Idealis Mahasiswa
 
 

Pelajar Sanggah Azmin


Hit = [ ]

ANTIPEMBOHONG, Pelajar dari London, UK.

Terdahulu saya ingin menyatakan yang saya ini bukan prokerajaan ataupun propembangkang. Saya tertarik dengan ucapan Azmin Ali di dalam Web Radio/TV Harakah baru-baru ini di suatu perjumpaan di mana beliau menuduh bahawa pelajar yang menuntut di United Kingdom (UK) telah dibayar GBP50.00 seorang untuk datang berjumpa Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad semasa lawatan beliau ke London.

Di sini saya ingin memberitahu bahawa perjumpaan bersama Perdana Menteri di rumah kediaman Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK adalah sempena Jamuan Hari Raya Aidiladha. Jadi kehadiran kebanyakan pelajar bukan sahaja dari kawasan London malah dari seluruh UK adalah membanggakan.

Kebanyakan pelajar sudi datang kerana mereka ingin mengambil peluang ini untuk berjumpa dan bergambar bersama pemimpin kesayangan mereka. Ramai rakan saya dari Imperial College, London sempat bergambar dan bertemu mesra dengan Perdana Menteri. Malangnya ada juga yang tidak sempat berbuat begitu.

Kalau dakwaan Azmin betul, maknanya 1,000 orang pelajar pada jamuan Hari Raya Haji dan 1,000 lagi di Imperial College, London sudah menjadi 2,000 orang. Oleh itu, mengikut dakwaan Azmin, Jabatan Pelajar Malaysia (MSD) perlu mengeluarkan GBP100,000.00 (2,000 x GBP50.00). Apakah MSD di London tanam `pokok duit' untuk keluarkan jumlah wang yang sebesar itu.

Jadi tuduhan Azmin Ali adalah tidak berasas dan semata-mata hendak memburukkan imej Perdana Menteri kita. (Pembaca boleh dengar ucapan Azmin dari homepej Pas yang juga cuba menidakkan perjumpaan dua hala Dr. Mahathir dengan Tony Blair dengan menuduh bahawa Chancellor UK, Gordon Brown telah mempelawa Azmin ke No. 11 Downing Street yang memberitahu Azmin bahawa Tony Blair hanya mengadakan jamuan teh selama 20 minit dan bukannya ada apa-apa perbincangan mengenai ekonomi, keganasan atau sebagainya yang diperkatakan oleh media Malaysia dengan muka surat pertama yang tunjukkan gambar Dr. Mahathir dengan Tony Blair).

Tambahan pula, kami yang pergi berjumpa Dr. Mahathir di Imperial College, London pada keesokan hari (24 Februari 2002) tidak pun diberi makanan ataupun jamuan ringan. Tetapi di situ ada lebih kurang 700 pelajar. Bukan saja pelajar dari Imperial College (lebih kurang 80 orang sahaja), tetapi yang selebihnya adalah dari sekitar London dan seluruh UK.

Di samping itu, lebih kurang 40 peratus pelajar yang menghadirinya adalah terdiri juga daripada bukan Melayu. Ini jelas menunjukkan pelajar yang datang itu bukan semata-mata datang untuk makan ataupun dibayar GBP50.00 seperti mana yang difitnah oleh Azmin.

Oleh sebab itu, saya bersama rakan-rakan saya di London ini ingin meminta Azmin Ali supaya jangan mempergunakan nama kami untuk kepentingan politiknya dengan menuduh pelajar-pelajar di London hanya pergi jumpa Dr. Mahathir kerana duit atau makan. Mungkin rakyat kampung di tanah air yang tidak dapat membezakan antara yang benar dan salah, akan mempercayai fitnah Azmin.

Duit yang mungkin diberi adalah untuk bayaran balik perjalanan segolongan pelajar (mungkin dari persatuan pelajar seperti UKEC, Malaysian Societies dan lain-lain) yang terpaksa datang dari jauh. Memanglah menjadi protokol biasa untuk menjemput presiden atau pengerusi dan ahli jawatankuasa persatuan-persatuan tersebut untuk datang berjumpa Perdana Menteri.

Ini kerana, merekalah yang mewakili kebanyakan pelajar di UK dan Eire secara amnya. Tetapi bilangan mereka adalah sangat kecil berbanding pelajar-pelajar lain yang memang ingin berjumpa Dr. Mahathir.

Tambahan pula, dalam ucapan itu Azmin mendakwa dan bertanya kenapa Perdana Menteri selalu ke luar negara. Azmin menuduh bahawa Dr. Mahathir baru sahaja balik dari lawatan ke New York, Argentina dan Antartika dan terus keluar negara ke Poland, Rusia dan Jerman.

Azmin cuba mengaitkan Malaysia dengan Singapura dan Jepun dengan mendakwa Goh Chok Tong dan Koizumi tidak pun selalu pergi ke luar negara tetapi negara mereka maju juga. Kenyataan ini jelas menunjukkan pengetahuan cetek Azmin. Cuba renung balik sejarah dan kebangkitan kedua-dua negara sebelum mereka mencapai status maju seperti sekarang.

Di samping itu, kalau kita lihat balik agenda Perdana Menteri dalam kedua-dua lawatan, kita akan faham yang Perdana Menteri cuba menggunakan masa sebaik mungkin walaupun sepatutnya beliau menghabiskan masa dengan bercuti dan makan angin.

Tetapi beliau sempat dan sudi meluangkan masa daripada cuti beliau itu untuk menghadiri forum ekonomi dunia (New York), bersama rombongan dan saintis negara ke Antartika, perjumpaan bersama pelajar di London dan lain-lain lagi.

Tambahan pula, beliau juga berhak untuk pergi makan angin seperti orang biasa di mana beliau ingin lupakan stress dan `tekanan' tugas memimpin sebuah negara.

Selain itu, adalah lebih baik beliau pergi ke luar negara berjumpa dengan pemimpin-pemimpin negara lain untuk perjumpaan dua hala, berbincang tentang ekonomi, keganasan dan menangkis sebarang tohmahan yang dilemparkan oleh orang seperti Azmin di luar negara. Jadi jauh lebih baik PM keluar negeri untuk menaikkan imej tanah air daripada orang seperti Azmin yang kerap ke luar negara untuk memburukkan imej Malaysia.

Dengan itu saya meminta supaya Azmin Ali jangan berbohong atau memfitnah untuk `agenda politik' diri sendiri. -





Copyright © 2002 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved