Islam negara ini gagal menghayati Islam walaupun sudah menganutinya sejak dari lahir lagi. Kita mempolitikkan Islam untuk kepentingan diri dan parti. Kita mengeluarkan fatwa dan pandangan sendiri mengikut kepentingan kelompok sendiri hingga merugikan ummah.

Mungkin ada benarnya saranan peserta bukan Islam itu yang meminta supaya Umno dan PAS berhenti bercakap pasal Islam sebab bila kedua-dua parti ini bercakap tentang Islam, mereka hanya akan menjurus kepada kepentingan politik masing-masing.

Kedua-duanya akan cuba menjai "hero Islam yang terakhir" dengan mendakwa "aku lebih Islam daripada kamu" atau "hanya aku layak bercakap mengenai Islam". Ini kemudiannya membawa kepada gejala cemuh-mencemuh dan caci-mencaci yang akhirnya menburukkan imej Islam itu sendiri.

Sebagai contoh, bila bercakap tentang undang-undang Islam, PAS akan bertegas dengan undang-undang hududnya manakala Umno pula akan memberi gambaran kepada seluruh masyarakat bahawa bila hudud dilaksanakan, negara ini akan dipenuhi oleh mereka yang kudung tangan dan kakinya.

Pergeseran dan gambaran-gambaran negatif mengenai undang-undang dan kenegaraan Islam yang dibuat oleh orang politik sebegini telah menimbulkan kekeliruan dan ketakutan terhadap Islam sehingga Islam menjadi sinonim dengan keganasan.

Leraikan perbezaan

Oleh itu sudah sampai masanya Umno dan PAS mengkaji balik pendekatan masing-masing mengenai Islam. Kalau peserta dialog berkenaan yang berpendidikan tinggi dan telah mengkaji Islam turut terkeliru dan bimbang terhadap Islam, apa pula yang kita harapkan dari bukan Islam yang sekadar pergi ke sekolah jenis kebangasaan dan tidak mendekati Islam.

Umno dan PAS tidak wajar lagi melihat Islam itu sebagai alat meraih sokongan politik. Kalau umat Islam benar-benar mahu agama mereka dihormati, difahami oleh bukan Islam dan tidak dikaitkan dengan keganasan, ajaran Islam yang sebenar yang memupuk toleransi, kemuafakatan dan kelembutan harus dipraktik dan ditunjukkan.

Pemimpin kedua-dua parti patut merintis jalan untuk duduk semeja bermusyawarah, meleraikan perbezaan antara mereka dan bersama-sama menjunjung agenda Islam.

Tidak wajar kita marah bila puak-puak anti Islam memburuk-burukkan Islam kerana memang sudah menjadi tugas mereka untuk berbuat demikian. Kita sepatutnya marah dan menyalahkan diri sendiri kerana akibat daripada perpecahan umat Islamlah maka timbul segala pandangan negatif terhadap agama yang suci ini.

Kita jangan berharap orang bukan Islam negara ini memahami dan menerima Islam kalau Islam itu terus dipolitikkan !


AMAN RAIS adalah bekas wartawan yang pernah berkhidmat dengan beberapa akhbar arus perdana. Beliau telah meninggalkan kerjaya sebagai "pelapor berita prokerajaan" untuk menjadi penulis bebas bagi mencari wadah perjuangan yang lebih berkesan dan terbuka.

http://www.malaysiakini.com/columns/20020310013059





Copyright © 2002 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved