Dua Pensyarah UTM digantung
kerja
KUALA LUMPUR: Dua pensyarah dan dua pekerja
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) digantung kerja kerana
pembabitan mereka dalam kegiatan politik pembangkang.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Abdul Aziz
Shamsuddin, berkata selain itu 11 lagi kakitangan UTM
diberikan surat tunjuk sebab atas pelbagai kesalahan
manakala seorang sudah diberhentikan bulan ini.
Aziz yang ditemui selepas merasmikan seminar
Kenegaraan Malaysia yang dianjurkan Program Pengajian Diploma
UTM, di sini, semalam, berkata demikian ketika diminta mengulas
mengenai penahanan tiga pensyarah universiti itu minggu ini
di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri kerana pembabitan mereka
dalam Kumpulan
Militan Malaysia (KMM).
Beliau berkata, UTM tidak pernah berdiam diri terhadap
kesalahan yang dilakukan kakitangannya dan berusaha
menangani masalah yang timbul.
Sungguhpun begitu katanya, penahanan tiga pensyarah itu tidak
seharusnya menjadi faktor kepada masyarakat untuk memperkecilkan
UTM kerana universiti berkenaan banyak menghasilkan pensyarah
dan pelajar yang berjaya dalam bidang masing-masing.
Mereka hanyalah sebahagian daripada keseluruhan 1,600 pensyarah
yang ada di UTM dan masalah ini bukanlah sesuatu yang serius
dan apa yang kita minta ialah supaya mereka yang terbabit
kembali semula ke pangkal jalan agar dapat memberikan sumbangan
yang positif terhadap pembangunan negara.
Ini kerana mereka sudah diberikan rahmat yang tinggi
oleh Tuhan serta peluang oleh kerajaan dilatih sebagai
pensyarah dan sepatutnya menumpukan kepada bidang profesion
mereka, katanya.
Ditanya mengenai penafian pihak UTM terhadap wujudnya gerakan
bawah tanah menentang kerajaan seperti yang didakwa oleh bekas
pelajarnya, Wan Noor Hayati Wan Alias, Aziz berkata, dakwaan
itu tiada kaitan dengan KMM.
Isu ini adalah berasingan kerana kita tidak tahu
dengan kumpulan mana pelajar ini terdedah, kita
ketepikan dahulu perkara ini kerana polis masih terus
menyiasat, katanya.
Sementara itu dalam sesi soal-jawab bersama pelajar
selepas merasmikan majlis berkenaan, Aziz berkata,
tiada salahnya dalam sistem pendidikan di negara ini
sehingga menyebabkan Malaysia terpaksa memanggil
pekerja asing untuk bekerja di negara ini.
Yang menjadi masalah ialah kerana kita terlalu baik
dan juga malas untuk bekerja di sektor berkenaan,
tetapi sistem pendidikan di negara ini berlangsung
dengan baik, katanya.
Pelajar berkenaan menimbulkan soalan mampukah sistem pendidikan
di negara ini menghasilkan golongan pekerja mahir dan separuh
mahir bagi memenuhi pasaran pekerjaan.
Menjawab soalan seorang lagi pelajar berkenaan fungsi
Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam
melahirkan pakar dan profesional walaupun kurang
memberikan perhatian soal praktikal berbanding di
politeknik, beliau berkata, politeknik diwujudkan bagi
menghasilkan golongan sub-profesional.
Ini kerana lulusan politeknik bertindak memberikan
perkhidmatan oleh itu mereka mesti tahu banyak aspek
praktikal bidang terbabit berbanding lepasan IPTA yang
selain praktikal perlu juga mahir mengenai teori,
katanya.
Aziz yang juga ditanya mengenai kelebihan antara IPTA
dan IPTS berkata, kedua-duanya adalah lebih baik,
tetapi IPTA mempunyai kelengkapan yang lebih baik
berbanding sesetengah IPTS.
Kelengkapan yang cukup ini adalah untuk melahirkan
pelajar terbaik dan pelajar seharusnya ingat mengenai
perkara ini dan peluang yang diberikan untuk
melanjutkan pelajaran, katanya.
Isu selanjutnya
– Isu Semasa