IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

   
ISU SEMASA is updated on Wednesday, January 16, 2002 9:13 PM

Aku Janji: Sumpah Taat Setia Yang Anti-Demokratik


Aku Janji adalah amat bertentangan dengan fungsi akademik mencari ilmu secara bebas, tanpa berpihak ke mana-mana
Oleh Rosli Omar

(sumber : Laman Marhaen)

Kerajaan mahu kita akademik menandatangani peraturan "Aku Janji". Tujuannya, menurut Pekeliling 17 2001, untuk "melahirkan pegawai awam yang berdedikasi, komited, bertanggungjawab dan mempunyai semangat patriotisme yang tinggi untuk memajukan negara kita ini". Bagi orang ramai yang membaca tujuan ini mungkin menganggap bahawa ini adalah tujuan yang murni, yang tidak ada kontroversinya.

Aku Janji ini banyak kontroversinya; banyak implikasi buruk bagi para akademik, masyarakat dan negara.

Mula-mula kita tengok dulu beberapa hal yang kita kena tandatangani yang saya anggap kontroversi. Kita kena mengaku akan mematuhi peraturan ini dan itu yang sudah pun wujud semasa kita menandatangani perjanjian perkhidmatan dengan UM. Ini sudah kita buat. Tetapi selain dari itu setiap dari kita dimestikan mengaku taat kepada "pekeliling dan surat pekeliling serta peraturan dan arahan lain yang dikeluar dan dikuatkuasakan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa sepanjang perkhidmatan saya dengan Kerajaan".

Maksudnya, kita diminta mengaku taat setia kepada sesuatu yang belum lagi wujud, yang kita tak tahu isinya, apa perintahnya, burukkah, baikkah. Saya tak dapat bayangkan macam mana ini boleh dituntut terhadap kita. "Saya tak tahulah apa yang nak disuruh saya taat setia, kepada apa, tetapi saya mengaku akan taat setia, walau apa pun yang diminta."

Ini betul-betul tidak menghormati komuniti akademik. Kononnya fungsi kita adalah untuk berfikir tentang dunia dan masalah masyarakat secara objektif, tanpa pro kepada mana-mana pihak. Tetapi diminta kita mengaku taat setia kepada sesuatu yang tidak kita ketahui apa yang nak ditaatkan. Mana boleh.

Isu Kontroversi

Ada tiga perkara lagi yang menjadi isu kontroversi pada pandangan saya:

Perkara (i) "akan sentiasa taat kepada Yang di-Pertuan Agong, negara dan Kerajaan"; Apakah makna "taat" di sini, terutama taat kepada kerajaan? Ia boleh mentafsirkan teguran dari akademik, yang dibuat secara telus, sebagai menentang sesuatu perintah, dasar, atau perlaksanaan dasar kerajaan. Teguran ini, yang sepatutnya menjadi tugas akademik, boleh ditafsirkan sebagai tidak taat terhadap kerajaan.

Keterangan dalam Pekeliling 17 mengenai Aku Janji bagi Perkara (i) ialah, "Pegawai yang menentang atau mengkritik dasar Kerajaan akan merosakkan kebolehpercayaan dan keutuhan perkhidmatan awam keseluruhannya." Ini bunyinya macam orang tidak ada kepercayaan diri. Begitu rapuhkah perkhidmmatan awam, tidak boleh menerima teguran atau kritikan langsung? Kalau begitu rapuh, teguran dan kritikanLAH yang akan mengukuhkannya. Kelemahan sesuatu organisasi hanya boleh dibaiki melalui kritikan dan teguran. Kalau tidak, organisasi itu tidak akan tahu bahawa ada kelemahan dalam organisasinya. Syok sendiri, orang kata.

Satu lagi perkara memberi kontroversi yang sama. Perkara (ix): berjanji "tidak Ingkar Perintah Atau Berkelakuan Dengan Cara Yang Boleh Ditafsirkan Sebagai Ingkar Perintah." Seperti di atas juga, adakah teguran dan kritikan yang iklas, yang tidak disenangi pihak tertentu, dianggap ingkar?

Sebelum ini, dalam isu serangan penyakit Nipah, pada awalnya, Kementerian Kesihatan mengeluarkan perintah bahawa penyakit itu adalah penyakit JE. Ia tidak benarkan sesiapa, termasuk para akademik, untuk memberi pendapat lain, menyoal diagnosis itu.

Berpandukan diagnosis JE langkah pun diambil untuk melawan penyakit. Bebarapa ahli akademik bagaimanapun "ingkar" dengan perintah dan menyatakan bahawa penyakit itu adalah Nipah. Tekanan dikenakan terhadap mereka kerana berani ingkar perintah.

Kemudiannya, pendapat sumbang ini didapati benar. (Kementerian cuba berdaleh dengan menyatakan bahawa penyakit adalah Nipah dan juga JE, nama yang kekal sehingga sekarang). Diagnosis JE dengan tindakannya, tanpa diagnosis sebenar yang dinafikan, menyebabkan kematian. Jika kementerian bersikap terbuka dan sedia menerima pendapat dari berbagai pihak, mungkin penyakit ini dapat dibendung dengan lebih baik, tanpa kematian.

Dalam penerangan bagi Perkara (ix), di sebut, "Dalam konteks ini juga, Kerajaan dari semasa ke semasa ada mengeluarkan arahan atau garis panduan tertentu melalui undang-undang, peraturan, pekeliling atau surat pekeliling." Seperti disebut di atas, memberi taat setia kepada sesuatu yang akan diberitahu dimasa hadapan tidak dapat diterima.

PKAUM adalah suatu kesatuan sekerja ("union," bukan persatuan) yang diberi hak undang-undang untuk menjaga kepentingan ahlinya. Misalannya dalam menyoal arahan-arahan yang dikenakan kepada ahli. Tetapi apa maknanya jika ahli telah pun bersumpah taat setia kepada sebarang arahan yang telah dan, lebih penting, yang akan diberikan dimasa depan. Dari segi moral dan etika tentulah tidak betul bagi sesuatu kerajaan mengenakan sumpah taat setia sebegini rupa. Macam mana pula dari segi undang-undang: selepas mengaku taat setia terhadap apa saja kemudian nak pertikaikan sesuatu arahan?

PKAUM pun tentu serba salah. Adakah Pekeliling 17 ini difikirkan dengan telti? Bolehkah kita menyoal sama ada kementerian berwibawa dalam hal ini? Takut nanti "akan merosakkan kebolehpercayaan dan keutuhan perkhidmatan awam keseluruhannya." Kita tak hendaklah buat sampai begitu.

Pengaruh Luar?

Perkara kontroversi terakhir, ialah Perkara (viii): berjanji "tidak akan membawa sebarang bentuk pengaruh atau tekanan luar untuk menyokong atau memajukan tuntutan saya atau pegawai lain berhubung dengan perkhidmatan awam". Adakah ini bermakna kita atau PKAUM tidak boleh meminta bantuan pakar luar untuk membantu dalam sesuatu yang perlukan keterangan pakar, pakar yang tidak terdapat di dalam universiti? Ataupun khidmat peguam? Atau membawa masalah kepada pihak persatuan akademik antarabangsa, atau Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Suhakam? Kita tidak tahu dimasa depan apa bentuk bantuan yang kita perlu. Agak berbahaya pada masa ini untuk mengaku taat akan Perkara (viii) pada hal kita tidak tahu bentuk masalah yang akan dihadapi kelak.

Mengikut penerangan Perkara (viii), "Sebarang masalah yang dihadapi oleh seseorang pegawai seharusnya diurus dan diselesaikan mengikut saluran rasmi yang disediakan".

Saya sudah banyak kali dengar tentang "saluran rasmi," dalam konteks yang berbeza-beza. Ada kalanya ianya berjaya menyelesaikan masalah. Ada kalanya ia cuma merupakan jalan untuk melenyapkan sesuatu isu yang tidak disenangi, tertimbus dek berbagai mesyuarat jawatankuasa itu dan ini. Dalam kes ini, jalan lain patut ada supaya masalah dapat diselesaikan.

Ini kehendak keadilan semulajadi (natural justice).

Mengikut penerangan itu lagi, "penggunaan pengaruh luar juga boleh memberi gambaran seolah-olah kepimpinan dalam perkhidmatan awam tidak mampu dan tidak cekap menangani masalah yang dihadapi oleh warganya." Seperti dikatakan di atas, ini bunyinya macam orang yang tidak beryakinan diri. Kalau yakin perkhidmatan awam kita adalah begitu baik, kenapa takut dengan bantuan luar? Saya lihat, penerangan Perkara (viii) ini betul-betul defensif, macam orang ketakutan, tanpa hujah yang baik, lalu memainkan lagu patriotisme dengan cuba menyakinkan diri tentang betapa baiknya perkhidmatan awam kita; dan keyakinanan ini tidak boleh dipersoalkan lagi. (Saya teringat kata-kata, patriotism is the last refuge of the scoundrel.)

Antara lain, penerangan menyatakan, "Kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam banyak bergantung kepada kemampuan pegawainya menguruskan keperluan dan masalah mereka mengikut saluran yang betul. Dengan lain perkataan, jentera pentadbiran awam akan berjalan lancar tanpa campur tangan atau tekanan oleh pihak luar. Dengan menggunakan pengaruh luar menunjukkan bahawa pegawai terbabit tidak mempunyai keyakinan terhadap kemampuan sistem pengurusan yang terdapat dalam perkhidmatan awam untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya itu." Kalau betul-betul hendak lancar, jangan bagi peluang langsung untuk buat aduan, untuk bersuara, saluran rasmi atau pun tidak rasmi. Ini adalah kelancaran sistem autokratik. Sekali lagi saya katakan, jika kita begitu yakin dengan sistem pengurusan kita, apa hendak di takutkan orang luar.

Jika sebaliknya, kita sebenarnya tidak mampu, jika orang luar dapat membantu, kenapa kita tidak hendak belajar? Tentu tidak boleh syok sendiri, berkeyakinan tanpa diuji. Konsep Karl Popper, "falsifiability" - kebolehan dipalsukan - sepatutnya digunakan sebagaimana dalam menguji teori sains.

Kebebasan Akademik

Kalau kita teliti Pekeliling ini kita dapat gambaran bahawa ianya ditujukan kepada pentadbir awam, iaitu orang yang menjalankan perintah (macam mana mereka sudahi surat-surat mereka, Saya Yang Menurut Perintah). Dan saya difahamkan, memang surat aku janji yang dikenakan kepada para pentadbir dicedok terus untuk akademik. Saya berpendapat bidang masing-masing berbeza sama sekali untuk mengenakan aku janji bagi pentadbir kepada akademik. Pentadbir menjalankan, implementasikan, perintah atau dasar kerajaan. Akademik dalam institusi pelajaran tinggi sebaliknya. Akademik perlu menganalisis dan mencetus ide-ide baru untuk memajukan ilmu dan seterusnya masyarakat. Satu cara adalah dengan membantu dalam menggubal dasar secara terus dan satu cara lagi ialah dengan memberi kritikan danteguran secara telus terhadap dasar yang sudah digubal.

Menurut American Association of University Professors, AAUP, "Institusi pelajaran tinggi ditubuhkan untuk kebaikan sejagat bukan untuk kepentingan ahli akademik individu atau pun instutusi itu sendiri. Kebaikan sejagat bergantung kepada pencarian ilmu yang bebas untuk mendapat kebenaran dan penyebaran yang bebas bagi hasil pencarian itu." [1]

Dan menurut AAUP lagi, untuk mencapai kebaikan sejagat dan seterusnya kebenaran, "kebebasan akademik adalah paling penting di dalam kedua-dua pengajaran dan penyelidikan. Kebebasan dalam penyelidikan adalah asas bagi mengembangkan kebenaran. Kebebasan akademik dalam pengajaran adalah asas bagi melindung hak-hak akademik dalam pengajaran dan kebebasan bagi pelajar untuk belajar."

AAUP di asaskan pada 1915 untuk mempertahankan kebebasan akademik selepas ahli ekonomi yang terkenal, Edward Ross di Universiti Stanford, dibuang kerja kerana Puan Leland Stanford tidak sukakan pendapatnya mengenai ekonomi, terutama tentang monopoli perniagaan.

Bagi Robert Hutchins, bekas President Universiti Chicago, "pendidikan semestinya melibatkan pemeriksaan kritikal terhadap segala pendapat-pendapat yang berbeza; ia tidak dapat berkembang tanpa kebebasan berfikir, menyoal dan berbincang."

Bagi ahli falsafah Bertrand Russell, di dalam eseinya tentang fungsi seorang pengajar, "sepatutnya menjadi tugas seorang pengajar untuk .menanamkan kepada didikan mereka sikap fikiran terbuka, yang menentukan sesuatu isu berdasarkan meritnya." Bagi Russell juga, para pengajar memainkan suatu peranan yang amat penting, "satu-satu cara yang ada untuk mencegah totalitarianisme . adalah dengan mengujudkan badan-badan yang mempunyai kebebasan dalam menjalankan kerja-kerja awam yang berguna, dan diantara mereka para pengajar adalah antara yang terpenting."

Noam Chomsky, institiut profesor di MIT, bercakap tentang tanggungjawab intellektual berkata, "tanggungjawab intelektual bagi seseorang penulis, atau sesiapa sahaja, adalah untuk menyatakan kebenaran."

Maka dari peringkat yang paling asas, segala sumpah taat setia kepada pihak-pihak berkepentingan, termasuk Aku Janji terhadap mana-mana kerajaan, adalah amat bertentangan dengan fungsi akademik mencari ilmu secara bebas, tanpa berpihak kemana-mana, tanpa tujuan-tujuan berkepentingan. Setakat yang saya tahu, tidak ada mana-mana kerajaan yang mengamalkan demokrasi yang meminta sumpah taat setia daripada ahli akademiknya, terutama taat setia kepada apa saja yang akan difikirkan dimasa depan.

Dalam tahun 1982, bila Israel cuba mendapatkan sumpah taat setia dari ahli akademik Palestin bahawa mereka tidak akan menyokong PLO, 200 ahli akademik Israel sendiri menandatangani surat bantahan. Kata mereka, ini melanggar kebebasan akademik. George Schultz, Setiausaha Negara Amerika Syarikat pada masa itu, yang tidak dikenali sebagai bersimpati dengan perjuangan rakyat Palestin, pun membantah tindakan Israel dengan hujah yang sama.

Dengan sumpah taat setia Aku Janji para akademik akan berdiam diri di dalam kes Nipah tersebut tadi, atau di dalam kes di mana kerajaan tidak membenarkan Indeks Pencemaran Udara (API) di beritahu umum atau dibincangkan kesan tahap pencemaran kepada masyarakat. Tujuan kerajaan mengharamkannya adalah kerana takut pelancong luar tidak akan datang ke negara kita. Kesihatan rakyat sendiri tidak apalah. Biarlah kita berasa senang dalam kedangkalan, dalam tidak-tahu.

Sikap Mencari Ilmu?

Perdana Menteri Dr Mahathir, di dalam ucapannya di persidangan "Isu-isu dan Proses Pembukaan-Minda Orang Melayu Islam" 29 Januari tahun ini berkata bahawa orang Melayu /Islam mesti bersikap terbuka-minda untuk maju. Dia juga selalu berkata bahawa tamadun Islam telah mundur disebabkan pengetahuan yang lapuk (ossification of knowledge) dan kurangnya sikap mencari ilmu pengetahuan (sprit of inquiry). Tetapi sikap terbuka-minda dan sikap mencari ilmu pengetahuan memerlukan suasana sekitaran yang membolehkan perbahasan yang bebas menyoal, termasuk menyoal mereka yang berkuasa. Maka dengan sendirinya, sikap terbuka-minda dan suasana sekitaran ini adalah bercanggah dengan semangat Aku Janji. Untuk maju ke hadapan semangat seperti yang terdapat di dalam Aku Janji, semangat yang mahukan taat setia kepada apa saja yang sudah dan akan ditentukan, mesti di luputkan.

Aku Janji boleh melemahkan semangat orang muda dari memasuki bidang akademik, bila ditimpa satu lagi faktor menindas selain dari Akta Universiti dan Kolej Universiti, OSA, dll. Kekurangan tenaga baru akan menyebabkan para akademik yang sedia ada dibebankan lagi dengan penambahan pengajaran dan mengurangkan masa penyelidikan. Akademia akan tambah mundur.

Aku Janji bercanggah dengan tujuan menjadikan universiti kita bertaraf dunia. Aku janji akan merosakkan rancangan kerajaan sendiri untuk menhghasilkan pemenang Hadiah Nobel.

Secara sampingan sedikit, saya tertarik dengan apa yang dikatakan oleh David Reisman, profesor sains sosial di Harvard, tentang pelajar yang berjaya di dalam kerjaya mereka selepas keluar universiti, "mereka adalah yang tidak terlalu patuh, yang tidak mempunyai rekod A memanjang. Mereka yang membangkang sedikit, kurang betul sedikit tetapi tidaklah lepa terus; pelajar begini biasanya menarik kepada pengajar yang dalam dirinya sendiri tidak ditutup terus perasaan membangkang mereka, iaitu perasaan yang mendorong mereka menjadi pengajar pada mulanya, walaupun pelajar sebegini kadangkala membawa masalah kepadanya."

Akademik memang patut bersumpah taat setia - kepada sikap akademik: "Saya berjanji akan taat setia kepada semangat terbuka-minda, sikap mencari ilmu pengetahuan demi mencari kebenaran tanpa prejudis, tanpa berkepentingan."

Rosli Omar ialah seorang akademik sektor awam. Beliau sedar bahawa memberi pendapatnya (yang ikhlas) mengenai Aku Janji akan menjejaskan "kesihatan" akademiknya. Tetepi ia harus dilakukan.
Sumber:
Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN) (National Consciousness Movement)
103 Medan Penaga, 11600 Penang, Malaysia
Tel: +60 (0)4 658 5251 Fax: +60 (0)4 658 5197


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved

EMAIL: Idealis-Mahasiswa