IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Sunday, April 14, 2002 10:24 PM

Kegiatan Kampus: Pensyarah, pelajar bekerjasama bangunkan KUiTTHO


Berita Harian, 29 Mac 2002

SELAIN pensyarah, pelajar juga mempunyai tanggungjawab penting untuk membantu membawa kecemerlangan sesebuah universiti.

Tanggungjawab pelajar dan imej mereka di institusi pengajian tinggi (IPT) diwakili oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), yang mewakili suara mahasiswa.

Di Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO), pelajar dan pensyarahnya berganding bahu untuk sama-sama membangunkan institusi itu mencapai matlamat menjadi 10 IPTA terbaik dalam bidang sains dan teknologi di negara ini.

Presiden MPP, Irfan Abdul Rahim, 24, berpendapat pertubuhan pelajar perlu berperanan secara proaktif dan bekerjasama dengan pensyarah untuk merancang aktiviti akademik dan kegiatan sosial bagi meningkatkan kewibawaan universiti.

Katanya, persefahaman antara pelajar dan pensyarah itu tidak harus dihadkan ketika mereka bertemu dalam bilik kuliah atau tutorial saja.

Beliau berkata, hubungan berkenaan harus membabitkan bimbingan pensyarah secara langsung kepada pelajar, merancang dan menjayakan program berbentuk akademik dan bukan akademik.

“Hakikatnya, persatuan pelajar atau MPP KUiTTHO tidak pernah lari daripada tanggungjawabnya memperjuang kebajikan pelajar dan kami mengutarakan kemudahan penginapan yang mencukupi untuk semua pelajar.

“Setakat ini, hanya pelajar tahun pertama diberi kemudahan penginapan di asrama dan sebagai penyelesaian jangka pendek, MPP mengusulkan universiti mengadakan program perumahan di luar kampus.

“MPP juga akan mengadakan kempen keselamatan jalan raya untuk pelajar dan bersepakat dengan penduduk tempatan termasuk mendapatkan kerjasama Ahli Parlimen Seri Gading, Datuk Mohamad Azis dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parit Raja, Ali Sheikh.

“Di samping itu, pelajar KUiTTHO juga perlu memainkan peranan membantu menaikkan imej universiti dengan menganjurkan program pendidikan dengan bimbingan pensyarah,” katanya ketika ditemui di Batu Pahat, Johor, baru-baru ini.

Irfan adalah pelajar tahun akhir Fakulti Kejuruteraan dan berasal dari Kangar, Perlis.

Sebelum ini, bekas pelajar Sekolah Menengah Teknik Alor Star itu menamatkan pengajian dalam Diploma Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik Sultan Abdul Halim, Jitra.

Dari segi penganjuran program berbentuk akademik, Irfan berkata, MPP KUiTTHO bekerjasama dengan Institusi Jurutera Malaysia (IEM) Bahagian Selatan untuk mengadakan program seperti forum.


Halaman Utama

 

Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved