IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Sunday, April 21, 2002 10:31 PM

Surat Pensyarah Kanan UiTM Ke SUHAKAM


Fadzlullah Bin Hj. Shuib
Pensyarah Kanan
Universiti Teknologi MARA
Kampus Sabah
Beg Berkunci 71
88997 Kota Kinabalu
Sabah

5 hb April 2002

Yang Berbahagia Pengerusi
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM)
Tingkat 29, Menara Tun Razak,
Jalan Raja laut,
50350 Kuala Lumpur.

Yg. Bhg. Tan Sri
PENGADUAN MENGENAI HAK KEBEBASAN AKADEMIK

Sukacitanya perkara di atas adalah dirujuk.

Saya seperti nama dan alamat diatas ingin membuat pengaduan kepada Yg. Bhg. Tan Sri tentang tindakan diluar batas kerasionalan pentadbiran tertinggi Universiti Teknologi MARA (UiTM) keatas saya sebagai kakitangan akademik universiti tersebut.

Antara tindakan tersebut ialah mengemukakan surat tunjuk sebab atau mengarahkan saya untuk memberi keterangan berhubung dengan ceramah motivasi dalam siri pembangunan manusia yang mana telah saya sampaikan sepanjang tahun 2001. Susulan selepas peguam saya menjawab surat tersebut menurut prosedur perundangan, maka saya telah menerima arahan pertukaran dari UiTM Shah Alam ke UiTM Kampus Sabah.

Berikutnya, saya telah ditukarkan ke Kota Kinabalu pada 1 Januari 2002. Tanpa menjawab surat peguam yang mewakili saya, pada 18 Mac 2002 sekali lagi pihak majikan saya telah menghantar satu surat tindakan tataertib dengan tujuan untuk membuang kerja atau menurunkan pangkat.

Sehubungan dengan itu, peguam saya telah menghantar represantasi kepada surat tatatertib itu pada 4 April 2002. Tuduhan-tuduhan yang dikenakan kepada saya adalah disimpulkan seperti berikut: -

i- Saya telah melibatkan diri dalam kegiatan politik
ii- Saya telah mengambil upah atau faedah dari firma atau syarikat swasta

Tindakan pentadbiran ke atas saya ini boleh dipertikaikan dan dibatalkan kerana ia amat tidak munasabah dan melanggar prinsip wednesbury unreasonableness serta merangkumi suatu tindakan yang tidak rasional.

Malah saya ingin menarik perhatian SUHAKAM yang ditubuhkan oleh Kerajaan dan Dewan Rakyat untuk mamantau amalan-amalan yang menindas kebebasan hak asasi manusia dan merencatkan penghayatan demokrasi yang sihat. Justeru itu, kebebsan akademik golongan ahli-ahli akademik wajar dikembalikan semula sebagaimana yang pernah dinikmati oleh warga akademik pada dekad 1960-an dan 1970-an yang lalu di tanahair kita yang tercinta ini.

Untuk tujuan tersebut saya bersedia untuk bertemu dengan Yg. Bhg. Tan Sri dan Pesuruhjaya-pesuruhjaya SUHAKAM untuk meperincikan lagi pengaduan saya demi memartabatkan semula hak-hak kaum intelektual yang semakin terhakis.

Sekian, wassalam.

Yang benar

t.t

FADZLULLAH HJ. SHUIB
Pensyarah Kanan UiTM


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved