IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Sunday, April 14, 2002 10:12 PM

MAJLIS FATWA KEBANGSAAN PERLU KELUARKAN KENYATAAN BERKAITAN PERARAKAN BURUNG PETALAWATI DI KELANTAN


.Mohd.I zwan Bin Haji Md.Yusof,PMIUM

Sejajar dengan tema Maal Hijrah 1423 H pada tahun ini "Bersama Hayati Keindahan Islam";PMIUM berpendapat semua pihak yang meliputi semua peringkat sama ada di peringkat kerajaan ,institusi Islam,masyarakat Islam mahupun individu muslim itu sendiri,perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan Islam terus dilihat sebagai satu agama yang komprehensif dengan ajaran dan amalannya yang sentiasa mengutamakan kedamaian dan keamanan sejagat sebagaimana Islam menghormati dan mengiktiraf agama lain.Apatah lagi ,setelah peristiwa 11 September,imej Islam cuba dikaitkan dengan keganasan,fundamentalis dan pelbagai imej buruk yang lain.

Selaku umat Islam yang menyedari kepentingan Islam dipraktikkan dalam kehidupan seharian,maka segala usaha yang cuba menimbulkan sebarang keraguan dan kekeliruan terhadap ajaran Islam perlu dibendung segera.Sebagaimana yang kita sedia maklum,Islam adalah satu sistem yang syumul yang merangkumi seluruh aspek kehidupan seperti soal kenegaraan,politik,ekonomi,sosio budaya dan kehakiman.Justeru,PMIUM berpendirian semua pihak perlu sama-sama menggembleng tenaga dengan serius ke arah memartabatkan Islam di negara ini selaras dengan peruntukan di dalam perlembagaan yang menyatakan Islam adalah agama rasmi bagi negara kita.

Mutakhir ini,kita dihebohkan dengan isu perarakan burung petalawati yang akan diadakan sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan.Beberapa pihak sudah mengeluarkan kenyataan yang menegaskan bahawasanya perarakan sebegini mengandungi unsur khurafat dan syirik.PMIUM ingin menegaskan bahawasanya,Majlis Fatwa Kebangsaan perlu tampil untuk memberi penjelasan kepada masyarakat Islam mengenai perarakan tersebut.Ini kerana ia penting dalam menjelaskan kebimbangan yang timbul khususnya di peringkat rakyat Kelantan sendiri kerana sedikit sebanyak ia membabitkan persoalan aqidah..Sememangnya orang Melayu sebelum ini tekenal dengan beberapa amalan yang dilarang oleh Islam kerana mengandungi unsur khurafat dan syirik seperti mandi Safar dan menyemah pantai.

Oleh yang demikian ,PMIUM menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan untuk memberikan kenyataan berkaitan dengan isu ini perarakan burung petalawati sesegera mungkin.Jika sebelum ini Majlis Fatwa Kebangsaan boleh memutuskan beberapa fatwa penting yang melibatkan kejadian Memali,Amanat Haji Hadi,pengklonan manusia ,isu 4% PTPTN dan kalungan bunga kepada Tugu Negara sempena Hari Pahlawan,kenapa tidak dengan perarakan burung petalawati ini yang mengandungi unsur khurafat dan syirik!Kita tidak mahu perkara sebegini dibiarkan tanpa sebarang penerangan yang jelas kepada masyarakat Islam di Malaysia.

Justeru,PMIUM berpendirian sebagai sebuah institusi agama yang cukup penting di Malaysia pada hari ini,Majlis Fatwa Kebangsaan perlu bertegas dalam sebarang perkara yang boleh menjejaskan keindahan Islam yang menafikan sebarang amalan yang mengandungi unsur khurafat dan syirik demi kemaslahatan masyarakat Islam di Malaysia keseluruhannya.Kepada pihak penganjur bagi perarakan burung petalawati,marilah sama – sama merenungi hadith Nabi yang bermaksud "Tinggalkanlah perkara yang meragukan kepada apa-apa yang tidak meragukan engkau".Biarlah segala amalan atau perbuatan yang ingin dilakukan berasaskan Al-Quran dan Al-Sunnah,ijma’ dan qias serta meninggalkan perkara-perkara yang mengandungi unsur-unsur syubhat,khurafat dan syirik kepada Allah.

Mohd.I zwan Bin Haji Md.Yusof

Presiden,
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya(PMIUM)
Aras 2,Blok F,Kompleks Perdana Siswa ,
Universiti Malaya.
800507-03-5495
017-3435354


Halaman Utama

 

Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved