IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | InfoSiswa | Arkib | Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Sunday, April 14, 2002 10:13 PM

Saat Memprotes: Krisis dan Trend Politik Malaysia Kontemporari


Saat Memprotes merupakan hasil pandangan pensyarah universiti tempatan yang merujuk kepada suasana genting politik Malaysia 1999. Pada tahun tersebut, demonstrasi jalanan anjuran reformis dan pelajar memuncak di ibu kota. Nama dan foto Anwar menjadi pelaris untuk buku politik,akhbar tabloid dan majalah politik.'Mood ketika itu mood memprotes',kata Mohd. Sayuti Omar. Setelah pilihanraya umum 1999, mood memprotes ditunjukkan melalui undian dan kepimpinan negara negara yang ada sekarang adalah manifestasi mood itu. Ulasan bebas penasakti2002@yahoo.com)

SAAT MEMPROTES:

KRISIS DAN TREND POLITIK MALAYSIA KONTEMPORARI

Muhammad Asri bin Mohd Ali

Faculty of Economics & Administration

University of Malaya

g9asri@umcsd.um.edu.my

PENGENALAN

Protes masyarakat terhadap regim politik yang bersifat sentralis dan sering menggunakan kekerasan dalam mempertahankan kuasa telah melanda negara-negara rantau Asia Timur dalam dua dasawarsa kebelakangan. Kini protes tersebut sedang mengambil tempat di Malaysia. Ia menunjukkan bahawa regim politik Malaysia melakukan kesilapan sama yang dialami oleh regim-regim politik tidak demokratis dan telah ditumbangkan dibanyak tempat sebelum ini, iaitu ketidakupayaan untuk melakukan desentralisasi dan demokratisasi seiring dengan pembangunan ekonomi.

Pembangunan ekonomi yang dinikmati dalam tiga dekad lalu berjaya meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan merombak struktur budaya masyarakat dari berpegang kepada nilai-nilai lama kepada nilai baru yang mendapat kekuatan daripada arus globalisasi. Seiringan dengan itu tuntutan terhadap proses demokratisasi makin meningkat. Masyarakat semakin kritikal dan sedar akan hak politiknya dan menolak segenap perlakuan berbentuk diskriminasi dan repressif.

Kertas ini dimulai dengan membincangkan latarbelakang politik Malaysia, bahagian kedua ditumpukan kepada usaha UMNO membangunkan kelas kapitalis Melayu dalam rangka DEB dan kesannya kepada elit UMNO. Bahagian ketiga menyentuh tentang peranan kelas menengah dalam mencorakkan politik Malaysia dan bagaimana krisis politik yang berlaku pada tahun 1998 menimbulkan masalah antara UMNO/BN dan kelas menengah di Malaysia.

DOMINASI UMNO/BN DAN POLITIK MALAYSIA

Semenjak mendapat kemerdekaan dari British pada tahun 1957, elit politik pada masa itu yang mengabungkan diri mereka dalam Perikatan (diterajui UMNO, MCA dan MIC) berjaya membangunkan satu bentuk pemerintahan yang agak demokratis sifatnya dalam kerangka "consociational democracy" (Lijphart 1977; 153 ). Konsep demokrasi yang mementingkan perkongsian kuasa dalam pembahagian kerusi kabinet dan parti politik itu berjaya menghalang masalah etnik daripada mengancam kestabilan politik negara yang baru dibentuk. Institusi parlimen, pilihanraya, badan kehakiman yang independen, darjah toleransi yang tinggi terhadap pembangkang dan konsep "rule of law" (walaupun tidak sepenuhnya), menunjukkan bahawa pembangunan demokrasi di Malaysia jauh ke hadapan berbanding dengan negara membangun yang lain pada ketika itu (Mauzy 1993; 107).

UMNO yang menunjangi Barisan Nasional (sebelum 1974 dikenali sebagai Perikatan) dalam rangka mempertahankan kekuasaan politiknya telah mengekalkan beberapa undang-undang bekas peninggalan kolonial yang tidak demokratik seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA pindaan tahun 1960). ISA, sebelum itu dikenali sebagai Ordinan Darurat, pada asalnya digunakan oleh British untuk menghadapi pemberontakan komunis tetapi di tangan elit UMNO akta itu digunakan untuk menghapuskan musuh-musuh politik dari dalam parti UMNO sendiri, pemimpin parti-parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti berlaku pada tahun 1987. Penggunaan ISA merupakan indikator terhadap keengganan regim politik memberi komitmen kepada pemerintahan yang lebih bersifat terbuka dan menghormati nilai-nilai hak asasi warganegaranya.

Dalam masa yang sama UMNO/BN mengekalkan beberapa prosedur demokrasi seperti pilihanraya. Walaupun perjalanan pilihanraya boleh dipertikaikan, tetapi ianya mampu digunakan oleh UMNO/BN untuk mendapat legitimasi. Pilihanraya mempunyai fungsi khusus kepada UMNO/BN. Pilihanraya diadakan dengan matlamat bukan untuk memberi peluang kepada masyarakat membuat "pilihan" dalam ertikata sebenarnya tetapi tidak lebih daripada proses untuk "memobilisasikan" sokongan masyarakat terhadap kerajaan. Parti-parti pembangkang dibenarkan bertanding tetapi peluang yang sama rata seperti mendapat liputan media massa (akhbar harian, radio dan televisyen) tidak diberikan kepada mereka. Media massa dikawal sepenuhnya oleh UMNO/BN dan begitu juga dengan tarikh pilihanraya yang bakal diadakan. Kewujudan parti politik pembangkang dalam dua ekstrim iaitu PAS yang menekankan Islam dan DAP yang menekankan meritokrasi menguntungkan UMNO/BN dalam percaturan politik yang masih tebal ditunjangi oleh trend politik yang berunsur etniksiti.

Kepada masyarakat Melayu, UMNO memprojeksikan imej bahawa hanya UMNOlah yang boleh melindungi mereka dalam lautan masyarakat bukan Melayu (yang menekankan meritokrasi) dan kepada masyarakat bukan Melayu, UMNO/BN menonjolkan imej hanya mereka sahaja yang boleh menjamin identiti dan kebudayaan masyarakat bukan Melayu dilindungi daripada dihapuskan oleh puak ultra-nasionalis Malayu dan ekstrimis agama (PAS). Dalam usaha untuk memenangi sokongan terutama masyarakat Melayu UMNO/BN menonjolkan imej bahawa mereka mementingkan soal agama dan dalam masa yang sama tidak melupakan persoalan pembangunan. Aktiviti-aktiviti keagamaan diberi sokongan dan publisiti yang meluas oleh media massa, antaranya ialah seperti sambutan Ma'al Hijrah, Maulidur Rasul, majlis tilawah al-Quran. Di samping kegiatan berbentuk ritual, UMNO membuktikan Islam boleh dilaksanakan dalam aktiviti ekonomi dan pendidikan moden. Perkara ini dilakukan dengan penubuhan Bank Islam, Insuran Islam (Takaful), Tabung Haji, dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Kumpulan-kumpulan agama yang dikira menyeleweng seperti al-Arqam dan Syiah diperangi dan dihapuskan. Islam yang mementingkan pembangunan material dan tolerensi sesuai dengan masyarakat Malaysia yang multi-etnik, multi-budaya dan multi-rasial berjaya diterapkan oleh UMNO dan menerima sokongan bukan sahaja daripada masyarakat Melayu bahkan juga masyarakat bukan Melayu di bandar (Gomez 1996; 39-45).

Dari sudut lain UMNO/BN membuktikan bahawa mereka berjaya menguruskan pembangunan ekonomi di negara ini dengan berkesan. Ekonomi negara telah berjaya ditransformasi daripada bergantung kepada pertanian kepada pengeksport dan pengeluar barangan perindustrian seperti barangan elektronik, kenderaan pengangkutan dan lain-lain keluaran perkilangan. Program penswastaan, liberalisasi ekonomi, kemasukan pelabur asing dan seumpamanya berjaya mengekalkan pertumbuhan ekonomi di tahap yang tinggi (5-7 %) untuk jangka masa yang agak panjang (kecuali pada tahun-tahun 1974-75, 85-86 dan 97-98).

Kestabilan, pembangunan dan soal "ketuanan politik Melayu" sentiasa ditekankan oleh pemimpin UMNO di samping menghidupkan kembali nilai-nilai feudal seperti kesetiaan tanpa soal kepada pemimpin, tidak mengkritik secara terbuka dan sebagainya. Nilai-nilai feudal itu disuburkan dengan memberi ganjaran terhadap kesetiaan dan memberi gelaran "penderhaka" kepada mereka yang mengkritik kerajaan. UMNO/BN disamakan dengan negara atau kerajaan di mana menentang UMNO/BN dianggap menentang kerajaan. Tenaga-tenaga politik yang berupaya menggerakkan massa seperti media, NGO, kesatuan buruh dan kesatuan pelajar diajak berdiri di belakang kerajaan dalam usaha untuk mewujudkan kestabilan. Pemimpin NGO yang lantang mengkritik kerajaan adakalanya diko-optasi oleh UMNO/BN seperti yang dialami oleh Anwar Ibrahim pada tahun 1982, pada ketika lain, pengambilalihan ekuiti menerusi proksi dilakukan (seperti dialami oleh institusi media) dan tidak kurang juga menerusi undang-undang yang menyekat kebebasan mereka, misalnya menerusi Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU, 1971 dan 1975).

Strategi UMNO/BN seperti dinyatakan berjaya memastikan UMNO/BN sentiasa memperolehi kemenangan besar dalam setiap kali pilihanraya umum diadakan. Kecuali pada tahun 1969, UMNO/BN tidak pernah gagal dalam mempertahan dan mengekalkan kemenangan melebihi 2/3 majoriti yang dikehendaki untuk membentuk kerajaan di parlimen Malaysia (Crouch 1996; 75). Kemenangan selesa tersebut menyebabkan UMNO/BN tidak mempedulikan tentang perlunya soal demokratisasi dan pembangunan lain-lain aspek politik.

Dekad 70an dan awal 80an menyaksikan UMNO/BN berusaha mewujudkan suasana yang lebih demokratik khususnya sewaktu Dr. Mahahthir baru sahaja menjadi Perdana Menteri. Dalam period itu, tahanan-tahanan politik daripada regim sebelumnya dibebaskan. Kuasa raja-raja dikurangkan (dalam krisis perlembagaan pada tahun 1983) Akhbar harian yang memuatkan tulisan yang agak kritikal dibenarkan. NGO yang memperjuangankan soal ekologi, wanita, Islam, hak asasi manusia, isu kepenggunaan dan sebagainya beroperasi tanpa banyak kawalan dan sekatan (Nair 1999; 95). Sistem politik pada ketika itu juga menunjukkan keupayaan untuk bertindak balas (respond) terhadap permintaan dalam masyarakat, misalnya dalam soal Islam dan liberalisasi budaya. Namun begitu, pada pertengahan tahun 1980an, ruang-ruang keterbukaan dan desentralisasi itu tadi telah disempitkan kembali. Berikutan dengan peralihan dalam strategi pembangunan ekonomi yang lebih mementingkan penswastaan (dalam rangka membangunkan kelas kapitalis Melayu) dan mengutamakan kemasukan modal asing, beberapa akta seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (Pindaan 1986), Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi (OSA) telah diperkenalkan untuk mengawal kebebasan akhbar dan penyebaran maklumat.

Dekad 80an juga menyaksikan pemusatan kuasa eksekutif semakin pesat terutama apabila ISA digunakan untuk menangkap lebih kurang 103 orang aktivis masyarakat dan pemimpin pembangkang dalam "Operasi Lalang" pada tahun 1987. Beberapa akhbar harian (seperti The Star) dan akhbar mingguan (Watan) diberhentikan permit pengedarannya. Kebebasan kehakiman dinodai dengan teruk. Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Salleh Abas pada ketika itu dipecat menerusi satu tribunal yang agak kontroversi pada tahun 1988. Semenjak peristiwa tersebut, banyak diantara NGO yang mengambil sikap tidak mengkritik pihak kerajaan dan begitu juga dengan pihak media massa.

Sistem politik yang agak sentralis dan autoritatif membiakkan korupsi dalam regim yang ada. Darjah korupsi di peringkat tinggi menjadi semacam tidak terkawal. Hal ini disahkan sendiri oleh Dr. Mahathir sewaktu berucap di Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 1996 apabila beliau menyentuh dengan panjang lebar tentang budaya politik wang (Khoo 1997; 173). Skandal kabinet menteri terlibat dalam pemberian saham kepada ahli keluarga, kerugian berbillion ringgit Perwaja, kerugian Bank Bumiputera Malaysia Berhad dan lain-lain tidak diselesaikan hingga kini. Tidak ada seorangpun yang telah ditangkap bagi setiap kes tersebut dan tidak ada sebarang langkah diambil oleh pihak kerajaan untuk memastikan perkara tersebut tidak berulang di masa hadapan.

Penodaan terhadap institusi demokrasi seperti institusi kehakiman, Jabatan Peguam Negara, polis, media massa dan pemusatan kuasa dapat dilihat dengan jelas oleh masyarakat dalam krisis ekonomi dan politik yang berlaku pada tahun 1998. Peristiwa tersebut memberi jawapan kepada masyarakat kenapa regim politik negara ini tidak begitu berminat dalam mengamalkan keterbukaan, akauntabiliti dan menghormati undang-undang. Penggunaan kekerasan seperti menerusi ISA untuk menakut-nakutkan masyarakat tidak lagi berkesan.

KELAS KAPITALIS MELAYU DAN KRISIS DALAMAN UMNO

Peristiwa rusuhan kaum yang berlaku pada tahun 1969 memaksa elit UMNO mengubah strategi pembangunan daripada berorientasikan pasaran kepada peningkatan campurtangan kerajaan dalam pengurusan ekonomi. DEB yang diperkenalkan pada tahun 70an mencerminkan perubahan strategi tersebut. Menerusi perlaksanaan DEB, UMNO/BN berhasrat melahirkan Komuniti Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (BCIC) untuk menyaingi kelas kapitalis daripada kaum bukan bumiputera. Secara ringkas, sewaktu rusuhan kaum pada tahun 1969, etnik Melayu secara keseluruhan hanya memiliki 1.5 % daripada keseluruhan pemilikan modal saham dalam syarikat-syarikat yang beroperasi di Malaysia. Sementara masyarakat Cina memiliki hampir 23 % dan selebihnya dikuasai oleh syarikat multinasional dan warga asing. Kepada pemimpin UMNO, ketidakseimbangan dalam pemilikan modal dan ekuiti tersebut merupakan salah satu sebab berlakunya rusuhan kaum.

Bertolak daripada andaian tersebut, para pemimpin UMNO mempergiatkan usaha untuk menjayakan kelahiran BCIC atau kelas kapitalis Melayu. Berbekalkan jentera kerajaan seperti perusahaan awam, pemberian kontrak, kemudahan kredit, tawaran saham khas untuk bumiputera, pemberian maklumat dalaman dan sebagainya satu golongan kelas kapitalis Melayu berjaya dihasilkan oleh UMNO dalam masa hanya satu dekad. Antaranya ialah seperti Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Wan Azmi Hamzah, Halim Saad, Tajuddin Ramli dan beberapa nama lain.Aktiviti memperbesarkan kelas kapitalis Melayu walau bagaimanapun terbantut seketika terutama pada tahun 1985-86 apabila ekonomi Malaysia dilanda kemesetan akibat kejatuhan harga barangan komoditi di pasaran dunia pada waktu itu. Kemelesetan ekonomi yang berlaku telah membawa kepada krisis politik dalaman yang serius kepada UMNO.

Kemerosotan ekonomi menyebabkan tidak banyak sumber dapat diagihkan, hanya kumpulan yang berada di bawah naungan Tun Daim (Menteri Kewangan dari 1984-91) yang masih terus diberikan keutamaan dan kelas kapitalis Melayu yang lain diabaikan. Seorang pemerhati politik mengulas, "when the economy was booming in the 1970s and as early 1980s, they received substantial benefits. But once austerity measures were adopted in mid-1980s, patron were no longer in position to distribute the same amount of largesse to all their clients. As a results, many new businesspeople faced the prospect of bankruptcy. This life - or - death struggle between endangered business people fueled UMNO split in the late 80s" (Crouch 1997; 217).

Mereka yang diabaikan daripada polisi pengagihan mengambil sikap bergabung di bawah kepimpinan Tengku Razaleigh dan memaksa Tengku Razaleigh mencabar kepimpinan Dr. Mahathir dalam perhimpuan Agung UMNO tahun 1987. Walaupun Tengku Razaleigh kalah dalam persaingan tersebut, beliau tidak hanya berhenti setakat itu. Institusi mahkamah dan media massa digunakan untuk mencabar UMNO. Berbekalkan sokongan daripada sebilangan bekas pemimpin Majlis Tertinggi UMNO, beberapa orang bekas Menteri Kabinet, beberapa orang bekas Menteri Besar, kelas kapitalis Melayu yang disingkirkan dan segelintir kelas menengah Melayu, Tengku Razaleigh bertindak menubuhkan parti S-46 dan mengadakan kerjasama dengan parti-parti pembangkang untuk mencabar UMN/BN dalam pilihanraya umum.

Trend politik Malaysia mula mengalami perubahan terutama pada awal dekad 1990an apabila Tengku Razaleigh bersama parti S-46 semacam berjaya menyatukan parti-parti pembangkang di Semenanjung dan juga Sabah menerusi dua gabungan iaitu Gagasan Rakyat dan APU. Pilihanraya Umum Kelapan pada tahun 1990 meyaksikan BN yang di pimpin oleh UMNO mendapat saingan politik paling besar dalam sejarah perjalanan politik tanahair. Namun begitu prestasi parti-parti pembangkang dalam pilihanraya 1990 dan 1995 gagal mengatasi BN. Hanya Negeri Kelantan yang berjaya di tawan oleh pembangkang. BN bukan sahaja dapat mengekalkan majoriti dua pertiga kerusi yang dikehendaki bahkan peratusan undi popular BN turut meningkat terutama dalam pilihanraya umum kesembilan pada tahun 1995 (iaitu daripada 53.4 % kepada 65.1 %). Isu-isu yang ditimbulkan oleh pembangkang seperti keruntuhan sistem kehakiman (berikutan pemecatan kontroversi Ketua Hakim, Tun Mohd Salleh Abas), kerugian Bank Negara kerana terlibat dengan kegiatan spekulasi matawang, kerugian Perwaja Steel, skandal seks bekas Ketua Pemuda UMNO, skandal pemberian saham kepada ahli keluarga oleh Ketua Wanita UMNO, penghinaan pemimpin UMNO terhadap undang-undang Hudud seolah-olah tidak memberi sebarang kesan kepada UMNO/BN.

Kelas kapitalis yang menyokong Tengku Razaleigh diburu dan dinafikan daripada mendapat pinjaman bank, kontrak, saham dan sebagainya sehingga memaksa ramai di antara mereka yang terpaksa gulung tikar dan tidak kurang juga yang kembali semula ke pangkuan UMNO. Pada Mei 1996, S-46 dibubarkan dan Tengku Razaleigh kembali kepada UMNO. Barisan pembangkang yang dibentuk oleh beliau turut dibubarkan.

Keadaan ekonomi yang semakin baik pada awal tahun-tahun 90an berikutan dengan kebanjiran modal asing khususnya daripada Asia Timur memihak kepada UMNO dan membolehkan UMNO terus mempergiatkan usaha membangunkan kelas kapitalis Melayu, termasuk tiga orang anak lelaki Perdana Mentreri. Kelas kapitalis yang dibangunkan bukan hanya terhad kepada kumpulan yang bernaung di bawah Tun Daim tetapi turut diperluaskan kepada kumpulan yang bernaung di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memegang jawatan Menteri Kewangan dari tahun 1992-1998. Nama-nama seperti Datuk Khalid Mohd, Ishak Ismail, Kamaruddin Jaafar, Kamarudin Nor, Ahmad Zahid Hamidi, Nazri Abdullah dan ramai lagi merupakan antara kelas kapitalis yang diketehui umum mempunyai hubungan rapat dengan Anwar Ibrahim. Dalam masa yang sama Projek-projek mega seperti Putrajaya, Cyberjaya, KLCC, projek empangan Bakun, KL Linear City, Komplek Sukan di Bukit Jalil, KLIA, litar lumba kereta Formula One di Sepang, lebuhraya bertol dan banyak lagi dibangunkan. Kumpulan kapitalis yang bernaung di bawah Anwar walau bagaimanapun dikecualikan daripada mendapat projek-projek mega tersebut (Khoo 1997; 169)

Zaman mewah yang dinikmati pada awal dekad 1990 tidak bertahan lama. Kebanjiran modal asing yang tidak diawasi, amalan pengurusan kewangan syarikat yang suka berhutang dan sikap kerajaan yang tidak transparen dalam pemberian kontrak dan sebagainya mengheret Malaysia memasuki kancah krisis ekonomi yang melanda Asia Tenggara dan Asia Timur pada Julai 1997. Krisis yang pada mulanya melibatkan penurunan dalam nilai matawang itu kemudian merebak dengan pantas menjadi krisis kejatuhan pasaran saham dan akhirnya krisis ekonomi secara keseluruhan. Kejatuhan pasaran saham secara mendadak menyebabkan banyak syarikat yang mengalami masalah hutang yang serius. Tindakan menyelamat (bail-out) terpaksa dilakukan oleh kerajaan menggunakan wang Petronas, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Tabung Haji dan seumpamanya ke atas syarikat-syarikat yang mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri dan Tun Daim Zainuddin untuk menggelakkan daripada bankrup. Langkah tersebut ternyata tidak menyenangkan kelas kapitalis yang bernaung di bawah Anwar Ibrahim. Ini memaksa Anwar yang memegang jawatan Menteri Kewangan (1991-98) bertindak menjadi penghalang kepada rancang untuk menyelamat kroni dan kelas kapitalis berkenaan. Desakan daripada kelas kapitalis yang menghadapi perjuangan hidup mati dalam dunia perniagaan seterusnya menimbulkan konflik terbuka antara Anwar dan Mahathir (FEER, 18/6/98).

Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung pada pertengahan Jun 1998, telah digunakan oleh Anwar menerusi Ketua Pemuda UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi untuk membangkitkan soal kolusi, kroni dan dan nepotisme. Penggunaan slogan yang telah berjaya menjatuhkan Suharto di Indonesia itu dilihat oleh Dr. Mahathir sebagai usaha Anwar untuk mengambil kesempatan menggulingkan beliau dalam ketika negara mengalami krisis. Mahathir bertindak menangkis dakwaan beliau mengamalkan kroni dengan mengeluarkan senarai penerima projek-projek kerajaan yang didalamnya termasuk juga Zahid Hamidi (FEER, 27/6/98). Tiga hari setelah berlangsung Perhimpunan Agong UMNO, Tun Daim Zainuddin dilantik menjadi Menteri Tugas-tugas Khas yang bertanggungjawab terhadap ekonomi. Perlantikan Tun Daim menandakan episod awal dalam usaha penyingkiran Anwar dari UMNO yang dilakukan dengan cara yang amat tidak demokratik sehingga mencetuskan protes besar-besaran daripada masyarakat, khususnya kelas menengah dan kelas pekerja Melayu di bandaraya Kuala Lumpur.

PROTES DARI KELAS MENENGAH DAN KRISIS

Golongan marginal seperti kelas menengah memainkan peranan utama dalam politik Malaysia semenjak zaman kolonial lagi. Tiga elemen utama yang menggerakkan semangat nasionalis Melayu pada zaman kolonial ialah golongan yang mendapat pendidikan Inggeris, golongan yang mendapat pendidikan agama dan golongan yang mendapat pendidikan aliran Melayu. Kecuali golongan berpendidikan Inggeris, dua golongan lagi iaitu reformis agama dan inteligensia Melayu (seperti Ishak Hj. Mohamad, Dr. Burhanuddin Helmy, Ibrahim Yakob dan lain-lain) adalah terdiri daripada golongan kelas menengah (Andaya & Andaya 1982; 248-249). Merekalah yang melahirkan pandangan-pandangan yang kritikal terhadap rupa bentuk masyarakat Melayu dan idea-idea tentang kemerdekaan yang disalurkan ke peringkat massa. William R. Roff (1994), mengatakan,

".. anti-colonial nationalis idealogy could neither be articulated by peasantry owing to their narrow experince and outlook, as well as lack of literacy and organization capabilities, nor by their feudal aristocracy whore largely allied to colonial order. This task was shouldered by others from the educated middle strata – the intelligentsia – whose eductaion, social position and idealogy predisposed them to nationalism. The Arab-educated reformists and Malay-educated intelligentsia espoused anti-colonial nationalism, while few western English-educated elite in the main were often the mouthpieces of more conservative nationalism".

Namun begitu, atas beberapa sebab tertentu, elit berpendidikan Inggeris mampu menguasai kepimpinan UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946 dan memaksa pihak British menyerahkan kemerdekaan pada tahun 1957 kepada mereka. Golongan kelas menengah yang lebih radikal daripada gerakan nasionalis muncul pada dekad 50an dalam bentuk beberapa pertubuhan yang bersifat idealogi tetapi dihapuskan oleh regim secara kekerasan pada dekad 60an (Jomo, 1999; 146). Di tahun-tahun 70an dan 80an, kelas menengah terus mempromosikan idea dan imaginasi tentang rupa bentuk masyarakat Malaysia secara berterusan, khususnya bila Angkatan Belia Islam (ABIM) ditubuhkan. Idea mereka ternyata diterima oleh masyarakat dan pihak pemerintah terutama di tahun-tahun 80an apabila Anwar Ibrahim dibawa masuk ke dalam UMNO dan kerajaan terlibat secara aktif dalam memperkenal dan membangunkan beberapa polisi berunsur Islam seperti penerapan nilai-nilai Islam dan sebagainya.

Pembangunan ekonomi yang pesat semenjak DEB dilancarkan menjadikan golongan kelas menengah semakin besar, iaitu daripada 20 % daripada keseluruhan tenaga kerja pada tahun 1970 kepada 33.5 % daripada keseluruhan tenaga kerja pada tahun 1993. Sementara itu kelas pekerja industri pula bertambah dari 11.6 % daripada keseluruhan jumlah tenaga kerja pada tahun 1970 kepada 28.4 % dalam tahun yang sama (Jesudason 1996; 129). Kehadiran mereka dalam arus politik Malaysia dapat dilihat menerusi kemunculan pelbagai kumpulan NGO seperti disebutkan sebelum ini. Merekalah yang lantang mengkritik pihak kerajaan dalam krisis pada penghujung dekad 80an sehingga ramai diantara mereka yang ditahan di bawah ISA. Namun begitu, kekerasan tidak menghalang semangat mereka dan ada antaranya yang secara konsistan dan serius dalam memperjuangkan aspek demokrasi dan hak asasi manusia misalnya seperti Aliran, EPSM dan Suaram. Mereka bergerak aktif dalam penyebaran idea-idea baru menerusi penerbitan, forum, diskusi, diolog dan sebagainya. Kejayaan mereka dalam mendesak perubahan polisi yang "moderate" dan positif dapat dilihat menerusi penggubalan Akta Keganasan Rumah Tangga yang telah diluluskan oleh parlimen pada bulan Mei 1994 (Jesudason 1996; 153)

Walaupun terdapat banyak kelemahan dan kesilapan yang dilakukan oleh pihak kerajaan, penentangan golongan kelas menengah tidaklah begitu menonjol seperti sekarang. Ini mungkin kerana Anwar Ibrahim yang masih dilihat oleh sebilangan besar anggota kelas menengah (mewakili mereka) mampu membuat perubahan ke arah lebih positif apabila berkuasa kelak. Namun semua itu mula berubah apabila Anwar Ibrahim dipecat oleh Dr. Mahathir secara tidak demokratik sewaktu krisis 1998. Anwar dituduh dan dijatuhkan hukuman bersalah oleh Dr. Mahathir sendiri dengan alasan mengamalkan seks luar tabie (liwat), mengamalkan korupsi dan menjadi agen asing. Ruang tidak diberikan oleh media massa yang dikawal oleh UMNO untuk membolehkan Anwar menjawab tuduhan terhadapnya.

Setelah dipecat daripada keahlian UMNO dan jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh Dr. Mahathir pada petang 2 September 1998, Anwar telah menganjurkan "reformasi" dan mengadakan beberapa siri "road show" seperti di Pokok Sena, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan Melaka untuk membawa kesnya kepada rakyat. Siri-siri penerangan (dilakukan tanpa mendapat permit polis) mendapat sambutan yang agak luar biasa. Beliau secara konsisten mempertahankan dakwaan bahawa beliau menjadi mangsa konspirasi politik. Media massa tempatan yang tidak memberi liputan yang adil kepada beliau menyebabkan simpati masyarakat terhadap Anwar semakin bertambah. Pada 20 September 1998, Anwar memimpin satu demonstrasi secara besar-besaran yang tidak pernah disaksikan di negara ini selepas merdeka bermula di Masjid Negara dan Dataran Merdeka dengan dibanjiri oleh hampir 50,000 hingga 60,000 orang. Pada sebelah malamnya beliau telah ditahan di rumahnya di bawah ISA. Bersama beliau, 17 orang lagi orang kuat beliau yang dikira terlibat dalam menganjurkan beberapa siri demonstrasi telah ditahan di bawah ISA.

Penggunaan ISA yang tidak demokratik itu memaksa beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bergabung dengan parti-parti pembangkang seperti menerusi Gagasan dan Gerak. Penubuhan Gagasan dan Gerak yang dianggotai oleh DAP, PAS, PRM dan beberapa NGO seperti ABIM, JIM dan menunjukkan bahawa kelas menengah dan kelas pekerja di negara ini tidak lagi sanggup berdiam diri melihat undang-undang dan institusi awam disalahgunakan untuk kepentingan individu. Isu Lim Guan Eng yang dipenjarakan kerana mempertahankan kanak-kanak yang menjadi mangsa seorang bekas Ketua Menteri dan isu Anwar, dilihat oleh pembangkang mempunyai persamaan, iaitu, "perbicaraan terpilih" oleh peguam negara. Inilah yang memudahkan DAP dan PAS (selama ini tidak pernah mempunyai agenda untuk bekerjasama kerana perbezaan idealogi yang begitu ketara) melupakan perselisihan dan mangambil pendirian untuk bersatu menentang regim UMNO/BN.

Pada 29 September 1998, Anwar dihadapkan mahkamah dengan sembilan; empat tuduhan seks luar tabie dan lima tuduhan rasuah. Kemunculan Anwar di mahkamah dengan mata kirinya lebam memeranjatkan banyak pihak termasuk beberapa orang pemimpin Asia Tenggara seperti Joseph Estrada dan Presiden Habibie (FEER, 15/10/98). Spekulasi Ketua Polis Negara iaitu Rahim Noor sendiri terlibat dalam memukul Anwar Ibrahim cepat tersebar menerusi internet. Pada hari itu juga, lebih kurang 1000 orang mengadakan demontsrasi di luar mahkamah walaupun pihak berkuasa menutup kawasan tersebut kepada umum. Sepanjang bulan Oktober 1998, Malaysia digegarkan dengan beberapa siri demonstrasi jalanan. Istana Negara, Dataran Merdeka, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Masjid Kampung Baru adalah antara lokasi yang popular.

Laman-laman web reformasi di internet yang menyokong Anwar, akhbar terbitan PAS, iaitu Harakah, buku-buku politik popular, majalah-majalah dan beberapa akhbar mingguan mendapat sambutan luar biasa dari masyarakat untuk mengikuti perkembangan dan memperolehi maklumat berhubung dengan kes Anwar. Berita-berita yang disiarkan oleh media massa utama seperti akhbar harian dan media elektronik tidak lagi dipercayai oleh masyarakat. Pengakuan beberapa saksi penting semasa perbicaraan Anwar berlangsung mendedahkan kepada masyarakat betapa pincangnya institusi awam di negara ini dan mengesahkan dakwaan Anwar bahawa beliau adalah mangsa konspirasi politik. Istilah-istilah seperti "turning over", "neutralizing", "relevan dan tidak relevan", "tilam", "tompok mani" dan sebagainya mula menjadi bahan perbualan dan sindiran di kalangan masyarakat.

Dalam konteks politik Malaysia di mana masyarakatnya ditanam dengan sifat-sifat supaya menghormati dan takut kepada pihak berkuasa, siri-siri demonstratsi jalanan menunjukkan satu keberanian yang luar biasa. Dengan bangun menentang kerajaan secara terbuka dan berjuang menegakkan keadilan, Anwar telah menanam semangat baru kepada masyarakat Malaysia untuk melakukan transformasi politik yang melampaui soal-soal etnik. Siri-siri demonstrasi tersebut menunjukkan bahawa masyarakat kelas menengah dan kelas pekerja di bandar tidak lagi dapat menerima penghakisan nilai-nilai demokrasi yang begitu ketara dalam kes Anwar Ibrahim. Mereka bangkit memprotes penyalahgunaan kuasa dan pemerintahan seorang diri Dr. Mahathir. Masyarkat tidak mempedulikan lagi tentang ISA, kehadiran pasukan polis pencegah rusuhan dansebagainya. Iklim ketakutan dan kepatuhan yang difikirkan oleh regim amat penting untuk mempertahankan pemerintahan autokratik dan berpusat semakin terungkai. Legitimasi institusi awam seperti polis, kehakiman, Jabatan Peguam Negara dan lain-lain jabatan termasuk media massa milik UMNO/BN berada dalam tahap paling rendah. Krisis 1998 memberi pengajaran kepada masyarakat UMNO memobilisasi etnik untuk memperkayakan individu sehingga membelakangkan undang-undang dan tata kehidupan bernegara.

Selain demontrasi jalanan, tindakan protes dari kalangan masyarakat, khususnya masyarakat kelas menengah Melayu terhadap regim UMNO/BN juga dimenifestasikan dengan jelas sambutan luar biasa terhadap ceramah-ceramah parti pembangkang, pertambahan keahlian parti PAS (120,000 orang) dalam masa beberapa bulan selepas penyingkiran Anwar (FEER, 24/6/99). Selain PAS, parti KeADILan yang dipimpin Datin Sri Dr. Wan Azizah Ismail dan ditubuhkan pada awal April 1999 juga mendapat sambutan menggalakkan. KeADILan berjaya mendapat keahlian sebanyak 100,000 orang semenjak pendaftarannya dan masih memproses sekitar 50,000 hingga 100,000 lagi borang pendaftaran (FEER, 24/6/99). Proses pendaftaran pengundi baru yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pada awal tahun 1999 mendapat sambutan luar biasa terutama daripada golongan generasi muda yang rata-rata tidak pernah menunjukkan minat terhadap proses politik pilihanraya sebelum ini. Sebanyak 1.2 juta orang pengundi baru tampil mendaftarkan diri dalam masa tersebut.

Berbanding dengan krisis yang berlaku pada tahun 1987, masyarakat ternyata lebih bersimpati dengan Dr. Wan Azizah yang dilihat sebagai mangsa kepada kerakusan regim Mahathir dalam mempertahan dan menyelamatkan kroni. Ia mengingatkan masyarakat kepada Cory Aquino di Filippina dan Megawati Sukarnoputri di Indonesia. Mereka adalah mangsa-mangsa kekejaman pihak berkuasa yang tidak yang mempertahankan kekuasaan dengan cara-cara kekerasan dan tidak demokratik. Siri-siri ceramah yang dihadiri oleh Dr. Wan Azizah dan anaknya Nurul Izzah mendapat sambutan melebihi sambutan terhadap ceramah-ceramah penerangan yang dilakukan oleh Dr. Mahathir.

Ramai diantara pemimpin UMNO yang menganggap bahawa apabila Anwar didakwa di mahkamah, sokongan terhadap Anwar akan semakin luntur. Andaian tersebut jauh sekali dari menjadi kenyataan. Rustam A. Sani, seorang pengamat sosial ternama di negara ini mengatakan,

"... the impact at what they have done - and will do - will continue to be felt. Their struggle is no longer a clash of personalities. It is a battle for Malaysia's future. It represents a transitional conflict, seem everywhere in Asia, whereby the old guard - which played a central role in nation building but since become entrenched - is confronted by demands for a more open and just society. In Malaysia, the old remain in place after the initial confrontation. But the final outcome has yet to be decided" (Asiaweek, 27/12/98).

Diukur dalam perspektif "old paradigm of politics" yang mementingkan soal kalah menang dalam pilhanraya, protes masyarakat sekarang memang kelihatan lemah kerana tidak mempunyai "institutinal base" yang kuat dan telah lama bertapak seperti UMNO/BN. Mungkin oleh karana itu beberapa orang penganalisis politik seperti Harold Crouch dan Abdul Razak Baginda (FEER, 27/5/99 dan 24/6/99) menganggap majoriti 2/3 BN tidak akan terjejas dalam Pilihanraya Umum Kesepuluh nanti.

Satu perkara yang harus diingat ialah generasi sekarang tidak lagi beroperasi dalam perspektif "old paradigm of politics" yang mementingkan undi dan kalah menang dalam pilihanraya. Sebab itulah gerakan reformasi tidak menekankan pembangunan institusi – mereka boleh ada dalam parti pembangkang dan mereka juga boleh berada dalam kerajaan – "institusional base" kepada mereka adalah tidak penting. Institusi formal hanya memudahkan pihak berkuasa menghapuskan mereka dengan kekerasan seperti banyak dapat dilihat di tempat-tempat lain di dunia. Kalah menang dalam pilihanraya terdekat juga tidak penting. Apa yang penting kepada mereka ialah mempromosikan idea dan mempersamakan persepsi masyarakat tentang rupa bentuk pemerintahan yang sesuai dengan masyarakat Malaysia pada alaf akan datang. Mereka mendapat kekuatan daripada gelombang arus globalisasi dan memanfaatkan segala kemudahan teknologi yang ada untuk menyebarkan idea. Ternyata padangan-pandangan mereka diterima oleh masyarakat dan di mana-mana sahaja di negara ini protes terbuka terhadap pemimpin-pemimpin UMNO/BN dapat dilihat. Populariti regim UMNO/BN tidak pernah dalam sejarah penubuhannya berada di tahap paling serius serius seperti sekarang ini.

KESIMPULAN

Amalan politik yang dipraktikkan oleh UMNO/BN yang tidak seiring dengan transformasi nilai yang berlaku dalam masyarakat ternyata menimbulkan masalah kepada parti itu untuk mempertahankan popularitinya. Protes atau penentangan terhadap UMNO/BN semakin melebar dan semakin meluas terutama di kalangan masyarakat Melayu bandar dan luar bandar. UMNO/BN tidak mempunyai banyak pilihan dalam menangani krisis ini melainkan menghapuskan kendala-kendala politik yang menghalang parti itu dari melaksanakan proses demokratisasi.

Protes yang baru sahaja dimulakan oleh kelas menengah di Malaysia berikutan dengan krisis ekonomi dan politik yang berlaku pada tahun 1998 berbeza sekali apa yang pernah berlaku dalam trend politik negara sebelum ini. Protes tersebut tidak berpaksi kepada mana-mana institusi konvensional tetapi boleh dilihat dan dirasakan kehadirannya. Satu semangat dan keyakinan baru telah timbul kalangan kelas menengah di negara untuk memastikan sistem dan amalan politik sentralis dan repressif regim UMNO/BN menghampiri titik akhir.

* Penulis adalah pensyarah Sains Politik, Fakulti Ekonomi, Universiti Malaya. Artikel ini ditulis pada tahun 1999.

RUJUKAN

Andaya, Barbara W. dan Leonard Y. Andaya (1982), A History of Malaya, Macmillan; London.

Crouch, Harold (1996), Government and Society in Malaysia, Allen & Unwin; Autralia.

Gomez, E.T. (1996), "The Malaysian General Elections: A Report and Commentary", ISAES Occasional Paper No.93, ISEAS; Singapura.

Jesudason, James V. (1996), "The Syncretic State and the Structuring of Oppositional Politics in Malaysia", dalam, Garry Rodan (ed.) (1996), Political Opposition in Industrialising Asia, London; Routledge.

Jomo, K.S. (1999), "A Malaysia Middle Class?: Some Preliminary Analytical Considerations", dalam Jomo, K.S. (ed.) (1999), Rethinking Malaysia; Malaysian Studies I, Asia 2000 & Persatuan Sains Sosial Malaysia; Kuala Lumpur.

Khoo Boo Teik (1997), "Malaysia: Challenges and Upsets in Politics and Others Contestations", dalam Southeast Asian Affairs 1997, ISEAS; Singapura

Lijphart, A (1977), Democracy in Plural Societies: A Comparative Exploration, Yale University Press; New Haven.

Mauzy, Diane (1993), "Malay Political Hegemony and Coercive Consociationalism", dalam John McGarry & Brendan O’Leary (ed.) (1993), The Politics of Ethnic Conflict Regulation, Routledge; London.

Nair, Sheila (1999), Constructing Civil Society in Malaysia: Nationalism, Hegemony and Resistance, dalam Jomo, K.S. (ed.) (1999), Rethinking Malaysia; Malaysian Studies I, Asia 2000 & Persatuan Sains Sosial Malaysia; Kuala Lumpur.

Roff, William R. (1994), The Origin of Malay Nationalism, (2nd ed.), Oxford University Press; Kuala Lumpur.

Majalah/Akhbar

Asiaweek

Far Eastern Economic Review

Aliran Monthly

The Asian Wall Street Journal


Halaman Utama

 

Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved