IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Sunday, April 14, 2002 10:26 PM

Ejen perubahan... idealisme sahaja tidak memadai


Utusan Malaysia, 29 Jun 1998

MAHASISWA tidak mampu menjadi ejen perubahan dengan hanya berbekalkan idealisme dan semangat semata-mata tanpa kesedaran serta usaha-usaha untuk menguasai ilmu dan kemahiran bagi membolehkan ia direalisasikan dalam arus perdana dunia.

Perjuangan golongan terpelajar untuk melakukan perubahan berterusan memerlukan kekuatan yang boleh diterjemahkan dalam bentuk penguasaan ilmu dan usaha-usaha melahirkan cerdik pandai di kalangan sendiri.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr. Sidek Baba berkata, mahasiswa bukan hanya perlu menjadi seorang yang ideal, tetapi juga seorang berpijak di alam nyata.

''Kepimpinan mahasiswa memang perlu ada idealisme, tetapi idealisme tanpa realisme umpama kiambang yang terumbang ambing di air dan tidak membawa kita kemana-mana.

''Bagaimanapun, jika mahasiswa tidak mempunyai idealisme pula, umpama perjuangan yang tidak mempunyai matlamat dan arah tujuan yang akhirnya juga membawa kepada kegagalan,'' katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan hujahnya sebagai ahli panel dalam Forum Kepimpinan Mahasiswa - Idelisme dan Realisme sempena Seminar Kepimpinan Mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Ke-3 di Kuala lumpur baru-baru ini.

Menurut Dr. Sidek, dalam melakukan reformasi, mahasiswa perlu membuat beberapa persediaan serta mengenalpasti bentuk-bentuk cabaran yang dihadapi dalam arus globalisasi kini.

''Untuk menjadi seorang pemimpin yang berjaya, mahasiswa harus mampu menimbulkan kesedaran yang tinggi untuk berdepan dengan barat yang menjadikan teknologi maklumat (IT) sebagai alat untuk menjajah minda dan ekonomi kita.

''Sehubungan itu, pendekatan masa kini berbeza berbanding pendekatan mahasiswa masa lalu kerana demonstrasi serta bantahan walau secara aman bukan lagi cara terbaik untuk menentang penjajahan tersebut,'' katanya

Dengan itu kata Dr. Sidek, perubahan akan bermula dengan penguasaan ilmu pengetahuan serta usaha-usaha ke arah melahirkan para cerdik pandai pakar-pakar di kalangan kita sendiri.

''Untuk menolak sistem barat pula, kita harus ada alternatif sendiri. Langkah pertama ialah berusaha menguasai ilmu dan kemahiran kerana dengan cara itu kita bukan hanya sekadar menjadi pengguna tetapi penyumbang.

''Sebagai persiapan, mahasiswa perlu mengambil sikap prokatif terhadap kecanggihan IT ciptaan barat kerana apa yang perlu kita tolak bukan IT tetapi perisian atau kandungannya,''ujar beliau.

Tambahnya, kekuatan peribadi dan akhlak yang baik juga harus dimiliki oleh mahasiswa untuk mencorakkkan perlaksanaan serta hasil perubahan yang berasaskan nilai-nilai murni.

Sementara itu Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO, Saifudin Nasution Ismail pula berkata yang menjadi ahli panel kedua pula berkata, bersikap optimis dalam melaksanakan tanggungjawab mampu menyelesaikan separuh daripada masalah yang dihadapi.

''Tidak dinafikan, persoalan timbul di kalangan mahasiswa bagaimana untuk menjadi seorang yang dinamis sedangkan kenyataan kegawatan ekonomi diluar sana pun amat menakutkan.

''Modal terbaik masa ini ialah keyakinan pada diri sendiri dengan bersikap optimis kerana optimis itu sendiri adalah satu kekuatan,'' katanya.

Menurut beliau, di samping itu, kestabilan politik dan perpaduan rakyat yang dimiliki oleh negara juga modal terbesar untuk mahasiswa menimba sebanyak mana ilmu dan pengalaman untuk muncul berkepimpinan.

''Kita berperanan pada tahap masing-masing. Dalam mempersoalkan realiti, harus dipastikan institusi kepimpinan negara mampu berlaku adil dalam membina polisi dan dasar bagi mewujudkan persefahaman antara idelisme dan realisme.

''Begitu juga dengan institut ulama' dan cerdik pandai juga harus mampu mengerakkan masyarakat dengan penguasaan ilmu yang dimiliki walaupun realitinya ia begitu malap,'' katanya.

Menurut Saifudin, tidak ketinggalan institusi kelompok peniaga dan ahli korporat juga perlu dipastikan mempunyai kesedaran yang tinggi bahawa kekayaan yang mereka miliki itu di dalamnya ada hak-hak orang miskin.

''Termasuk institusi biokrasi yang di peringkat perlaksanaannya itulah yang banyak terdedah kepada kekurangan dan penyelewengan yang akhirnya hanya menguntungkan sesetengah pihak dan mereka yang berhak tidak mendapat bahagian sewajarnya.

''Sementara institusi rakyat pula haruslah sentiasa berdoa dan berpuashati dengan apa yang di berikan oleh pemerintah dengan adil. Maka dengan kelancaran perjalanan di semua institusi itu, maka idelisme akan lebihmudah diterjemahkan ke alam realiti,'' katanya lagi.

Sementara itu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana menteri, Datuk Fauzi Abdul Rahman semasa mengulung hujah pula berkata, kegawatan ekonomi negara harus dijadikan satu peluang untuk mahasiswa bergiat lebih aktif dan turut menangani isu-isu semasa.

''Jadikan kesusahan itu sebagai satu peluang untuk kita berusaha dengan lebih giat dan bersedia menghadapi segala rintangan, bukannya sebagai satu halangan atau alasan untuk bersikap pesimis atau memencilkan diri.

''Malah mahasiswa akan ia merupakan satu peluang dan kesempatan menghasilkan pelbagai alternatif dalam mengasah kebolehan dan kepimpinan,'' katanya.

Kata Fauzi, dalam merealisasikan idelisme, mahasiswa perlu memiliki disiplin dalam kepimpinan dan bersifat di samping kekuatan ilmu pengetahuan, kemahiran serta pemikiran strategik.

''Tanpa salah satu daripada keduanya, mana-mana organisasi akan gagal dan ini berdasarkan contoh masa silam yang mana nenek moyang kita walaupun berdisiplin serta rajin berusaha, tetapi tanpa kekuatan dan ilmu pengetahuan mereka tidak mampu merubah keadaan masa itu.

Sementara itu, persoalan ditimbulkan oleh peserta tentang mahasiswa yang tidak mampu mereformasi minda mereka dengan ilmu yang disekularkan serta pergerakan yang tersekat di dalam kampus.

Fauzi menegaskan, di sinilah pentingnya peranan mahasiswa untuk memahirkan diri serta menimba pengetahuan sebanyak mungkin agr lahirnya generasi pencipta dan bukan sekadar pengguna.

''Yang ditolak ialah pendekatan simplistik kerana walaupun falsafah murni tetapi jika perancangan dan strategi tidak betul, realisme tidak akan berjaya. Kelemahan perancangan dan ketempangan perlaksanaan tidak akan menghasilkan natijah yang sepatutnya,'' katanya.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved