IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Thursday, April 18, 2002 1:23 PM

WAWANCARA EKSKLUSIFBERSAMA PRESIDEN PMRAM


ISU JAWATANKUASA MAJLIS PERWAKILAN MAHASISWA MESIR &
JAWATANKUASA KEBAJIKAN PELAJAR


Oleh :
Wartawan Warta,April 2001

Wartawan Warta : Menyentuh mengenai Jawatankuasa Kebajikan Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar,sejauh manakah penerimaan kelab-kelab pelajar terhadap cadangan ini dan apakah mauqif PMRAM terhadap cadangan tersebut.


Presiden PMRAM : Bismillahirrahmanirrahim.Berhubung dengan cadangan tersebut,seperti mana yang diketahui kita telah mengadakan mesyuarat dengan pihak kedutaan pada 25 Mei yang lepas dan hasil daripada perundingan tersebut kita dapati bahawa konsep sebenar ia bukanlah seperti mana yang diwar-warkan sebelumnya.Sebelum ini dikhabarkan bahawa ia berfungsi sebagai mewakili suara pelajar seperti MPP di tempat-tempat lain.Akan tetapi berdasarkan perjumpaan tersebut,kita dimaklumkan statusnya berbeza.Ia lebih berbentuk sebagai jawatankuasa kebajikan dan menurut Pengarah JPM sendiri,pelajar boleh tubuhkan MPP dengan kebebasan pelajar sendiri.Tapi jawatankuasa kebajikan ini berbeza daripada itu.Dan ia mempunyai 3 fungsi seperti yang dimaklumkan dalam kertas kerja cadangannya dimana pengerusinya hendaklah dipegang oleh Pengarah JPM sendiri kerana ia berhubung kait terus dengan pihak kedutaan Malaysia.Jadi oleh sebab itu ABIM dan UMNO telah menyatakan persetujuan mereka.Namun bagi pihak PMRAM kita masih lagi mengkaji perkara ini dan menganggap perkara ini perlu satu perbincangan khusus bersama semua BKAN.Kita positif dengan sebarang usaha kearah kesatuan tapi kita melihat bahawa jawatankuasa ini tidak begitu perlu dalam kesatuan pelajar sekarang kerana kita lihat bahawa tidak wujud lagi dua persatuan induk seperti sebelum ini.Dan sungsi PMRAM tidak sama dengan funsi kelab-kelab ini.Jadi apabila bersama dalam jawatankuasa ini seolah-olah menyamakan PMRAM dengan kelab-kelab tersebut.Bahkan ahli-mereka juga adalah ahli PMRAM.Jadi mereka mendapat dua kelebihan,kelebihan dengan kelab mereka juga dengan PMRAM.Ini suatu yang kurang adil.Jadi kita belum menyatakan persetujuan dalam perjumpaan itu dan bersedia untuk meneruskan perundingan.


Wartawan Warta : Tentang fungsi Jawatankuasa tersebut,Pengarah JPM menyatakan bahawa salah satu faktor yang menyebabkan wujudnya Jawatankuasa tersebut kerana PMRAM tidak berdaftar dengan JPM yang menyebabkan sukarnya bantuan disalurkan kepada PMRAM.Boleh ustaz berikan penjelasan.


Presiden PMRAM : Pertama apabila di timbulkan masalah ini,kita melihat semenjak PMRAM wujud di mesir,kita telah berusaha untuk mengadakan hubungan yang rapat dengan kedutaan.Semenjak dari tahun 60-an hubungan berjalan dengan cukup lancar tanpa ada sebarang masalah sehinggalah akhir 80-an semenjak wujudnya kelab UMNO dan ABIM dan wujud usaha-usaha untuk menubuhkan PPMM,kita melihat ketika itu baru ditimbulkan masalah-masalah ini seperti masalah perhubungan dengan kedutaan,gangguan dari kerajaan Mesir sedangkan kita tidak apa-apa makluman daripada penaung kita iaitu Kementerian Kemasyarakatan bahawa wujudnya larangan-larangan untuk kita berhubung dengan kedutaan bahkan pihak keselamatan Mesir sendiri mengalu-alukan sebarang bentuk hubungan dengan kerajaan Malaysia.Kita merasa hairan kenapa mereka ayik menimbulkan bahawa mereka tidak boleh membuat perhubungan sedangkan kita tidak apa-apa masalah dengan mereka.Kerana itulah kita telah sampai satu tahap bahawa kita membuat satu keputusan yang mana kita sanggup untuk berdaftar dengan Kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan masalah kesatuan ini.Kita sanggup untuk mengubah perlembagaan kita,sanggup tukar nama kita sehingga sampai kita telah menyiapkan satu kertas kerja tentang perlembagaan yang dipersetujui bersama dengan kelab-kelab lain yang mana mereka menyatakan persetujuan untuk mewujudkan Majlis Pelajar atau Persatuan Pelajar yang berdaftar dengan kedutaan Malaysia.Tetapi ketika mana perbincangan sedang berjalan kita dapati ada beberapa usaha yang menyebabkan timbul masalah di pihak PMRAM dengan Kementerian Kemasyarakatan Mesir sehinggalah Kementerian Kemasyarakatan tidak membenarkan kita berdaftar dengan Malaysia.Iaitu wujudnya usaha-usaha untuk membatalkan PMRAM secara sulit di pihak atasan.Jadi mereka(Kementerian Kemasyarakatan) tentulah merasa ada sesuatu yang tidak kena dengan perkara ini.Akhirnya mereka menarik balik kebenaran untuk kita berdaftar dengan Kerajaan Malaysia.Mereka memutuskan samada hendak berdaftar dengan mereka atau Kerajaan Malaysia sahaja.Jadi kita terpaksa memikirkan semula kerana kita tidak menyangka sama sekali akan timbul seperti ini menyebabkan kita menaruh prasangka kepada keikhlasan usaha-usaha pihak terbabit semasa perundingan tersebut berjalan untuk keselamatan kita.Mungkin ada orang tertanya-tanya kenapa PMRAM begitu susah hendak menarik pendaftaran dari Kementerian Kemasyarakatan.Namun kita kena ingat bahawah wujudnya PMRAM ini hadiah daripada Kerajaan Mesir.Tidak semua negara lain ada persatuan seperti ini.Pelajar-pelajar Malaysia dicemburui kerana wujudnya PMRAM ini.Mereka tidak mendapat kelebihan untuk bergerak secara rasmi yang mana tarafnya hampir sama dengan rakyat tempatan.Jadi bukannya senang untuk menarik segala kemudahan yang kita nikmati daripada pendaftaran ini sedangkan ada jalan lain yang boleh kita usahakan untuk membuat perhubungan dengan kerajaan Malaysia.Kita sentiasa terbuka untuk membuat membuat kerjasama.Cuma jika ditakdirkan Kementerian Kemasyarakatan membenarkan semula kita berdaftar sekali dengan Kedutaan,InsyaAllah bila-bila kita akan mendaftar.


Wartawan Warta : Setakat ini bagaimana respon dari Kementerian Kemasyarakatan?


Presiden PMRAM : Setakat ini kita masih dalam usaha untuk berbincang supaya dibenarkan kepada kita untuk berdaftar dengan Kerajaan Malaysia.Cuma perkara ini baru sahaja ditimbulkan.Sekiranya diletakkan syarat-syarat untuk kita berdaftar dalam masa yang sama ahli-ahli PMRAM mendapat keistimewaan seperti mana sebelum kita berdaftar maka ia tidak jadi masalah kepada kita.


Wartawan Warta : Ekoran timbulnya perkara ini juga dikhabarkan telah dibuat memorandum yang kini sedang giat dijalankan oleh BKAN.Boleh ustaz jelaskan sedikit tentang memorandum tersebut?


Presiden PMRAM : Memorandum ini adalah inisiatif daripada YDP-YDP BKAN atas nama BKAN sendiri untuk menyatakan pendirian mereka pada PMRAM dan juga hak-hak yang perlu dipulangkan semula kepada PMRAM kerana mereka melihat bahawa selama ini PMRAM hanya bersendirian dalam menghadapi kemelut yang melanda dengan Kedutaan.Jadi inisiatif ini adalah satu inisiatif yang sangat baik dan bagi pihak PMRAM ana mengucapkan berbanyak terima kasih kepada ahli-ahli PMRAM yang bersungguh-sungguh membuat memorandum ini.Memorandum ini ada dua matlamatnya pertama meminta supaya diiktiraf PMRAM semula sebagai persatuan induk yang mewakili semua pelajar di bumi Mesir ini seperti keadaan asal sebelum wujudnya PPMM.Kedua meminta supaya pejabat asal PMRAM dipulangkan semula dan diberikan kebenaran kepada PMRAM beroperasi di pejabat asalnya.Manakala di pihak PMRAM kita masih meneruskan perundingan kita dan dalam masa yang di pihak Badan Kebajikan Anak-Anak Negeri mereka akan menjalankan usaha-usaha yang termampu oleh mereka.


Wartawan Warta : Setakat ini bagaimanakah hubungan PMRAM dengan PPMM?


Presiden PMRAM : Mereka sebenarnya adalah bekas-bekas ahli PMRAM juga dahulu.Maknanya yang menggerakkan PPMM itu adalah bekas ahli-ahli PMRAM.Walaupun ada sebahagiannya bukan ahli PMRAM pun mereka ini faham dan mereka pada pandangan ana sendiri serba salah untuk menggerakkan PPMM ini.Namun PPMM itu sudah wujud jadi mereka terpaksa masuk juga untuk membolehkan wadah PPMM itu berfungsi daripada digerakkan oleh mereka yang kurang berpengalaman dan mempunyai halatuju yang tidak jelas tentang perjuangan mahasiswa,jadi mereka masuklah atas dasar mereka mempunyai pandangan mereka sendiri.Tetapi dalam keadaan sekarang ini kita telah membuat beberapa perbincangan dan pertemuan samada rasmi atau tidak rasmi bersama kepimpinan mereka dan kita memahami bahawa mereka ini sebenarnya ikhlas dalam kerja mereka. Cuma kaedah pendekatan yang tidak sama.Jadi kita terangkan kepada mereka bahawa keadaan sekarang ini tidak menguntungkan kita.Kita ditekan dan terpaksa berbincang tentang perpecahan pelajar yang mana orang tidak membincangkannya lagi.Mereka berbincang tentang perkara yang lebih besar daripada itu.Jadi satu kerugian kepada kita kerana masih membincang dan menyelesaikan masalah perpecahan ini.Jadi mereka dapat memahami dan dapat merasakan bahawa lebih baik seandainya PPMM ini tiada.Jadi selama ini masalah yang melibatkan perbalahan dan pemulauan dikalangan ahli-ahli puncanya wujud dua persatuan pelajar ini.Kepimpinan masing-masing tidak pernah mengarahkan perkara ini berlaku namun tindakan spontan daripada ahli menyebabkan masalah ini berlaku.Jadi ia merupakan satu kerugian kepada kita.Jadi puncanya ini perlu dibuang.Namun setakat ini belum ada kenyataan rasmi daripada Kedutaan atau JPM bahawa PPMM sudah dimansuhkan kecuali kenyataan ia digantung.Cuma yang peliknya ia digantung tetapi disuruh membuat aktiviti.Dan mereka masih lagi dijemput untuk menghadiri mesyuarat.Namun kita mengucapkan syabas kepada mereka akan ketegasan yang ditunjukkan oleh bekas kepimpinan PPMM bahawa mereka tidak mahu lagi meneruskan PPMM walaupun diminta.Ini satu ketegasan yang menguntungkan pelajar dan pihak JPM terpaksa menilai semula keputusan penggantungab mereka dan mereka mesti lebih rasional dalam perkara ini dan menerima tuntutan pelajar supaya dibatalkan semula kewujudan PPMM.


Wartawan Warta : Sekiranya PPMM dimansuhkan,adakah PMRAM sedia menerima semula ahli-ahli PPMM?


Presiden PMRAM : Kita sentiasa rasa terbuka dan bersyukur jika bekas ahli-ahli PPMM dapat kembali berganding bahu menjadi ahli PMRAM semula dan kita rasa itu yang terbaik sebenarnya iaitu kembali kepada penyatuan mahasiswa sama seperti keadaan sebelum ini.


Wartawan Warta : Pada pandangan ustaz,adakah penubuhan MPP dan Jawatankuasa Kebajikan ini menguntungkan pihak PMRAM atau pihak lain?


Presiden PMRAM : Kalau MPP ini ditubuhkan ia akan menguntungkan pelajar dalam jangka masa pendek akan tetapi dalam jangka masa panjang ia akan wujud kecenderungan pemikiran kearah berbilang-bilang firqah yang mana perkara ini tidak membawa kepada kesatuan pelajar yang kita harap-harapkan.Jadi dalam jangka pendeknya untung dari segi sumbangan kewangan dan kebajikan akan dapat disalurkan.Cuma bila wujudnya MPP ini seolahnya menyebabkan satu perpecahan yang berterusan dan kemungkinan akan wujud lagi firqah-firqah yang lain.Mungkin kelab KIMI selepas ini ,Puteri UMNO ,Kelab PAS dan sebagainya samada ia berbentuk politik,NGO dan sebagainya.Jadi ia bukan satu kesatuan yang kita harapkan dan ia membawa kepada satu kesan yang negatif.Mungkin mudah bagi pihak JPM untuk menyalurkan bantuan namun bagi pelajar kita rasa ini bukannya kesedaran yang kita mahu.Biarlah satu sahaja persatuan induk pelajar dan apa sahaja kelab yang wujud biarlah ia berada bawahnya iaitu PMRAM dan PMRAM terus berhubung dengan pihak JPM.Biar ahli-ahli jelas siapa pemimpin mereka.Kita belajar konsep Al-Wala' ini dalam Islam.Jadi kita tidak mahu ada berbilang ketua yang membawa kepada perpecahan disebabkan menyamatarafkan pertubuhan yang tidak sama taraf.Taraf persatuan induk pelajar tidak sama dengan taraf kelab-kelab ini.Jadi jika wujud Jawatankuasa ini fungsi persatuan pelajar dan kelab-kelab ini akan jadi sama maka pelajar akan jadi keliru dan kabur.Jadi PMRAM bukanlah gila kuasa.Sekiranya mahasiswa hendak pilih persatuan induk lain tidak menjadi masalah.Tapi sekarang ini majoriti semua daripada BKAN dan DPM memilih PMRAM sebagai persatuan induk.Jadi kita kena raikan pendangan semua.Satu lagi yang kita tengok yang kurang sesuainya bahawa kelab-kelab ini bilangan ahli mereka lebih sedikit daripada BKAN dan DPM.Jadi lebih baik BKAN dan DPM jadi ahli.Jadi jika PMRAM,ABIM dan UMNO jadi anggota,masih lagi kita melihat ada BKAN lain yang tidak terlibat iaitu Sabah dan Sarawak.Dan sekiranya mereka terlibat maka BKAN lain pun akan meminta wakil mereka juga.Jadi ia jadi bercelaru.Maka lebih baik tidak wujud jawatankuasa ini.Pandangan PMRAM dan ruasa'-ruasa' lebih baik tidak wujud jawatankuasa ini.Terus kepada hubungan langsung yang lebih erat sebenarnya.


Wartawan Warta : Diantara faedah wujudnya Jawatankuasa ini adalah memudahkan penyaluran kewangan kepada PMRAM,ABIM dan UMNO yang menganggotai Jawatankuasa tersebut.Jadi persoalannya yang wujud disini semacam tiada keadilan dari sudut pembahagian kewangan di peringkat BKAN dan DPM.Apa pandangan ustaz tentang hal ini?


Presiden PMRAM : Ana ada bertanyakan kepada Pengarah JPM sendiri bahawa adakah wang ini untuk duit poket pelajar atau untuk membuat program persatuan.Jadi jawapan daripadanya duit tersebut banyaknya untuk buat program.Jadi soal tidak adil itu tidak boleh dihitung dari sekarang sebab ia bergantung daripada perjalanan Jawatankuasa itu sendiri.Kalau banyak program yang dibuat maka banyaklah bantuan yang akan diperolehi.Cuma kita melihat sekiranya tidak wujud jawatankuasa tersebut bantuan boleh juga disalurkan sebab ABIM dan UMNO memang berdaftar rasmi dan mereka sebelum ini juga mendapat bantuan .PMRAM ini dikatakan tidak dapat sebab tiada hubungan rasmi dengan Malaysia.Itu alasan protokol yang diberitahu.Cuma kita lihat kerjasama kita dalam program IHSAS contohnya kita masih dapat buat proses secara rasmi,bantuan-bantuan masih dapat disalurkan.Dan kalau hendak diwujudkan bahawa PMRAM sahaja yang menjadi anggota dan yang lain tidak menjadi anggota maka ia tidak sesuai juga.Jadi yang lain pun kalau tidak menyertai pun akan dapat sebab ia berdaftar dengan kedutaan mengikut pandangan ana.PMRAM ini kalau diwujudkan alasan protokol masih wujud protokol lain seperti melalui Kementerian dan Kementerian akan salurkan kepada kita.Kalau terpaksa pun BKAN sendiri boleh minta bantuan program-program mereka daripada kedutaan.


Wartawan Warta : Setakat ini adakah usul ini datang daripada Pengarah sendiri atau dari pihak lain?


Presiden PMRAM : Secara zahirnya kita melihat perkara ini dibuat seolah ia merupakan satu inisiatif daripada Jabatan Penuntut.Cuma dari segi hakikinya ana melihat bahawa ada arahan supaya diwujudkan perkara ini di pihak yang lebih tinggi.Sebab jawatankuasa ini sifatnya akan dimaklumi oleh semua.Dan ana dengar ia dicadangkan sendiri oleh Tuan Haji Abdul Rashid,wakil daripada Menteri Pendidikan yang datang ke sini.Ia sekadar pandangan.Jadi siapa yang mencadangkan itu wallaua'lam namun kita tidak kisah siapa yang mencadangkan jika ia baik kita akan terima.Jika ia merugikan pelajar dari sudut jangka masa panjang kita terpaksa berfikir.


Wartawan Warta : Menganai dua BKAN yang masih lagi belum bernaung dengan PMRAM iaitu Sabah dan Sarawak.Kita melihat bahawa persoalan mengenai PPMM sudah hampir selesai.Maknanya sekarang kita positif dengan kesatuan pelajar masakini.Namun ia masih lagi ada kurangnya dengan BKAN Sabah dan Sarawak yang masih lagi belum menyertai PMRAM.Minta komen daripada ustaz.


Presiden PMRAM : Berkenaan dengan Sabah dan Sarawak ini ,setakat ini kita boleh beritahu bahawa hubungan dengan kita berlaku atas platform yang tidak sama dengan BKAn-BKAN yang lain disebabkan mereka tidak meletakkan PMRAM sebagai penaung.Dan perjumpaan dengan mereka kita dapati mereka begitu positif untuk bejkerjasama dengan mereka.Cuma beberapa protokol yang mereka sebut dengan kerajaan negeri masing-masing.Kerajaan negeri mereka masih belum dapat menerima kerjasama rasmi mereka dengan PMRAM.Ini wallahua'lam apa sebabnya.Ini mungkin pandangan kerajaan negeri masing-masing berbeza-beza.Jadi kita tidaklah memaksa mereka duduk dibawah kita.Cuma kita mengalu-alukan sekiranya mereka ingin bersama kita.Itu yang lebih baik.Namun sekiranya mereka masih lagi meraikan peraturan daripada kerajaan negeri mereka,kita tetap boleh bekerjasama dari sudut ahli-ahli.Kita menjemput mereka menghadiri program-program kita dan PMRAM juga menggalakkan BKAN-BKAN lain bekerjasama dengan Sabah dan Sarawak.Dan kalau ada yang tidak bersetuju pun,mereka adalah minoriti.Dan majoriti mereka jikalau tiada halangan daripada kerajaan negeri mereka bersedia untuk bersama dengan kita.


Wartawan Warta : Menyentuh mengenai kesukaran DPM untuk berurusan dengan JPM seperti yang disuarakan oleh Pengarah JPM,adakah ia berlaku ataupun wujud salah faham antara JPM dengan DPM.Bagaimana pandangan ustaz berkenaan perkara ini.


Presiden PMRAM : Ia hanya merupakan pandangan JPM sahaja.Mereka sahaja yang merasa begitu.Padahal sebab-sebab penolakan perkara-perkara tersebut adalah sebab-sebab lain.Tidak ada kena mengena dengan kewujudan PMRAM dengan JPM.Contohnya seminar menjawab kertas Bahasa Melayu itu tidak dapat dibuat kerana ia dibuat dalam keadaan peperiksaan sudahpun bermula.Jadi perkara ini kita lihat dari sudut kebajikan pelajar ia sudah bertentangan dimana kita memberi ruang kepada pelajar untuk menumpukan kepada pelajaran mereka dan tidak boleh diganggu oleh perkara-perkara yang lain.Ahli-ahli muhafazah kalau ditanya kepada PMRAM pun kita tidak bersetuju.Kenapa tidak buat lebih awal.Jika mereka hendak buat juga tidak menjadi masalah tapi terpaksalah buat di tempat lain tetapi pihak DPM tidak dapat menguruskan.Kalau perkara ini disebut bahawa DPM begitu sukar untuk dihubungi,kita tidak boleh menerimanya dan kita kurang bersetuju sebab kita tengok pegawai JPM sendiri selalu turun ke DPM.Kita tengok sendiri semasa awal-awal ketibaan Pengarah dahulu,kita menyambutnya di rumah-rumah negeri dan DPM-DPM.Kalau timbul dari segi protokol,itu adalah protokol.Contohnya surat kepada DPM perlu melalui PMRAM.Begitu juga jika kita hendak menyampaikan surat kepada institusi kerajaan dalam Kementerian Pendidikan,kita mesti melalui JPM.Itu adalah protokol.Kenapa kita tidak kata Kementerian Pendidikan menjauhkan diri dengan PMRAM ataupun pihak-pihak tertentu hendak memutuskan hubungan dengan PMRAM dan sebagainya.DPM ini ia memang secara langsung berada di bawah struktur PMRAM sendiri.BKAN pula ada hubungan dengan kerajaan negeri dan ia bukan seperti DPM.Jadi ia tidak boleh disamakan dengan BKAN.


Wartawan Warta : Menyentuh mengenai Kelab UMNO,kita sedia maklum bahawa mahasiswa tidak boleh berpolitik secara kepartaian.Jadi bagaimana pandangan ustaz sendiri dengan kewujudan kelab ini.


Presiden PMRAM : Berhubung dengan Kelab UMNO ini,PMRAM sebenarnya merasa bimbang dengan kewujudan kelab-kelab politik sebegini akan menimbulkan kekeruhan dikalangan pelajar kerana badan-badan politik seperti ini akan memperjuangkan ideolgi politik masing-masing.Ideologi yang dibawa oleh kelab UMNO adalah ideologi yang dibawa oleh pemerintah sekarang yang mana sekarang sekarang mereka sedang berhadapan dengan pelbagai pihak yang tidak bersetuju dengan mereka samada daripada institusi -institusi,NGO mahupun parti politik yang tidak bersetuju dengan pembawaab mereka sekarang.Jadi kita melihat bahawa kewujudan kelab UMNO ini sebagai satu usaha perkaderan daripada pihak pemerintah di Malaysia terhdap pelajar-pelajar Al-Azhar untuk menyambung perjuangan mereka.Ini tidak dapat disangkal lagi.Jadi sebelum ini pun pernah berlaku beberapa peristiwa yang membuktikan kewujudan Kelab UMNO ini menimbulkan kekecohan.Contohnya ketika berlaku pilihanraya dalam memilih jawatan YDP PMRAM,Kelab UMNO pernah menghantar seorang wakil untuk bertanding sebagai calon YDP pada ketika itu.Jadi kita melihat pada ketika itu pihak kedutaan berkempen dan cuba memenangkan mereka dalam pilihanraya tersebut.Ini merupakan satu ketidakadilan.Kenapa mereka sanggup memperjuangkan ahli-ahli Kelab UMNO ini sedangkan mereka adalah minoriti dan menyebabkan ahli-ahli Kelab UMNO tidak diterima pelajar.Mereka banyak menerima duit dan seolah-olah mereka menjadi anak emas kedutaan.Jadi apa yang hendak dilebih-lebihkan mereka ini dengan ahli-ahli PMRAM yang menjadi majoriti.Kadang-kadang kita lihat urusan mereka ini lebih lancar pada setengah aspek seperti bantuan MARA dan sebagainya.Mereka seolah-olah mendapat bantuan yang lebih.Ini juga satu diskriminasi.Jadi mengenai kewujudan kelab ini,PMRAM memang tiada kuasa untuk menghapuskan Kelab UMNO.Cuma kita hanya menasihatkan kepada ahli-ahli kita supaya jangan terlibat dengan politik kepartaian.Ia tidak menguntungkan kita.


Wartawan Warta : Bukankan sebahagian ahli Kelab UMNO sendiri adalah ahli PMRAM?Sekiranya wujud apakah tindakan PMRAM terhadap mereka?


Presiden PMRAM : Setiap persatuan ada perlembagaan dan undang-undang mereka sendiri dan ada peruntukan untuk memecat dan menggugurkan keahlian ahli .Sekiranya ahli melanggar perlembagaan tersebut,maka dia berhak dipecat.Tiada siapa boleh mempertikaikan perkara ini.Kalau sesebuah persatuan memecat ahlinya,Tidak bermakna persatuan tersebut berlawan dengan pertubuhan yang dianggotai oleh ahli tersebut.Kita pecat ahli Kelab UMNO tidak bermakna kita membenci Kelab tersebut tetapi ahli tersebut yang melanggar peraturan.Jadi kita melihat ahli kita yang berada dalam Kelab UMNO mereka ada alasan masing-masing. Ada menyatakan bahawa mereka kesempitan wang,mereka perlu mendapat bantuan kewangan daripada pihak-pihak tertentu lantas menjadi ahli kelab tersebut.Ada juga yang beralasan mereka jadi ahli Kelab UMNO untuk suka-suka sahaja.Apa pun sebab mereka kita menberikan peringatan bahawa kewujudan mereka dalam Kelab UMNO sekiranya membawa kepada perpecahan pelajar kita tidak akan berdiam diri.Mereka bebas untuk menjadi ahli kelab yang mereka minat dan PMRAM tiada kuasa untuk menarik mereka atau melucutkan mereka daripada keahlian tersebut.Cuma kita boleh menasihatkan agar jangan menimbulkan perkara yang boleh menimbulkan kekeruhan.Jangan hubungan mereka dengan BKAN terjejas juga dengan PMRAM ataupun membawa ideologi daripada kelab ini meresap masuk kedalam PMRAM.Contohnya hendak membuat program di rumah negeri atas nama kelab terbabit.Ia boleh dikategorikan sebagai membawa ideologi kelab tersebut ke dalam PMRAM.Sebab itulah BKAN-BKAN tidak membenarkan mereka ini menggunakan rumah negeri atas nama mereka.Tetapi jikalau hendak menggunakan rumah negeri atas alasa individu,bila-bila masa mereka boleh menggunakannya.Mereka juga ahli BKAN dan PMRAM.Mereka bayar yuran BKAN dan PMRAM.Tiada sebab mereka didiskriminasikan.Jika sesetengah mereka yang mendakwa bahawa mereka dipulau,adakah benar dakwaan tersebut.Mereka ada hak sebagai ahli BKAN dan PMRAM.Adakah zakat mereka disekat?Adakah mereka tidak dibenarkan datang program?.Bahkan mereka mendapat keistimewaan yang mana tidak dimiliki oleh ahli-ahli PMRAM yang lain.Selain itu mereka juga minta supaya mereka dihormati.Kita sentiasa menghormati mereka selagi mana dasar-dasar kita tidak bercanggah dengan mereka.Cuma kita meminta supaya janganlah penglibatan mereka menyebabkan perpecahan dikalangan pelajar.


Wartawan Warta : Dari segi PMRAM sendiri,Adakah PMRAM boleh memecat mereka yang menganggotai kelab-kelab yang bersifat politik?


Presiden PMRAM : Kita mengatahui bahawa PMRAM berada di bawah Kementerian Kemasyarakatan Mesir,kita dihadkan program kita supaya tidak melibatkan pertubuhan-pertubuhan yang bersifat politik.Selagi mana kita tidak melanggar perkara ini kita tidak menjadi masalah.Cuma nanti jika dilihat bahawa penglibatan ahli-ahli kelab terbabit dianggap sebagai penglibatan PMRAM,ketika itu kita terpaksa memecat dan ahli terbabit mestilah menerimannya kerana ia adalah peraturan untuk menjaga yang lebih besar iaitu kepentingan umum.Oleh itu mereka mempunyai dua pilihan samada keluar daripada kelab itu atau keluar daripada PMRAM.Setakat ini belum ada lagi usaha-usaha untuk memecat mereka daripada keahlian PMRAM.


Wartawan Warta : Menyentuh mengenai persoalan anjung yang mana ia merupakan persoalan lama yang masih lagi ditemui jalan penyelesainnya,jadi Apakah langkah-langkah terkini yang dilakukuan oleh PMRAM dalam menyelesaikan kemelut tersebut?


Presiden PMRAM : Setakat ini PMRAM sedang merangka satu proses perundingan semula dengan pihak JPM untuk menduduki semula pejabat mereka yang asal.Sebelum ini kita telah ditawarkan duduk di pejabat Rumah Melayu.Cuma apabila kebenaran itu bukan ditempat yang asal,kita rasa rugi sedangkan kita memperjuangkan tempat yang asal itu bertahun-tahun.Dan kita memang mahukan tempat itu sebab kita lihat tempat itu paling sesuai.Kita mempunyai banyak sebab untuk menduduki tempat asal tersebut samada dari sudut sejarah,infrastruktur,sentimen serta semangat asal ada disitu.Cuma apabila ditawarkan tempat lain,kita tidak menerima terus bahkan kita menawarkan perbincangan lagi tetapi apabila kita menghantar surat untuk meneruskan perbincangan lagi,respon yang diterima diluar jangkaan kita yang mana pihak JPM terus menarik balik tawaran tersebut.Baru ini ana ada berjumpa dengan Pengarah JPM dan beliau berkata bahawa sekiranya ada perbincangan perkara ini boleh diselesaikan dan beliau sendiri belum mendengar sebab-sebab PMRAM hendak duduk pejebat asal.Jadi sekiranya ada perbincangan khusus,InsyaAllah perkara ini akan diselesaikan.


Wartawan Warta : Maknanya Us. Wan Bakar sendiri menyokong cadangan PMRAM tersebut?


Presiden PMRAM : Beliau tidaklah menyokong mana cadangan tersebut.Akan tetapi beliau ada membenarkan kita menduduki pejabat tersebut kerana hujah-hujah kita yang kuat betapa perlunya pejabat tersebut diserahkan kembali kepada PMRAM yang mana ia tidak boleh dipertikaikan lagi.Kementerian Pendidikan telah menyerahkan kepada beliau untuk menentukan mana yang lebih baik dalam menyelesaikan masalah ini.Jadi hak penentuan itu ada pada dia.Kita tidak tahu sebab apa beliau tidak membenarkan juga kita duduk di pejabat asal.Wallahua'lam.


Wartawan Warta : Menyentuh juga mengenai surat penarikan daripada JPM tersebut,beliau ada mengeluarakan kenyataan semasa pertemuan kami bahawa perkara tersebut bukan datang daripada beliau,perkara tersebut datang dari Kuala Lumpur dan tawaran tersebut adalah kesilapan daripada beliau sendiri.


Presiden PMRAM : Kalau begitu kalamnya maka ia bertentangan dengan apa yang dinyatakan kepada ana dan perkara ini telah dinyatakan kepada kelab-kelab yang lain Mereka juga merasakan bahawa PMRAM layak duduk di situ.Apabila PMRAM dapat pejabat tersebut mereka pun akan meminta pejebat mereka pula.Mereka ada suarakan juga cuma Pengarah kata tunggu PMRAM selesai berulah mereka boleh membuat permohonan.Mana satu yang betul wallahua'lam tetapi kita berharap ada satu ketelusan JPM,pihak kedutaan dan pihak Kementerian Pendidikan dan menilai secara rasional sebab apa kita memohon untuk menduduki tempat itu dan berterus teranglah samada hendak bagi ataupun tidak.Jika tidak bagi nyatakan sebab apa secara terus terang .Kalau sebab-sebab yang tidak dapat diberi itu tidak boleh diterima kita akan terus minta sebab ia tidak boleh diterima.Kalau bagi alhamdulillah .Cuma hendak beri itu hendaklah menerusi perundingan.Jadi kalau ada arahan lain daripada Malaysia itu wallahua'lam.


Wartawan Warta : Menyentuh mengenai kebajikan ARMA,kita melihat dalam tempoh terdekat ini banyak berlaku masalah melibatkan infrastruktur di ARMA dan dikhabarkan ada bantuan sebanyak 2 juta untuk membaiki infrastruktur tersebut.Jadi sejauh manakah peranan yang dimainkan oleh PMRAM untuk memastikan ketelusan peruntukan tersebut agar tidak diselewengkan seperti sebelum ini?


Presiden PMRAM : PMRAM sentiasa sensitif dan peka tentang perkara yang membabitkan kebajikan ahli.Jadi kita memberikan perhatian yang serius tentang kebajikan pelajar yang menginap ARMA kerana mereka yang memakmurkannya.Tanpa wujudnya ahli-ahli ARMA ini maka sia-sialah perjuangan PMRAM selama ini.PMRAM berjuang semenjak 1932 hendak mendapatkan tanah untuk dijadikan asrama .Jadi kita ada ikatan istimewa antara ahli PMRAM dengan ahli ARMA.Tentang bantuan daripada luar ini kita merasa lebih bertanggungjawab untuk meneliti saluran bantuan tersebut digunakan secara betul atau tidak betul sebab sebelum ini pernah berlaku penyelewengan terhadap peruntukan yang dikeluarkan untuk membaiki Rumah Melayu sewaktu berlaku gempa bumi.Kalau menurut kontraktor-kontraktor yang biasa dengan kerja-kerja pembinaan,peruntukan tersebut cukup untuk meruntuhkan Rumah Melayu tersebut dan dibina bangunan yang lain.peruntukan sebanyak USD 2.5juta yang mana hampir 7 juta pound Mesir,ia cukup untuk membina bangunan baru.Tapi apa yang berlaku terlampau menyedihkan.Ada sesetengah tempat tersebut tidak ditampal dengan simen. Hanya ditampal dengan plaster sahaja kemudian dicat semula atas itu.Jadi jelas sangat penyelewengan tersebut.Jadi memang tidak menghairankan berlaku masalah-masalah seperti ini.Seolah-olahnya tidak ada baik pulih langsung,Cuma dicat semula sahaja.Kita sudah menyuarakannya dan kita telah membuat laporan kepada BPR dan BPR telah datang membuat penyiasatan .Setakat ini kita tidak mendapat apa-apa makluman.Kemudian ini ada beberapa pihak datang dan kita juga memberikan laporan yang sama.Sebahagian mereka merasa bertanggungjawab untuk mengambil perhatian dan untuk peruntukan 2.2 juta ini setakat ini belum ada perancangan khusus daripada kita,duit itupun belum sampai lagi ke kedutaan.Tapi kita sentiasa bersedia untuk apa jua kemungkinan yang berlaku.Jangan mereka ingat mereka boleh menipu kita.Muslim tidak akan jatuh lubang dua kali.Kita akan sentiasa berhati-hati dalam perkara ini.Kalau terpaksa buat tribunal kita akan buat tribunal.


Wartawan Warta : Akhir sekali harapan ustaz tentang perkembangan yang berlaku masakini dan juga nasihat pada ahli-ahli PMRAM.


Presiden PMRAM : Pertamanya ana nak menyampaikan kepada semua ahli PMRAM bahawa kita hendaklah bersedia untuk memulihkan semula keadaan PMRAM sebagai persatuan induk pelajar.Bermakna PMRAM dari sudut strukturnya,aktivitinya,sikapnya,paradigma ahli-ahlinya mestilah menunjukkan bahawa mereka adalah persatuan induk.Dahulu wujud beberapa perkara yang menyebabkan kita tidak bersetuju dengan PPMM.Ia wajar ketika itu kerana kewujudan mereka adalah sangat merugikan sehingga lahir beberapa sikap yang terlampau keras dan tidak diterima oleh individu-individu yang terbabit.Dan kita juga menerima tindakan yang serupa daripada mereka.Sama sahaja.Jadi tidak perlu menyalahkan sesiapa.Puncanya wujud dua persatuan induk.Jadi keadaan sekarang ini insyaAllah sedang berlangsung kearah pulih seperti biasa dan kita mesti bersedia.Ahli-ahli hendaklah memeriksa sikap masing-masing.Tinggalkanlah mana-mana sikap yang kurang sesuai serta perbalahan-perbalahan lama dan kita kembali bersatu seperti adik-beradik dalam persatuan induk seperti sebelum wujudnya PPMM.Yang kedua pesanan ana kita bebas untuk berfikir dengan cara masing-masing.Semua sudah mampu berfikir sendiri.Cuma jangan sampai ia menjejaskan kesatuan yang kita bina selama ini.Jadi kita tidak mahu pembawaan masing menyebabkan hubungan kekeluargaan kita putus.Tolonglah letakkan awlawiyyat pada tempatnya walaupun ia melibatkan pandangan peribadi kita korbankan.Seterusnya PMRAM ingin menyuarakan pada pihak-pihak yang berkenaan terutamanya pihak kedutaan Malaysia,JPM,Kementerian Pendidikan,supaya dapat menimbangkan harapan-harapan dan suara-suara yang disampaikan kepada pihak mereka oleh PMRAM kerana PMRAM mewakili suara majoriti.95% daripada pelajar Malaysia ini adalah ahli PMRAM.tapi kita pelik kerana suara minoriti yang diambil perhatian.Cuba terangkan apakah masalah PMRAM,kita sentiasa berbincang dan memperbetulkan apa yang tidak kena.Seolahnya kami ini bukan rakyat Malaysia.Tolonglah berikan layanan dan pandangan yang sama dan kita sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada pihak terutamanya pihak Malaysia.Kita rakyat Malaysia,kenapa kita tidak mahu bekerjasama dengan rakyat Malaysia.Perkara yang kita boleh kerjasama kita akan bekerjasama.Tetapi apabila perkara yang bertentangan dengan perlembagaan PMRAM kita tidak dapat kerjasama.Takkan perkara tersebut itu menyebabkan andaian bahawa kita terpengaruh dengan pembangkang.Ini suatu yang tidak adil.Dan kita mengucapkan syabas kepada ahli-ahli PPMM kerana mengambil pilihan yang tepat untuk meninggalkan persatuan tersebut dan kita mengharapkan agar bukan sahaja mereka meninggalkan persatuan tersebut bahkan mereka akan kembali semula bersama PMRAM.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved