Kenapa
kurang senang dengan AUKU?
Terjemahan:
Suntzi Jr (suntzi-junior@care2.com)
Semasa
berucap di hadapan hampir 600 pelajar Malaysia ketika dalam
rangka lawatan beliau ke London, Perdana Menteri Datuk Seri
Dr Mahathir telah menasihati mereka supaya berlajar bersungguh-sungguh,
dan jikalau mereka lebih minat dengan aktiviti politik, mereka
boleh memilih untuk meninggalkan kampus. Mesej beliau adalah
ditujukan kepada semua mahasiswa di Malaysia.
Beberapa
ketika dahulu dalam akhbar harian sering terdapat artikel
yang mengkritik AUKU. Antara pendapat yang sering diutarakan
adalah AUKU telah menghalang kebebasan akademik dalam kampus
dan para mahasiswa tidak dapat berfikir secara kritikal dan
akan hilang daya saing. Kerana AUKU, para mahasiswa akan terpengaruh
dengan budaya 'Yes-man' dan akhirnya menjadi ulat buku.
Hujah-hujah
seperti yang disebutkan amat popular dalam kelompok belia
di negara barat. Mereka berpendapat bahawa kebebasan dari
segi pemikiran, akademik dan sistem politik harus dicerminkan
dalam suasana kampus; para mahasiswa harus diberi hak untuk
mengkritik kerajaan dan menyertai aktiviti-aktiviti politik,
dan hak tersebut tidak boleh dirampas.
AUKU
kini telah menjadi satu isu politik kepada pihak pembangkang
di Malaysia, dan isu tersebut turut disokong oleh intelektual-intelektual
tertentu. Mereka menganggap AUKU adalah bukti ketidakdemokrasinya
kerajaan.
Namun
yang harus kita teliti dalam isu ini adalah selain daripada
menyekat penyertaan mahasiswa dalam aktiviti politik, adakah
AUKU telah menghalang minat mahasiswa dalam akademik dan aktiviti
penyelidikan akademik? Adakah halangan mahasiswa dalam menyertai
aktiviti politik akan membunuh terus keupayaan sesebuah universiti
dalam melahirkan mahasiswa yang berketrampilan?
Sudah
tentu tidak! Kerana mengejar kecemerlangan akademik adalan
sebab utama kita melanjutkan pelajaran di menara gading.
Tidak
dinafikan, gerakan mahasiswa telah memainkan peranan yang
besar dalam perubahan politik negara-negara tertentu, namun
insiden-insiden tersebut lebih berpaksi kepada faktor-faktor
domestik dan semasa negara tersebut. Ia tidak semestinya menjadi
suata kewajiban kepada semua mahasiswa, atau menjadi ukuran
kepada hak dalam menyertai aktiviti politik.
Jika
ditinjau negara-negara di mana gerakan mahasiswa bergiat aktif
dalam proses perubahan politik, rata-ratanya negara tersebut
berada dalam keadaan yang tidak stabil. Sebagai contoh, Indonesia
adalah antara negara yang telah terbukti membayar harga yang
mahal untuk perubahan politik, dan di Indonesialah para mahasiswa
telah membelakangi tanggungjawab akademik mereka dan mencetuskan
pelbagai keadaan huru-hara di negara mereka sendiri. Berbanding
dengan negara-negara barat seperti Amerika Syarikat, walaupun
kerajaan negara tersebut turut tidak tersisih daripada skandal-skandal
buruk, jarang sekali kita mendengar mahasiswa Amerika Syarikat
keluar memporak-perandakan masyarakat kerana skandal-skandal
tersebut.
Menurut
laporan media, kini terdapat beberapa orang pensyarah dan
segelintir mahasiswa telah disyaki menyertai aktiviti-aktiviti
kumpulan politik tertentu. Mereka turut disyaki cuba meracuni
pemikiran mahasiswa melalui kuliah-kuliah akademik. Oleh kerana
kini golongan mahasiswa menjadi buruan sesetengah kumpulan,
AUKU telah menjadi 'scapegoat' dan dikutuk bertubi-tubi; kumpulan-kumpulan
tersebut sedar bahawa AUKU adalah penghalang kepada kepentingan
mereka.
Atas
rasional ini, saya mengajak saudara-saudari sekalian menilai
AUKU dari perspektif yang berbeza. Kita tidak semestinya perlu
menerima sepenuhnya hujah-hujah tertentu. Pada realitinya,
tidak ramai yang begitu komitet dalam perdebatan mengenai
AUKU, kehangatan perdebatan mengenai AUKU hanyalah ciptaan
pihak-pihak tertentu sahaja.
Tepuk
dada tanya selera, majoriti ibu bapa lebih suka melihat anak
mereka menumpukan perhatian sepenuhnya dalam pelajaran. Sudah
pasti tiada ibu bapa yang ingin melihat anak mereka menghabiskan
masa dalam aktiviti yang tiada kaitan langsung dengan akademik.
Ibu bapa telah membelanjakan setiap wang ringgit hasil penat
lelah mereka untuk membiayai pelajaran anak mereka, dengan
harapan anak mereka dapat berjaya dalam pelajaran.
Setelah
tamat pelajaran, setiap individu berhak memilih aktiviti sosial
dan haluan politik yang mereka ingin tujui. Mungkin pada mulanya
mereka tidak mampu pergi jauh kerana kekurangan pengalaman,
namun masalah ini akan dapat diatasi kelak, seperti mana proses
kita belajar menguasai bidang-bidang ilmu tertentu dalam kampus.
Penyertaan
dalam politik memerlukan komitmen yang besar. Aktiviti seperti
demonstrasi jalanan adalah amat berisiko dan sudah tentu ia
tidak memberi manfaat kepada perjuangan akademik kita. Hakikatnya,
kita kini tidak berada dalam satu suasana masyarakat yang
begitu kronik sehingga perlunya ada satu bentuk revolusi drastik.
Jika para mahasiswa lebih menjurus kepada memperbaiki pencapai
akademik, mengapa pula kita harus bersikap kurang senang dengan
AUKU?
Kini
yang lebih komitet dengan aktiviti politik adalah golongan
mahasiswa bukan Tiong Hua (sesetengah pihak melabelkan mereka
sebagai mahasiswa yang mempunyai tahap kesedaran yang tinggi),
mereka dianggap sebagai golongan yang paling tidak puas hati
dengan AUKU. Pada mereka kita dapat melihat bayang-bayang
mahasiswa Indonesia yang begitu kuat berpolitik. Sesetengah
mereka yang mempunyai agenda tersembunyi telah menghantar
artikel kepada pihak media masa dan cuba menjaja kebencian
politik mereka kepada komuniti orang Tiong Hua. Tujuan mereka
adalah ingin 'merasionalkan' pendirian politik mereka dan
mengwujudkan satu persepsi bahawa kampus adalah medan pertarungan
politik.
Menara
gading adalah tempat mahasiswa mengerja ilmu dan membekalkan
diri dengan segala pengetahuan, ia bukan medan gusti politik.
Saya dengan rendah dirinya mencadangkan agar mereka yang begitu
minat dengan politik supaya meninggalkan kampus dan jadilah
aktivis politik sepenuh masa. Kampus adalah gudang ilmu, bukan
sarkas politik.
*Artikel ini adalah terjemahan daripada artikel yang diterbitkan
oleh Nanyang Siang Pau pada 12 March 2002. Sila rujuk artikel
sebenar jika terdapat sebarang kemuskilan.
Halaman Utama