IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

   
ISU SEMASA is updated on Wednesday, January 16, 2002 9:13 PM

Mahasiswa dan Politik: Siapa yang Terlibat dan Salah Guna?


OlehDr. Abdul Aziz Bari

Pensyarah,Kuliah Undang-undang,UIA

PERTIKAMAN lidah antara Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan Dato' Mahadzir Mohd Khir dengan ahli parlimen PAS Kuala Terengganu Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi di parlimen pada hujung tahun lalu, menarik untuk diperkatakan. Dalam satu soal-jawab di Dewan Rakyat pada 20 November 2001 Syed Azman menuduh Mahadzir berbohong ketika menjawab soalan berhubung dengan penglibatan parti-parti politik, khususnya UMNO, di universiti-universiti awam.

Syed Azman mendakwa bahawa beliau mempunyai bukti bagi menyokong dakwaannya itu. Beliau lalu mengemukakan apa yang berlaku di SM Paya Keladi. Kepala Batas, Pulau Pinang. Secara kebetulan kawasan itu ialah kawasan pilihan raya Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Kata Syed Azman lagi Puteri UMNO menjalankan program adik angkat di kawasan berkenaan. Dalam program itu juga, dakwa Syed Azman, seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Nazlina Nazrin Nazir, terlibat sebagai penolong bendahari. Apabila Mahadzir menafikannnya Syed Azman berkata Mahadzir sama ada tidak tahu atau berbohong. Ini menyebabkan Setiausaha Parlimen berkenaan naik angin dan menuntut Syed Azman menarik balik perkataan 'bohong' itu. Mahadzir kemudian dilaporkan berkata bahawa ahli ahli parti-parti politik boleh menjalankan aktiviti di sekolah-sekolah dan universiti-universiti dengan syarat ia tidak bersifat politik. Mahadzir kemudian menyindir Syed .Azman: "Tentang pelajar UiTM itu saya benar-benar tidak tahu. Kalau Yang Berhormat berminat sangat dengan Puteri UMNO sila tukar parti supaya Yang Berhormat boleh bekerja rapat dengan mereka".

Keesokan harinya ketua penaja Puteri UMNO Azalina Othman Said berkata pergerakan itu tidak menganjurkan kegiatan di institut pengajian tinggi awam (IPTA). Katanya lagi aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Puteri UMNO bersifat sosial, pendidikan, kesihatan dan dijalankan di tempat-tempat awam. Azalina mendakwa pergerakannya tidak dapat memastikan bahawa mereka yang menyertai program-program itu terdiri daripada pelajar dan Puteri UMNO tidak dapat menyekat mereka menyertai program-program berkenaan.

Banyak isu yang boleh dibangkitkan berikutan dakwaan penglibatan Puteri UMNO di IPTA ini. Sejak ditubuhkan pergerakan tersebut nampaknya begitu banyak menarik perhatian dan mungkin ia lebih menerima publisiti berbanding dengan Pergerakan Pemuda atau Wanita UMNO.

Soal penglibatan mahasiswa dalam politik UMNO itu bukan-ah kali pertama berlaku. Para pelajar ITM umpamanya pernah terlibat dalam pengiraan undi dalam Perhimpunan Agung UMNO. Dalam pada itu para pegawai Biro Tata Negara (BTN) memang diketahui terlibat di kampus-kampus, memberi ceramah tentang dasar-dasar kerajaan yang secara halus mahukan pelajar simpati atau sekurang-kurangnya tidak menentang kerajaan.

Inilah antara isu-isu yang menyebabkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) di-persoalkan; yakni penyalahgunaan dan pelaksanaan yang memilih-milih oleh pihak pentadbir universiti. Yang sering kelihatan ialah apabila para mahasiswa menentang kerajaan (sebagaimana yang didakwa oleh para pemimpin UMNO dan kerajaan) mereka dicerca, dikatakan membuang masa untuk belajar, dituduh tidak mengenang budi dan seumpamanya sedangkan kalau mereka terlibat dengan kegiatan atau politik yang condong atau disenangi oleh pemimpin-pemimpin berkenaan mereka bukan sahaja disanjung tetapi juga diberi pelbagai bantuan dan kemudahan untuk menjalankan kegiatan. Sebab itu tidak mengejutkan kalau AUKU dan peraturan-peraturan yang sejenis dengannya dilihat sebagai undang-undang untuk mengekang pembangkang dan memu-dahkan kerajaan di kampus-kampus.

Hujung November lalu akhbar New Straits Times begitu girang melaporkan kemenangan kumpulan kumpulan yang menurut akhbar berkenaan adalah kumpulan yang pro-aspirasi (kerajaan) termasuk di beberapa IPTA yang selama ini dikuasai oleh kumpulan yang rapat dengan pembangkang. Mungkin kemenangan itu hasil dari perubahan selera mahasiswa. Bagaimanapun apabila sebelum itu ada riak-riak yang membantah tindakan mengadakan pilihan raya serentak di kampus-kampus terdapat semacam ada yang tidak kena di kampus-kampus kita. Apakah kerajaan, yakni parti yang memerintah. tidak campur tangan? Itu kita tidak tahu. Bagaimanapun apakah kampus-kampus itu adalah medan-medan yang benar-benar adil pun kita juga kurang pasti.

Satu ketika para pemimpin kerajaan termasuk Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim menyebut soal keterlibatan para pensyarah dalam menghasut pelajar. Malah mereka menyebut bahawa tindakan akan diambil: sesuatu yang agak jelas bersifat ugutan. Tapi kemudian Datuk Aziz Shamsuddin mengatakan bahawa hanya sebilanngan kecil yang terlibat. Mengapa Timbalan Menteri Pendidikan itu berkata demikian? Adakah kerana dakwaan-dakwaan tadi tidak betul? Apakah Aziz berkata demikian kerana kerajaan berasa bahawa mengambil tindakan akan mencemarkan imej kerajaan yang sudah sedia dilihat autokratik dan enggan melaksanakan demokrasi?

Satu sikap yang konsisten dalam menangani politik mahasiswa perlu. ]ika tidak akan timbul tanggapan bahawa kalau anda menyokong atau berbuat sesuatu yang direstui oleh kerajaan anda akan selamat. Ini tidak baik. Selain mendidik generasi muda yang bakal menjadi pemimpin dan intelegensia kita dengan nilai yang buruk (menjadi pengampu dan seumpamanya) pendekatan yang tidak konsisten dan memilih-milih itu juga akan menyebabkan undang-undang kita tercemar dan tidak dihormati. Undang-undang akan dilihat sebagai alat untuk menekan atau mekanisme untuk mengekalkan mereka yang berkuasa.

Saya diberitahu bahawa di sebuah universiti sebuah cawangan parti pemerintah mengadakan majlis di salah sebuah dewan kuliahnya. Mereka dikatakan meninggalkan sampah sarap dan dewan berkenaan dipenuhi dengan puntung rokok meskipun larangan merokok jelas terpampang di mana-mana Ini tidak ada kaitan dengan politik mahasiswa. Tetapi ia menggambarkan sikap dan mentaliti mereka; sesuatu yang memberi tahu kita mengapa mahasiswa tidak dibenarkan memilih atau menyatakan pandangan mereka tanpa di sekat-sekat Dengan kata lain bagi golongan itu 'universiti kerajaan yang punya'. Mungkin kita boleh bertanya: di mana pula pembayar cukai? Apakah hanya mereka yang mem-bayar cukai?


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved

EMAIL: Idealis-Mahasiswa