IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Sunday, April 21, 2002 10:50 PM

Palestin - Mahasiswa IPTA kutuk Israel


Oleh SALINA IBRAHIM, Utusan Malaysia, 20 April 2002


MAHASISWA institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sebulat suara mengutuk pencabulan, pencerobohan, keganasan, kekejaman dan serangan Israel terhadap bumi Palestin.

Malah tindakan kejam tentera Israel yang membunuh beratus-ratus nyawa rakyat Palestin di kem pelarian Jenin menjadikan para mahasiswa IPTA semakin meluat dengan sikap tidak berperikemanusiaan Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon.

Justeru para mahasiswa yang prihatin sepakat mengemukakan memorandum berkaitan isu pencabulan hak oleh rejim Israel di Palestin kepada Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Memorandum yang ditandatangani oleh 12 pemimpin dan wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) IPTA itu telah diserahkan kepada Pegawai Politik Kedutaan AS di Kuala Lumpur, Laura A. Malenas pada 15 April lalu.

Kira-kira 200 barisan kepimpinan dan mahasiswa IPTA yang diketuai oleh Presiden MPP Universiti Kebangsaan Malaysia UKM), Abdullah Abdul Karim berkumpul di hadapan Kedutaan AS pada hari berkenaan.

Turut hadir pada hari penyerahan itu ialah Presiden MPP Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohd Fadzli Mohd Ramly, Presiden MPP Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd Nasir Othman, Presiden MPP Universiti Malaya (UM), Muhammad Hisommudin Bakar, Presiden Persatuan Pelajar Antarabangsa UIAM, Abdallah Saidi dan wakil Persatuan Mahasiswa Islam Malaysia, Md Noor Hussain.

Semua IPTA bersatu hati menyerahkan memorandum itu kecuali Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM) yang tidak dapat menghantar wakil masing-masing pada hari itu.

Bagaimanapun, ketiga-tiga IPTA itu turut sebulat suara menyatakan bantahan terhadap pencabulan berkenaan yang disifatkan sebagai tidak bertamadun.

Abdullah ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, memorandum berkenaan mempunyai sembilan tuntutan terhadap AS dalam menangani isu berkaitan Palestin.

Tuntutan tersebut ialah:

- Takrifan istilah pengganas tidak hanya berlegar kepada kumpulan gerakan Islam sahaja.

- Tuntutan agar AS menjaga sensitiviti umat Islam sedunia demi mengawal keamanan sejagat.

- Tuntutan agar AS menjalankan pelaksanaan kempen anti keganasan dengan adil dan tidak mengamalkan prinsip double standard.

- Tuntutan agar AS mengenakan tindakan yang lebih tegas dan keras terhadap Israel yang degil dalam menyelesaikan masalah Palestin.

- Tuntutan terhadap AS agar membenarkan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaksanakan misi keamanan di Palestin tanpa sebarang gangguan, tekanan dan campur tangan AS atau mana-mana kuasa veto.

- Gesaan ke atas AS agar mendesak PBB menghadapkan Ariel Sharon di Tribunal Jenayah Antarabangsa.

- Tuntutan ke atas AS supaya mendesak Israel agar berundur dari bumi Palestin.

- Gesaan ke atas AS supaya mendesak PBB memutuskan sebarang hubungan diplomatik dengan Israel.

- Tuntutan ke atas AS supaya mendesak Israel mematuhi Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948.

Abdullah berkata, sebagai tindakan susulan penyerahan memorandum tersebut, mereka akan mengadakan pemantauan secara berterusan.

``Jika situasi masih tidak berubah, kita akan terus mendesak,'' katanya.

Sementara itu, Mohd Fadzli berkata, rombongan mereka agak kecewa berikutan sambutan dingin pegawai kedutaan terhadap rombongan mereka.

Katanya, mereka tidak dibenarkan memasuki bangunan kedutaan sebaliknya hanya berurusan di pondok pengawal sahaja.

Selain itu, katanya, penyertaan perwakilan IPT swasta agak sukar dilakukan kerana beberapa masalah teknikal.

``Bagaimanapun maklum balas yang kita terima mendapati mereka menyokong tindakan ini,'' katanya.

Pada satu perkembangan lain, Muhammad Hisommudin berkata, lanjutan daripada penyerahan memorandum itu kepada Kedutaan AS, mereka membentuk deklarasi bersama yang menyatakan pendirian terhadap isu Palestin.

Deklarasi itu katanya menggambarkan pendirian mahasiswa yang mengecam Israel sebagai rejim pengganas.

``Pendirian ini meliputi semua golongan mahasiswa tanpa mengambil kira agama dan kaum,'' katanya.

Menerusi deklarasi itu mereka turut menuntut Malaysia menjadi juru cakap dalam mendepani isu Palestin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad katanya, boleh menjadi pencetus utama untuk membangkitkan kesedaran masyarakat antarabangsa terhadap kekejaman Israel.

Tambahnya, isu ini bukan isu parti tertentu dan seharusnya diperjuangkan bersama-sama.

Sementara bagi pihak pelajar, katanya, deklarasi tersebut diharap akan membuka mata mereka agar lebih prihatin terhadap perkembangan semasa.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved