Kampus
hanya kilang produk pasaran buruh
12:58pm, Sun: Langkah membersihkan institusi
pengajian tinggi awam (IPTA) daripada "anasir-anasir
subversif" yang boleh meracuni fikiran pelajar, pengajar
dan kakitangan diteruskan lagi - kali ini dengan ikatan
akujanji atau dalam perkataan lain, ikrar taat setia.
Mulai April depan semua warga kampus ini diwajibkan
berbuat demikian. Dalam akujanji ini mereka
dikehendaki taat setia kepada Yang Dipertuan Agong,
negara, kerajaan dan universiti, melaksanakan tugas
dengan cermat, bersungguh-sungguh, cekap, jujur,
amanah serta tidak membelakangkan kewajipan kepada universiti.
Akujanji ini dilihat sebagai langkah terdesak kerajaan
untuk mengekang minda warga kampus supaya hanya taat setia
dan menyokong kerajaan setelah para pelajar dan tenaga pengajar
melibatkan diri secara aktif dalam
aktiviti menentang kerajaan.
Kerajaan berharap akujanji secara paksaan ini akan
menyedarkan warga kampus tentang tanggungjawab mereka sebagai
pengajar dan pelajar, mengenepikan politik kepartian serta
kembali menyokong kerajaan yang sedia ada.
Kebelakangan ini pelbagai tindakan diambil untuk
mengawal kebangkitan warga kampus dalam arus politik negara,
antaranya termasuklah penahanan di bawah Akta Keselamatan
Dalam Negeri (ISA) ke atas beberapa orang pemimpin pelajar,
mengenakan tindakan disiplin ke atas pengajar dan pelajar,
mengawal pilihanraya kampus dan membubarkan persatuan-persatuan
yang disyaki menjadi sarang pengaruh parti-parti pembangkang.
Tidak demokratik
Setelah mengggunakan pendekatan-pendekatan bercorak konfrantasi
itu, kerajaan kini menggunakan pula pendekatan psikologi -
cuba mempengaruhi minda para pelajar, terutamanya pelajar-pelajar
baru, menerusi
janji dan ikrar.
Namun persoalannya sekarang ialah dapatkah akujanji
yang dipaksa ke atas para pelajar ini menimbulkan
kesedaran, menanam sikap bertanggungjawab kepada
kuliah dan rasa bersalah memungkiri janji dan ikrar?
Atau mungkinkah ia akan menyemarakkan lagi kemarahan dan protes
pelajar terhadap kerajaan yang dilihat cuba menjadikan mereka
seperti "budak sekolah"?
Banyak pihak melihat akujanji yang dijadikan
sebahagian daripada peraturan di bawah Akta Universiti
dan Kolej Universiti (Auku) itu akan mendatangkan
kesan buruk kepada kerajaan. Ia akan dijadikan isu
oleh parti-parti pembangkang untuk menuduh kerajaan
sebagai tidak demokratik.
Malahan akujanji ini dijangka menyemarakkan lagi
konfrontasi antara warga kampus dengan pihak pentadbir universiti
dan kerajaan kerana ia mencabar kematangan dan kewarasan mereka
selain daripada bermotifkan politik.
Kerajaan mungkin berjaya memaksa warga kampus
menandatangani surat akujanji berkenaan tetapi sumpah dan
ikrar itu mungkin ditinggalkan sebagai kertas kosong selepas
itu. Sebagaimana Auku 1971 yang gagal mengekang gerakan mahasiswa,
begitu juga nasib surat akujanji baru ini kelak.
Pelajar robot
Tiada siapa menyangka gerakan mahasiswa yang telah
disenyapakan sejak 25 tahun lalu tiba- tiba kembali
panas bila meletus peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim
dari jawatannya dalam parti dan kabinet. Para pelajar
daripada pelbagai pusat pengajian telah menjadi
barisan depan dalam demonstrasi jalanan dan memainkan peranan
penting dalam kempen pilihanraya.
Jelas sekali senario ini amat menakutkan kerajaan,
oleh itu kebangkitan ini perlu dibendung segera. Kini
para pelajar hanya dibenarkan berpolitik jika mereka
memakai jaket Pemuda Umno atau Puteri Umno.
Akujanji ini juga dilihat sebagai usaha untuk menjadi
para pelajar sebagai robot. Mereka cuma dikehendaki
belajar dan lulus peperiksaan dengan cemerlang. Para
pelajar mahu disekat bakat kepimpinan dan
kecenderungan politik mereka semata-mata kerana sikap semulajadi
"anti-establishment " yang membara di dada mereka.
Nampaknya pusat pengajian tinggi hanya mahu dijadikan kilang
untuk melahirkan produk untuk pasaran buruh. Kerajaan yang
sedia ada juga mahu menjadikan kampus kilang melahirkan penyokong-penyokong
dan kader-kader Barisan Nasional khususnya Umno.
Tanda soal besar
Akujanji ini adalah bayangan ketakutan kerajaan
terhadap kebangkitan kesedaran para pelajar terhadap
tanggungjawab mereka kepada masyarakat.
Kerajaan mungkin berpuas hati dapat memaksa warga
kampus "taat setia" padanya tetapi selama mana dan
setulus mana ketaatan dan kesetiaan itu adalah satu
tanda soal yang sangat besar.
Ditakuti janji akan tinggal janji, ikrar sekadar di
mulut dan kerajaan dimakan sumpah bila surat akujanji
ditandatangani sekadar memenuhi syarat untuk memasuki universiti
atau mendapatkan pekerjaan.
Isu selanjutnya
– Isu Semasa