Idealis Mahasiswa
 
 

Temuramah Risalah ABIM Bersama Presiden PKPIM


Hit = [ ]

Berikut adalah catatan penuh temuramah Wartawan Risalah ABIM bersama Presiden PKPIM :

1. Pertama-tamanya tahniah diucapkan diatas pemilihan saudara sebagai Presiden baru Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia. Apakah yang terjelma dipemikiran dan sanubari saudara sebaik sahaja diamanahkan untuk menjawat jawatan tersebut ?

Terima kasih saya ucapkan di atas kesudian Editorial Group Risalah yang sudi menemubual saya untuk dimuatkan dalam majalah Risalah edisi November 2001. Sebenarnya pelbagai perkara yang terjelma dipemikiran dan sanubari saya apabila diberi amanah menjawat jawatan ini. Apa yang pasti amanah dan tanggungjawab sebagai Presiden untuk memimpin sebuah gerakan pelajar peringkat kebangsaan ini amatlah berat, sukar dan rumit. Tambahan pula dalam usia PKPIM yang sudah menjangkau 40 tahun, sudah pastinya harapan yang tinggi dan menggunung daripada ahli yang telah pun berada di dalam pelbagai lapangan dan bidang sukar dipenuhi. PKPIM dalam usianya kini perlu lebih matang dalam sebarang tindakan dan pergerakannya. Terutamanya dalam menghadapi suasana kemelut umat sekarang yang berada dalam pelbagai konflik. Di sinilah akan terujinya PKPIM dalam melaksanakan misi Dakwah dan Tarbiyyahnya dan prinsip Amar Ma'ruf Nahi Munkar.

2. Mana-mana pemimpin sesebuah organisasi pelajar pasti mempunyai wawasan tersendiri untuk memacu kemajuan organisasi tersebut. Tanpa tersasar dari hasrat di sebalik penubuhan PKPIM , apakah wawasan saudara Zaidi dalam memimpim PKPIM untuk menghadapi cabaran mendatang ?

Bermulanya saya dengan gerakan pelajar ini daripada sekolah menengah lagi iaitu ketika menuntut di Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak. Ketika itu saya banyak mengikuti program-program yang dianjurkan oleh Kesatuan Pelajar Islam Perak (KPIP). Daripada KPIP maka saya mula mengorak langkah bersama gerakan pelajar sehinggalah ke hari ini. KPIP yang merupakan badan gabungan PKPIM, banyak menganjurkan program dan kebanyakan penceramah yang diundang adalah daripada pimpinan PKPIM pusat dan ABIM. Saya masih ingat lagi antara yang turut diundang ketika itu Sdr Mustafa Kamil Ayub, Yusri Muhammad dan banyak lagi. Bermula dari sinilah saya mengenali PKPIM sedikit demi sedikit sehinggalah secara khususnya terlibat aktif bersama PKPIM setelah menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

3. PKPIM baru sahaja menyambut tahun ke-40 tahun kewujudannua di persada da'wah. Sebagai pimpinan generasi abad ke 21, bagaimana saudara melihat peranan PKPIM untuk terus menjalankan misi dakwah dan tarbiyyah di kalangan generasi muda Malaysia ?

Wawasan saya dalam memimpin PKPIM ini adalah untuk melihat ianya terus unggul dan teguh dalam menghadapi apa jua rintangan mendatang. Prinsip Amar Ma'ruf Nahi Munkar tetap terus dipertahankan dan dimurnikan ke seluruh masyarakat. Pendekatan Dakwah dan Tarbiyyah yang mengambilkira strategi dan kebijaksanaan menjadi keutamaan dalam menyelesaikan sebarang permasalahan. Inilah sebenarnya kekuatan PKPIM yang seringkali menjadi kecemburuan dan irihati sesetengah pihak kepada organisasi ini. Dan ini jugalah yang menjadikan PKPIM tetap utuh dipersada dakwah. Justeru, bagi mencapainya kekuatan ahli di peringkat akar umbi akan diberikan penumpuan secara khusus. Usrah dan Tamrin sebagai asas kekuatan gerakan hendaklah dimantapkan. Kekuatan intelektual, kerohanian dan kualiti kepimpinan akan terus dipertahankan. Hubungan PKPIM dengan semua pihak dan masyarakat akan terus dijalinkan selagi ianya tidak melanggar prinsip-prinsip yang ada.

4. Proses globalisasi yang sedang deras melanda pada hari ini telah menampakan kesan baik dan juga buruk terhadap generasi muda. Ternyata globalisasi tidak boleh diundur mahupun dielakkan. Bagaimana saudara menjangkau kesan globalisasi ini terhadap generasi muda Islam, dan apakah cabaran-cabaran utama yang harus menjadi sense of urgency kepada PKPIM dalam menghadapi kesan globalisasi ?

Sebagai pemimpin generasi abad 21, generasi muda sudah pasti menjadi fokus utama PKPIM. PKPIM perlu berhadapan dengan generasi yang hidup dalam serba canggih, zaman teknologi maklumat, zaman kemewahan dan kesenangan serta kebobrokan akhlak dan nilai. Maka sesungguhnya PKPIM perlu tampil dengan membawa peranan yang cukup besar dalam menghadapi realiti semasa yang merumitkan. Peranan PKPIM bagi menyediakan generasi berilmu, generasi yang punya nilai intelektual yang tinggi, generasi yang berpegang teguh kepada agama dan akhlak serta mampu menghayati nilai sejarah bangsa dan tamadun yang maju.

5. Proses globalisasi yang sedang deras melanda pada hari ini telah menampakan kesan baik dan juga buruk terhadap generasi muda. Ternyata globalisasi tidak boleh diundur mahupun dielakkan. Bagaimana saudara menjangkau kesan globalisasi ini terhadap generasi muda Islam, dan apakah cabaran-cabaran utama yang harus menjadi sense of urgency kepada PKPIM dalam menghadapi kesan globalisasi ?

Saya merasakan globalisasi ini sekiranya ditangani dengan cara yang baik maka ia akan mendatangkan hasil yang baik juga, dan begitulah sebaliknya. Mahu tidak mahu kita kena berhadapan dengan realiti globalisasi ini terutama bagi remaja Islam yang perlu melengkapkan diri mereka dengan benteng-benteng pertahanan diri yang cukup kental. Justeru ilmu dan agama merupakan asas penting dalam menghadapi kesan globalisasi ini. Bagi PKPIM, kita sudah semestinyalah menyediakan input-input globalisasi ini supaya akhirnya outputnya juga akan lahir mengikut kehendak dan impian kita. Sebaliknya jika input ini diisi oleh orang lain, pastinya output akan tersasar dari apa yang kita inginkan.

6. PKPIM mempunyai teras ruhiyyah dan tradisi intelektual yang cukup kental. Kedua-dua faktor ini bagaimanapun didakwa oleh sesetengah pihak semakin terhakis dari budaya PKPIM. Apakah benar tanggapan sebegitu, dan apakah kayu ukur yang dapat saudara buktikan jika keadaan adalah sebaliknya?

Sememangnya kekuatan ruhaniyyah dan tradisi intelektual merupakan teras yang cukup kental bagi PKPIM. Sehingga sekarang kita masih mempertahankannya. Orientasi Gerakan PKPIM menjadi bukti bahawasanya kekuatan kerohanian dan keilmuan menjadi paksi kepada gerakan ini. Program-program yang dijalankan diwajibkan meletakkan elemen-elemen ini di dalamnya. Ahli-ahli kita terlibat aktif di dalam persatuan dan aktiviti kemasyarakatan, tetapi mereka tidak pernah melupakan kepentingan ilmu. Ramai ahli-ahli kita yang cemerlang di dalam akademik dan akhlak mereka.

7. Bagaimana pula dengan peranan PKPIM sebagai organisasi yang memayungi pertubuhan-pertubuhan pelajar Islam diperingkat negeri ? Adakah saudara berpuas hati dengan keberkesanan rangkaian yang wujud ?

Ya, saya merasakan jaringan PKPIM di negeri-negeri amat baik. Badan-badan gabungan kita memberikan kerjasama yang baik dalam usaha-usaha untuk kita terus berada di persada dakwah ini. Kaderisasi kita berjalan dengan baik sekali dengan adanya kerjasama daripada badan gabungan ini. Namun usaha-usaha perlu kita pertingkatkan dan perbaiki dari masa ke semasa. Perbincangan, program bersama dan idea serta pandangan hendaklah sentiasa digalakkan.

8. Bagaimana pula fungsi dan peranan PKPIM diperingkat Asia Tenggara ? Mampukah PKPIM menyahu cabaran melahirkan lebih ramai pemimpin pelajar yang bersedia untuk menghadapi isu-isu sejagat ?

Ya, kita sedang dan akan sentiasa berusaha untuk menyediakan ahli-ahli kita mampu berhadapan dengan isu-isu sejagat. PKPIM sedang berusaha bersama dengan teman-teman dari negara-negara lain Asia Tenggara untuk mengaktifkan semula PEPIAT. Dalam masa yang sama kita juga menghantar ahli-ahli kita berseminar atau berkursus bagi menghadiri persidangan di peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa. Kita juga telah dan akan menganjurkan program-program yang sifatnya membincangkan isu-isu global dan sejagat.

9. Wujud tanggapan bahawa profesionalisme dalam gerakan Islam agak kurang, jika dibandingkan dengan gerakan pelajar yang lain. Khususnya selepas krisis 1998, semakin banyak pergerakan pelajar yang ertubuh bagi menyahut cabaran reformasi di Malaysia. Bagaimana saudara melihat isu profesionalisme PKPIM dalam konteks ini, dan apakah tindakan pimpinan PKPIM dalam meningkat tahap profesionalisme para ahlinya ?

PKPIM berusaha sedapat mungkin bagi menyediakan ahli serta gerakan ini ke tahap Profesionalisme. Sememangnya PKPIM perlu lebih kehadapan dalam konteks profesionalisme sama ada dari sudut pengurusan gerak kerja, penampilan di khalayak masyarakat, penyampaian idea mahupun tindakan. Seiring dengan pengalaman serta usianya yang hampir mencapai setengah abad ini, PKPIM juga perlu bersaing dalam segala segi dengan pertubuhan-pertubuhan pelajar dan belia yang lain. Justeru saya menyeru kepada semua ahli supaya mempertingkatkan nilai intelektual, belajar daripada sejarah, mendapat dan mencari sebanyak mungkin pengalaman dan maklumat supaya kita tidak ketinggalan. Di samping itu kursus serta latihan perlu diperbanyakkan dan disertai. Penyertaan ahli-ahli dalam pelbagai bidang dan lapangan perlu diperbanyak dan diperluaskan. Semoga dengan penyertaan kita dan lontaran idea serta pandangan akan meletakkan kita dalam ranking profesional yang acapkali dikatakan.

10. Hubungan dengan ABIM ?

PKPIM dari dahulu sehingga sekarang mempunyai hubungan yang rapat dengan ABIM. Dari sejarahnya pun PKPIM dan ABIM tidak dapat dipisahkan kerana tertubuhnya ABIM dek kerana adanya PKPIM. Sehubungan itu mana mungkin kita memadamkan sejarah ini. Apatah lagi untuk memisahkannya. Justeru, perbincangan demi perbincangan seringkali kita adakan bagi mewujudkan yang berterusan. Disamping penyaluran tenaga, idea dan kepimpinan.

11. Amanat sebagai Presiden baru PKPIM ?

Sebagai presiden PKPIM yang baru dilantik, sudah semestinyalah saya mempunyai harapan yang cukup besar terhadap ahli-ahli, mantan-mantan pimpinan, para senior dan lain-lain untuk terus memberikan kerjasama kepada saf pimpinan yang ada sekarang bagi menerajui Gerakan yang kita cintai dalam berhadapan dengan arus yang kadangkala deras dan kekadang tenang. Sesungguhnya kami tidak mampu untuk memikul dan membawa amanah ini sendirian. Sumbangan idea, buah fikiran, material sama ada wang atau barangan amatlah diharapkan. Saya mengharapkan kepada ahli-ahli agar terus aktif dalam wadah gerakan Islam ini. Sesungguhnya perjuangan kita ini tidak terhenti apabila tamat pengajian tetapi kita masih dituntut untuk terus berbakti dengan mengikuti badan gabungan negeri yang kita ada atau ABIM baik diperingkat Pusat, Negeri mahupun Daerah. Program teras kita usrah dan tamrin hendaklah diteruskan kerana inilah cara mudah untuk kita mempereratkan persaudaraan sesama kita dan menjana kekuatan intelektual. Akhirnya teruskanlah perjuangan bagi menegakkan kebenaran dan keadilan dengan cara yang bijaksana dan HIDUP BIAR BERJASA.





Copyright © 2002 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved