Idealis Mahasiswa
 
 

Jiwa Kerdil Punca Gerakan Siswa Gagal


Hit = [ ]

Abdullah Farhan Mohamed, Malaysiakini
11:38pm Fri Mar 16th, 2001

Apabila selesai membaca tulisan Ahmad Zaki Yamani Zainon, sebagai seorang yang tidak kurang prihatin dengan jatuh-bangun gerakan mahasiswa, saya tergerak membuat tanggapan. Ada beberapa analisa yang dibuat oleh Zaki perlu diperbetulkan.

Ada pandangan beliau yang dipersetujui tetapi saya hanya akan menumpukan kepada aspek yang difikirkan memerlukan penjelasan. Ada dua perkara utama yang ingin saya sentuh.

Pertamanya, saya merujuk premis hujah penulis yang mendasari seluruh analisanya. Zaki meletakkan punca utama kegagalan gerakan mahasiswa hari ini untuk menjadi juara isu-isu masyarakat kerana mereka terlalu terikat dengan kuasa-kuasa politik lain, terutamanya parti-parti politik.

Dalam tulisannya [#1]‘Pemimpin siswa 'melacurkan politik?’[/#] (Mac 10), beliau telah mengaitkan semua badan mahasiswa utama hari ini dengan kerajaan dan pembangkang. Kalaupun semua dakwaan tentang perkaitan tersebut benar (beliau tidak membawa bukti-bukti yang mencukupi), saya rasa ia bukanlah boleh dikatakan sebagai punca utama kelemahan gerakan mahasiswa negara kita hari ini.

Saya boleh faham kalau alasan ini digunakan terhadap gerakan pelajar yang berada bawah dagu kerajaan. Tetapi bagaimana pula gerakan pelajar yang lebih dilihat sebagai hampir dengan pembangkang?

Tidak sukar untuk melihat bahawa parti-parti pembangkanglah sekarang yang lebih menjuarai isu-isu rakyat dengan gigih. Mungkin pendekatan dan strategi pembangkang masih belum betul-betul kukuh, tetapi apabila terpengaruh dengan parti-parti alternatif sekarang, gerakan mahasiswa akan lebih matang dan terbuka menanggapi isu-isu semasa.

Dalam realiti keterbatasan maklumat yang objektif di negara kita, dengan mendekati Barisan Alternatif dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa akan lebih luas ufuk pemikirannya. Tapi dari segi pendekatan menangani isu, saya bersetuju gerakan mahasiswa tidak harus terikat dengan strategi dan tempo BA dan kerabatnya.

Mahasiswa boleh bergerak mengikut cara yang sesuai dengan jiwa mahasiswa. Cuma, sekadar membebaskan diri daripada pengaruh parti-parti politik sahaja tidak akan menghasilkan gerakan mahasiswa yang bertenaga, berani, dinamik dan berkesan. Masih ada faktor-faktor lain yang menghambat.

Setakat manakah pihak berkuasa membuka ruang untuk gerakan mahasiswa beraksi? Adakah polis negara ini sedia bersikap seperti polis di Indonesia - sekurang-kurangnya zaman Presiden Soeharto? Kalau mereka terus membantai dan menangkap para demonstran, apakah bijak gerakan mahasiswa Malaysia bergerak seperti rakan mereka di Indonesia?

Zaman Mahathir, pilih jalanraya

Mungkin sahaja pihak berkuasa tidak berhenti bertindak walau berlaku peristiwa seumpama pembunuhan beberapa siswa Trisakti di Indonesia. Katakanlah kematian memang harga yang harus dibayar dan nyawa mahasiswalah yang harus dahulu dikorbankan, saya cukup menyokong jika mahasiswa kita terus mara dan membayar harga tersebut dengan rela. Soalnya siapa yang sanggup?

Kalau belum ada siswa yang sanggup, mungkin proses pendidikan politik harus dipergiatkan dahulu agar kita ada sekumpulan siswa yang mencukupi yang mampu menjayakan pengorbanan seumpama itu.

Mahasiswa perlu terlebih dahulu diyakinkan bahawa perjuangan ini layak untuk menagih pengorbanan mereka. Mereka perlu diyakinkan bahawa tiada cara lain yang lebih berkesan melainkan turun ke jalan-jalan kalaupun terpaksa menggadai nyawa.

Dalam hal ini saya bersetuju bahawa gerakan mahasiswa yang dinaungi PAS, merupakan kumpulan terbesar dan mantap organisasinya, cenderung lebih berhati-hati untuk bertindak “secara revolusi” kerana mereka sudah lama selesa dalam demokrasi pilihanraya dan merasakan cara itu masih boleh berhasil.

Secara peribadi, saya bersetuju dengan pandangan Zaki dalam tulisannya sebelum ini bahawa “pilihanraya harus digandingkan dengan cara jalanraya (demonstrasi) dan dalam realiti Malaysia di bawah Mahathir, jalanraya lebih utama.”

Tetapi kunci pendekatan ini adalah keyakinan dan keberanian. Kalau kita berjaya membebaskan gerakan mahasiswa daripada pengaruh parti-parti politik tetapi jika masih berjiwa kerdil, mereka tidak akan mara ke hadapan. Saya nampak perkara inilah sebagai punca yang lebih penting di sebalik kelemahan gerakan mahasiswa Malaysia.

Di Malaysia keadaan sara hidup tidak seburuk di Indonesia yang memudahkan mahasiswa untuk turun berdemonstrasi walau terpaksa menghadapi pelbagai risiko. Bagaimanapun saya sendiri merasakan nilai syahid (terkorban untuk menegakkan Islam atau menentang kezaliman) tetap sama di sisi pelajar Islam dan di Indonesia.

Cuma bezanya, lebih sukar meyakinkan massa Malaysia untuk berkorban kerana mereka masih berfikir mereka akan kehilangan terlalu banyak perkara. Di Indonesia, selalu dikatakan, mereka tidak takut untuk hilang apa-apa kerana memang mereka tidak mempunyai apa-apa!

Kedua, sebagai seorang yang mengenali Zaki secara peribadi dan pernah bersamanya dalam Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), saya terpanggil untuk menegur caranya membentangkan pemikiran sekali gus memperjelaskan konteks dan latar belakang di sebalik beberapa pandangan beliau.

Walau ada analisa beliau yang wajar disoroti, pada masa yang sama ada juga pandangannya yang diwarnai oleh prejudis peribadinya sendiri. Jelas dalam sesetengah ungkapan yang digunakan seperti ‘melacurkan’ dan ‘menyerahkan tengkuk’ juga tuduhan tanpa bukti yang beliau buat terhadap individu tertentu.

Tuduhan kasar tanpa bukti

Untuk menilai beberapa ulasan tajam beliau secara objektif, konteks dan latar belakang sepenuhnya harus difahami terlebih dahulu. Zaki memang ada masalah peribadi dengan beberapa individu berlatarbelakangkan PKPIM yang menjadi sasaran ulasan beliau tersebut.

Persoalan yang berlegar di pemikiran kita: Kenapakah Zaki sebagai bekas Setiausaha Agung PKPIM sanggup melontarkan tuduhan melulu kepada pertubuhan itu dengan menganggap bahawa ia sudah menjadi kepunyaan Umno? Alasan yang diberikan semacam berbau prasangka dan dendam peribadi kepada individu tertentu khususnya Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Presiden dan Yusri Mohamed sebagai bekas pemimpin PKPIM. Kalaupun Asyraf mempunyai pertalian darah dengan setiausaha politik Perdana Menteri, adakah bukti lain yang menunjukkan PKPIM sudah menjadi kepunyaan Umno?

Hakikatnya semua ahli PKPIM sedar masalah dan jenayah Zaki ketika bersama pertubuhan pelajar itu. Malah pemimpin PKPIM di semua peringkat juga tahu kesalahan besarnya dalam persatuan itu yang menyebabkan beliau tidak lagi dipercayai oleh ahli untuk menerajui PKPIM. Namun biarlah aibnya itu tidak didedahkan kepada umum.

Zaki seharusnya tidak berasa dirinya terlalu besar dan terlalu yakin diri sehingga tidak mampu melihat kelemahan diri sendiri. Hanya bergantung dengan kelebihan PR (perhubungan awam), kelicikan berpolitik dan menjaja reputasi sebagai ‘hero mahasiswa’ kerana berjaya dipecat daripada Universiti Tekologi Mara (UiTM).

Oleh itu mengenali watak Zaki, saya tidak terkejut apabila membaca tuduhan kasar tanpa bukti kukuh yang melibatkan individu di atas. Sebagai aktivis PKPIM, saya fikir lebih adil jika persatuan itu sebenarnya boleh dikatakan prokerajaan semasa zaman prareformasi.

Selepas 2 September 1998 sampailah sekarang PKPIM sebenarnya sudah proreformasi. Zaki tidak pula membawa apa-apa bukti untuk menyatakan pertubuhan pelajar itu sudah dipunyai Umno melainkan merujuk kepada latar belakang keluarga presidennya sekarang.

Cuma kalau prestasinya tidak cukup radikal, belum ada yang syahid misalnya, terlalu cetek dan tidak menghormati kemampuan kepimpinan lain dalam PKPIM kalau hendak disimpulkan bahawa semuanya kerana pertalian darah Presidennya sekarang dengan setiausaha politik Perdana Menteri.

Saya sebenarnya keberatan untuk mendedahkan semua ini kerana melibatkan pendedahan aib seseorang tetapi penjelasan perlu dibuat. Cuma malangnya ia satu lagi bukti kelemahan gerakan mahasiswa Malaysia - ada ‘jurucakapnya’ masih mencampur-adukkan dendam peribadi dengan analisa situasi.

Pemimpin gerakan mahasiswa semestinya bukan hanya mempunyai ketrampilan seperti berpidato, menulis, mentadbir tetapi juga harus ada kekuatan peribadi serta integriti diri yang kuat.

Bagaimanakah mahasiswa ingin mengubah kerajaan yang dianggap korup dan tidak bermoral sekiranya diri sendiri pun terbelenggu dengan masalah korupsi dan akhlak!


ABDULLAH FARHAN MOHAMED adalah aktivis PKPIM di Universiti Putra Malaysia





Copyright © 2002 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved