IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    disiarkan pada Sabtu, Januari 12, 2002

Mahkamah dan Mahasiswa


Hafidz Ismail, Suara Anum.com

Isu remaja aktif berpolitik hangat diperkatakan oleh banyak pihak. Ramai yang berpendapat mahasiswa dan mahasiswi Malaysia sepatutnya menumpukan perhatian terhadap pelajaran, bukan aktiviti berpolitik. Namun, ramai juga yang menyokong penglibatan pelajar IPTA tempatan dalam politik tanahair; suatu petanda positif ke arah menghasilkan barisan pelajar yang kritis dan prihatin. Kemampuan mereka menggegarkan dunia politik tanahair telah lama terbukti apabila Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dimaktubkan di dalam perlembagaan negara.

Perjuangan menentang kezaliman politik negara telah menjadi agenda utama kebangkitan "Anti-Establishment" di kalangan mahasiswa tempatan; satu fenomena yang telah mula menjadi norma masyarakat Malaysia semenjak tahun 70-an lagi. Antara isu lain yang turut didebatkan oleh golongan aktivis mahasiswa adalah kepincangan institusi mahkamah negara. Sistem keadilan negara hangat dikecam semasa skandal Anwar Ibrahim yang telah mencetuskan gerakan Reformasi dan akan kekal dalam sejarah sebagai salah sebuah milestone dunia politik tanahair.

Persoalannya, mampukah golongan mahasiswa tanahair hari ini bertindak cemerlang untuk memperbetulkan kesalahan keputusan pengadilan mahkamah negara?

Dahulu, aktivisme politik mahasiswa negara berorientasikan perjuangan fizikal yang memerlukan usaha gigih berkempen dan berdemonstrasi. Tunjuk perasaan umum diadakan secara meluas dan disertai oleh ribuan pelajar IPTA tempatan. Perubahan metod aktivisme ini jelas terpancar selepas termaktubnya AUKU pada tahun 1971. Mahasiswa kini lebih cenderung ke arah meluahkan perasaan mereka menerusi tulisan yang dipaparkan menerusi media cetak. Namun, evolusi dunia ke arah masyarakat global yang celik siber telah menjana kebangkitan aktivisme politik di Internet. Pelbagai laman web dapat dilayari sebagai bukti evolusi teknik aktivisme politik negara. Oleh kerana AUKU mengenakan pelbagai larangan dan sekatan ke atas mahasiswa dan mahasiswi negara, perubahan metod aktivisme ini seolah-olah tidak dapat dihindarkan. Apa yang mengagumkan adalah kehebatan mahasiswa negara menyampaikan pendapat politik mereka menerusi tulisan-tulisan penuh semangat di laman-laman web ini. Perkembangan mentaliti aktivis-aktivis muda ini jelas terpancar apabila aktivisme politik tanahair mula mempamerkan konsep perjuangan intelek, sesuai dengan citarasa maysrakat kontemporari Malaysia.

Sudah banyak kes-kes mahkamah negara yang diragui kesahihan dan ketulusan pengadilannya di Malaysia ini. Bermula dari kes pemecatan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas hinggalah kes bekas Timbalan Perdana Menteri kita, telah terdapat banyak kes pengadilan yang menimbulkan keraguan terhadap sistem mahkamah negara. Ini masih belum disertai oleh ratusan malah mungkin ribuan individu yang mejadi mangsa ketidakadilan sistem "pengadilan" negara. Hal ini turut berkait rapat dengan skandal keganasan polis yang didakwa sebagai dalang di sebalik kenyataan-kenyataan palsu oleh saksi-saksi boneka. Masalah ini bukannya unik untuk Malaysia, malah turut menjadi kontroversi sosial di negara-negara asing yang kononnya "pemelihara kebebasan" dan "pelindung keadilan" contohnya Amerika Syarikat (AS). Namun, bukan semua kes-kes ini merupakan mangsa-mangsa korupsi dan penyalahgunaan kuasa. Di AS pun terdapat beberapa kes-kes jenayah berat yang disabitkan kerana kemantapan hujah-hujah pendakwaraya dan kekurangan bukti yang menyokong defenden.

Apakah mampu kita menyiasat kembali kes-kes ini dan seterusnya boleh membuktikan bahawa defenden itu sebenarnya tidak bersalah? Adakah logik pelajar-pelajar universiti mampu menjayakan usaha yang sebegitu sukar?

Hakikatnya, kes-kes yang menjadi kontroversi nasional berhak disiasat kembali dengan menggunakan teknologi sisatan moden khususnya dalam bidang forensik. Kemampuan mahasiswa Malaysia untuk melaksanakan tugas bermagnitud sebegini tinggi tidak perlu diragui. IPTA tempatan telah banyak menghasilkan graduan yang berkaliber dalam jurusan undang-undang dan kewartawanan. Di AS, sebuah universiti di Evanston, Illinois berhak menjadi role-model terbaik untuk mendorong mahasiswa tempatan untuk menggunakan kehebatan mereka melaksanakan tugasan-tugasan seperti ini. Northwestern University merupakan universiti terbaik di AS dalam bidang kewartawanan (Malah, ada yang berpendapat terbaik di dunia!). Di sini, telah ditubuhkan Center on Wrongful Convictions hasil usahasama fakulti kewartawanan dan fakulti undang-undang universiti ini.

Tenaga kerja organisasi ini membariskan pelajar-pelajar kewartawanan dan perundangan dan dibantu oleh beberapa orang staf penuh-masa yang merupakan pakar dalam pelbagai bidang perundangan sivil khususnya perundangan homisid. Organisasi ini turut disertai oleh sukarelawan dari seluruh pelusuk AS di samping menawarkan latihan kepada pelajar-pelajar kewartawanan atau undang-undang yang mempamerkan kecemerlangan akademik untuk membantu kelancaran program organisasi ini. Dengan bantuan kewangan yang mantap daripada syarikat-syarikat swasta dan derma ikhlas tahunan, organisasi ini telah berjaya menyelamatkan puluhan individu daripada menjalani hukuman mati atau penjara untuk jenayah yang tidak pernah mereka lakukan. Kejayaan paling cemerlang organisasi ini adalah apabila mereka berjaya membuktikan Anthony Porter tidak bersalah atas dakwaan membunuh. Anthony Porter hanya 50 jam sebelum dihukum mati dan dalam tempoh sebegitu singkat, usaha kolektif organisasi ini telah berjaya mengumpulkan bukti-bukti kukuh untuk membebaskan beliau dari semua tuduhan. Kejayaan ini telah membuka peluang untuk siasatan lanjut yang akhirnya membuktikan korupsi polis Chicago yang telah memaksa pengakuan palsu seorang saksi palsu. Berkat usaha gigih mereka juga telah berjaya menemui pesalah sebenar yang berselindung di sebalik dakwaan palsu terhadap Anthony Porter disamping membantu beliau memfailkan saman terhadap polis Chicago atas dakwaan pemalsuan bukti dan korupsi.

Center on Wrongful Convictions ini merupakan satu insiatif mahasiswa Chicago ke arah menjamin keadilan sistem perundangan negeri Illinois. Jika mahasiswa di AS boleh melakukannya, saya yakin pelajar-pelajar IPTA tempatan turut memiliki kaliber untuk melaksanakan program sebegini rupa di Malaysia. Usaha-usaha sebegini ini amat diperlukan bagi memulihkan imej mahasiswa tempatan yang dikatakan sudah terpesong dari matlamat asal untuk menuntut ilmu supaya boleh berbakti kepada masyarakat. Selain itu, dengan bergiat aktif dalam organisasi-organisasi sebegini juga boleh mendatangkan pengalaman berharga sebagai bekalan untuk menempuhi alam perkerjaan professional kelak. Secara peribadi, saya lebih gemar melihat penglibatan aktif mahasiswa Malaysia dalam usaha membuktikan kepincangan sistem pengadilan daripada sekadar menulis atau berbicara tentangnya. Dengan kelantangan suara generasi muda Malaysia, dapat kita saksikan nanti arus perubahan yang sudah lama diharapkan untuk kembali membersihkan sistem perundangan negara yang didakwa "tercemar" dengan korupsi dan skandal.

Kaliber tinggi di kalangan aktivis muda negara perlu dihalakan ke arah pembangunan umat Malaysia. Memang benar usaha sebegini amat sukar untuk dilaksanakan, tetapi jika semua pihak sedia berusaha gigih (sepertimana kegigihan menuntut perubahan sistem politik nasional!) usaha ini boleh dijayakan. Sehingga kini, usaha menuntut keadilan hanya bertumpu kepada keadilan politik (propaganda Reformasi yang terus mara menuntut keadilan bagi pihak bekas Timbalan PM kita). Jika keseriusan ini ditumpukan pula ke arah usaha mengkaji kepincangan sistem perundangan negara dengan teliti dan mengemukakan bukti-bukti kukuh untuk membebaskan tahanan penjara daripada dakwaan palsu, martabat dan imej mahasiswa akan dapat dipulihkan dan mahasiswa akan mula dihormati dan dihargai. Mungkin, usaha sebegini akan menyedarkan masyarakat umum tentang kematangan intelek mahasiswa Malaysia dan seterusnya membuka peluang untuk mahasiswa untuk bergiat aktif dalam senario politik, kebudayaan, dan pendidikan kebangsaan. Mungkin juga, usaha ini akan menjadi pemangkin ke arah aktivisme mahasiswa yang positif dan membina. Mungkin.

Sebagai konklusi, marilah kita mahasiswa Malaysia memikirkan kembali sumbangan-sumbangan yang perlu kita laburkan kepada masyarakat negara kita. Marilah kita memikirkan usaha-usaha yang perlu dalam bidang pendidikan dan perundangan. Mungkin AUKU akan bertindak sebagai batu penghalang utama dalam usaha kita menjadi generasi yang berwawasan. Misi dan visi perjuangan bukan politik semata-mata, banyak lagi aspek yang memerlukan bantuan kita mahasiswa Malaysia. Mudah-mudahan ramai akan kembali sedar bahawa AUKU boleh dimanipulasikan menjadi senjata terkuat kita. Mungkin juga dengan usaha-usaha positif sebegini, AUKU akan dimansuhkan sebagai tanda hormat terhadap kematangan intelek mahasiswa tempatan. Marilah kita berdoa dan berusaha ke arah menjadi golongan mahasiswa yang benar-benar berbakti kepada bangsa dan agama.

"Most of the important things in the world have been accomplished by people who have kept on trying when there seemed to be no hope at all."

-Dale Carnegie


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved