IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    disiarkan pada Sabtu, Januari 12, 2002

Jangan cemarkan wibawa mahasiswa


Utusan Malaysia, 9 September 1998

SEKALI lagi, gelagat dan tindakan mahasiswa dipersoalkan gara-gara perbuatan tidak berhemah sebilangan kecil mahasiswa tempatan di tengah-tengah isu perlucutan jawatan bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Teguran Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Yusof Noor yang menasihatkan mahasiswa supaya jangan bertindak di luar batasan dalam isu Anwar, menggambarkan kebimbangan terhadap kemampuan mahasiswa tempatan menangani isu tersebut.

Kebimbangan itu sememangnya berasas kerana reaksi dan bentuk tindakan mahasiswa akan memberikan gambaran dan kesan mendalam terhadap kewibawaan dan imej mahasiswa dalam isu-isu besar negara.

Penyertaan mahasiswa dan dakwaan akan wujudnya satu reformasi gerakan pelajar yang memperjuangkan keadilan sosial menimbulkan tanda tanya mengenai kemampuan pemimpin dan mahasiswa menterjemahkan tindakan mereka dalam bentuk yang bijaksana.

Adalah malang sekali, sekiranya, gerakan mahasiswa kini tidak memikirkan kepentingan negara dengan melakukan gerakan yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman negara.

Sepatutnya, mahasiswa tempatan perlu memikirkan cara dan bentuk tindakan yang terbaik yang perlu mereka lakukan dengan mengelakkan cara dan pendekatan yang kurang bijaksana dalam era perjuangan mahasiswa di era 90-an ini.

Suasana dan zaman menggunakan pendekatan berdemonstrasi dan didalangi oleh tokoh-tokoh politik yang tersingkir dari jawatan untuk menyatakan landasan perjuangan mereka sebenarnya sudah berakhir.

Zaman sekarang menuntut mahasiswa lebih matang dalam bertindak dengan berdasarkan fakta dan hujahan yang boleh melambangkan kewibawaan arah perjuangan mahasiswa.

Persoalannya, adakah mahasiswa perlu kembali mengikut arus perjuangan berdasarkan pendekatan yang boleh mengancam kestabilan dan kemakmuran negara seperti tahun 60-an dan 70-an dahulu?

Idealisme perjuangan mahasiswa sekarang tidak lagi boleh dihantui dengan bayangan silam bentuk gerakan mahasiswa era 60-an dan 70-an yang terkenal dengan pendekatan berdemonstrasi dan agresif yang mengkritik dan menghentam kerajaan.

Kritikan bahawa mahasiswa tahun 90-an adalah lemah, membisu dan tidak bermaya juga perlu dinilai oleh pemimpin mahasiswa sekarang sama ada ia diluahkan oleh pemimpin dan golongan yang inginkan mahasiswa bertindak dengan cara yang radikal dan keras di negara ini demi kepentingan mereka.

Ia penting, kerana mungkin kritikan itu dilemparkan kerana ada pihak-pihak tertentu yang akan menggunakan gerakan mahasiswa di negara ini demi perjuangan mereka dan untuk melindungi kesilapan dan kesalahan yang telah mereka lakukan sebelum ini.

Kemungkinan, golongan tersebut boleh menjadikan gerakan pelajar sebagai alat untuk mengancam kestabilan dan keselamatan negara ini juga boleh berlaku sekiranya mahasiswa tidak berhati-hati.

Kebimbangan menjadikan pelajar sebagai alat boleh menjadi realiti sekiranya para pemimpin dan mahasiswa mudah diperkotak-katikkan oleh pihak tertentu ekoran mudahnya mahasiswa menerima kedatangan para pemimpin politik yang cuba menghasut kebangkitan pelajar.

Seharusnya, pemimpin dan mahasiswa kini perlu menilai sendiri peranan mereka supaya selari dengan kemajuan dan pencapaian negara sekarang yang terkenal sebagai model negara membangun di abad ke-20 ini.

Mahasiswa kini tidak sepatutnya merasa takut dan bimbang mengenai slogan dan hasutan yang mengatakan mereka kini tidak bermaya untuk memperjuangkan kepentingan rakyat dan negara.

Sekiranya mereka mudah terpengarauh dengan golongan yang sering mempertikaikan kemampuan dan perjuangan mahasiswa kini, para pemimpin mahasiswa perlu merenungi dan bertindak bijak menangkis serangan golongan yang cuba menguasai minda pemikiran mahasiswa di universiti tempatan kini.

Janganlah terlalu mudah menerima gesaan untuk mengadakan reformasi dan pendekatan radikal seperti tahun-tahun 60-an dan 70-an kerana pendekatan itu sebenarnya menghancurkan imej dan kredibiliti mahasiswa di mata masyarakat dan dunia keseluruhannya.

Kewarasan mahasiswa bertindak dalam isu Anwar ini juga akan menentukan sejauh manakah mereka menilai dan membezakan antara perjuangan yang bijaksana dan perjuangan yang membuta tuli.

Ini kerana, bilangan masyarakat negara ini yang mendapat pendidikan di peringkat universiti semakin ramai dan mereka yang terdedah kepada persekitaran peristiwa di luar negara juga begitu ramai.

Perlu diingat, jumlah penduduk tempatan yang boleh mendapatkan sistem pendidikan dan kemudahan infrastruktur di negara ini adalah tinggi berbanding dengan negara-negara membangun yang lain.

Tentunya, penduduk di negara ini boleh menilai sama ada tindakan mahasiswa kini sesuai dengan zaman dan sosio-politik dan ekonomi di negara ini.

Sehubungan itu, penduduk di negara ini boleh mengukur tahap pemikiran mahasiswa kini yang dikatakan berjuang untuk mengadakan reformasi ke atas sistem pemerintahan negara yang dikatakan tidak adil. Para pemimpin mahasiswa kini perlu ingat, bahawa perkembangan gerakan pelajar yang menumbangkan Presiden Indonesia, Suharto itu belum tentu akan berjaya di negara ini.

Budaya pemikiran, sistem pendidikan, corak kehidupan masyarakat, latar belakang pemerintahan dan sejarah antara Malaysia dan Indonesia sebenarnya jauh berbeza antara satu sama lain.

Walaupun, gerakan pelajar di Indonesia cukup berjaya dan dikagumi oleh aktivis pelajar di negara ini, ia tidak akan berjaya diadakan selagi masyarakat di negara ini tidak akan menemui bentuk salah guna kuasa dan penyelewengan yang besar telah benar-benar berlaku. Bolehkah, gerakan mahasiswa kini membuktikan dengan fakta dan bukti yang jelas kepada masyarakat bahawa ketidakadilan sosial dan penyelewengan telah berlaku di negara ini?

Tambahan pula, perkembangan pemulihan ekonomi negara kini begitu memberangsangkan dengan beberapa indeks komposit Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) meningkat setelah kerajaan mengenakan langkah-langkah drastik pemulihan ekonomi.

Begitu juga dengan penetapan kadar tukaran ringgit pada RM3.80 setiap satu dolar Amerika Syarikat (AS) yang kini dianggap sebagai langkah yang bernas oleh ahli dan pakar ekonomi asing.

Sehubungan itu, adalah lebih baik para mahasiswa yang masih melibatkan diri dalam isu perlucutan jawatan Anwar menilai diri mereka semula mengenai kesan ke atas nama baik mahasiswa tempatan di negara ini. Berhubung dengan isu Anwar, sepatutnya, para mahasiswa perlu menunggu perbicaraan kes Anwar di mahkamah kerana ia lebih mencerminkan kewarasan dalam bertindak berlandaskan kepada undang-undang di negara ini.

Amat ganjil sekali, sekiranya mereka tidak mempercayai sistem perundangan negara sedangkan asas menjatuhkan hukuman ke atas penduduk di negara ini mestilah berlandaskan kepada bukti yang sahih di mahkamah. Sebagai seorang pelajar universiti, tentunya mereka mengetahui bahawa seseorang itu bersalah hanya setelah dia menjalani proses perbicaraan yang adil dan keputusan mahkamah telah dilakukan dengan sempurna.

Justeru, mahasiswa tempatan perlu menggunakan pendekatan dan melahirkan pandangan yang bijaksana supaya mereka boleh dianggap sebagai mahasiswa yang dinamis dan bertindak sebagai golongan yang intelek dalam menyelesaikan masalah negara.

Sehubungan itu, adalah lebih baik, semua pemimpin mahasiswa di negara ini menilai semula tindakan mereka supaya mereka lebih berguna kepada agama, bangsa dan negara.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved