Pilihan
Raya Kampus Tidak Cerminkan Sikap Mahasiswa
Sumber:
Majalah Minda, April 2002, Karangkraf, hlm.35-37
Pilihan
Raya di kampus bukan sahaja mempunyai tradisi yang unik tetapi
juga sejarah yang tersendiri. Pada setiap tahun, pilihanraya
kampus akan diadakan untuk membolehkan para pelajar memilih
wakil mereka bagi menduduki Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
Seksyen 48 Akta Universiti dan Kolej Universiti (pindaan 1975)
memberi kuasa kepada pihak berkuasa universiti membentuk MPP
yang dipilih oleh pelajar. Setiap universiti mempunyai kaedah
yang berbeza di dalam mengendalikan pilihan raya kampus ini
di mana ada yang membenarkan para pelajar bertanding secara
berkumpulan di bawah satu lambang dan "parti" yang
sama. Sesetengah universiti seperti Universiti Islam Antarabangsa
tidak membenarkan pelajar bertanding secara berkumpulan dan
hanya boleh bertanding di atas nama individu.
Pilihan
raya kampus merupakan satu proses demokrasi yang penting untuk
memberikan peluang kepada para pelajar menentukan corak dan
hala tuju kepimpinan mereka. Selain itu, ia menjadi wadah
untuk mengasah bakat kepimpinan dan mendedah-kan para pelajar
kepada situasi politik sebenarnya apabila mereka meninggalkan
kampus nanti. Sebab itulah dalam pilihan raya kampus, setiap
calon dibenarkan berkempen dan melancarkan perang poster.
Kalau diperhatikan keadaannya tidak ubah seperti suasana pilihan
raya umum yang sebenarnya. Kemeriahan begitu terasa dengan
setiap calon atau parti yang bertanding akan berkempen sehingga
ke saat-saat terakhir pengundian. Apa yang lebih penting lagi,
warga kampus berpeluang memilih wakil-wakil mereka bagi kawasan
umum (kampus) dan fakulti.
Pengiraan
undi dilakukan secara terbuka bagi mengelakkan penipuan dan
penyelewengan. Malahan kemeriahannya masih lagi terasa biarpun
keputusan sudah diumumkan. Parti yang menang akan membentuk
"kerajaan" di kampus. Kalau tidak ada satu parti
yang memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan maka mereka
akan membentuk gabungan dan mengadakan kompromi dengan parti
atau individu lain untuk membentuk kerajaan atau kabinet campuran.
Sesuatu yang menarik mengenai pilihan raya kampus ialah setiap
calon yang menang dan menduduki MPP (Parlimen) akan dilantik
memegang salah satu jawatan dalam Persatuan Mahasiswa Universiti
(kerajaan) termasuk mereka yang berada di pihak pembangkang.
Justeru
itu, sejak dua dekad yang lalu, berbagai-bagai kumpulan atau
"parti" politik telah ditubuhkan di universiti untuk
membolehkan mereka menguasai MPP dan seterusnya melaksanakan
gagasan serta idealisme perjuangan yang disokong. Di antara
kumpulan dan parti politik pelajar yang pernah mengambil bahagian
aktif dalam pilihan raya kampus ialah Angkatan Mahasiswa Adil
(AMA), Angkatan Mahasiswa Negara (AMAN), Angkatan Perpaduan
Mahasiswa Negara (APMN), Angkatan Tindakan Mahasiswa (ATMA),
Barisan Mahasiswa Bersatu (BMB), Islam Penyelamat Ummah (1PU),
Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (1SIUKM),
Tindakan Siswa Bersatu (TSB) dan sebagainya. Sesetengah daripada
parti politik itu sudah bubar dan terkubur. Sebahagian lagi
masih lagi aktif dan terus menguasai "kerajaan"
di kebanyakan universiti awam utama di negara ini.
Bagaimanapun
segala tradisi dan kemeriahan pilihan raya kampus mulai menghilang
apabila tarikh pilihan raya di semua institusi pengajian tinggi
awam (IPTA) diseragamkan bagi memudahkan Kementerian Pendidikan
(KP) memantau perjalanan pilihan raya termasuk mengelakkan
gangguan dan campur tangan pihak luar. Tindakan KP menyeragamkan
tarikh pilihan raya telah dibantah oleh para pimpinan pelajar
di beberapa buah universiti utama. Mereka menyifatkan tindakan
itu sebagai menyekat kebebasan para pelajar di setiap universiti
untuk mengadakan pilihan raya mengikut acuan yang telah digunakan
selama ini. Begitu juga dengan alasan yang digunakan oleh
KP untuk melakukan penyeragaman itu juga dianggap sebagai
sesuatu yang tidak masuk akal.
Dakwaan
bahawa pilihan raya kampus sesi 2000/2001 dicemari dengan
campur tangan luar dan parti politik pembangkang sehingga
membawa kekalahan kepada calon-calon pro Barisan Nasional
bukan sahaja tidak benar tetapi boleh dipertikaikan. Ini ke-rana
sepanjang pilihan raya kampus berlangsung, tidak ada seorang
tokoh dan pemimpin politik yang masuk berkempen bagi pihak
yang bertanding. Setiap calon dan kumpulan berkempen menggunakan
"platform" dan kapasiti yang ada pada mereka. Kempen
berlangsung dalam suasana yang aman dan adil. Setiap pihak
diberikan ruang yang seluas-luasnya untuk menyatakan pandangan
dan mengemukakan gagasan perjuangannya. Kalaupun ada kekecohan
yang berlaku, ia bukan disebabkan oleh campur tangan pihak
luar tetapi sikap Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang terlalu memihak
dan menolak bantahan yang dibuat oleh mereka yang bertanding.
Sikap
tersebut telah menimbulkan perasaan tidak puas hati seperti
mana yang pernah berlaku di Universiti Malaya (UM) beberapa
tahun yang lalu apabila kumpulan Islam dan puak nasionalis
memperoleh bilangan kerusi yang hampir sama banyak. Keme-nangan
secara total kumpulan Islam yang bernaung di bawah I PU di
UKM pada tahun lalu bukan disebabkan oleh campur tangan luar.
Dalam pilihan raya kampus tempoh hari, IPU telah menyapu bersih
51 buah kerusi yang dipertandingkan mengalahkan kumpulan yang
pro yang dikatakan pro aspirasi kerajaan. Keputusan itu sepatutnya
dihormati kerana ia merupakan pilihan yang dibuat oleh para
pelajar sendiri. Kemenangan itu sebenarnya tidak boleh dijadikan
cerminan dan sikap politik para pelajar.
Malahan
kalau ditelusuri keputusan pilihan raya sejak awal tahun 1980an
sehingga kini maka kita dapati bahawa kumpulan yang menjadikan
gagasan Islam sebagai perjuangannya lebih mendapat tempat
berbanding dengan mereka yang bertanding di atas pentas nasionalis.
Pertentangan yang berlaku di kampus sebenarnya lebih di antara
kumpulan Islam dan nasionalis. Jadi, tidak timbul apa yang
dikatakan sebagai kumpulan yang pro pembangkang dan yang menyokong
BN ataupun pro aspirasi kerajaan. Istilah itu sengaja dicipta
bagi memberikan kepada masyarakat kita kononnya kepimpinan
pelajar di kampus telah dikuasai oleh pihak pembangkang yang
memainkan peranannya menghasut para mahasiswa membenci serta
menentang kerajaan.
Sebagai
golongan yang berpendidikan tinggi, para pelajar IPTA mempunyai
prinsip dan pandangan yang tidak mungkin boleh dipengaruhi
oleh sesiapapun. Sebagaimana rakyat yang lain, mereka juga
mempunyai hak untuk menyatakan pandangan politik mereka. Kalau
ada di antara mereka yang menyokong pembangkang, hak itu sepatutnya
dihormati bukannya dirampas daripada mereka. Tetapi apa yang
berlaku adalah sebaliknya apabila peraturan baru pilihan raya
kampus telah menyebabkan hak pelajar untuk bertanding dan
memilih wakil mereka menjadi semakin terbatas. Se-mentelahan
itu. kemenangan besar calon-calon dan kumpulan yang pro aspirasi
kerajaan pada pilihan raya kampus di kebanyakan ITPA pada
kali ini bukanlah sesuatu yang men-gejutkan.
Kemenangan
penuh bergaya calon pro aspirasi kerajaan di Universiti Utara
Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti
Sarawak Malaysia (Unimas), Universiti Malaysia Sabah (UMS),
Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) dan Kolej Universiti
Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO) tidak memberikan gambaran
sebenarnya mengenai pendirian politik para pelajar di universiti
tersebut. Berdasarkan sambutan yang diberikan oleh pelajar
pada pilihan raya kampus MPP kali ini maka adalah tidak keterlaluan
kalau dikatakan bahawa "mood" untuk berpolitik di
kalangan mahasiswa sudah menurun kecuali segala kawalan dan
pengawasan ketat yang dikenakan terhadap mereka dihapuskan.
Tidak ada siapa yang akan untung jikalau pelajar IPTA bersikap
pasif dan pesimis terhadap politik di kampus. Kesannya tidak
dapat dilihat sekarang tetapi mungkin pada masa yang akan
datang.
Halaman Utama