IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Sunday, April 21, 2002 10:47 PM

Hak asasi siswa: Naib canselor dipanggil ke Suhakam


Azlina Ngainon, Malaysiakini
8:23pm Fri Aug 17th, 2001

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bercadang berbincang dengan naib-naib canselor bulan depan setelah menerima beberapa laporan pencabulan hak asasi pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

“Pihak Suhakam akan jemput semua naib canselor universiti untuk bincang (semua) perkara yang ditimbulkan dalam memorandum yang telah dihantar ke sini dan pencabulan hak asasi manusia di kampus,” kata pesuruhjaya Profesor Hamdan Adnan hari ini, selepas menerima aduan sekumpulan pelajar Universiti Sains Malaysia yang pernah dikenakan tindakan tatatertib.

Menurutnya, perbincangan itu akan bertumpu kepada masalah hak asasi pelajar di kampus dan bukannya menyentuh isu-isu pentadbiran universiti.

Pada peringkat awal, perbincangan diadakan dengan semua naib canselor universiti awam kerana kebanyakan aduan datangnya daripada pelajar IPT itu, tambahnya. “Mungkin selepas ini kita akan luaskan (perbincangan) dengan universiti swasta pula,” jelasnya.

Beliau bagaimanapun tidak menetapkan sebarang tarikh.

Perbincangan yang akan diadakan nanti turut menyentuh Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

“Suhakam sendiri sedang mengkaji (akta itu) dan memikirkan memang ada (kesan) baik jika ia dipinda. Manusia yang menggubal (akta itu) dan kita juga boleh melakukan perubahan terhadapnya,” katanya.

Menurutnya, pindaan akta itu diperlukan agar sesuai dengan peredaran zaman. “Kita perlu fikir tentang keadaan dunia yang lebih terbuka dan (orang) berfikiran lebih liberal kini. Kita tidak mahu tindakan yang bercanggah dengan keadaan (semasa) yang berlaku,” katanya.

Beliau juga menegaskan pelajar institusi tinggi juga tidak sepatutnya dikongkong kerana ia akan menyebabkan mereka “menikus.”

“Kita tidak mahu pelajar kita bisu kerana terlalu banyak kongkongan yang akhirnya mereka bukan hanya menjadi pelajar bisu tetapi juga menjadi warganegara yang bisu,” katanya.

Sebelum itu, enam wakil Persatuan Bahasa Tionghua (PBT), diketuai pengerusinya Lee Yen Ting, menuntut suruhanjaya itu menyiasat “gangguan” pegawai keselamatan universiti itu serta pegawai polis Cawangan Khas (SB) di kampus USM.

Menurut aduan Lee, semasa dua daripada enam ahli persatuan itu disoal siasat oleh Jabatan Keselamatan USM bulan lalu, dua pegawai SB berada di bilik itu untuk mendengar siasatan itu.

Suhakam menyiasat semula

“Dua pegawai polis (berpakaian biasa) itu turut menghalang rakan-rakan yang menunggu di luar bilik Jabatan Keselamatan itu. Saya tidak faham, mengapa pegawai polis itu campur tangan dalam urusan universiti,” katanya.

Menurutnya kejadian itu berlaku sebelum mereka dipanggil ke jawatankuasa tatatertib pada 3 Julai.

Lee dan Setiausaha Agung PBT Choo Chon Kai masing-masing didenda RM200 setelah didapati bersalah mengeluarkan kenyataan kepada akhbar Mei lalu dan menjual lencana kempen anti-ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) di kampus universiti itu.

Pada 1 Ogos, USM mendenda RM150 seorang empat pelajar selepas didapati bersalah menyertai pertandingan Debat antara Universiti-universiti Singapura dan Malaysia, pada Mei lalu tanpa kebenaran rasmi universiti itu.

Empat pelajar persatuan itu adalah Lim Khoon Phua, Lim Gim Shim, Ong Wee Ling dan Hoo Kam Fong. Semua mereka hadir di Suhakam hari ini.

Mereka, dalam memorandum itu, menggesa Suhakam menyiasat semula tindakan disiplin yang dikenakan dan membatalkan hukuman-hukuman itu yang dianggap tidak munasabah dan mencabuli hak asasi pelajar.

Persatuan itu juga mengemukakan aduan mengenai tuduhan perhimpunan haram kepada 36 pelajar yang menunggu di luar jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) semasa perbicaraan jawatankuasa tatatertib awal Ogos baru-baru ini.

“Menurut laporan akhbar kampus, Timbalan Naib Canselor (HEP) Datuk Prof Madya Jamaludin Mohaiadin berkata, 36 pelajar itu boleh dikenakan tindakan mengikut kaedah 7(1) akta universiti. Sedangkan tujuan mereka hanyalah untuk memberi sokongan kepada empat pelajar yang sedang dibicarakan,” katanya.

Kaedah 7(1) menghalang seseorang pelajar berhimpun lebih daripada lima orang di kampus kecuali dengan mendapat kebenaran naib canselor.

Turut hadir di Suhakam hari ini, wakil urusetia Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI) Lee Khai Loon dan beberapa aktivis persatuan siswa.


Halaman Utama

 

Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved