IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | InfoSiswa| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Sunday, April 14, 2002 10:10 PM

Ungku Aziz bercakap mengenai pencapaian akademik pelajar Melayu


Terjemahan: Suntzi Jr (suntzi-junior@care2.com)

Profesor Diraja Ungku Aziz berkata kaum wanita Melayu telah mendahului kaum lelaki dalam bidang pendidikan, ekonomi dan pengurusan, dan perkembangan ini adalah sesuatu yang memberangsangkan.

Ungku Aziz berkata wanita Melayu masa kini sudah maju kehadapan dan pintar dalam mengatur haluan hidup serta berkeupayaan mencatur masa depan mereka. Ungku Aziz berkata,

"Mereka sedar bahawa jika mereka memperolehi pencapaian akademik yang cemerlang, mereka akan berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kaum lelaki di alam pekerjaan. Mereka boleh berdiri di atas kaki sendiri dari segi ekonomi dan kehidupan harian tanpa perlu bergantung kepada kaum lelaki."

"Para cendekiawan harus mengambil berat fenomena pencapaian akademik yang rendah di kalangan pelajar lelaki Melayu. Kini pencapaian kaum wanita di IPTA jauh lebih baik berbanding kaum lelaki."

Ungku Aziz mengingatkan masyarakat Melayu supaya tidak lagi menerangkan fenomena ketidakcapaian akademik pelajar lelaki Melayu dengan pelbagai alasan yang tidak logik.

"Jikalau pelajar perempuan Melayu boleh memperolehi pencapaian yang cemerlang, kenapa tidak pula lelaki Melayu?"

Ungku Aziz menegaskan bahawa institusi pendidikan tempatan di setiap peringkat, sehingga kini, tidak begitu memahami kepentingan mempelajari dan menguasai bahasa Inggeris. Keadaan ini, menurut Ungku Aziz, telah menyukarkan pelajar tempatan dalam usaha mereka menganjurkan aktiviti penyelidikan yang bertaraf antarabangsa.

"Kita harus menerima hakikat bahawa bahasa Inggeris ialah bahasa antarabangsa. Tapi saya rasa orang Malaysia pun tidak pandai dalam bahasa ibonda mereka."

Mengenai dakwaan bahawa penurunan pencapaian akademik di IPTA tempatan, sehingga membawa kepada hilangnya minat sector swasta terhadap graduan IPTA tempatan, adalah disebabkan oleh faktor pengkoperatan universiti yang lebih berorientasikan keuntungan komersil daripada kualiti akademik, Ungku Aziz berkata beliau pernah berbincang dengan pentadbir Universiti Malaya mengenai isu tersebut. Namun tiada bukti kukuh yang dapat menunjukkan sejauh manakah tahap pengangguran yang dihadapi graduan Universiti Malaya.

Bagaimanapun, Ungku Aziz menegaskan bahawa sistem pendidikan di negara ini harus menjurus kepada pengukuhan penulisan dan kemahiran bertutur dalam bahasa Inggeris, termasuk pindaan dalam beberapa pendekatan pendidikan yang supaya ia mampu menguatkan daya pemikiran pelajar.

Mengenai status Bahasa Melayu sebagai bahasa nasional, Ungku Aziz berpendapat,

"Memahami kepelbagaian latar belakang sejarah dan kehidupan setiap kaum di Malaysia, kita tidak boleh memaksa semua orang berkomunikasi hanya dengan satu bahasa. Akan tetapi, saya akui bahawa perlunya diwujudkan satu common language, sama ada bahasa Melayu atau bahasa Mandarin."

*Artikel ini adalah terjemahan daripada laporan akhbar yang diterbitkan dalam Nanyang Siang Pau pada 8 April 2002. Sila rujuk artikel sebenar jika terdapat sebarang kemuskilan. Ikuti bahagian kedua di laman web idealis-mahasiswa.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved