IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Sunday, April 14, 2002 10:21 PM

ANTARA DUNIA AKADEMIK DENGAN POLITIK


Oleh MOHD. TAIB OSMAN , Dewan Budaya, Februari 2000

PADA pilihan raya ke-10, banyak ahli akademik bertanding untuk merebut kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Bertambah signifikan lagi apabila seorang bekas naib canselor dilantik sebagai Menteri Pendidikan walaupun beliau, menurutnya, belum pernah menganggotai UMNO atau parti lain. Tujuan pelantikan yang tidak diduga itu, atau hal yang mendorong ahli akademik itu menceburkan diri dalam arena politik, tentunya berdasarkan perkiraan politik, perkataan yang membawa aneka ragam makna, baik bagi individu itu sendiri mahupun institusi masyarakat.
Sebenarnya ada dua perkara yang ingin saya selami. Pertama timbul daripada komen seorang ahli akademik bidang sains politik apabila mendengar rakan sejawatannya meletakkan jawatan untuk bertanding kerusi Parlimen. Mungkin komen itu timbul daripada hakikat bahawa kedua-dua mereka memang terkenal sebagai penganalisis politik. Kata ahli sains politik itu, "Di negara seperti Amerika, Britain, atau Jepun, selepas bertahun-tahun aktif berpolitik, baru masuk universiti sebagai sarjana atau profesor bidang sains politik. Tetapi di negara kita, ahli akademik tunggu peluang sahaja menceburkan diri ke kancah politik."

Sudah merupakan persepsi di universiti kita bahawa ahli akademik yang pernah menyertai politik, terutama yang menyokong parti pemerintah, lebih berjaya dari segi ganjaran material jika dibandingkan dengan mereka yang terus berkarya sebagai ahli akademik. Komen ahli akademik itu sebenarnya melampaui persoalan ganjaran material, dia menekankan persoalan nilai, terutama nilai akademik itu sendiri.

Maka hal itu melampaui persoalan ganjaran material yang dikatakan tadi kerana jika itulah pokoknya, seseorang ahli akademik boleh mengejarnya melalui cara lain, seperti menceburkan diri dalam bidang perniagaan atau mengejar profesionnya yang membawa ganjaran yang lebih lumayan, seperti pensyarah perubatan atau kejuruteraan yang meninggalkan universiti untuk menyertai sektor swasta. Kalau benar pun, hal itu terbatas kepada pensyarah dalam bidang sains sosial, terutama sains politik dan sosiologi, kerana kedua-dua bidang ini bersangkutan rapat dengan kegiatan politik secara praktik. Hal ini sebenarnya menyentuh perkara kedua yang ingin saya selami, iaitu perbezaan pendekatan ilmu dengan praktiknya.

Yang dikatakan oleh pensyarah tadi sebenarnya mencerminkan nilai akademik atau ilmu yang dasar, iaitu ilmu tidak kunjung selesai dan sentiasa mengembangkan sempadannya dan sentiasa didalami. Khusus dalam sains politik yang merupakan ilmu tindak-tanduk manusia atau disebut juga sebagai behaviorial science dalam arena politik, lebih bernilai apabila seorang sarjana itu mempunyai pengalaman praktik berpolitik dan membawa bersamanya apabila berhadapan dengan mahasiswanya. Tentu sekali berbeza dari segi nilai ilmu yang hendak dicurahkan kepada mahasiswa apabila kita membandingkan seorang pensyarah muda dengan pensyarah yang telah melalui pengalaman politik secara peribadi. Harus diakui bahawa nilai di sini timbul secara perbandingan antara dua orang pensyarah, siapa berada pada kedudukan lebih baik untuk menjalankan peranan sebagai pensyarah vis-a-vis mahasiswa yang sedang cuba menghirup ilmunya.

Pensyarah muda juga mempunyai asas sebagai ahli akademik bidangnya kerana telah melalui segala tahap proses yang diperlukan, daripada pengajaran ijazah lanjutan sarjana hingga peringkat kedoktoran. Di samping itu, dia perlu menyelidik dan menulis kertas ilmiah untuk memantapkan kedudukannya sebagai ahli akademik bidangnya, dan sekali gus mencakup legitimasi dan pengiktirafan kedudukannya sebagai sarjana dan pensyarah. Perjalanan karyanya sebagai pensyarah juga diukur dari segi pencapaiannya melalui pangkat dalam hierarki akademik, daripada pensyarah biasa kepada profesor madya, atau lain-lain gelaran yang digunakan oleh universiti, seperti pensyarah kanan dan seterusnya profesor.

Dalam hierarki universiti, apabila seseorang telah mencapai tahap bergelar profesor, dia telah sampai ke mercu bidangnya. Sebab itulah dikatakan bahawa seseorang itu apabila memulakan karyanya dalam dunia akademik aspirasinya ialah menyandang gelaran profesor akhirnya. Sebagai profesor, dia juga pimpinan ilmu bidangnya, sekurang-kurangnya di universiti. Kekeliruan sering berlaku, terutama mereka yang di luar dunia universiti, menganggap jawatan seperti dekan, timbalan naib canselor, atau naib canselor sebagai gelaran akademik. Walaupun penyandang jawatan itu lazimnya ahli akademik, sebenarnya jawatan itu adalah dalam kerangka birokrasi universiti. Dalam suasana yang disebut sebagai pembirokrasian universiti yang sering berlaku di universiti di Dunia Ketiga, yang mewarisi tradisi kolonial, suasana ini lahir kerana universiti dipandang sebagai wahana politik pembangunan negara bagi menjana tenaga kerja mahir. Masalah yang mungkin timbul merupakan persoalan lain, tetapi harus ditekankan bahawa proses inilah yang menyebabkan universiti dianggap sebagai jabatan kerajaan, dan penguasaan ke atasnya diletakkan pada jentera pentadbiran kerajaan, seperti melalui perkhidmatan awamnya.

Ahli politik yang mencatatkan namanya sebagai ahli politik berjaya dan kemudian menjadi pensyarah atau ahli akademik, nilai akademik yang ada padanya merupakan pengalaman peribadi yang dilaluinya. Dalam sistem akademik yang lebih terbuka lagi matang, dan perhitungan lebih bercorak nilai ilmu daripada nilai sosial atau ekonomi, pengalaman peribadi diambil kira. Di kebanyakan universiti di Amerika misalnya, pengalaman peribadi ini lazim diterima sebagai pengganti apa-apa kekurangan dari segi rekod akademik formal seseorang bagi menentukan tahap pencapaian akademiknya. Tidak seperti dalam sistem yang formal, kalau tidak mempunyai sarjana muda, tidak diterima untuk kursus sarjana, dan kalau tidak melalui peringkat sarjana, jangan harap dapat diterima untuk Ph.D. Mereka yang mempunyai pengalaman peribadi ini mungkin tidak diberi gelaran profesor, tetapi dalam sistem yang formal, gelaran seperti adjunct professor (di Malaysia digelar profesor Adjung) pula diberi. Pendeknya, yang dikatakan oleh pensyarah tadi, nilai ilmu patut diberi perhatian dalam dunia akademik.

Bagaimana dengan pensyarah atau bekas ahli akademik yang menceburi politik? Pada pertimbangan saya, mereka juga boleh mengayakan dunia politik dengan pengalaman mereka selaku ahli akademik sekurang-kurangnya jika masih mahu mengenakan tuntutan ilmiah yang ada pada mereka waktu menjadi ahli akademik dahulu, iaitu sentiasa mencari kebenaran, mengenakan pertimbangan saksama sebelum mencapai rumusan, objektif dalam pandangan, serta tidak mencapai kesimpulan sebelum ada penyelidikan. Tetapi mungkinkah hal ini berlaku kerana kancah politik sendiri diberi jolokan seperti the art of the impossible, iaitu seni memungkinkan yang tidak mungkin? Dapatkah kedua-dua punca itu ditemukan? Hal ini juga harus diselidik untuk mendapat jawapannya.

Kebetulan, kita telah juga menyentuh perkara kedua yang hendak diselami. Apa bezanya pendekatan ilmiah dengan yang praktik? Sebelum menceburi politik, dan sebagai ahli akademik, dia menganalisis dan menyelidiki persoalan mengikut tuntutan akademik, iaitu dengan saksama, objektif, dan sentiasa mencari kebenaran. Dalam pada itu, disebabkan bidang itu dalam kejadiannya sendiri terbenam dalam apa-apa yang benar-benar berlaku dalam masyarakat, tidak memungkinkan seseorang sarjana itu lari daripada melahirkan pendapat tertentu. Soalnya, sejauh mana dia dapat mendekati persoalan atau isu itu seobjektif-objektifnya? Sebagai manusia, tidak mungkin tidak, ada perasaan atau kemiripan terhadap satu-satu benda, persoalan, atau orang lain. Di sinilah letaknya persoalan yang bersangkut-paut apabila membicarakan hubungan antara akademik dengan politik. Dapatkah dibezakan, terutama apabila terkandung pada diri yang sama, antara pendekatan akademik dengan politik yang berkehendakkan pendirian tertentu?

Persoalan ini bukan setakat melibatkan bidang ilmu seperti sains politik atau sosiologi sahaja kerana menular pada bidang seperti ekonomi, pendidikan, dan antropologi budaya termasuk agama. Tidak seperti fizik atau matematik yang benar-benar neutral, tetapi bidang yang disebutkan itu melibatkan manusia dan masyarakat. Apa pun pendapat atau rumusan yang telah melalui penyelidikan dan kajian, dibuat dengan objektif dan diberi pertimbangan yang sama, jika menyinggung atau membantah satu pihak politik, hal itu tidak akan diterima dengan baik, bahkan dilabel sebagai memfitnah dan pendustaan. Sebaliknya, rumusan yang selari atau menyetujui pandangan pihak politik akan disanjung dan dipuji sebagai rumusan yang bernas. Tambah lagi apabila ahli akademik itu diketahui kemiripannya, walaupun tidak terlibat dengan mana-mana parti politik secara langsung, cuma pada ideologinya seperti membela keadilan rakyat tertindas, maka hal itu tidak lepas daripada stigma "bermain politik".


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved