Idealis Mahasiswa
 
 

SEJARAH Kronologi Agung Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir


Hit = [ ]

1918

Tahun ini merupakan sejarah penting perjuangan pelajar-pelajar Melayu merantau ke bumi Mesir, di antaranya ialah Tuan Ahmad Ata'ullah Suhaimi( meninggal dunia di Mesir) dan saudaranya Tuan Hj. Muhammad Fadhullah Suhaimi (seorang ulama' Melayu yang terkenal di seluruh pelosok Nusantara sehingga ke hari ini). Pelajar-pelajar lain yang turut berada di sini ialah Syeikh Salleh Masri, Idris Marbawi, Tuan Ilias, Hamzah Mukhti dan Muhammad Nasir.


1923

Pada 14 September, satu gabungan tiga serangkai yang terdiri daripada pelajar-pelajar Tanah Melayu, Indonesia dan Negara Thai telah diadakan untuk menubuhkan sebuah badan kebajikan yang dinamakan "Persatuan Kebajikan Anak-anak Jawa".

Dua orang perwakilan telah dihantar ke satu persidangan di Jerussalem, iaitu Abu Bakar al-Ashari (Tanah Melayu) dan Abdul Muzakkir (Indonesia). Dengan penghantaran dua orang wakil tersebut, Tanah Melayu dan Indonesia mula dikenali oleh umat Islam di Timur Tengah.

Badan kebajikan ini berjalan dengan baik sehingga tahun 1930, apabila perpecahan mula berlaku.


1926

Menjelang tahun 1920, setelah suasana dunia kembali aman daripada bahaya Peperangan Dunia Pertama, pelajar-pelajar Indonesia, Tanah Melayu dan Negara Thai mula datang membanjiri bumi Mesir. Ketika itu, Indonesia dan Tanah Melayu masih belum dikenali dan penduduk Mesir menggelarkan mereka sebagai "Orang Jawa".


1930

Melihat kepada perpecahan berlaku, maka pada 11 April, pelajar-pelajar Melayu mengambil tindakan keluar beramai-ramai dari Persatuan Kebajikan Anak-anak Jawa dan menubuhkan sebuah persatuan pelajar-pelajar Malaya yang dinamakan Persekutuan Putera-putera Semenanjung (PPS) secara rasmi mengikut undang-undang dalam negeri. Tuan Amin Nuruddin yang berasal dari Perak telah dilantik sebagai Yang Dipertua pertama. Mereka yang turut sama terlibat dalam penubuhan persatuan ini ialah Syeikh Husin Abbas, S. Abdul Halim Osman, Tuan Ismail Ali, Hamzah Mukhti, Abdul Jalil Hasan, Nasir Jauhari dan Ismail Hamzah.


1932

Pada tahun ini tercetusnya hasrat untuk membina asrama bagi putera-putera Melayu yang berada di bumi Mesir. PPS telah membentuk satu panitia khas untuk menyelenggarakan urusan pembinaan asrama tersebut dan dinamakan Panitia Rumah Melayu. Usaha pertama yang telah dilakukan oleh mereka ialah melancarkan pungutan derma di kalangan masyarakat di tanah air dan juga daripada jamaah haji yang datang ke Mekah setiap tahun. Walaupun hasil pungutan sehingga tahun 1955 masih belum mencukupi untuk membina sebuah asrama tersebut tetapi sokongan berbentuk semangat dari masyarakat dan akhbar-akhbar kebangsaan di tanah air sangat memuaskan.


1939 atas

Pada akhir tahun ini, Peperangan Dunia Kedua telah meletus dan menyebabkan hubungan Tanah Melayu, Indonesia, Negara Thai terputus dengan Mesir. Memikirkan keadaan ini, pelajar-pelajar Tanah Melayu, Indonesia dan Negara Thai merasakan perlu bergabung tenaga untuk bekerjasama dalam memperjuangkan nasib anak-anak watan mereka di perantauan.


1940 atas

Berikutan itu ketiga-tiga buah negara bersetuju untuk menubuhkan satu kesatuan baru yang dinamakan Persatuan Indonesia-Malaya (PERPINDOM) dan di samping itu, PPS masih terus bergerak aktif dalam memperjuangkan cita-cita anak Tanah Melayu sehingga tahun 1946.


1946 atas

Setelah tamatnya Perang Dunia Kedua, pelajar-pelajar Melayu dan golongan muda mulai datang membanjiri Mesir.


1947 atas

Pada tahun 1947, pimpinan PPS mula beralih tangan kepada pimpinan muda kerana angkatan lama telah ramai menamatkan pengajian dan pulang ke tanah air. Angkatan muda ini telah memperluaskan dasar perjuangan mereka.


1948 atas

Tahun ini, Indonesia sedang menuntut kemerdekaan negaranya. Oleh itu, Ikatan Pelajar-pelajar Indonesia (IPI) telah ditubuhkan untuk menyokong usaha tersebut. PPS telah mula memberikan kerjasama yang sepenuhnya untuk membantu mereka.


1950 atas

Mesir berada dalam penjajahan Inggeris dan perasaan anti penjajahan meluap-luap di kalangan rakyatnya. Tunjuk perasaan berlaku di mana-mana. PPS dan IPI turut sama terlibat dalam tunjuk perasaan sebagai tanda sokongan mereka kepada rakyat Mesir untuk menghalau Inggeris.


1951 atas

PPS telah bekerjasama menubuhkan satu kesatuan yang dinamakan Ikatan Indonesia bagi menyatupadukan pelajar-pelajar Tanah Melayu, Indonesia, Filipina dan Negara Thai. Dasar perjuangan Ikatan Indonesia yang ditubuhkan pada 31 Januari ini meliputi aspek sosial, pendidikan dan kebudayaan. Di antara anggotanya ialah Dr. Zulkifli Muhammad, Harun Nasution, Sulaiman Samabi Ihsan, Ahmad Hasyim, Wan Ahmad Osman, Wan Abdul Kadir, Ismail Nahrawi, Abdul Salam dan Noor Asyik.


1952 atas

PPS menimbulkan semula perjuangan pembinaan rumah Melayu. Resit-resit pungutan dikeluarkan bagi mendapatkan derma daripada jamaah haji di Makkah dan dikirimkan ke tanah air. Dalam mesyuarat AJK PPS, ketetapan telah dibuat bagi mengubah nama PPS kepada Persekutuan Melayu Mesir (PMM).


1953 atas

PMM disytiharkan secara rasmi. Melihat kepada pergolakan politik tanah air bertambah hebat dalam memperjuangkan kemerdekaan, sebuah badan politik telah ditubuhkan di luar daripada PMM. Badan ini bekerja keras mengeluarkan pelbagai risalah bahasa Arab dan disebarkan kepada badan politik asing yang berada di sini dengan tujuan memperkenalkan perjuangan bangsa Melayu.


1954 atas

PMM menghantar dua orang wakil ke Kongres Pemuda Islam yang diadakan di Karachi.


1955 atas

Badan politik tersebut tidak dapat diberikan bantuan sepenuhnya kerana ia berada di luar PMM. Justeru, ditubuhkan pula badan perjuangan yang juga bertujuan ke arah mendapatkan kemerdekaan tanah air. Ia diletakkan sepenuhnya di bawah pengawasan PMM. Anggotanya terdiri daripada Wan Abdul Kadir Ismail, Wan Husin Azmi dan Hassan Salih. Di antara kegiatannya ialah:

1. Menerbitkan majalah BEBAS yang berfungsi sebagai lidah rasmi perjuangan para pelajar Melayu di Perlembahan Nil. 2. Melaungkan perjuangan pelajar Melayu Mesir melalui radio Mesir yang disalurkan dalam bahasa Melayu. 3. Mengirimkan kawat kepada Persidangan Afro-Asia supaya persidangan itu menyokong kemerdekaan Tanah Melayu.

Pada bulan Januari, seluruh anggota PMM mengadakan Mesyuarat Agung Tergempar bersama Anggota Pengurus dari persatuan pelajar Indonesia, Negara Thai dan Filipina di Mesir. Hasilnya terbentuklah Badan Gabungan Pemuda Asia Tenggara yang memperjuangkan cita-cita pelajar dari empat buah negara dengan lebih luas, tegas dan aktif.

PPM juga telah menggabungkan diri dalam Persatuan Pelajar Kongres Islam yang berpusat di Kaherah bagi merapatkan perhubungan dengan pemuda-pemuda Islam di seluruh dunia. Pada ketika ini juga, timbul keinsafan daripada ahli PMM yang memegang biasiswa atau zakat untuk mengadakan satu tempat yang tetap untuk dijadikan pejabat PMM setelah 25 tahun lamanya berpindah dari rumah ke rumah untuk mengadakan perjumpaan sesama mereka. Ahli-ahli telah bersetuju untuk mengeluarkan derma bulanan secara tetap untuk menyewa sebuah tempat.

Pada Mac 1955, sebuah tempat yang sederhana telah dapat disewa dan ekoran daripada itu, pelajar puteri mula menunjukkan minat untuk berorganisasi dan badan khas (Badan Wanita) telah ditubuhkan untuk siswi.

Pada Jun 1955, Kerajaan Malaya telah menghulurkan bantuan sebanyak 625 pound sebulan kepada PMM.


1956 atas

Pada bulan Oktober, seramai 65 orang pemuda Melayu telah mendaftarkan diri sebagai askar sukarelawan untuk membantu Mesir menentang pencerobohan tiga serangkai Inggeris-Perancis-Israel sebagai tanda simpati. Mereka yang tidak berkesempatan untuk berperang telah menderma darah, manakala pelajar wanita membantu menjahit pakaian tentera. Apabila peperangan tamat, PMM telah menerima dua pucuk telegram khas daripada Jamal Abdul Nasir yang mengucapkan terima kasih atas pengorbanan pelajar Melayu. Apabila beliau dilantik sebagai Presiden, PMM telah mengucapkan tahniah atas perlantikan beliau dan menghadiahkan sepasang pakaian kebangsaan Melayu dan sebilah keris sebagai lambang perjuangan bangsa Melayu.

Pada 25 Oktober, PMM telah menubuhkan sebuah badan gabungan yang dinamakan Badan Perjuangan Melayu Se-Timur Tengah yang bertujuan untuk menyatupadukan dasar anak-anak Melayu di Timur Tengah. Dua orang wakil telah dihantar ke dalam Badan Perjuangan Pembebasan Rakyat Islam iaitu saudara Wan Abdul Kadir Ismail dan Dr. Wan Husin Azmi.


1958 atas

PMM menjadi tempat tumpuan wakil-wakil kedutaan negara asing untuk mengenali Persekutuan Tanah Melayu kerana pada ketika itu Tanah Melayu masih belum mempunyai kedutaan di Mesir. PMM mendesak pihak berkuasa di tanah air agar mewujudkan kedutaan dengan seberapa segera supaya segala urusan dan perhubungan di antara kedua-dua buah negara berjalan dengan baik.


1959 atas

PMM meneruskan perjuangan mereka mendapatkan tapak Rumah Melayu sebagaimana yang telah dijanjikan oleh kerajaan Mesir. Akhirnya segala urusan itu berjaya dan tanah seluas 2.212 meter persegi dihadiahkan oleh kerajaan Mesir dengan rasminya atas nama PMM tetapi untuk menjaga keselamatan pada masa akan datang, maka pada pertengahan bulan 1960 nama pemilik tanah tersebut ditukar kepada Persekutuan Tanah Melayu. PMM telah memperbaharui pendaftarannya secara rasmi di sisi undang-undang Kerajaan Mesir dan menguruskan pertukaran pasport baru daripada pasport British kepada Persekutuan Tanah Melayu.


1960 atas

Pada bulan Februari, desakan PMM terhadap kerajaan Tanah Melayu telah berjaya apabila kedutaan Besar Malaysia di Kaherah telah ditubuhkan dengan rasminya dan Duta Besar yang pertama ialah Tan Sri Ghazali Hj. Jawi.


1962 atas

Suara rasmi PMM " Warta" diterbitkan untuk menggambarkan segala aktiviti Persekutuan ini kepada ahli. Ketua Badan Penerangan yang mengasaskannya ialah saudara Mohd Zin Senudin.

PMM menubuhkan sebuah Jawatankuasa Mentafsir Undang-undang Tubuh. Ahli Jawatankuasa tersebut adalah seramai 15 orang yang diketuai oleh saudara Wan Mokhtar Ahmad (Dato' Sri Amar Diraja). Manakala panitia bulan bahasa telah dibentuk bersama oleh pihak kedutaan di sini.

Pada bulan Mac, PMM telah menerima lawatan Menteri Pertanian Malaysia dan Syarikat Kerjasama, Encik Abdul Aziz Ishak dan Syed Nasir Ismail (Pengarah DBP).

Seterusnya PMM menerima lawatan Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew. PMM mengambil peluang membuat pertunjukkan melalui televisyen Mesir sebagai usaha memperkenalkan negara.

PMM juga telah berjaya membuat beberapa tajuk kajian ilmiah dan di antaranya ialah Faham Qadiyani, Hak Milik Perseorangan, Tasawuf dan Hijab.

Badan Penerangan telah mengirim sebanyak 12 berita ke tanah air untuk memperkenalkan PMM.


1963 atas

PMM mewujudkan Panitia Asrama Melayu bagi melicinkan lagi pentadbiran memandangkan pembinaan Rumah Melayu hampir siap. Saudara Abu Bakar selaku Yang Dipertua PMM ketika itu bersama Badan Pengurus telah menolak majlis Pembukaan Rumah Melayu berdasarkan suara ramai kerana kelengkapan yang masih belum mencukupi(air, elektrik, lif dan sebagainya).

PMM menerima lawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak bagi membincangkan masalah bantahan pembukaan Rumah Melayu yang masih belum lengkap.

Pada 31 Ogos, bangunan Rumah Melayu telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Tan Sri Ghazali Jawi, Duta Besar Malaysia yang pertama di Kaherah bersempena dengan perayaan menyambut kemerdekaan Tanah Melayu yang keempat.

Pada 19 September, satu memorandum yang ditandatangani oleh Saudara Ghazali Abdul Wahid dan Wan Mokhtar Ahmad telah dihantar ke Kementerian Pelajaran sebagai langkah memperjuangkan Ijazah Timur Tengah.


1964 atas

PMM menghantar satu kawat takziah ke Malaysia berikutan kematian Ustaz Zulkifli Muhammad (Bekas YDP dan Timbalan YDP Agung Pas) serta kawat tahniah kepada YTM Tunku Abdul Rahman di atas perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri.

PMM telah menghantar 4 orang wakil tetap ke Kelab Pelajar-pelajar Asing di Kaherah iaitu saudara Ismail Abdul Halim(YDP PMM), Yahya Osman (Setiausaha Agung PMM) dan Ismail Hj. Ibrahim.

PMM mendesak pihak kedutaan membuat penafian kepada akhbar al-Ahram kerana menghina kaum Melayu dalam satu siaran akhbarnya berhubung isu pergaduhan kaum di Singapura. Malangnya, pihak kedutaan tidak mengambil sebarang tindakan dan PMM melahirkan rasa kesal terhadap kedutaan.

PMM menubuhkan satu lagi jawatankuasa memperjuangkan Ijazah Timur Tengah dan mengirim satu lagi memorandum ke tanah air.

PMM telah mencipta lencana dan simbolnya yang tersendiri dan telah memperbaharui pendaftaran dengan pihak berkuasa.


1965 atas

PMM bersetuju menukar nama kepada Persekutuan Melayu Republik Arab Bersatu (PMRAB).

PMRAB menerima kunjungan DYMM Seri Paduka Yang Dipertuan Agong, YAB Tun Abdul Razak, Menteri Penerangan, Encik Senu Abdul Rahman dan Menteri Pelajaran, Encik Khir Johari.

Beberapa tuntutan telah dikemukakan oleh PMRAB. Antaranya masalah tempat tinggal pelajar perempuan, pengiktirafan Ijazah Timur Tengah dan menggesa supaya biasiswa diberikan kepada penuntut di sini. 1966 PMRAB diminta untuk memperbaharui pendaftarannya.


1967 atas

Pada 31 Ogos, PMRAB telah mengadakan kerjasama dengan persatuan lain untuk menubuhkan Gabungan Mahasiswa Asia Tenggara di Lembah Nil (SOLIDARITA) memandangkan perlunya kerjasama anak-anak Asia Tenggara di perantauan. Persatuan ini diwakili oleh Mahasiswa Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina.

Tunjuk perasaan telah diadakan oleh ahli-ahli PMRAB bagi membantah sebarang penyelewengan terhadap pelaksanaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Berikutan itu, pelajar-pelajar di sini telah diberi amaran keras oleh Kerajaan Malaysia.


1968 atas

PMRAB mengeluarkan majalah bulanan "Susila". Pada tahun ini juga hasrat rakyat Malaysia bergema kembali untuk menubuhkan Universiti Kebangsaan Malaysia. PMRAB telah menyalakan sokongan dan mengharapkan pihak Kerajaan Malaysia agar tidak teragak-agak untuk melaksanakannya.


1969 atas

Badan Pengurus PMRAB meluluskan rancangan mengadakan Minggu Pengetahuan pada setiap tahun dengan tujuan untuk menggalakkan budaya ilmu dan belajar kepada ahli-ahli PMRAB.


1970 atas

Pada bulan Jun, PMRAB diketuai oleh saudara Awang Pon Sibon bersama generasi muda yang baru. Pada tahun ini juga satu pembaharuan telah dilakukan dengan perlantikan seorang siswi sebagai Ketua Badan Pengetahuan iaitu Salehah Osman (beliau merupakan siswi yang ketiga dalam jawatan Badan Pengurus selepas saudara Balqis Abu Bakar dan Faridah Abu Bakar). PMRAB telah menubuhkan Jawatankuasa Mengkaji Undang-undang Asrama Rumah Melayu dan telah dipengerusikan oleh saudara Wan Ahmad kerana pihak Kedutaan Malaysia telah mengemukakan satu undang-undang yang tidak dapat diterima oleh PMRAB kerana undang-undang tersebut telah mengkhianati kepentingan pelajar Melayu.


1971 atas

PMRAB menubuhkan satu jawatankuasa untuk mempercepatkan pembinaan asrama puteri yang dipengerusikan oleh saudara Abdul Syukur Hashim. Satu jaminan telah diberikan oleh Kerajaan Malaysia dengan peruntukan sebanyak RM 300.00 dan berjanji akan mendirikannya pada tahun 1972. Nama PMRAB telah ditukar kepada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). PMRAM telah memperbanyakkan kursus dakwah dan telah berjaya melahirkan seramai 64 orang kader dakwah. Sesi dakwah telah diwujudkan dan dipengerusikan oleh Yang Dipertua saudara Abdul Wahab Zakaria (merangkap Pengerusi Dakwah). PMRAM menerima tetamu iaitu Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Dr. Ismail Datuk Abdul Rahman seterusnya rombongan dari Malaysia telah sampai ke Kaherah untuk mengkaji ijazah dari Timur Tengah.


1972 atas

PMRAM telah menganjurkan kursus-kursus dakwah dan telah dapat melahirkan seramai 16 orang kader dakwah. Saudara Abdullah Abbas Abu Bakar telah terpilih sebagai kader terbaik. Pada tahun ini juga, PMRAM telah mengutus kawat takziah atas kematian tokoh negara, Tun Dr. Ismail.


1973 atas

Pada 6 Oktober, PMRAM telah menderma sebanyak 500 pound kepada Kerajaan Mesir atas kemenangan mereka dalam peperangan tiga serangkai (Inggeris-Perancis-Israel) dan derma tersebut telah disampaikan oleh Yang Dipertua PMRAM kepada Dr. Abdul Halim Mahmud, Syeikh al-Azhar.


1975 atas

PMRAM telah tutup pendaftarannya sehingga ke tahun 1979 kerana wujudnya fahaman kenegerian di antara ahli. Suasana mendung terus menyelubungi ahli PMRAM sebaik sahaja Mesyuarat Agung Tahunan pada tahun ini. Pada tahun ini juga berlaku krisis pemikiran di antara pucuk pimpinan PMRAM itu sendiri.


1980 atas

Pendaftaran PMRAM telah diperbaharui semula. Pada tahun ini bermulalah zaman peralihan dan perubahan ke atas mahasiswa dan mahasiswi Malaysia di Perlembahan Nil yang diketuai oleh saudara Idris Ahmad sebagai Yang Dipertua dan pada tahun 1981, jawatan ini diterajui oleh saudara Abdul Ghani Abdul Rahman. Beberapa orang pemimpin berkaliber seperti saudara Harun Taib telah menyusun program-program yang menjurus ke arah penghayatan Islam yang sebenar dan banyak kegiatan tradisi berbentuk hiburan telah ditinggalkan. PMRAM telah menghadapi masalah kewangan kerana pihak JPM enggan menyalurkan bantuan kewangan yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia. Namun, masalah ini tidak melemahkan semangat PMRAM dan mereka tetap meneruskan program malahan ada di antara ahli-ahli yang sanggup mendermakan wang poket mereka untuk menjayakan program-program tersebut seperti Sambutan Menyambut Hari Kemerdekaan dan Minggu Persaudaraan.


1983 atas

Sebuah bas sebagaimana yang dipohon akhirnya berjaya diperolehi. Pada 1 April, PMRAM turut sama menyertai sambutan perayaan sempena Seribu Tahun al-Azhar dengan kerjasama Kedutaan Malaysia. Perayaan tersebut turut dihadiri oleh Syeikh al-Azhar al-Imam al-Akbar Syeikh Jadul Haq, Menteri al-Auqaf, Syeikh Ibrahim Dasuki dan pegawai-pegawai kanan di Kementerian Waqaf dan pihak Universiti al-Azhar.


1991 atas

Kumpulan pertama pelajar siswi Malaysia telah dihantar ke cawangan al-Azhar di Iskandariah iaitu seramai 18 orang. PMRAM telah berperanan menguruskan penempatan dan urusan kuliah mereka seterusnya membentuk DPPI (Dewan Perwakilan Pelajar Iskandariah) yang bertujuan untuk menjaga kemaslahatan mereka. Pada tahun ini juga, PMRAM telah mengadakan "Pameran Memperkenalkan Malaysia" yang bertempat di Universiti Ain Syams dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia. Pada 6 Ogos, Usrah Al-Wadi ditubuhkan. Objektif penubuhan kumpulan nasyid ini ialah:

1. Mewakili suara mahasiswa al-Azhar dan PMRAM untuk diketengahkan kepada masyarakat. 2. Membantu PMRAM dalam segala aspek yang diperlukan. 3. Memenuhi tuntutan dakwah dalam bidang hiburan Islam. 4. Menyediakan hiburan sebagai alternatif untuk menghapuskan hiburan tidak Islamik. 5. Memulihkan dan membina psikologi ummah. 6. Memanfaatkan kecenderungan seni di kalangan mahasiswa al-Azhar.

Di antara aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan oleh usrah al-Wadi ialah merakam album, membuat persembahan, memenuhi jemputan nasyid, membuat kajian dan penulisan tentang kesenian Islam dan mengadakan lawatan muhibbah terhadap kumpulan nasyid yang lain (Gabungan Penasyid Muda) di Malaysia. Sehingga tahun 1997, kumpulan ini telah menerbitkan sebanyak 6 buah album.


1992 atas

Pada 16 Januari, PMRAM telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) kali ke-59. Barisan kepimpinan PMRAM ketika ini diterajui oleh saudara Zulkifli Yaacob. Pilihanraya PMRAM kali ini telah menyaksikan bagaimana kedutaan telah terlibat dalam kempen di Asrama Rumah Melayu untuk memberikan sokongan kepada calon-calon tertentu. Namun, apabila keputusan diumumkan, kesemua 15 calon PMRAM telah berjaya memenangi semua kerusi yang dipertandingkan. Pada awal Februari, terdengar ura-ura bahawa Kedutaan Besar Malaysia kaherah akan menaja satu persatuan baru khusus untuk pelajar-pelajar Melayu Mesir dengan alasan bahawa PMRAM yang ada sekarang ini tidak dapat menyatukan para pelajar. Pada 20 Februari, Badan Pengurus PMRAM telah mengadakan pertemuan dengan Tuan Yang Terutama(TYT) Duta Besar Malaysia di Kedutaaan Besar Malaysia, Mohandiseen untuk membincangkan masalah penubuhan Malay Student Association (MSA) yang kemudiannya telah ditukar nama kepada Persatuan Pelajar-pelajar Malaysia Mesir (PPMM). Badan Pengurus PMRAM telah membuat keputusan untuk membantah penubuhan persatuan tersebut kerana PMRAM masih mampu untuk memberi perkhidmatan kepada pelajar-pelajar di sini. Namun, pihak kedutaan tetap ingin menubuhkannya sehingga tercetus demonstrasi aman daripada pelajar-pelajar Malaysia. Ekoran daripada itu, pihak kedutaan secara rasmi telah memutuskan hubungan dengan PMRAM pada 24 Februari dan tidak membenarkan PMRAM menggunakan segala kemudahan yang ada di Asrama Rumah Melayu. Pada 28 April, pihak kedutaan telah memalang pintu pejabat PMRAM di Abbasiyyah setelah mengeluarkan notis supaya mengosongkan pejabat di Asrama Melayu. Ekoran daripada itu, pihak PMRAM telah mengadakan demonstrasi yang dibenarkan oleh pihak keamanan Mesir dalam usaha menuntut kembali hak-hak PMRAM di hadapan Datuk Hamid Othman. Pada tahun ini juga, PMRAM telah menyewa khas sebuah kapal terbang Sudan untuk membawa jamaah haji(ahli PMRAM) seramai 150 orang ke tanah suci Makkah. Kontinjen Badminton PMRAM memperkenalkan sukan badminton kepada majlis Sukan Mesir. PMRAM telah menyusuli para pelajar yang dihantar ke cawangan baru al-Azhar di Damanhur, Tonto, Shibin El-Kom dan Mansurah, seterusnya menubuhkan empat buah Dewan Perwakilan Pelajar di tempat-tempat tersebut. Pada 17 September, PMRAM telah melaksanakan Majlis Konvokesyen buat pertama kalinya bagi mahasiswa yang telah tamat pengajian bertempat di Dewan kuliah Tarbiyah Universiti al-Azhar dan di samping itu pihak PMRAM telah mengadakan Sudut Pameran untuk memperkenalkan Malaysia kepada rakyat Mesir.


1993 atas

PMRAM telah menghantar seramai 450 orang untuk menghadiri Kursus Kesedaran dan Kepimpinan Pelajar di Mesir anjuran JPM. Dalam kursus tersebut, PMRAM telah mengemukakan pelbagai resolusi agar pihak kerajaan sentiasa berlaku adil terhadap pelajar Malaysia di Mesir. PMRAM mengadakan pertunjukan dan latihan sepak takraw di Kelab Sukan Zamalek Kaherah, Mesir. PMRAM juga mengadakan Majlis Konvokesyen Mahasiswa/wi Kali ke-2 di Niqabat Mohandiseen, Ramses. PMRAM turut menjalinkan hubungan dengan Institut Pemikiran Islam Antarabangsa. PMRAM juga menghantar wakil untuk menghadiri kursus pentadbiran anjuran Kementerian Mesir.


1994 atas

PMRAM membantu Pusat Islam dalam memberikan penjelasan tentang Jamaah al-Arqam. Lanjutan penghantaran mahasiswa/wi ke cawangan-cawangan al-Azhar, PMRAM menguruskan penghantaran mahasiswa/wi ke dua buah cawangan al-Azhar yang lain iaitu Dumyat dan Zaqaziq. PMRAM mendapat notis keluar dari Asrama Melayu disebabkan kerja-kerja baik pulih yang akan dijalankan pada awal Januari. Hari Pengetahuan dan Persaudaraan telah diadakan dengan kerjasama Jabatan Penuntut Malaysia sebelum Asrama Melayu dibaikpulih.


1995 atas

PMRAM telah berpindah dari Asrama Melayu buat sementara waktu memandangkan pembinaan sedang dijalankan. Pada bulan Januari, PMRAM mendapat kebenaran daripada Kementerian Kemasyarakatan Mesir untuk membuka cawangan PMRAM di Madinat Nasr.

Pada bulan Julai, Konvensyen PMRAM kali pertama di Mansurah di batalkan oleh pihak kedutaan atas keselamatan.


1996 atas

Pada bulan Oktober, Majlis Konvokesyen Kali ke-3 diadakan di Dewan Haflah Kubro, Universiti al-Azhar.


1997 atas

Pada 13 Mac, Majlis Pelancaran Homepage PMRAM dan Seminar Penulisan dan Ulangtahun Suara Kampus kali pertama diadakan di Rumah Melayu.

Pada 25 Mac, PMRAM menyertai Pameran Kebudayaan di Universiti Ain Syams, Kaherah dan memenangi tempat kedua dalam pameran tersebut.

Pada 22 Jun, PMRAM menyertai Pertandingan Badminton Antarabangsa di Nadi Syabab Haiyyu Sadis.

Pada 26 Jun, Konsert Penyatuan Mahasiswa/wi al-Azhar sekaligus pelancaran album ketiga kumpulan nasyid as-Shoff di Rumah Melayu yang turut dihadiri oleh Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan.

Pada 22 September, Majlis Konvokesyen dan Anugerah Pelajar Cemerlang ke 6 diadakan di Dewan Saleh Abdullah Kamil.

Pada 25 September, PMRAM telah mengadakan Seminar Penulisan. Serentak dengan itu, satu Majlis Pelancaran Antologi Cerpen Mahasiswa al-Azhar "Sinar di Horizon Nil" turut diadakan pada 26 September yang telah disempurnakan oleh Tuan Haji Aziz bin Deraman, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pada 17 November, PMRAM mengadakan Konsert Penyatuan Mahasiswa/wi al-Azhar II untuk melancarkan Album al-Wadi ke-6 yang bertajuk "Indahnya Bersama Islam" di Rumah Melayu.


1998 atas

Pada bulan Februari, Majalah Tahunan PMRAM, "al-Kasyaf" Edisi Perdana telah dilancarkan.

22 dan 23 Februari, Muktamar Sanawi PMRAM diadakan bagi menggantikan Mesyuarat Agung Tahunan yang dijalankan sebelum ini.

PMRAM President Cup (PPC) pertama kali diperkenalkan.

Skuad Waja Diri ditubuhkan di bawah anjuran Badan Kebudayaan, Kesenian dan Sukan. Antara seni yang diperkenalkan ialah Silat Gayung dan Taekwando.

April, Penubuhan Jawatankuasa Bertindak Krisis Ekonomi (JBKE) untuk menangani masalah kewangan ahli PMRAM ekoran kegawatan ekonomi Malaysia.

Julai, HEWI menganjurkan Kolokium Mahasiswi Cemerlang yang dihadiri oleh mahasiswi dari negara Malaysia, Thailand (Pattani), Brunei dna Singapura.

Pada 8 Ogos 1998, bertempat di Dewan Ummi Kalthum, Mansoura telah diadakan Konvensyen Dewan Perwakilan Mahasiswa II (KDPM II). Konvensyen ini dirasmikan oleh Ustaz Ahmad Bukhori Ghazali, Presiden PMRAM yang sekaligus menyampaikan ucap utama sempena konvensyen tersebut. Hasil daripada konvensyen itu, akhirnya telah berjaya menggariskan 7 deklarasi mahasiswa yang dinamakan deklarasi Mansoura.

14-31 Ogos 1998, Perayaan Menyambut Hari Kemerdekaan kali -42 diadakan dengan beberapa pembaharuan iaitu pertandingan forum, dakwah kreatif, musabaqah al-Quran, pantun dan acara balapan.

19 Oktober 1998 penubuhan Badan Kebajikan Anak Kuala Lumpur Mesir (BKAKLM)

PMRAM mengadakan satu road show yang dinamakan Forum Keadilan Ummah ke seluruh Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) dan Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM). Program ini diadakan adalah untuk memberikan penerangan mengenai isu semasa yang berlaku di tanah air dan kezaliman ISA. Lantaran itu, sebanyak L.E 4092.00 telah berjaya diperolehi melalui kutipan derma.


1999 atas

Pada 28 Mac 1999, jemaah haji PMRAM turut sama menjayakan program Ijtimak Mahasiswa Sedunia di Mina. Program ini juga di bawah anjuran Jawatankuasa Bertindak Perhimpunan Mahasiswa Sedunia Musim Haji Tahun 1419 Hijrah. Antara wakil yang menghadiri ijtimak tersebut ialah wakil dari HIZBI UK, Mesir, wakil Jordan, wakil Syria, wakil Iraq, wakil Mekah dan wakil Madinah.

PMRAM telah berjaya melancarkan Perkhidmatan Talian Maklumat @ Infoline dengan tujuan memudahkan para ahli mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat melalui aneka talian yang an disediakan. Antara khidmat talian yang disediakan adalah mengenai agama, kaunseling, kesihatan, akademik, bait muslim dan teknologi maklumat.

Tanggal 10 dan 11 Ogos 1999, telah diadakan Simposium Lughatul Quran Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Dewan Rumah Melayu Abbasiyyah.

Skuad Multibahasa di bawah Badan Komunikasi dan Bahasa Arab ditubuhkan.

Penghantaran Mahasiswa ke tiga Muhafazah baru di Tafhana el-Asyraf, Dissuq, Itai Barut.

16 September 1999, satu tragedi lemas yang meragut nyawa mahasiswa Al-Azhar telah berlaku di Pantai Baltim, Kafru Syeikh. Dua mangsa tersebut adalah Allahyarham Tarmizi Tahir dan Allahyarham Mohd Fadzli Asar dan kedua-duanya berasal dari Selangor.


2000 atas

PMRAM President Cup (PPC) buat kali pertama dalam sejarah PPC dianjurkan di luar kota Kaherah. Tanta telah dipilih untuk menjadi tuan rumah PPC yang berlangsung selama empat hari bermula 26 hingga 29 Februari 2000.

19 Mac 2000, PMRAM (Tahun 1999) sekali lagi mencatatkan sejarah apabila mengadakan Ijtima' Tergempar bertempat di Dewan Asrama Rumah Melayu Abbassiyyah (ARMA) dengan mencatatkan kehadiran ahli di luar jangka berjumlah lebih 2994 mahasiswa/wi. Objektif sebenar ijtima' ini diadakan adalah untuk mendapatkan sokongan ahli kepada undang-undang baru yang diluluskan oleh Parlimen Mesir. Serentak dengan ijtima' tersebut, telah diadakan juga Konsert Keamanan Kosova dan ChechNya Peringkat PMRAM yang berlangsung juga di Dewan Asrama Rumah Melayu Abbassiyyah. Konsert Keamanan dihadiri oleh tetamu jemputan iaitu Encik Khalid Abd. Samad Pengarah Kawasan Mas, wakil mahasiswa Indonesia, Thailand, Turki, Kosova, ChechNya, Sanjak, beberapa keluarga dari Kuala Lumpur dan Penyelia Maahad Tahfiz al-Ummah.

Lajnah Persekolahan ditukar kepada Lajnah Pendidikan

Lawatan Perdana Menteri, Menteri Pendidikan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan beberapa orang Menteri Besar.

PMRAM mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu Palestin - Israel.

Menghantar beberapa kotak pakaian kepada penduduk Chechen.

Melancarkan tabung bantuan kemanusiaan kepada Palestin dan melancarkan kempen boikot barangan Yahudi dan sekutunya.

Kehadiran delegasi UKM seramai 33 orang dalam lawatan rasmi.

13 Disember 2000, Mesyuarat tertutup PMRAM bersama Dato' Duta, pegawai-pegawai kedutaan dan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah.





Copyright © 2002 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved