IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Sunday, April 21, 2002 10:45 PM

Rusuhan tinggalkan kesan negatif


Utusan Malaysia,22 September 1999

Oleh: MARZUKI YUSOFF
IBU negara sekali lagi mencatatkan detik hitam apabila ribuan penyokong parti-parti pembangkang yang diterajui oleh Parti Keadilan Nasional (Keadilan) melakukan demonstrasi besar-besaran Ahad lalu sehingga tercetusnya rusuhan yang mengakibatkan tiga anggota polis cedera.

Terlalu menyedihkan kerana peristiwa ini berlaku pada ketika ekonomi negara baru menampakkan tanda-tanda pemulihan daripada kegawatan sejak dua tahun lalu. Rusuhan terbaru itu dapat dielakkan sekiranya pihak-pihak terbabit bersikap rasional dalam isu keracunan arsenik seperti yang didakwa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ada di antara rakyat negara ini yang seolah-olah sudah membuat kesimpulan awal dari sudut politik bahawa keracunan yang dialami oleh Anwar itu memang telah dirancang oleh kerajaan dalam satu konspirasi untuk membunuh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Dari sudut politik pula, jika benar kerajaan menyimpan hasrat itu, apakah pucuk pimpinan negara tidak pernah menimbang mengenai risiko besar terutama nama baik negara tercemar pada mata masyarakat antarabangsa sekiranya terjadi sesuatu yang tidak di-ingini terhadap Anwar dalam tempoh penahanannya di penjara.

Sekarang ini pun, kerajaan berada dalam kedudukan amat sukar untuk memastikan bekas pemimpin nombor dua negara itu mendapat layanan yang sewajarnya dalam penjara atau untuk memastikan Anwar tidak diapa-apakan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri berulang kali menegaskan bahawa Anwar mendapat layanan berbeza berbanding banduan-banduan lain di penjara, namun, kenyataan Abdullah itu nampaknya tidak mampu untuk meyakinkan para penyokong Anwar.

Begitu juga dengan kenyataan Abdullah untuk menubuhkan pasukan penyiasat yang disambut dingin oleh pihak pembangkang. Mereka menggunakan isu pemukulan Anwar di lokap polis sebagai alasan bahawa Anwar tidak akan mendapat keadilan sewajarnya jika ditangani oleh polis.

Bagi pihak pembangkang, mereka akan mengambil kesempatan sebaik mungkin daripada isu Anwar itu untuk meraih simpati dan sokongan rakyat jelata dan dalam hal ini, mereka akan terus mempolitikkan isu Anwar untuk perjuangan politik mereka.

Sulit untuk memastikan apakah motif di sebalik tindakan para pemimpin pembangkang mengumpul ribuan penyokongnya untuk melakukan perarakan besar-besaran hanya untuk menyerahkan satu memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dengan jumlah penyokong yang ramai itu, segala kemungkinan boleh berlaku terutama jika ada anggota pasukan keselamatan hilang pertimbangan setelah dimakihamun dan akhirnya mengambil cara kekerasan sehingga ada perusuh yang jatuh korban.

Sekiranya ini terjadi, mungkinkah ada pihak tertentu yang mengharapkan peristiwa berdarah kematian empat mahasiswa Universiti Kristian Trisakti di Jakarta - yang menjadi pencetus kepada gerakan rakyat menggulingkan Presiden Suharto pada tahun lalu - akan berlaku pula di Malaysia.

Walaupun para pemimpin dan penyokong parti pembangkang akan tetap mempertahankan tindakan mereka, namun, kesan daripada rusuhan Ahad lalu dan beberapa siri rusuhan sebelumnya akan meninggalkan kesan buruk di kalangan rakyat - sama ada untuk jangka pendek dan jangka panjang.

Generasi yang telah ditanam dengan bibit-bibit kebencian terhadap polis dan kerajaan, dibimbangi akan terus-menerus melakukan tindakan kekerasan yang sama sekiranya parti-parti yang mendokong tunjuk perasaan dan rusuhan masa ini, ditakdirkan oleh Allah s.w.t memerintah negara ini.

Demonstrasi dan rusuhan yang berlaku di Malaysia sebenarnya telah menjadi 'perangkap' tersendiri yang mungkin tidak disedari oleh gabungan parti pembangkang sekiranya mereka ditakdirkan berkuasa kelak.

Persoalan akan timbul mengenai tindakan yang bakal diambil oleh para pemimpin kerajaan yang berasal daripada parti-parti pembangkang sekiranya era pemerintahan mereka dipenuhi dengan tunjuk perasaan yang dulunya tindakan seumpama itu mereka sendiri restui.

Apa pula yang akan terjadi kepada imej negara tercinta ini pada pandangan masyarakat antarabangsa sekiranya rakyat yang sudah diajar cara kekerasan dalam menangani sesuatu masalah, akan menggunakan saluran kekerasan untuk memenuhi semua hasrat mereka.

Para pemimpin kerajaan (pada masa itu) sudah pasti akan berada dalam kedudukan 'amat serba salah' sama ada untuk terus membenarkan rakyat berdemonstrasi secara sesuka hati dan memberontak apabila kehendak mereka tidak dipenuhi.

Mungkinkah para pemimpin Pas, DAP dan Keadilan akan membiarkan demonstrasi melibatkan puluhan ribu rakyat mewarnai pemerintahan mereka kelak sehingga rakyat lain sentiasa hidup dalam kebimbangan, ketegangan dan ketakutan serta ekonomi negara terumbang-ambing kerana rusuhan sering terjadi.

Atau mungkin, apabila situasi sudah tidak dapat dikawal, para pemimpin daripada barisan alternatif itu tidak mempunyai pilihan lain kecuali bersikap lebih keras daripada cara Barisan Nasional (BN) dengan menggunakan pasukan polis yang dulu dimakihamun dan dibenci mereka, untuk menumpas habis-habisan segala tunjuk perasaan.

Golongan ini seharusnya sedar tunjuk perasaan di jalanan - walau berjalan aman sekalipun - tetap meninggalkan kesan negatif sama ada kepada rakyat tempatan mahupun pelabur dan pelancong asing apalagi sehingga melibatkan ratusan atau ribuan orang berkumpul dan berarak di jalan raya.

Selama ini, adakah kerajaan BN atau pihak berkuasa negara ini menghalang ceramah-ceramah politik pembangkang di sesuatu kawasan yang kadangkala didengar oleh puluhan ribu penyokong mereka.

Tidakkah ada kesedaran di kalangan para pemimpin pembangkang bahawa kesan daripada tindak tanduk mereka itu boleh mencetuskan kekacauan lebih besar sekiranya para pendukung parti saingan mereka hilang pertimbangan sehingga meletus perang saudara sesama orang Melayu.

Kejadian yang tidak diingini itu kemungkinan besar akan terjadi sekiranya para pemimpin pembangkang terus membakar api kebencian terhadap kerajaan, pasukan keselamatan dan mencabar sistem perundangan sedia ada.

Apabila undang-undang negara berani diinjak-injak dan dicabar sehingga ke tahap paling rendah, satu hari nanti ada pemimpin lain yang memiliki pengikut yang ramai akan mengambil tindakan serupa.

Jika sampai terjadi keadaan sebegini, Malaysia tidak ada bezanya dengan sesetengah negara di Afrika atau Amerika Latin yang rakyatnya memilih jalan kekerasan dan pembunuhan sesama bangsa bagi memenuhi kehendak satu golongan.

Sejarah Indonesia boleh menjadi contoh bagaimana sejarah boleh berulang walaupun manusia selalu lupa.

Sekiranya bekas presiden pertama Indonesia, Sukarno dijatuhkan melalui tunjuk perasaan para mahasiswa - yang menurut dakwaan Sukarno - didalangi oleh Jeneral Suharto, akhirnya Suharto juga digulingkan melalui cara yang sama iaitu oleh demonstrasi mahasiswa.

Kita tidak mahu kemenangan golongan proreformasi nanti dalam perjuangan membela Anwar, berkesudahan dengan nasib bangsa ini dan generasi akan datang berpecah-belah dan dipandang hina akibat kesilapan sesetengah daripada kita.

Janganlah kerana terlalu mengikut emosi yang meluap-luap, ada di antara kita yang sanggup menghancurkan negara hanya kerana berpegang kepada perjuangan biarlah 'sama-sama hancur'.

Jika sikap ini yang dipegang, perjuangan itu samalah seperti 'Menang jadi abu, kalah jadi arang'. Akhirnya yang menerima nasib malang adalah orang Melayu seperti mana yang menimpa umat Islam di Indonesia.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved