Dikemaskinikan Pada Jumaat, 30 Ogos 2002 9:00 AM

Pelajar UiTM Dibunuh: Shamim Masih Suspek Utama

Utusan Malaysia, 18 Ogos 2002

Oleh: AMIR SARIFUDIN
KLANG 17 Ogos - Warga Bangladesh, Shamim Riza, yang ditemui turut cedera dalam pembunuhan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Zuriati Osman pada 9 Ogos lalu, masih merupakan suspek utama dalam kes berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Noor Hamat berkata, setakat ini tidak ada suspek lain dalam kes berkenaan melainkan warga Bangladesh itu.

Beliau berkata, polis masih terus menjalankan siasatan terperinci berhubung pembunuhan berkenaan dan setakat ini tiada perkembangan baru mengenainya.

"Warga Bangladesh itu yang masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, merupakan suspek utama dalam kes berkenaan.

"Polis tidak mahu tergopoh-gopoh untuk membuat pendakwaan kerana siasatan masih dijalankan.

"Apabila kita sudah pasti siapa yang terbabit dan setelah siasatan selesai, barulah pendakwaan dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian pada pemberita selepas menutup kejohanan bola jaring Piala Ketua Polis Negara 2002 di Kompleks Sukan Pandamaran di sini hari ini.

Dalam kejadian berkenaan, penuntut UiTM, Zuriati, ditemui mati dengan 18 kesan tikaman dalam sebuah bilik di kediaman abang iparnya di Kolej Meranti, Seksyen 2 Shah Alam.

Mangsa merupakan penuntut tahun pertama jurusan Kimia Perindustrian, Fakulti Sains Gunaan dan berasal dari pangsapuri Putra Ria, Bangsar, Kuala Lumpur.

Dia ditemui mati di atas katil di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Teman lelaki mangsa, seorang warga Bangladesh juga ditemui cedera dipercayai cuba membunuh diri dengan mengelar leher dan tangannya.

Lelaki Bangladesh berusia dalam lingkungan 20-an itu sempat diselamatkan dan kini dirawat di HTAR di sini.

Polis turut menemui sebilah pisau sepanjang 10 inci yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk membunuh mangsa.

Ketika kejadian, kakak mangsa dipercayai sedang menonton televisyen.

Mohd. Noor berkata, siasatan yang dijalankan berhubung kes itu melibatkan semua sudut bagi mengenal pasti motif dan punca kejadian.

"Kita menjalankan siasatan dari semua sudut supaya kes ini dapat diselesaikan dengan berkesan," katanya.

Menjawab pertanyaan, Mohd. Noor berkata, polis kemungkinan mendapatkan perintah sambungan reman terhadap lelaki Bangladesh itu setelah perintah reman 10 hari ke atasnya, tamat Isnin ini.

"Jika siasatan belum selesai, polis perlu mendapatkan perintah sambungan reman bagi membolehkan siasatan diteruskan," katanya.


Halaman Utama


Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved