IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    disiarkan pada Sabtu, Januari 12, 2002

Suara generasi muda Melayu -"Jangan tinggalkan kehancuran untuk kami''


Utusan Malaysia, 14 Januari 2001

Generasi muda termasuk para pelajar universiti selaku pewaris kepimpinan negara juga tidak ketinggalan menyumbangkan pandangan mereka terhadap isu bangsa yang penting ini.

Ada juga kumpulan pelajar misalnya Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS) yang kelihatan terpengaruh dengan idea-idea parti tertentu.

Seperti kewujudan perbezaan pandangan politik dalam masyarakat Melayu yang lebih besar, pendapat yang berlainan juga menjadi identiti generasi muda Melayu.

Presiden GAMIS, Kamarulzaman Abdullah misalnya cuba mengaitkan usaha penyatuan Melayu dengan penurunan sokongan terhadap UMNO iaitu satu idea yang mewakili suara Parti Keadilan.

Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPM-UM), Mohamad Fuad Mohd. Ikhwan dan Presiden Persatuan Pelajar Universiti Sains Malaysia (PPUSM), Izwandy Idris sebaliknya lebih berdiplomasi. Mereka mengakui kepentingan usaha penyatuan Melayu yang sedang berlangsung.

Dalam interviu dengan Mingguan Malaysia, ketiga-tiga mereka bagaimanapun menegaskan ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku dalam masyarakat Melayu yang menuntut penyelesaian segera.

Ikutilah wawancara wartawan ROZAMAN ISMAIL, RAMLI ABDUL KARIM dan NORZAHIZAN ISMAIL dengan anak-anak muda Melayu itu.

Apakah penyatuan Melayu yang difahami oleh golongan muda?

FUAD: Ia merupakan penyatuan bangsa Melayu dari sudut kefahaman bersama iaitu berasaskan kesejagatan dan keagamaan. Kita tidak mahu ia sekadar atas dasar politik dan kesamaan pemikiran serta pemahaman akademik saja kerana itu akan menjuzukkan konsep penyatuan itu. Nilai-nilai agama dan kesejagatan adalah asas ketamadunan insan.

Adakah generasi muda sedar usaha penyatuan Melayu ini?

FUAD: Pelajar-pelajar ini terbahagi kepada tiga. Pertama, mereka yang memberi perhatian penuh kepada isu ini. Kedua, mereka yang tidak mengambil tahu langsung dan ketiga mereka yang mengambil kesempatan.

Masalahnya, golongan yang tidak tahu apa-apa inilah yang lebih ramai di kampus sekarang. Mereka berpendapat isu penyatuan Melayu ini tidak kena-mengena dengan mereka, sebaliknya hanya urusan pemimpin atau orang atasan. Ini berlaku kerana sistem pendidikan kita berorientasikan peperiksaan dan tidak membentuk budaya pemikiran yang beridealisme.

Jika penyatuan Melayu menjadi kenyataan apakah yang diharapkan oleh orang Melayu?

FUAD: Kebanyakan orang Melayu masih kekurangan dari sudut-sudut ekonomi dan pendidikan. Dalam aspek yang bersifat pembangunan, orang Melayu masih jauh tertinggal. Biarlah hala tuju kita menerusi penyatuan Melayu ini mampu meningkatkan kedudukan orang Melayu sehingga mencapai tahap yang mantap dalam ekonomi tanpa menafikan hak kaum lain.

Apa yang perlu pemimpin politik Melayu fikirkan dalam pertemuan mereka nanti?

FUAD: Mereka perlu melihat terus kepada masalah yang berlaku kerana tanpa kita mengenal pasti dan menumpukan kepada masalah yang sebenar, perbincangan itu akan sia-sia sahaja.

Misalnya isu gejala masalah sosial, rata-rata golongan muda Melayu, tahap moral mereka memang cukup rendah sama ada dari segi akhlak dan pembentukan insan.

Bagaimana saudara melihat tahap perpecahan orang Melayu ketika ini?

FUAD: Apa yang berlaku sekarang tidak dinamakan perpecahan. Sistem yang ada di Malaysia ialah demokrasi yang membenarkan adanya pertembungan pemikiran dan ideologi.

Kalau begitu apa perlunya penyatuan Melayu itu? Kenapa pula masih berlaku perbalahan antara orang Melayu?

FUAD: Memang ada perpecahan tetapi hanya melibatkan segelintir kecil masyarakat dan di kawasan tertentu saja. Kita bimbang juga kalau perpecahan ini merebak. Jadi, kita kena baiki sungguh-sungguh.

Keseluruhannya, perpecahan tidak ketara tetapi perselisihan mungkin ada.

Adakah generasi muda Melayu masa kini juga memahami erti perpecahan?

FUAD: Orang muda ketika ini tidak peka. Mereka terikut-ikut atau hendak kekalkan pegangan politik kepartian. Ketika perpaduan mula wujud, ada pula pihak yang tidak mahu melihat ia terjadi lalu mereka menerapkan nilai-nilai bertentangan. Mahasiswa tiada pilihan selain bersatu menjadi penimbang tara kepada kerajaan dan semua parti politik, termasuk pembangkang.

Apa yang saudara bimbangkan daripada perpecahan Melayu?

FUAD: Keharmonian dan keamanan negara akan terancam. Survival negara lama-kelamaan juga tergugat dan negara kita tiada hala tuju. Akhirnya kita jadi negara yang akan hancur dari semua segi. Asas untuk mempertahankan dan memastikan kestabilan semua ini ialah perpaduan.

Parti Keadilan menolak dialog penyatuan Melayu, apa komen saudara?

FUAD: Kalau itu keputusan mereka, terpulanglah. Tetapi mereka patut fikir semula. Bukanlah saya kata keputusan mereka tidak berasas. Sepatutnya jangan terus ditolak. Masuk dan berbincanglah dulu. Jika terdapat perkara yang tidak berfaedah atau menyeleweng daripada agenda penyatuan Melayu sewaktu perbincangan, baru boleh tarik diri ketika itu.

Apakah isu-isu yang patut dibincangkan dalam dialog penyatuan Melayu?

FUAD: Soal-soal berkaitan keagamaan, kesejagatan, keruntuhan moral, akhlak, pelacuran, dadah, rasuah dan masalah pelajar Melayu ketinggalan dalam banyak bidang. Tetapi yang paling penting ialah menggariskan persediaan orang Melayu menghadapi cabaran globalisasi. Globalisasi tidak boleh dihalang, jadi kita perlu ada persiapan.

Apa yang saudara mahu daripada pemimpin Melayu?

FUAD: Bersatulah! Jangan tinggalkan kehancuran untuk kami. Biarlah perbincangan yang dirancang itu benar-benar menyatukan orang Melayu. Kalau Pas dan UMNO terus bergaduh selepas ini, biarlah bertelagah dalam hal-hal bagaimana mahu membangunkan negara ini. Jika ini berlaku, perbezaan ideologi tidak lagi menghalang parti Melayu untuk saling membantu dan memupuk kerjasama demi kepentingan orang Melayu.

Adakah isu penyatuan Melayu penting bagi saudara pada masa ini?

KAMARULZAMAN: Kita perlu melihat sama ada terdapat perpecahan di kalangan masyarakat Melayu itu sendiri. Saya tidak melihat wujudnya perpecahan Melayu. Cuma yang berlaku ialah aliran perpindahan sokongan terhadap parti.

Bagaimana saudara melihat langkah ke arah penyatuan Melayu yang sedang digerakkan?

KAMARULZAMAN: UMNO dan Pas mengambil langkah bijak kerana mahu berbincang bagaimana menguatkan kembali orang Melayu. Memang itulah harapan mahasiswa. Bagaimanapun, GAMIS tidak mahu usaha ini dijadikan agenda politik tersirat oleh parti-parti yang terlibat.

Adakah dialog antara pemimpin politik Melayu itu perlu ketika ini?

KAMARULZAMAN: Muzakarah itu perlu kerana dasar perjuangan UMNO dan Pas berbeza. UMNO lebih kepada memperjuangkan bangsa Melayu. Pas pula memperjuangkan Islam. Jika kita hendak menyelesaikan masalah perpaduan Melayu, setiap perbincangan perlu berteraskan kepada Islam.

Maksud saudara selama ini UMNO kurang keislamannya berbanding Pas?

KAMARULZAMAN: Dasar perjuangannya saja. Bukan saya kata UMNO itu tidak Islam. Jika Islam dititikberatkan dalam dasar perjuangannya tidak timbul kezaliman dan penindasan. Maka titik pertemuan adalah Islam.

Kembalilah kepada agama Islam dan penerapan nilai rohani. Pada saya sebenarnya bukan isu bangsa yang perlu dipentingkan tetapi Islam itu sendiri.

Bolehkah dialog penyatuan Melayu menyatukan kembali orang Melayu?

KAMARULZAMAN: Boleh. Syaratnya, pihak yang taksub dengan perjuangan bangsa mestilah mementingkan aspek asas iaitu Islam. Jika dialog ini tidak mempunyai agenda lain, ia boleh menjadi kenyataan. Biarlah dialog ini dibuat dengan tulus ikhlas untuk perpaduan orang Melayu.

Apa yang tidak kena dengan masyarakat Melayu?

KAMARULZAMAN: Sistem sosial Melayu amat rapuh. Mereka lena dengan zaman yang mereka lalui. Jika orang Melayu sedar bahawa mereka adalah Islam, mereka tentu mempraktikkan agamanya dalam kehidupan. Tetapi yang ada kini tidak menggambarkan keislaman seperti wujudnya rasuah, penipuan dan lain-lain. Inilah sebenarnya masalah Melayu. UMNO sebagai teraju kerajaan perlu ubah dasarnya ke arah yang lebih kukuh manakala sistem sosialnya pula berteraskan Islam. Jika politik berpaksikan Islam, masyarakat akan kembali bersatu.

Bagaimana memperkukuhkan kedudukan politik Melayu?

KAMARULZAMAN: Pertama, kefahaman kepada Islam dalam erti kata sebenar itu sudah cukup kuat untuk mengukuhkan politik Melayu. Kedua, kita juga mesti menolak sekularisme yang masih hidup dalam politik hari ini. Sekularisme telah meruntuhkan pemerintahan kita. Jika Islam dapat mendominasi kehidupan orang Melayu, di situlah terletaknya kekuatan Melayu. Ketiga, orang Melayu tidak boleh mencampuradukkan budaya lain ke dalam budayanya.

Adakah mahasiswa mengambil berat isu penyatuan Melayu?

KAMARULZAMAN: Majoriti pelajar memang peka. Buktinya bila timbul isu ini, ia dijadikan sebagai agenda perbincangan. Ramai pelajar yang ke hadapan membentuk kesatuan dalam bangsa sendiri dan juga di antara bangsa yang lain.

Apakah salah orang Melayu sehingga perlukan penyatuan semula?

KAMARULZAMAN: Salahnya ialah apabila kita warwarkan perkara itu. Orang Cina yang sudah berada lama di negara ini rasa diketepikan dan mungkin timbul keinginan atau ultra ego untuk menaikkan bangsa mereka pula. Seperti juga isu Suqiu, pada waktu itu memang Suqiu menyentuh tentang hak istimewa Melayu dan sebagai tindak balasnya orang Melayu berhimpun untuk menyuarakan hak mereka. Mungkin ini yang akan menimbulkan perbalahan antara kaum. Langkah mewarwarkan perkara ini adalah tidak matang dan tidak tepat. Sepatutnya untuk selesaikannya kita perlu menggunakan konsep perbincangan tertutup seperti yang dilakukan oleh Datuk Hishammuddin Tun Hussein dan Suqiu.

Saudara berpendirian jelas iaitu mahu pendekatan berbincang. Apa komen anda dengan keputusan Keadilan menolak perbincangan mengenai penyatuan Melayu?

KAMARULZAMAN: Itu hak mereka. Seperti kata pemimpinnya, parti itu bukan parti Melayu. Mungkin juga disebabkan ketidakpercayaan mereka kepada UMNO.

Kenapa UMNO sahaja yang ke hadapan dalam isu penyatuan Melayu ini?

KAMARULZAMAN: Dalam isu debat, Pemuda Pas minta diteruskan tetapi UMNO berhati-hati. Begitu juga isu muzakarah ini, Pas masih berhati-hati walaupun bersetuju. Mungkin sejarah lampau mempengaruhi sikap berhati-hati mereka.

PRESIDEN Persatuan Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (PMUSM), Izwandy Idris percaya bahawa masa depan orang Melayu bergantung kepada penyatuan bangsa itu. Berikut adalah sebahagian daripada pandangannya dalam interviu dengan Mingguan di Pulau Pinang.

Maksud penyatuan Melayu: Ia adalah persepakatan mengenai idea, pendapat dan gerak kerja. Ia harus berjalan tanpa prasangka antara satu sama lain dan matlamatnya pula menjanjikan kebaikan untuk orang Melayu sendiri.

Kita kena tengok usaha penyatuan Melayu ini sebagai sesuatu yang perlu bagi masa depan orang Melayu khususnya dalam usaha mengukuhkan pencapaian kita dalam bidang pendidikan, sosial dan ekonomi.

Harapan generasi muda: Kita mahu penamatnya nanti ialah orang Melayu kembali bersatu padu. Ia perlu segera berakhir supaya tidak ada lagi masalah orang Melayu yang disiarkan di dalam media massa kerana ia sebenarnya seperti membuka pekung di dada sendiri.

Kepekaan generasi muda dalam isu ini: Secara keseluruhannya kami ambil tahu perkara ini tetapi mungkin tahap kesedarannya masih sederhana.

Kami ibarat anak bongsu dalam masyarakat Melayu. Walaupun sibuk belajar, kami masih mengambil tahu apa yang berlaku dalam masyarakat.

Punca perpecahan orang Melayu: Bagi saya, apa yang berlaku hanyalah perbezaan pendapat dan ideologi. Masalahnya ada pihak yang cuba menyemarakkan suasana ini sehingga kelihatan begitu emosional. Perbezaan pendapat patut berperanan sebagai pengimbang tara untuk menilai sesuatu perkara, bukannya mencetuskan perpecahan.

Kewajaran dialog penyatuan Melayu: Ia memang wajar kerana salah satu daripada prinsip Islam ialah syura atau musyawarah. Kita boleh melihat masalah dan mengenal pasti apa sebenarnya yang berlaku. Ketika dialog itulah berlakunya kebebasan memberikan pendapat. Sudah tentu ia adil untuk semua. Ia patut diteruskan dan rakyat memang menanti-nanti pertemuan ini.

Kebaikan berunding: Hasilnya biarlah mendatangkan kebaikan bersama. Natijahnya pula membantu membangunkan orang Melayu. Walaupun kita tidak boleh memaksa seseorang itu menukar ideologinya, janganlah halangan itu merencatkan idea dan agenda membantu orang Melayu. Mungkin pemimpin terbabit dapat melihat dan menilai semula perjuangan masing-masing. Kalau ada kesilapan, mereka perlu saling membetulkannya.

Isu Parti Keadilan tolak idea penyatuan: Itu hak dia. Walaupun majoriti ahlinya adalah Melayu, parti itu juga memperjuangkan kepentingan bangsa lain.

Bagi saya dua pihak iaitu UMNO dan Pas yang bersetuju untuk sama-sama duduk berbincang sudah cukup bagi mewakili suara orang Melayu di negara ini.

Akibat perpecahan: Perpecahan membuatkan orang Melayu terus ketinggalan dalam segala bidang. Kalau tidak diatasi, ia akan membantutkan kemajuan orang Melayu terutama dalam bidang pendidikan dan ekonomi.

Kekuatan politik Melayu: Kekuatan sebenar politik orang Melayu ialah pada agama Islam. Islam tidak menggalakkan perpecahan. Kita digalakkan berbahas, berbincang dan mencari penyelesaian antara satu sama lain. Perbezaan pendapat bukan sebab untuk kita berpecah.

Kelemahan Melayu: Masih banyak kelemahan terutama dalam aspek ekonomi, pendidikan, sosial dan macam-macam lagi. Orang-orang Melayu perlu mengubah minda mereka supaya lebih berani bersaing. Sebab itulah dialog ini harus diaturkan segera bagi membolehkan kita melakukan banyak lagi perkara lain.

Harapan daripada pertemuan UMNO-Pas: Kita perlu ikhlas. Jangan sekali-kali menjadikan pertemuan itu sebagai tempat untuk mencari kemenangan. Sebaliknya biarlah ia menjadi titik pertemuan bagi kepentingan orang Melayu sendiri. Hapuskan perasaan syak wasangka dan tanggapan buruk melalui pertemuan itu.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved