IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Sunday, April 21, 2002 10:59 PM

GMAJ Kumpul satu juta tandatangan


Utusan Malaysia, 20 April 2002

GABUNGAN Mahasiswa Anak Johor akan mengumpulkan kira-kira satu juta tandatangan rakyat Malaysia bagi mengutuk pencerobohan dan serangan Israel ke atas bumi Palestin.

Pengerusi Penajanya, Samsul Fathan Mashor berkata, pihaknya akan membantu Pergerakan Pemuda UMNO dan Pergerakan Pemuda Umno Johor mengumpul tandatangan berkenaan.

Menurutnya, usaha itu telah pun dilakukan dan sebagai permulaan, pihaknya mengumpul tandatangan para mahasiswa di semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Beliau berkata, pihaknya berharap mahasiswa tampil memberi sokongan terhadap usaha murni yang dilakukan itu.

``Mahasiswa mengutuk sebarang pencerobohan dan serangan tidak berperikemanusiaan Israel terhadap rakyat Palestin,'' katanya kepada Utusan Malaysia.

Gabungan berkenaan mempunyai keahlian kira-kira 500 pelajar di setiap IPTA seluruh negara.

Antaranya di Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kolej Islam Johor dan Kolej Yayasan Pelajaran Johor.

Mengulas lanjut, semua tandatangan itu akan diserahkan kepada Pergerakan Pemuda UMNO untuk tindakan susulan.

Pada satu perkembangan lain, Samsul berkata, gabungan itu akan menghantar kira-kira 1,000 mahasiswa IPTA seluruh negara untuk menyertai Perhimpunan Aman Palestin di Johor Bahru pada Ahad ini.

Menurutnya, perhimpunan anjuran Pergerakan Pemuda UMNO dan Pergerakan Pemuda UMNO Johor itu akan diadakan di perkarangan tempat meletak kereta Selat Tebrau berdekatan Pejabat Pos Besar Johor Bahru.

``Sebagai tanda sokongan kepada usaha kedua-dua pergerakan pemuda itu, kami akan mengumpul seberapa banyak mahasiswa untuk menyertai perhimpunan berkenaan,'' katanya.

Beliau menjelaskan gabungan menyediakan enam buah bas dari Kuala Lumpur dan setiap bas di daerah yang terdapat di seluruh Johor.

Katanya, mahasiswa yang berminat menyertai perhimpunan itu boleh menghubunginya di talian 017-3477342 atau Kalam (016-3730606) atau Fazlie (013-3053444)


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved