Pembangkang
persoal akujanji
Berita
Harian, 15 Mac 2002
PEMBANGKANG
semalam membidas langkah kerajaan mewajibkan pensyarah universiti
menandatangani Surat Akujanji sebagaimana kakitangan kerajaan
lain.
Datin
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Keadilan-Permatang Pauh) berkata,
tindakan itu hanya mewujudkan sifat kawalan minda di kalangan
pensyarah, iaitu keengganan menyatakan pandangan yang dianggap
tidak disenangi pemerintah.
Katanya,
sikap itu bukan saja bercanggah dengan konsep pendidikan mewujudkan
generasi baru intelek yang berilmu dan kreatif, tetapi juga
mengancam keutuhan sistem demokrasi.
“Secara
ringkasnya kerajaan berjaya melahirkan masyarakat `Aku Setuju’
atau `Yes Men’ yang hanya mengiakan apa saja yang diperturunkan
pemimpin,” katanya berucap membahaskan Titah Ucapan Diraja.
Dr
Wan Azizah juga berkata, sistem pilihan raya sekarang perlu
dirombak bagi mengatasi kelemahan serta memastikan ianya adil,
telus dan terbuka.
Katanya,
sistem pendaftaran secara automatik perlu diperkenalkan apabila
pemilih mencapai umur layak mengundi manakala semua pemilih
sedia ada didaftarkan semula bagi membersihkan daftar pemilih.
“Sistem
undi pos juga perlu dihapuskan kerana tiada lagi kewajaran
untuk diterima pakai hari ini,” katanya.
Sementara
itu, Mohamad Sabu (Pas-Kuala Kedah), menggesa kerajaan menghormati
semangat demokrasi dengan memberi peluang kepada parti pembangkang
menyampaikan mesej kepada rakyat menerusi media massa termasuk
Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Beliau
berkata, jika parti pembangkang diberikan hak itu, mereka
tidak lagi perlu untuk mengadakan ceramah politik yang tidak
disukai kerajaan.
“Kita
tidak boleh ceramah, tetapi TV hentam kita tiap-tiap hari,”
katanya.
Mohamad
turut membidas Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan,
Senator Datuk Zainudin Maidin, kerana menjadikan RTM sebagai
alat propaganda parti pemerintah.
“Sejak
dia masuk, RTM bukan lagi jadi alat propaganda kerajaan, tetapi
alat propaganda Umno,” katanya.
Halaman Utama