Idealis Mahasiswa
 
 

Membawa Amanah Rakyat Di Usia 26


Hit = [ ]

Sumber: Majalah Wasilah, Penerbitan Pemuda

FONG PO KUAN merupakan nama baru dalam arena politik pembangkang. Dalam pilihan raya ke-10 pada 29 November 1999, Batu Gajah, Perak mencatatkan peristiwa bersejarah apabila para pengundinya memilih seorang ahli parlimen wanita DAP berusia 26 tahun mewakili mereka. Membawa tanggungjawab ahli parlimen dalam usia sebegitu muda sudah pasti mengundang pelbagai risiko dan tribulasi politik. Bagaimanapun, sebagai seorang peguam atau pengamal undang-undang, sudah tentu beliau ada cara tersendiri untuk menghadapinya. Meneliti gambar-gambarnya semasa menuntut di UIA membuatkan kita terpegun. Kejelitaannya terserlah melalui raut wajah yang dilitupi tudung. Malah Fong sukar dibezakan dengan gadis-gadis Melayu lainnya. Ikuti temubual wakil Wasilah dengan beliau.

Sedikit latar belakang sdri sebelum mula terlibat dalam kancah politik ?

Sebelum ini saya memang tidak pernah melibatkan diri dalam arena politik. Ketika di kampus, saya banyak habiskan masa dengan belajar. Tetapi jangan ingat saya tidak mengambil tahu masalah yang berlaku di sekeliling. Bagaimanapun, saya banyak menyimpannya sahaja. Saya tidak bergerak secara aktif untuk memperjuangkan nasib rakyat ketika di kampus. Setelah melewati alam pembelajaran, barulah saya berkecimpung dalam dunia politik. Antara faktor yang menarik minat saya adalah keluarga saya sendiri. Mereka memang minat dengan politik, dan mereka juga ahli DAP. Maka semangat itu terus subur tanpa halangan keluarga, malah mereka turut memberi sokongan padu. Saya menerima pendidikan dalam fakulti Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), selama empat tahun. Bidang ini juga turut membantu saya untuk memahami selok-belok perundangan dan perlembagaan parlimen.

Sdri memegang jawatan wakil rakyat dengan pengalaman yang terbatas dan juga merupakan ahli parlimen yang termuda dalam Dewan Rakyat. Mungkin sdri ada cara tersendiri menghadapinya.

Jika dikirakan pengalaman, memang saya masih baru dan perlu banyak belajar lagi. Bagaimanapun, pada hari pertama persidangan saya lebih berkeyakinan kerana telah diberi tunjuk ajar oleh pemimpin-pemimpin parti DAP. Saya tidak rasa faktor usia sebagai satu penghalang untuk saya menjadi wakil rakyat. Saya tidak kisah apa orang lain hendak kata terhadap saya. Paling penting saya mesti bertanggungjawab dengan kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat dalam pilihan raya ke-10 baru-baru ini. Sebagai wakil rakyat kita mesti tahu setiap tugas yang diberikan adalah amanah dari rakyat. Kita sebagai suara rakyat dan membawa amanah rakyat. Itu yang paling penting. Oleh demikian, saya dan barisan alternatif akan berusaha memperjuangkan nasib rakyat. Lebih lagi suara kita di Parlimen masih lagi berkurangan.

Apakah rakyat perlu diberitahu bahawa suara pembangkang di parlimen masih belum kuat untuk mempengaruhi pembentukan undang-undang atau pemindaan perlembagaan ?

Ya. Suara ahli Parlimen pembangkang masih belum kuat. Malah jumlah 45 kerusi yang ada di Parlimen sekarang masih kecil. Terutama bagi membincangkan dan memperjuangkan isu-isu penting. Kita memerlukan suara pembangkang yang lebih ramai. Perkara ini perlu diperjelaskan kepada rakyat, supaya rakyat tidak menganggap bahawa kerusi pembangkang yang ada dalam Parlimen sekarang ini sudah mencukupi.

Kini DAP melahirkan ahli Parlimen wanita yang berani seperti Chong Eng, MP Bukit Mertajam, dan sdri sendiri. Sejauh manakah sdri melihat keberkesanan suara ahli Parlimen wanita dalam sidang Dewan Rakyat ?

Satu perkembangan yang baik. Ahli Parlimen wanita turut mengambil bahagian dalam perbahasan. Saya menyeru wakil rakyat wanita, tidak kira parti Barisan Alternatif atau BN, supaya turut bersama-sama menyelami masalah yang ditanggung oleh wanita selama ini. Undang-undang yang melibatkan masalah wanita masih lagi lemah dan longgar. Oleh demikian saya memang merasakan isu wanita adalah perjuangan kami di pihak pembangkang. Jika kita tidak mulakan, siapa akan memulakannya ?

Hari pertama sidang parlimen bergelora. Laporan akhbar mengecam pembangkang dengan mengatakan mereka membawa budaya samseng dan liar. Komen sdri ?

Apabila berlaku perkara seumpama itu, rakyat akan buka mata dan ingin mengetahui apa yang berlaku. Malah memang sepatutnya rakyat perlu diberitahu kejadian yang berlaku tempoh hari. Apabila pembangkang dapat cetuskan isu, barulah maklumat sebenar dapat diketahui oleh rakyat. Dalam hal ini rakyat akan tertanya-tanya, apakah punca kejadian tersebut berlaku? Akhbar pro kerajaan sudah pasti akan memburuk-burukkan dan mengecam pembangkang. Bagi saya ini perkara biasa. Cumanya rakyat jangan terpedaya dengan asakan gambar, sama ada akhbar atau media elektronik, yang menunjukkan seolah-olah ahli parlimen pembangkang bersikap buruk. Sebenarnya perkara yang berlaku itu ialah kerana pembangkang cuba mempertahankan perlembagaan, yang cuba diperlakukan sesuka hati oleh pemimpin kerajaan, tanpa mengikut peraturan yang betul.

Apa ulasan sdri tentang konsep Negara Islam yang dibawa oleh PAS ?

Bagi saya, setakat ini ia tidak menjadi isu. Berdasarkan gabungan Barisan Alternatif, kita menekankan keadilan untuk rakyat. Bagaimanapun, apa yang boleh saya beritahu, DAP masih mempertahankan sebuah negara sekular.

Bagaimana pula dengan konsep Malaysian Malaysia yang dikatakan masih terlalu kabur, sehingga mudah dipermainkan oleh media ?

Dalam isu ini DAP masih mempunyai pendirian tersendiri. Lagipun rakyat telah dimaklumkan bahawa gabungan ini berdasarkan keadilan sejagat. Kami tidak akan mengambil langkah mengalah kepada mana-mana parti gabungan. DAP tetap memperjuangkan isu ini, tidak kira sama ada pihak lain hendak mengkritik atau menghentam.

Mendepani alaf baru pasti terdedah dengan pelbagai cabaran, khususnya anak-anak muda. Apakah resepi terbaik untuk mengekalkan kesedaran mereka ini ?

Kita ketahui, rakyat akan memperolehi maklumat dari media kerajaan, khususnya akhbar harian. Saya suka menasihati generasi muda supaya jangan bertumpu kepada media kerajaan semata-mata, tetapi carilah alternatif lain untuk mendapatkan maklumat yang lebih sahih dan tepat. Oleh demikian, mereka mesti sentiasa memperolehi maklumat dari pembangkang, supaya pemikiran mereka tidak mudah dipesongkan. Lagi satu, kita kini berada di alaf baru. Pengetahuan teknologi mesti dipertingkatkan. Tambahan pula dunia Internet amat cepat memberi maklumat. Home page pembangkang pun tidak kurang hebatnya untuk diteliti maklumatnya. Dari situ mereka boleh melakukan perbandingan. Saya menyeru kepada generasi muda supaya sentiasa melakukan inisiatif untuk mendapatkan maklumat dari akhbar pembangkang. Jangan mudah terpedaya dengan akhbar kerajaan. Langkah seterusnya, mereka boleh hadir untuk menyaksikan persidangan Dewan Rakyat di Parlimen.

Cuba bayangkan ... Anwar bebas berkempen mengetuai Alternatif menentang Mahathir ?

Sukar untuk saya katakan tentang hal itu. Saya simpan dahulu komen saya. (Ketawa)

Mengenai generasi muda kampus. Bagaimana sdri melihat politik kampus ?

Terus-terang saya katakan, ketika di kampus penumpuan mesti diberikan kepada pendidikan atau pelajaran. Ketika di kampus, politik memang tidak dibenarkan. Oleh demikian, selama empat tahun saya di kampus, saya banyak menghabiskan masa dengan belajar.

Sdri menyebut kampus sebagai tempat pembelajaran. Oleh demikian, bagaimana bakat mahasiswa untuk berpolitik boleh diasuh ?

Penumpuan kepada pelajaran mesti diutamakan. Bagaimanapun, dalam masa yang sama mahasiswa mesti peka dengan isu-isu sekeliling. Bukan bermakna apabila penumpuan kita kepada belajar semata-mata, maka kita tidak menghiraukan keadaan sekitar. Sepatutnya antara dua perkara ini perlu berlaku dalam keadaan seiring. Cumanya setiap gerak langkah mahasiswa harus diambil secara tidak aktif.

Mengapa ?

Kerana mahasiswa tidak dibenarkan berpolitik. Malah ia bercanggah dengan undang-undang akta universiti. Penumpuan mesti kepada pendidikan.

Bagaimana dengan siri-siri demonstrasi yang dicetuskan oleh mahasiswa ?

Saya tidak kata mahasiswa tidak boleh melakukan sedemikian. Walaupun bidang pendidikan mesti diberi penekanan serius, tetapi dalam masa yang sama mahasiswa perlu juga mengambil tahu hal sekeliling. Mereka boleh kemukakan pandangan atau pendapat melalui saluran yang betul.

Demonstrasi ?

Saya tidak mahu mengatakan perkara ini betul atau tidak. Tetapi sebagai mahasiswa, mereka ada hak untuk bersuara menyatakan ketidakpuasan hati mereka. Bagaimanapun, saya menyarankan supaya mereka mengikut saluran-saluran yang terbaik.

Sejauh mana persepakatan mahasiswa Islam dengan bukan Islam di kampus dalam menangani isu sejagat ? Khabarnya untuk mewujudkan persefahaman politik agak sukar.

Ketika berada di kampus, saya tidak berpolitik. Malah isu-isu politik tidak pernah ditimbulkan.

Ketika belajar di UIA dalam bidang perundangan sudah tentu banyak perkara yang dipelajari, terutama bidang perundangan Islam. Boleh sdri ulas ?

Bukan perundangan syariah semata-mata, tetapi segala subjek perundangan mesti dipelajari. Contohnya undang-undang jenayah sivil dan Islam turut dipelajari.

Sejauh mana sdri berjaya mempraktikkannya ?

Bagi saya perkara ini amat baik. Ia dapat membantu saya memahami setiap perundangan terhadap kaum lain. Malah dapat memberi kefahaman yang mendalam tentang undang-undang Islam. Oleh demikian, cukup membantu saya memahami dengan lebih teliti tentang perundangan Islam.

Nasihat kepada generasi muda di luar, dan mahasiswa tempatan ?

Pertama, kepada mahasiswa tempatan, penekanan mestilah diberikan terhadap pendidikan. Jika yang berpendidikan, mereka boleh memainkan peranan sebagai warganegra Malaysia, dalam masa yang sama tumpukan kepada pendidikan. Anak-anak muda yang sudah bekerja pula, sentiasalah melakukan inisiatif untuk mengetahui apa yang berlaku di sekeliling mereka. Perkara yang berlaku setiap hari adalah secara tidak langsung memberi pengaruh kepada mereka. Mungkin perkara-perkara negatif tidak dirasai sekarang, tetapi ia memakan masa yang panjang.

Sepanjang menuntut di UIA sudah tentu ada pengalaman menarik di sana.

Ada, iaitu pengalaman memakai tudung sepanjang berada di dewan kuliah dan juga di kampus. Kecuali di bilik. (Ketawa). Seperkara yang tidak dapat saya lupakan ialah apabila memasuki pertandingan badminton, dengan memakai tudung. Untuk diri saya terasa sesuatu yang ganjil, kerana bersukan memakai tudung. Bertudung ketika pergi dewan kuliah tidaklah sesuatu yang pelik sangat. Tetapi apabila bersukan, terasa lain juga. Bagi saya ini merupakan pengalaman sangat manis untuk diri saya.

Apa perasaan sdri dikenakan peraturan sebegitu ?

Biasalah! Peringkat permulaan memang terasa ada sedikit yang tidak kena. Lagipun memang peraturan ini wajib, tidak kira mahasiswa Islam atau bukan Islam.

Pernah rasa kurang selesa apabila bertudung ?

Tidak. Tetapi saya berasa amat berbangga. Seperti saya sebut tadi, bertudung sebahagian dari peraturan universiti. Maka kita mesti patuhi. Lagipun kita yang hendak masuk di situ. Jadi, kita kena patuh undang-undangnya. Bagi saya UIA sebuah pusat pengajian yang unik dari pelbagai sudut. Antaranya, dari segi pendidikan, terdapat tenaga pengajar dari luar negara yang profesional. Pelajar pula dari pelbagai bangsa. Oleh demikian ia banyak mendedahkan saya dengan pelbagai pandangan dan idea. Saya banyak menggalakkan rakan-rakan atau keluarga belajar di UIA.





Copyright © 2002 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved