Mahasiswa
perlu bersikap konstruktif
Oleh:
DR. ABD. RAHIM ABD. RASHID
Malah
gerakan mahasiswa yang tidak terkawal yang berlaku pada masa
itu dilihat sebagai suatu ancaman kepada kestabilan politik,
kerajaan dan keselamatan negara.
Kebelakangan
ini gerakan pelajar yang mendasari perjuangan rakyat jelata,
khususnya gerakan menuntut reformasi politik seperti mana
di Indonesia, Thailand dan China cukup membimbangkan, walaupun
tidak memberi kesan yang jelas terhadap sebarang destruktif
golongan mahasiswa di negara ini terhadap kerajaan dan negara
amnya.
Golongan
mahasiswa di negara ini bagaimanapun tidak seharusnya terikut-ikut
dengan model perjuangan destruktif di negara-negara tersebut.
Mahasiswa
di negara ini dikehendaki memainkan peranan lebih positif
dan konstruktif membantu negara yang sedang mengalami krisis
dan kegawatan ekonomi serta tekanan pengaruh asing yang mengakibatkan
kejatuhan nilai mata wang yang paling teruk.
Kegawatan
ekonomi yang dihadapi kerajaan dan negara sudah tentu akan
memberi kesan yang luas kepada kehidupan dan nasib rakyat
jelata.
Sebab
itu sebarang bentuk tindakan mahasiswa yang boleh memburukkan
lagi keadaan dalam negara, khususnya tindakan-tindakan yang
mendatangkan masalah kepada kestabilan politik, akan menyebabkan
golongan mahasiswa dicap sebagai musuh negara.
Golongan
mahasiswa perlu bijak memainkan peranan konstruktifnya dalam
usaha membantu memulihkan keadaan kegawatan ekonomi yang berlaku
sekarang.
Agenda
perjuangan mahasiswa perlulah selari dengan matlamat dan usaha-usaha
kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara.
Di
dalam negara yang merdeka dan mengamalkan sistem demokrasi,
ruang bagi golongan mahasiswa mengeluarkan pandangan dan pendapat
terbuka begitu luas.
Untuk
menjadi golongan yang berperanan penting kepada masyarakat
dan negara, golongan mahasiswa perlu mempunyai pengetahuan,
kesedaran, keberanian, jelas dari segi wawasan perjuangan,
mempunyai strategi yang teratur, dapat melakukan tindakan
yang bersifat konstruktif, bijak menangani masalah, tidak
terpedaya dengan pengaruh negatif, tidak menjadi alat kepada
golongan lain, berfikiran terbuka dan berpandangan luas.
Golongan
mahasiswa perlu berhemah tinggi dan menghayati semangat perjuangan
untuk negara dan bangsa, di samping sensitif dengan pelbagai
perkembangan yang berlaku.
Golongan
mahasiswa perlu berani memberi teguran dan pandangan yang
bersifat membina dan konstruktif demi kebaikan bangsa dan
negara.
Golongan
mahasiswa perlu menjadi penggerak kepada kemajuan dan perubahan
masyarakat dan negara.
Walaupun
mahasiswa dilarang berpolitik, namun mereka perlu mempunyai
kesedaran politik.
Kesedaran
politik adalah sebahagian daripada senjata yang mencorakkan
kekuatan perjuangan bangsa dan negara.
Adalah
penting ruang yang lebih luas dibuka kepada mahasiswa untuk
menikmati kebebasan bersuara, kebebasan berfikir dan kebebasan
mengkritik dalam suasana pembelajaran kampus di universiti-universiti
tempatan.
Pelajar
juga perlu dilatih bersifat rasional dan bertanggungjawab
dalam mengeluarkan pandangan dan pendapat mereka mengenai
sesuatu perkara menyentuh kepentingan individu, masyarakat
dan negara.
Universiti
perlu melaksanakan wawasan dan falsafah pendidikan untuk melahirkan
golongan intelektual yang berhemah tinggi, berbudi mulia,
bertanggungjawab, berperanan penting sebagai tenaga penggerak
kepada masyarakat dan negara.
Golongan
mahasiswa juga tidak seharusnya menjadi golongan pak turut,
lemah dari segi pemikiran, kesedaran, kredibilitinya menangani
masalah-masalah yang bersifat intelektual.
Kelesuan
budaya fikir di kalangan mahasiswa sebagaimana yang diperkatakan
kebelakangan ini, merupakan satu agenda yang perlu ditangani
supaya golongan graduan di negara ini benar-benar mempunyai
kualiti dan kemampuan yang boleh dibanggakan oleh masyarakat
dan negara.
Golongan
mahasiswa perlu melanjutkan tradisi membaca dan budaya berfikir
bagi membolehkan mereka menyumbangkan dan menjadi tenaga penggerak
perubahan dan kemajuan.
Corak
pembelajaran di universiti perlu menekankan kepada usaha membina
kematangan dan kekuatan berfikir supaya pelajar tidak mudah
terpengaruh dan menerima segala apa yang disogokkan.
NOTA:
Dr. Abd. Rahim ialah Profesor Madya di Fakulti Pendidikan,
Universiti Malaya.
Halaman Utama