Idealis Mahasiswa
 
 

Mahasiswa: Pemantau Isu atau Pemikir ?


Hit = [ ]

oleh Sheikh Al-Hazim

Mahasiswa, atau nama lainnya golongan pelajar peringkat tinggi, pada masa sekarang ini adalah apa yang digelar sebagai golongan terpilih. Pada masa lampau, golongan ini digelar sebagai golongan pemikir yang ketagih ilmu yang mentalitinya tidak difahami oleh masyarakat biasa.

Kenapa terdapat sedemikian perbezaan persepsi terhadap mahasiswa zaman moden ini dengan mahasiswa zaman feudal atau zaman pra-kemerdekaan ? Jawapannya terdapat pada ciri mahasiswa itu sendiri, iaitu ilmu yang mereka miliki. Zaman sekarang, ilmu atau lebih tepat, gulungan ijazah, adalah lesen untuk mendapat kerja besar, gaji besar, rumah besar dan isteri kecil molek. Oleh itu majoriti manusia akan mengejar ilmu, dan untuk mendapat ilmu tinggi, title mahasiswa itu perlu diperolehi terlebih dahulu. Oleh kerana semua orang mengejar title mahasiswa, maka universiti, tempat di mana mahasiswa ditarafkan, akan menjadi tepu dan tidak lagi mampu menampung semua yang ingin ke situ. Itulah sebab mahasiswa digelar "manusia terpilih", kerana mereka adalah yang terpilih untuk mendapat ilmu.

Zaman dahulu, ilmu bukan visa untuk syurga dunia. Semuanya lebih kepada tulang empat kerat. Apalah pentingnya mengetahui Hukum Kegravitian Newton berbanding dengan bekerja di sawah untuk mencari sesuap nasi. Dalam keadaan ini, universiti bukan pusat memborong mahasiswa. Sesiapa yang diterima untuk masuk universiti akan dilatih semata-mata untuk ilmu, bukan untuk perkara-perkara selepas dia keluar daripada universiti. Maka jadilah mahasiswa dan siswazah pada masa itu sebagai orang yang melihat realiti dengan cara yang kritis dan pragmatik. Mereka akan dipuja sebagai pendita dan menjadi tempat rujukan untuk buah fikiran bernas.

Bertitik tolak daripada perbezaan ini maka timbullah perbezaan senario kemahasiswaan zaman sekarang dan dahulu. Persatuan-persatuan mahasiswa, yang dianggap sebagai suara mahasiswa, juga tidak terlepas daripada kesan perbezaan tanggapan sebegini. Mahasiswa dahulu dilihat lebih kepada idea-oriented. Mahasiswa sekarang pula dilihat lebih kepada issue-oriented.

Ada kata-kata hikmat yang berbunyi:

Orang yang buruk mentalitinya akan bercakap tentang dirinya sendiri - angkat bakul

Orang yang rendah mentalitinya akan bercakap tentang orang lain - kaki gosip

Orang yang sederhana mentalitinya akan bercakap tentang perkara-perkara yang berlaku di sekelilingnya - pakar isu-isu semasa

Orang yang tinggi mentalitinya pula akan bercakap tentang sesuatu idea - ahli fikir

Jadi, di manakah letaknya mahasiswa sekarang ? Mahasiswa dahulu, kita semua boleh bersetuju bahawa mereka berada pada tahap ahli fikir. Tetapi mahasiswa sekarang lebih kepada 3 golongan yang lain itu. Tidak salah untuk bercerita tentang isu-isu semasa, tetapi kalau benar seseorang insan itu adalah ahli fikir, idea-ideanya yang bernas akan menenggelamkan isu-isu semasa yang dia perkatakan. Pendek kata, kalau seseorang itu benar-benar menjiwai ilmunya, orang tidak akan ingat sangat tentang apa-apa yang dia perkatakan tentang isu-isu semasa, tetapi orang akan lebih ingat tentang idea-ideanya. Benarlah pepatah "hidup berakal, mati berhantu".

Pada zaman Imam Ahmad Ibnu Hambal, terlalu banyak isu tentang kezaliman pemimpin diperkatakan orang ramai ketika itu. Kita yakin Iman Ahmad sendiri dalam kuliah-kuliahnya tentu ada menyuarakan pendapatnya tentang isu-isu semasa tentang kezaliman pemimpin kerana dia sendiri pernah di penjarakan pemimpin. Tetapi berapa banyak buku tulisan beliau yang kita tahu bercerita tentang kezaliman pemimpin ? Setahu saya tidak ada. Yang ada hanyalah buku-buku beliau yang tidak mengandungi apa-apa selain daripada semata-mata fakta dan idea beliau tentang feqah, tauhid, hadith dan lain-lain.

Pada zaman Marie Curie, masyarakat masih lagi memandang serong terhadap wanita yang berkerjaya apalagi wanita yang beridea. Saya tidak mempunyai data, tetapi saya percaya bahawa Marie Curie ada menangkis cerita-cerita buruk tentangnya. Kenapa saya tidak mempunyai data tentang ini ? Kerana tiada arkib dalam dunia ini yang berminat untuk menyimpan cerita-cerita itu disebabkan hasil idea dan penyelidikan beliau yang sangat tinggi dalam penemuan radioaktif telah menenggelamkan semua isu-isu semasa tentang beliau.

Mahasiswa sekarang ? Manakah ada suatu figure mahasiswa yang kita ingat kerana ideanya ? Kalau ada watak idola mahasiswa, maka semuanya dek kerana isu-isu semasa yang dikupasnya dengan bernas. Kalau setakat pakar isu semasa sahaja tidak mengapa. Tetapi yang kita gusarkan ramai juga mahasiswa kita yang berlagak jaguh sebenarnya adalah kaki-kaki gosip atau ahli-ahli angkat bakul. Mereka kuat menggosip pemimpin negara dengan tuduhan yang tidak diketahui kebenarannya, dan kuat memasukkan ideologi politik mereka ke dalam bakul lalu mengangkatnya sendiri.

Kalau ada suatu figure siswazah yang penuh dengan idea yang menggelamkan isu-isu semasa tentangnya, dia adalah seorang watak yang teguh dengan ideanya membina Jambatan Pulau Pinang, panjang akalnya untuk membina lebuh raya yang menganjur dari utara semenanjung hingga ke selatan, dan tegar mindanya dalam menongkah melawan arus ekonomi perdana untuk menyelamatkan ekonomi negara yang diserang. Malangnya figure inilah yang paling banyak digosip oleh mahasiswa-mahasiswa kaki gosip itu.

Atau adakah mahasiswa sekarang lemah dalam menapis yang mana isu dan yang mana idea ? Kita sama-sama tunggu dalam artikel seterusnya.





Copyright © 2002 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved