Islam
perlu ditegakkan secara diplomasi bukan demonstrasi
Oleh:
NOR ALINA ABDUL MUTALIB, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
SELAMA
ini saya hanya mendengar mengenai demonstrasi pelajar Universiti
Malaya tetapi tidak pernah melihatnya secara nyata walaupun
saya merupakan salah seorang mahasiswa universiti ini.
Namun
pada Jumaat 21 Julai lepas, saya berkesempatan terserempak
dengan demonstrasi ini di hadapan Balai Polis Pantai.
Saya
secara spontan berasa sedih melihatkan mahasiswi yang berjubah,
bertudung labuh dan berpurdah serta separuh menutup muka dengan
kain yang diikat dalam demonstrasi itu.
Bukannya
saya anti dengan pakaian demikian. Ia adalah pakaian Islam.
Tetapi suasana tersebut begitu tidak sesuai untuk pelajar
beridentiti seperti mereka. Bukankah pakaian seperti itu mencerminkan
keperibadian yang tinggi, lemah lembut dan rasional? Tetapi
mereka telah memburukkan imej Islam itu sendiri.
Bayangkanlah,
berjubah dan bertudung labuh tetapi dilihat begitu agresif
sekali, penuh emosi dan sangat kasar kelihatannya. Sehingga
saya berasa cukup malu kerana ada beberapa pelajar berbangsa
Cina yang menggelengkan kepada melihat cara mereka.
Ingin
saya memberitahu mereka, di kampus universiti ini sendiri
di manakah usaha mereka mendaulatkan Islam? Mereka berada
di dalam kelompok mereka sendiri. Mereka langsung tidak hendak
cuba memulakan bergaul dengan pelajar daripada kumpulan atau
fakulti lain selain puak mereka sahaja.
Cubalah
bermesra dengan pelajar lain dan secara tidak langsung membuka
perspektif terhadap Islam.
Persatuan
Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) hanya didominasi
pelajar tertentu. Hingga kawan saya sendiri memberitahu apa
dia PMIUM pun kita tidak nampak.
Seharusnya
pihak yang terlibat menganalisis apa usaha yang mereka telah
buat untuk betul-betul memperkenalkan Islam. Perlulah turun
ke padang bergaul tanpa mengira masa. Bukan hanya duduk dan
berpuas hati dengan beberapa seminar, majlis pengenalan dan
lain-lain aktiviti.
Kita
tidak boleh marah jika bangsa lain memandang serong terhadap
Islam. Ia adalah salah kita sendiri. Kita yang menunjukkan
contohnya kepada mereka. Salah kita sendiri.
Cuba
anda yang berdemonstrasi berfikir sejenak. Islam yang dibawa
tidak akan tertegak dengan cara kekasaran.
Ia
tidak sesekali akan berdaulat dengan jerit pekik, kemarahan
yang me-luap dan penghinaan pada mereka yang tidak tahu tanpa
rasa belas untuk menasihati mereka.
Sebaliknya
ia perlu diplomasi, berstrategi dan penuh hikmah serta lemah-lembut.
Rasulullah
s.a.w tidak pernah mengajak sahabat Baginda yang mulia untuk
menunjuk perasaan walau Baginda ditentang dengan begitu hebat
sekali. Baginya menangani sesuatu perkara dengan akal fikiran
bukan perasaan.
Sudah
tentu menunjuk perasaan itu adalah kemarahan dan emosi yang
dipengaruhi syaitan. Tentu anda semua lebih arif tentang hubungan
amarah dan pengaruh syaitan. Tidak perlulah saya menyebutkannya
di sini.
Cara
terbaik ialah mulakan dari diri kita sendiri. Usah berfikir
kita sudah lebih baik. Nasib kita belum tentu di penghujung
hidup. Dan, cubalah jangan asyik memikirkan kesalahan orang
lain. Entah-entah Islam yang kita inginkan itu belum tertegak
di negara ini kerana orang seperti kita.
Islam
akan diberi hanya pada mereka yang benar-benar layak sahaja.
Layak daripada pelbagai aspek, dari segi takwa dan akhlak.
-
Halaman Utama