Pelajar
utamakan politik -- Tokoh pendidikan bimbang trend ini memburukkan
pencapaian siswa Melayu
KUALA LUMPUR 15 Julai - Tokoh-tokoh pendidikan melahirkan
kebimbangan trend pelajar lelaki Melayu yang lebih mengutamakan
politik daripada menimba ilmu akan memburukkan lagi tahap
pencapaian pelajar kaum itu berbanding pelajar bukan bumiputera.
Malah, mereka mengakui bahawa keutamaan sebahagian pelajar
lelaki Melayu kini khususnya di institusi pengajian tinggi
kepada politik berada pada tahap serius yang memerlukan perhatian
segera oleh parti-parti politik yang mewakili orang Melayu.
Tokoh
pendidik, Tan Sri Dr. Awang Had Salleh mengakui bahawa sindrom
politik kepartian yang begitu menonjol di kampus sejak beberapa
tahun kebelakangan ini menjadi penyebab kepada kelemahan pelajar
Melayu dalam bidang akademik.
Menurut
beliau, pembabitan pelajar dalam politik kepartian menjejaskan
tumpuan mereka kepada pembelajaran sedangkan menimba ilmu
sepatutnya menjadi tanggungjawab utama mereka di universiti.
Beliau percaya kebanyakan pelajar yang aktif politik kepartian
tidak menunjukkan keputusan peperiksaan yang cemerlang, sebaliknya
mereka menjadikan aktiviti politik itu sebagai alasan kenapa
mereka tidak mencapai keputusan cemerlang.
``Dengan
kata lain, pelajar yang tidak cemerlang ini seolah-olah menjadikan
masalah aktif dalam politik kepartian sebagai alasan dan escapism
untuk tidak berjaya.''
``Tidak
salah bagi pelajar aktif sebagai pemerhati politik kepada
senario di luar kampus, tetapi jangan jadikan suasana kampus
sebagai mini gelanggang politik kepartian,'' tegasnya yang
amat bimbang dengan fenomena yang melanda kampus di negara
ini sekarang.
Beliau
berkata demikian ketika ditemui di sini dalam wawancara bagi
laporan khas Utusan bertajuk ``Dilema Melayu di Universiti''.
Para
pelajar, kata beliau, sepatutnya menjadikan peluang memimpin
persatuan pelajar sebagai pentas mengasah bakat kepimpinan
mereka melalui kerja-kerja kebajikan di kampus dan bukannya
menonjolkan diri sebagai pemimpin mewakili parti politik.
Sehubungan
itu, katanya, pihak pentadbir universiti khususnya naib-naib
canselor perlu melihat perkara itu secara serius dan berusaha
melakukan sesuatu secara berkesan bagi mengubah atau membetulkan
senario tersebut.
``Antara
yang boleh dilakukan ialah meletakkan syarat supaya mereka
yang ingin bertanding dalam pilihan raya kampus mesti mencapai
tahap keputusan minimum yang ditetapkan sebelum layak bertanding,''
ujarnya.
Mengenai
pelajar bukan bumiputera, Awang Had berkata, pelajar bukan
bumiputera khususnya pelajar Cina mengamalkan beberapa sikap
positif yang membantu mereka mencapai keputusan yang lebih
baik.
Antara
yang diterapkan oleh para pelajar Cina adalah melakukan sesuatu
mengikut keutamaan dalam konteks belajar, belajar secara berkumpulan
serta menitikberatkan perbincangan.
Beliau
menceritakan satu kisah semasa berlaku demonstrasi pelajar
di Universiti Malaya pada 1970-an, semua pelajar Melayu yang
berdemonstrasi lari apabila diserang gas pemedih mata.
``Seorang
pelajar Cina yang sebelum itu membaca buku dan kemudian menyertai
kumpulan demonstrasi menyambung pembacaan di bawah meja apabila
berjaya melarikan diri daripada gas pemedih mata.
``Pelajar
Melayu hanya menyambung kuliah seminggu selepas peristiwa
itu,'' katanya bagi menunjukkan betapa pelajar Cina tahu tanggungjawab
mereka dan harapan besar ibu bapa terhadap mereka.
Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof. Datuk
Dr. Ahmad Fawzi Mohd Basri turut mengakui pembabitan politik
melampau di kalangan mahasiswa antara punca mereka gagal untuk
mencapai keputusan cemerlang.
``Ini
satu trend yang membimbangkan kita kerana gerakan mereka mempunyai
rangkaian dan menerima arahan secara terpusat daripada pihak
tertentu dari luar.
``Ini
satu trend yang tidak menggalakkan proses pembelajaran yang
sihat di universiti,'' tegasnya.
Beliau
berkata, UUM pernah mengesan sekumpulan mahasiswa yang menghadiri
kursus politik parti pembangkang pada 1998 yang antara lain
membuat resolusi menentang Timbalan Naib Canselor UUM yang
disandang oleh beliau pada ketika itu.
`Resolusi
Kubang Rotan' itu juga, kata beliau, mahu supaya penentangan
dibuat terhadap Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1975
dan penentangan terhadap pelajar lain yang tidak sealiran
dengan perjuangan politik mereka.
Kata
beliau, hasil siasatan mendapati kegiatan itu membabitkan
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti tersebut.
Menurut
beliau, sekiranya pelajar yang tidak suka dengan kerajaan
sedia ada, cara menukarnya ialah melalui proses demokrasi
iaitu pilihan raya.
Seorang
lagi tokoh pendidikan, Tan Sri Wira Abdul Rahman Arshad pula
berkata, beliau tidak hairan sekiranya berlaku fenomena kaum
wanita Melayu akan lebih diberi tempat di dalam bidang profesional
pada masa akan datang kerana mereka mempunyai kelayakan akademik
yang diperlukan.
Katanya, senario itu tidak mustahil berlaku kerana kekurangan
pelajar lelaki Melayu di institusi pengajian tinggi amat ketara
sedangkan kemasukan pelajar perempuan ke IPT semakin meningkat
dari setahun ke setahun.
``Hakikatnya, golongan wanita lebih ghairah menuntut ilmu.
Mereka lebih berwawasan dan tahu merancang corak masa depan
mereka.
``Manakala pelajar lelaki terutama orang Melayu semakin hanyut
dengan aktiviti-aktiviti yang langsung tidak memberi faedah
kepada mereka. Mereka tidak sedar tindakan mereka itu merugikan,''
katanya kepada Utusan.
Mengulas
lanjut, Abdul Rahman yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah
Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, sekiranya pelajar
lelaki Melayu tidak menyedari apa yang berlaku sekarang, tidak
mustahil kaum wanita akan mengambil alih semua tugas yang
dipikul oleh lelaki termasuk mencari nafkah.
Naib
Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dzulkifli
Abdul Razak ketika mengulas isu yang sama berkata:
``Pelajar
lelaki Melayu kurang menonjol di universiti sekarang adalah
kerana tumpuan mereka lebih mudah dialihkan kepada hal-hal
lain yang tidak berkaitan seperti politik yang akhirnya menjejaskan
pelajaran."
Halaman Utama